Tahun pertama anak anda di prasekolah adalah antara fasa penting dalam perkembangan kanak-kanak. Kemahiran yang dipelajari semasa tempoh ini mungkin kelihatan remeh namun peringkat ini juga bakal menjadi tunjang utama dalam pembelajaran anak anda.
Seronoknya bermain sambil belajar
Aktiviti seperti menyanyi, bercerita, menari atau melukis adalah sinonim dengan kanak-kanak prasekolah. Biarpun aktiviti ini nampak mudah, namun kesannya kepada perkembangan minda kanak-kanak amatlah tinggi. Kanak-kanak kecil akan belajar melalui bermain dan menjalani aktiviti kreatif. Jika anda lihat kanak-kanak prasekolah bermain membina blok atau menyusun jigsaw puzzle, usahlah menganggapnya sekadar suatu permainan kerana di sebaliknya, kanak-kanak ini sedang belajar cara untuk menyelesaikan masalah.
Di samping itu, prasekolah juga merupakan tempat untuk anak anda mengembangkan tabiat pembelajaran yang betul dan juga dapat meningkatkan pembelajaran kendiri yang positif pada diri kanak-kanak.
Kurikulum prasekolah
Terdapat banyak pilihan kurikulum prasekolah yang ada di Malaysia seperti kurikulum tradisional, Montessori, Waldorf, Reggio Emilia dan Antarabangsa. Setiap satu kurikulum menawarkan model pendekatan yang berbeza. Ada yang menjurus kepada akademik, permainan, cara pembelajaran kreatif, rutin kehidupan dan pelbagai pendekatan lagi.
Jika dahulu, ibu bapa banyak didedahkan dengan cara pembelajaran yang berkisarkan ABC dan angka, namun proses pembelajaran di prasekolah pada hari ini adalah berbeza. Prasekolah kini menawarkan pelbagai model pembelajaran untuk menarik minat kanak-kanak. Justeru itu, ibu bapa perlu membuat pilihan yang bijak dengan mengetahui perbezaan dan pendekatan yang diamalkan oleh setiap kurikulum.
INFO: Kurikulum Montessori adalah antara kurikulum yang menjadi pilihan ibu bapa kerana menawarkan pendekatan yang tertumpu kepada keperluan penting kanak-kanak seperti cara pengurusan diri.
Masa bulatan dan masa berpusat
Antara sesi penting yang dilakukan di prasekolah ialah masa bulatan dan masa berpusat. Semasa masa bulatan, kanak-kanak akan diajar untuk mengenal pasti tempat mereka di dalam satu komuniti. Ketika ini, kanak-kanak akan belajar untuk berbincang tentang isu-isu yang diberikan oleh guru seperti apa aktiviti mereka semasa cuti, hobi atau cita-cita mereka. Setiap seorang kanak-kanak dalam satu bulatan berpeluang untuk meluahkan idea dan pendapat mereka di mana sesi ini amat penting untuk melahirkan kanak-kanak yang berani dalam menyuarakan pendapat selain membantu merangsang minda pelajar.
Sementara itu, semasa masa berpusat pula, kanak-kanak akan diajar untuk menumpukan kepada sesuatu aktiviti di lokasi tetap seperti pusat bercerita, pusat membina blok, pusat bermain muzik ataupun pusat melukis. Masa berpusat amat penting kerana dapat membantu kanak-kanak membina perkembangan motor, disiplin dan meningkatkan daya tumpuan.