Kenapa perlu ada kualiti telur  yang baik?

Kualiti dan mutu telur yang baik adalah penting untuk memastikan embrio yang terhasil daripada persenyawaan dengan sperma berkualiti elok. Embrio yang sihat akan meningkatkan peratus kejayaan implantasi di dalam rahim. Pembentukan dan tumbesaran bayi yang terbentuk seterusnya diharapkan kelak adalah sihat dan normal.

Oleh itu, bagi pasangan yang ingin hamil terutamanya jika ingin melalui rawatan kesuburan, hendaklah mengambil langkah-langkah persediaan untuk memastikan kualiti telur yang terhasil adalah berkualiti tinggi untuk meningkatkan peratus kehamilan dan mengurangkan keguguran
daripada berlaku.

Faktor yang boleh memberikan impak kepada kualiti telur

Faktor umur dan genetik seseorang wanita bukan sahaja merupakan faktor penting yang memberikan impak kepada kualiti telur. Malah, gaya hidup dan pemakanan wanita tersebut juga memainkan peranan penting untuk memastikan mutu telur yang dihasilkan oleh kilang ovarinya. Memandangkan umur dan genetik tidak boleh diubah, wanita perlu memastikan mendapat nutrisi yang berkhasiat dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk meningkatkan kualiti telur.

Tips untuk meningkatkan kualiti telur

Diet yang sihat
Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai anti-oksidan dan zat mineral penting yang diperlukan. Di samping itu, hendaklah mengambil makanan yang berserat atau ‘whole meal’. Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak, berminyak, karbohidrat yang sudah diproses (seperti roti putih), berkafein, beralkohol, gula, dan ‘fast food’ atau ‘junk food’.

Terdapat kajian yang menyatakan ‘Mediterranean diet’ boleh meningkatkan peluang kehamilan di kalangan pasangan TTC. Diet tersebut dikatakan terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, kekacang, minyak zaitun dan makanan berserat yang kaya dengan omega-3 ‘fish oil’ serta vitamin D.

Ambil suplemen asid folik
Ambillah asid folik (vitamin B9) 400-800 microgram setiap hari untuk meningkatkan kualiti telur anda. Di samping itu, asid folik adalah penting untuk menghindari kecacatan otak dan tulang belakang bayi yang dinamakan ‘neural tube defect’. Vitamin ini perlu diambil sekurang-kurang 1-3 bulan sebelum hamil. Oleh itu, bagi wanita yang ingin hamil hendaklah mula mengambil asid folik hari ini!

Suplemen vitamin D – Vitamin matahari
Vitamin D adalah penting untuk kualiti telur dan juga proses implantasi embrio ke dalam rahim. Sebelum mengambil suplemen vitamin, adalah lebih baik jika anda memeriksa dahulu paras vitamin D di dalam darah anda dengan membuat ujian darah 25(OH) Vitamin D.

Suplemen CoQ10 (Coenzyme Q10) – Pencetus tenaga sel
Coenzyme adalah bahan yang penting agar enzyme penting di dalam badan dapat berfungsi dengan elok. Coenzyme Q10 digunakan untuk membekalkan atau membuang oksigen dari molekul yang aktif. Ia penting dalam proses salah satu sumber tenaga badan yang dikenali sebagai ATP yang berlaku di dalam mitochondria, satu bahagian di dalam sel-sel badan. Oleh itu, Coenzyme Q10 sangat penting dalam kesihatan sel, tisu dan organ badan kita.

Jadi, tidak hairanlah sekiranya CoQ10 adalah penting untuk kualiti telur dan proses persenyawaan telur, implantasi embrio dan perkembangan bayi pada peringkat awal.

Suplemen ini penting terutamanya bagi wanita berumur 35 tahun ke atas. Terdapat 2 jenis CoQ10 ubiquinol dan ubiquinone. Kebanyakan supplemen mengandungi ubiquinone. Jenis Ubiquinol adalah lebih 8 kali lebih poten daripada ubiquinone dan mungkin lebih elok diambil bagi wanita yang lebih berumur.


Pengurangan Stress Dalam Kehidupan Harian
Stress atau tekanan yang berlebihan dan kronik boleh menjejaskan tahap kesihatan dan tahap kesuburan seseorang wanita di mana:

  • Ia menjejaskan kualiti telur anda.
  • Melambatkan proses ovulasi.
  • Menghindari proses implantasi.
  • Menyebabkan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.

Dalam kehidupan moden ini, stress tidak dapat dielakkan sama sekali tetapi ianya dapat dikawal atau dikurangkan. Ambillah langkah-langkah yang perlu untuk mengurangkan stress di dalam hidup anda.