Kuasa muzik dalam menggalakkan perkembangan kognitif yang berkesan semakin diterima oleh masyarakat. Buktinya, kebanyakan pusat pendidikan awal kanak-kanak memasukkan pembelajaran muzik dalam kurikulum mereka. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti muzik, kanak-kanak dapat meningkatkan perkembangan fizikal, bahasa, emosi, sosial dan juga pemikiran.
Pakar bersetuju bahawa banyak manfaat dapat diperolehi melalui muzik dan instrumen muzik. Muzik bukan sahaja mempunyai kuasa luar biasa dalam mempengaruhi emosi orang dewasa, bahkan juga bayi dan kanak-kanak. Kuasa muzik telah disedari sejak lama dahulu lagi. Lihatlah bagaimana nenek-moyang kita menggunakan irama muzik yang lembut dan mendamaikan bagi menenangkan bayi yang meragam. Kita juga dapat lihat anak kecil akan secara spontan berjoget, mengangguk kepala, menggerakkan tangan, kaki ataupun bergoyang apabila mendengar lagu. Walau bagaimanapun, tidak ramai ibu bapa yang sedar bahawa muzik boleh menjadi salah satu medium untuk membantu perkembangan kanak-kanak. Kami senaraikan sebab-sebab mengapa anda perlu menggalakkan anak untuk mendekati muzik.
Table of Contents
Perangsang Otak
Siapa sangka cara mudah untuk merangsang minda anak adalah melalui muzik. Banyak kajian menunjukkan hubungan antara keberjayaan pencapaian akademik pada kanak-kanak yang terdedah kepada muzik. Malah, kajian juga mendapati kanak-kanak yang bermain instrumen muzik dapat meningkatkan keupayaan kebergantungan otak. Muzik dapat merangsang kanak-kanak untuk membaca, belajar matematik dan perkembangan emosi.
Meningkatkan keupayaan memori
Bantu si manja anda untuk lebih mudah mengingat melalui muzik. Cuba anda lihat perbezaan jika anda mengajar si manja huruf ABC secara formal (membaca buku) atau dengan melagukan huruf tersebut? Ketara bukan, anak anda lebih mudah mengingati pembelajaran melalui lagu? Kajian menunjukkan penglibatan muzik kepada anak kecil (di awal usia) dapat membantu meningkatkan kemampuan pembelajaran mereka dan keupayaan memori dengan cara merangsang perkembangan minda mereka.
INFO: Kajian dari University of Hong Kong mendapati bahawa pelajar sekolah yang mempelajari instrumen muzik klasik menunjukkan peningkatan ketara dalam proses mengingat.
Meningkatkan kemahiran matematik
Membaca nota muzik memerlukan kanak-kanak untuk mengira nota di samping mengikut irama muzik. Kajian menunjukkan mereka yang mempelajari alat muzik kebanyakannya berjaya dalam mata pelajaran matematik di sekolah.
Kordinasi mata dan tangan
Bermain instrumen memerlukan penyelarasan mata dan tangan secara serentak. Semasa memainkan alat muzik, kanak-kanak perlu membaca nota muzik sambil menggerakkan tangan untuk bermain alat muzik.
Membantu aspek sosial
Mempelajari alat muzik dapat membantu kanak-kanak yang pemalu untuk berkawan. Kanak-kanak yang belajar muzik lazimnya akan diletakkan secara berkumpulan dan bekerjasama antara satu sama lain. Selain itu, mereka juga diajar untuk berdisiplin dan kemahiran memimpin. Mempelajari instrumen muzik memerlukan sikap dedikasi dan kerja keras yang tinggi, dan yang paling penting, sikap berdisiplin dalam mempelajari alat muzik. Semasa belajar alat muzik, seseorang itu perlu kerap berlatih bagi memahirkan lagi penguasaannya dalam bermain. Hal ini memerlukan latihan berterusan dan komitmen yang tinggi daripada kanak-kanak.
Membina keyakinan
Jika anda rasa anak anda perlu meningkatkan keyakinannya, ketahuilah bahawa belajar alat muzik dapat membantu mereka. Bermain alat muzik dapat mengurangkan rasa takut kanak-kanak untuk berhadapan dengan orang lain. Contohnya, kanak-kanak yang berbakat dalam bermain alat muzik akan belajar untuk mempersembahkan bakat mereka di hadapan orang ramai. Secara tidak langsung dapat mengurangkan ketakutan mereka semasa di pentas, sekali gus meningkatkan rasa yakin dalam diri.
Ibu bapa disarankan untuk memberi sokongan dan galakan kepada anak mereka untuk memupuk minat terhadap muzik, tetapi usahlah memberi anak-anak tekanan untuk menyertai bidang muzik jika itu bukannya bidang yang benar-benar mereka minati.