Menunggu saat kelahiran bayi sememangnya satu pengalaman mengujakan bagi setiap ibu. Namun, ia juga boleh menjadi suatu perkara mendebarkan terutama bagi ibu yang bakal melahirkan bayi buat kali pertama dalam hidupnya. Tempoh sembilan bulan hamil akhirnya bakal berakhir. Debaran di dada semakin terasa. Bayangan kesakitan yang harus dilalui untuk melahirkan zuriat keturunan anda di bilik bersalin pastinya akan membuatkan seorang ibu menjadi seram sejuk. Yang pastinya setiap kesakitan dan debaran akan berakhir sebaik sahaja anda mendengar tangisan bayi buat kali pertama di dunia. Tiada yang lebih indah bagi seorang ibu melainkan mengharungi saat-saat kehamilan dan kelahiran bayi mereka ke dunia.
Setiap ibu akan menghadapi tanda-tanda awal sebelum bersalin. Tanda-tanda ini adakalanya mengelirukan sesetengah ibu terutama kepada mereka yang belum pernah melalui pengalaman bersalin. Jika anda keliru dengan tanda-tanda awal bersalin, kami kongsikan kepada anda 10 petanda jelas yang anda hampir bersalin.
1. Bukaan Serviks Luas/Besar
Bahagian bawah rahim atau dipanggil serviks akan mula membuka luas. Ia bersiap-siap untuk laluan bayi keluar dari rahim ibu menerusi faraj. Serviks ialah salur pada bahagian bawah rahim yang membuka ke faraj. Pembukaan ini biasanya berlaku seminggu sebelum bersalin. Pembukaan ini berlaku secara berperingkat sehinggalah ia benar-benar bersedia untuk memberi laluan bayi keluar menerusi jalan tersebut. Doktor akan memeriksa saiz bukaan rahim apabila anda ke hospital untuk pemeriksaan pada saat-saat akhir kehamilan.
2. Rasa Kejang & Sakit Belakang
Anda akan merasai kesakitan di bahagian bawah belakang badan. Ia berpunca daripada kontraksi yang dirasai di bahagian otot uterus dan tekanan di bahagian serviks. Badan juga akan terasa kekejangan yang kuat di bahagian pangkal paha, belakang badan dan abdomen. Keadaan ini berbeza bagi setiap wanita yang bakal melahirkan bayi. Ada wanita yang merasai seolah kekejangan ketika waktu haid. Ada yang merasai kekejangan dan sakit belakang yang amat kuat seolah-olah merasai kekejangan saat cirit birit.
3. Mengalami Cirit Birit
Anda akan merasai pergerakan usus yang longgar. Ini berlaku disebabkan otot uterus mula mempersiapkan keadaan untuk kelahiran bayi. Bukan hanya uterus, malah rektum yang merupakan saluran najis juga akan mengalami perkara yang sama. Tanda cirit birit yang dialami wanita sebelum melahirkan sememangnyan akan membuatkan mereka rasa tidak selesa. Namun anda tidak perlu risau kerana ia adalah petanda normal. Anda tidak perlu berasa malu mengalami cirit birit sebelum bersalin.
Antara cara boleh diambil mengurangkan cirit birit sebelum bersalin ialah minum banyak air. Kurangkan makan pada minggu-minggu akhir kelahiran. Makan sekadar cukup untuk memberikan anda tenaga untuk persiapan ketika bersalin.
4. Berat Badan Tidak Lagi Bertambah
Ramai wanita menceritakan pengalaman mereka mengalami penurunan berat badan ketika minggu akhir kehamilan. Ada yang mengalami berat badan statik iaitu tidak menunjukkan peningkatan. Perkara ini tidak akan menjejaskan bayi dalam kandungan. Para ibu tidak perlu risau jika berlaku penurunan berat badan. Sebenarnya sedang berlaku beberapa perubahan dalam badan anda seperti pengurangan cecair amniotik yang melindungi uterus. Cecair ini sentiasa mengalami pengurangan dan pertambahan. Tetapi pada minggu-minggu akhir kehamilan, cecair ini akan berkurangan.
5. Kepenatan & Sukar Tidur
Semakin hampir saat bersalin, anda akan merasakan semakin kepenatan. Salah satu puncanya adalah disebabkan kesukaran unttik tidur dengan lena pada waktu malam. Anda akan kerap terjaga kerana keadaan fizikal yang tidak selesa. Ini menyebabkan anda lebih penat pada sinag harinya. Jika anda mengalami keadaan kepenatan sebegini pada minggu-minggu akhir bersalin, dapatkan rehat secukupnya. Elakkan daripada terus melakukan kerja-kerja berat dan rehat secukupnya.
6. Vagina Berwarna Atau Berdarah
Vagina berdarah boleh berlaku beberapa hari sebelum bersalin. Sesetengah wanita hanya mengalami pengeluaran cecair berwarna merah jambu atau coklat. Cecair atau mukus ini keluar sedikit demi sedikit beberapa hari sebelum bersalin akibat daripada keadaan serviks yang mula terbuka dan melebar. Tetapi jangan terus panik kerana pengeluaran mukus berwarna atau berdarah ini tidak semestinya menunjukkan saat bersalin sudah tiba. Doktor akan memastikan jika bukaan serviks sudah bersedia. Kebiasaannya, bukaan serviks perlu mencapai sehingga 10 sentimeter. Baharulah doktor akan mengisytiharkan bahawa anda perlu dibawa segera ke dewan bersalin.
7. Air Ketuban Meleleh Atau Pecah
Cecair amniotik yang melindungi fetus akan mula pecah. Sesetengah wanita akan terus mengalami pengeluaran air ketuban yang banyak. Sesetengahnya pula akan mengalir atau meleleh dalam kuantiti yang sedikit atau langsung tidak keluar kecuali pada saat untuk bersalin. Jika tidak pasti sama ada cecair yang keluar itu air ketuban atau urin, anda boleh menelefon doktor untuk memastikan apakah jenis dan warna dan bau cecair yang keluar.
Boleh jadi juga cecair yang keluar itu bukanlah air ketuban. Sebaliknya hanyalah urin yang sememangnya normal dialami saat hamil. Jika anda benar-benar pasti cecair yang keluar adalah air ketuban apatah lagi ia keluar dalam kuantiti yang banyak, segeralah berjumpa doktor. Cecair amniotik yang keluar merupakan pelindung bayi di dalam rahim. Jika cecair ini berkurangan, bayi berisiko mengalami jangkitan. Seharusnya jika air ketuban pecah, bayi perlu dilahirkan dalam tempoh sehari ke dua hari berikutnya.
8. Kontraksi Palsu atau Braxton-Hicks
Kontraksi adalah keadaan di mana otot uterus menguncup dan meregang. Anda akan merasai kesakitan seperti memulas dari bahagian belakang dan abdomen. Pengucupan otot uterus ini menyediakan laluan untuk bayi keluar melalui serviks. Anda harus tahu membezakan antara kontraksi palsu dan kontraksi sebenar dari segi ritmanya.
Ritma kontraksi sebenar adalah saatnya untuk anda bersedia bersalin. Sebaliknya ritma kontraksi palsu hanyalah tanda-tanda awal yang berlaku beberapa hari sebelum bersalin. Kontraksi palsu mempunyai sela masa dan tidak berlaku sekerap kontraksi sebenar. Kontraksi palsu selalunya akan berhenti apabila anda sedang berehat atau menukar posisi duduk.
Perhatikan kekerapan dan jangka masa kontraksi yang berlaku. Kontraksi sebenar akan berterusan walaupun anda mengubah posisi atau berehat. Ini menandakan waktu bersalin sudah tiba!
9. Abdomen Menurun
Beberapa minggu sebelum bersalin anda akan dapati abdomen semakin menurun akibat otot pelvis yang mula meregang. Ini disebabkan kedudukan kepala bayi dalam keadaan menurun ke arah bukaan serviks. Ini biasanya terjadi kepada wanita yang melahirkan bayi buat kali pertama.
10. Kerap Kencing
Seiring dengan keadaan abdomen yang menurun akibat posisi bayi yang semakin menghala ke bawah, wanita akan mengalami sedikit tekanan di bahagian pelvis dan pundi kencing. Pada masa ini wanita tersebut akan semakin kerap ke tandas untuk membuang air kecil. Semasa ini juga, pernafasan juga menjadi sedikit lapang. Ini disebabkan perubahan posisi bayi dalam rahim.
Dapatkan Kepastian Daripada Doktor
Bagi wanita yang tidak pasti membezakan tanda-tanda awal bersalin dan tanda-tanda sebenar bersalin, segera hubungi doktor anda untuk mendapatkan pandangan mengenai tanda-tanda yang dialami.