Apakah sistem reproduktif wanita?
Sistem reproduktif wanita adalah penting bagi seseorang wanita agar ianya dapat hamil dan melahirkan anak. Ianya terdiri daripada dua bahagian:

a. Bahagian luar
b. Bahagian dalam

Apakah bahagian luar reproduktif wanita?
Ianya terdiri daripada beberapa struktur seperti di bawah: 

Labia majora
Labia majora bermaksud bibir besar kerana ia berbentuk seakan-akan bentuk bibir. Ia melindungi dan menutupi bahagian sistem reproduktif wanita yang lain. Ia terdiri daripada kelenjar peluh dan minyak serta diselaputi oleh bulu.

Labia minora
Labia minora pula bermaksud bibir kecil kerana ia juga berbentuk seperti bibir yang ditutupi oleh labia majora. Struktur ini mengelilingi pembukaan faraj dan lubang air kencing (urethral meatus).

Kelenjar Bartholin
Kelenjar tersebut terletak pada pembukaan faraj dan merembeskan mukus terutama yang bertindak sebagai pelincir semasa hubungan intim.

Klitoris
Adalah struktur yang terletak pada bahagian paling atas di mana labia majora dan minora bersambung. Ia adalah struktur yang mirip seperti buah zakar kaum lelaki. Klitoris adalah organ reproduktif wanita yang sangat sensitif kerana ianya terdiri dari urat-urat saraf yang mampu dirangsangkan semasa hubungan intim.

Bahagian dalam sistem reproduktif wanita terdiri daripada beberapa struktur seperti berikut:

Faraj
Faraj ataupun vagina adalah saluran yang menyambung bahagian luar reproduktif sistem wanita dengan pangkal rahim (serviks). Ia terdiri daripada otot-otot yang boleh mengembang dan mengecut semasa hubungan intim sewaktu wanita tersebut mengalami ‘orgasm’. Vagina juga terdiri daripada beratus-ratus urat-urat saraf yang boleh dirangsang semasa hubungan intim.

Terdapat satu bahagian di dalam vagina yang dinamakan ‘G-spot’. Ini terletak pada bahagian atas pada jam 12 lebih kurang 2-5cm di belakang pembukaan saluran kencing (urethral meatus). Tidak semua wanita akan terangsang atau menjumpai ‘G-spot’ tersebut, tetapi tidak salah jika anda cuba mencarinya semasa hubungan intim bersama suami anda.

Serviks
Serviks adalah pangkal rahim. Ini adalah struktur di mana sampel untuk ujian saringan Pap Smear akan diambil. Pembukaan di dalam serviks membenarkan sperma dari lelaki untuk memasuki rahim dan seterusnya ke dalam saluran peranakan untuk mempersenyawakan ovum atau telur yang matang.

Rahim
Rahim adalah organ reproduktif wanita yang penting untuk implantasi embrio yang telah dipersenyawakan dan pembesaran bayi sehingga dilahirkan. Dinding rahim terdiri daripada 3 lapisan iaitu endometrium, myometrium dan perimetrium.

Endometrium: Lapisan paling dalam sekali, di mana telur yang sudah dipersenyawakan akan ‘implan’ ke dalam lapisan ini. Lapisan ini jugalah yang akan terlerai dan jatuh sebagai haid bersama telur yang tidak dipersenyawakan sekiranya tiada kehamilan berlaku.

Myometrium: Lapisan tengah rahim. Ia terdiri daripada otot-otot yang mengembang dan mengecut.

Perimetrium: Lapisan paling luar rahim. Ia berfungsi sebagai pelindung luar rahim wanita.

Ovari
Setiap wanita mempunyai 2 ovari. Satu di sebelah kanan dan satu lagi di sebelah kiri. Saiznya adalah 3x2x1cm dan berbentuk bujur. Ia terdiri daripada folikel-folikel yang mengandungi telur yang tidak matang. Setiap bulan hanya satu sahaja folikel akan terpilih untuk membesar dan telur di dalamnya akan mematang serta dirembeskan keluar untuk masuk ke dalam saluran peranakan. Di samping itu, ovari juga mengeluarkan hormon-hormon penting untuk fungsi sistem reproduktif wanita.

Saluran peranakan (Tiub fallopio)
Wanita mempunyai dua saluran peranakan. Satu di sebelah kanan dan satu lagi sebelah kiri. Ia adalah struktur tiub yang halus sepanjang 10cm yang berfungsi untuk membawa telur yang telah matang dari kilang ovari untuk dipersenyawakan oleh sperma.

Tips untuk hubungan intim:

1)  Kenali tubuh badan anda. Cuba perhatikan bahagian luar sistem reproduktif anda. Kemudian, jika suami juga tidak arif, anda boleh mengajar pasangan anda.

2) Kenal pasti bahagian klitoris kerana struktur ini boleh membantu anda mengatasi masalah semasa melakukan hubungan intim. Ianya mungkin juga boleh membantu untuk mengalami ‘orgasm’ semasa hubungan seksual bersama pasangan anda. Rangsangan ke atas klitoris boleh dilakukan dengan beberapa cara.

3) Mungkin anda perlu melakukan ‘trial and error’ untuk mengetahui apa yang merangsang anda dan apa yang tidak merangsang anda. Ini bergantung kepada individu dan pasangan mereka masing-masing.