“Abang, baby kita nangis dari semalam, I dah tak tahu nak buat apa ni. I tak tahu apa sebab. Boleh tak you balik, help me to figure this out? You time-time ni nak outstation. Wrong timing la leaving me alone to handle this. Pening kepala I ni, sayang!”
Kerap menangis adalah satu kebiasaannya buat bayi. Menangis adalah satu cara komunikasi seorang bayi untuk mendapatkan perhatian dan juga untuk menyampaikan mesej bahawa mereka tidak gembira atau tidak selesa. Namun jika tidak dicari penyelesaian untuk tangisan yang berpanjangan, sememangnya ini akan memberi tekanan kepada bayi tersebut dan juga ibubapa.
Untuk mengkaji dan mengenalpasti punca anak menangis bukanlah sesuatu yang mudah tambahan seorang bayi. Dalam-dalam stres dan pening kepala dengan timbunan kerja rumah atau kerja di pejabat dengan bos yang 24/7 Whatsapp kita bertanyakan status tugasan kita, tiba-tiba pula anak menangis sekuat hati seperti disampuk hantu. Aduhai, lagilah kita stres.
Tambahan kalau golongan ibu, kadang-kadang terpaksa menghadapi situasi ini seorang diri kerana suami sibuk mencari rezeki dan pulang lambat ke rumah. Apa nak buat?
Jangan risau! Kami di sini untuk anda!
Jom kami bantu anda untuk kenalpasti 9 Sebab Bayi Anda Menangis Dan Cara Untuk Tenangkan Mereka 😉
Tetapi sebelum itu, PERKARA PERTAMA yang harus anda lakukan adalah : BERTENANG. Kerana bila anda tenang, anak anda akan tenang juga. Percaya pada kekuatan tenaga, vibrasi dan aura. Dan dalam insiden ini, kita sebagai yang dewasa memberikan aura yang lebih kuat buat anak-anak di sekeliling kita.
Ingat, aura ketenangan anda akan dirasai oleh anak anda dan akan memberi kesan yang menakjubkan. Sekiranya anda dalam mood marah, kelam-kabut dan stres, maka anak anda akan serap tenaga ini dan akan menyukarkan lagi proses menenangkan mereka.
Kita harus uruskan sesuatu kesulitan yang melibatkan anak-anak dengan penuh aura kasih sayang walau apa pun perasaan kita ketika itu.
Kami faham kita sebagai manusia biasa, tidak dapat lari dari taufan emosi bila masalah melanda. Namun, apapun masalah, ia boleh diselesaikan. Jadi, fokuslah pada penyelesaian.
First thing first : TARIK NAFAS PANJANG-PANJANG DAN BERTENANG terlebih dahulu, wahai ibubapa sekalian. Tanam aura kasih sayang dalam diri. Tetapkan minda yang anda betul-betul nak bantu anak anda tenang supaya anda juga dapat bertenang sepenuhnya.
_____________________________________________________________________________________________
Jadi, sebab apa agaknya anak anda menangis?
Mungkin anak anda…LAPAR.
Lapar adalah satu perkara biasa untuk menjadi punca bayi menangis
tambahan kalau berumur 3 bulan ke bawah. Mereka perlu disuap susu dan diberi makan dengan kerap, hampir setiap 3-4 jam. Biasanya bunyi tangisan lapar adalah dengan pitch rendah, tempoh pendek dengan volume yang tinggi dan rendah bertukar ganti. Ia bukan tangisan kuat yang berpanjangan. Ia hanya tangisan yang cukup-cukup untuk dapatkan perhatian anda. Jadi, boleh cuba suapkan susu atau makanan sehingga mereka berhenti menangis.
Mungkin anak anda…MENGANTUK.
Mengantuk adalah sebab kedua yang kebiasaannya menjadi punca bayi menangis kerana mereka tidak selesa dengan pakaian, suasana atau posisi tidur mereka. Ada pelbagai cara untuk menidurkan mereka, mereka boleh didodoi, ditepuk, dibelai, dinyanyikan dan diletakkan dalam buaian. Tetapi periksa dahulu samada pakai dan lampin mereka selesa. Dan pastikan suasana sekeliling tidak bising dan aman. Pemasangan muzik yang tenang atau zikir-zikir dapat membantu. Terdapat beberapa cara unik yang boleh anda cuba, boleh baca di sini : https://100comments.com/malay/6-cara-tidurkan-bayi-dengan-cepat/
Mungkin anak anda…SEMBAP DAN TERLALU KENYANG.
Bila terlalu kenyang, perut bayi anda akan sembap dan hadapi ketidakselesaan tambahan kalau terlalu kenyang susu. Juga berpotensi untuk menyebabkan lampin anak anda cepat penuh dan menambahkan lagi faktor ketidakselesaan. Ini juga boleh menyebabkan anak anda tidak dapat tidur dan mengantuk. Jadi kombinasi tidak selesa dan mengantuk akan menjadi punca menangis. Sentiasa kawal suapan susu dan makanan pada anak anda. Seperti kita juga, jika terlebih makan, kita akan berasa tidak selesa dan sukar untuk tidur.
Mungkin anak anda…PAKAI PAKAIAN TIDAK SELESA.
Pakaian yang ketat atau menyebabkan anak anda terasa panas atau sejuk, juga menjadi punca menangis. Kami perhatikan, ramai ibu-ibu memaksa anak memakai pakaian comel yang langsung tidak selesa kerana mahu bergambar cantik untuk Facebook dan Instagram semata-mata. Hati-hati yang ibu-ibu. Pakaian ketat atau panas boleh menyebabkan anak anda sesak nafas. Utamakan keselesaan anak anda dahulu.
Mungkin anak anda…PAKAI LAMPIN KOTOR.
Lampin yang tidak selesa atau yang tidak ditukar, berat dengan bahan buangan yang berbau sememangnya akan membuatkan anak anda moody dan menangis. Jadi, pastikan anda sentiasa periksa lampin anak anda bila mereka menangis. Jika tidak lapar atau mengantuk, ini adalah antara punca utama dan popular menyebabkan bayi menangis kerana tidak selesa dan mungkin juga terkena ruam lampin.
Mungkin anak anda…TERLALU PENAT.
Pernah tak bila kita sendiri terlalu penat, kita tidak dapat tidur dan mula runsing tanpa sebab? Begitu juga dengan bayi. Bila mereka terlalu penat, adrenalin masih pantas, otak masih berjalan dan tidak tenang, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan, jadi menangislah jawapannya. Tugas kita sebab ibubapa untuk bantu menenangkan minda mereka sehingga mereka bertenang. Bila mereka bertenang, adrenalin akan berada dalam paras normal dan mereka tidak akan menangis lagi.
Mungkin anak anda…SEDANG KEMBUNG PERUT, COLIC atau REFLUKS.
Take note, ibubapa! This is important! Tangisan yang luar biasa seperti berbunyi jeritan adalah berpunca dari kembung perut, colic atau refluks. Ia adalah sakit ulu hati, kalau dalam konteks orang dewasa. Perhatikan jika bayi anda menggerakkan kakinya ke arah perut dan muka kemerah-merahan, maknanya mereka sedang menahan sakit dari masalah kembung perut. Kembung perut atau colic berpunca daripada alahan, intoleransi laktosa, sistem pencernaan yang tidak matang dan perbezaan bayi diberi makan. Akibatnya, bayi akan menangis kerana rasa sakit daripada proses percubaan membuang angin yang terperangkap dalam sistem pencernaan. Penyelesaian paling malas yang dipraktikkan secara turun-temurun adalah dengan memberi puting kosong kepada bayi sehingga colic ini hilang sendiri namun sebenarnya ia memudaratkan lagi. Jadi apa harus anda lakukan? Anda boleh cuba sendawakan bayi anda untuk bantu mereka keluarkan angin yang tersekat itu. Jika masih tidak berjaya, boleh cuba tuam perut mereka dengan air suam perlahan-lahan.
Mungkin anak anda…ALAMI ALAHAN.
Ingat ya, ibu-ibu sekalian. Hati-hati dengan apa yang anda makan bila sedang menyusukan anak. Kerana apa yang anda makan akan menjadi sebahagian dari susu badan yang anak suap pada anak anda. Dan ia boleh menyebabkan anak anda alahan dan sakit perut. Kebiasaannya bayi alah kepada susu lembu, kacang, serat, telur dan sebagainya. Periksa dengan pakar pediatrik anda. Mungkin anda perlu suap susu formula buat sementara waktu sehingga ‘makanan’ yang menjadi alahan anak anda di dalam susu badan anda itu benar-benar keluar habis dalam sistem badan anda.
Mungkin anak anda…SAKIT.
Ini adalah perkara yang paling kita ingin elakkan. Kesakitan yang paling kerap berlaku tetapi harus diambil serius yang selalu dialami oleh bayi adalah seperti ruam lampin, ulser mulut, ulser alat kelamin dan sakit telinga. Demam, alahan dan infeksi juga harus diambil serius kerana jika dibiarkan, akan membawa maut. Imuniti seorang bayi bukanlah seperti kita yang dewasa. Kita masih boleh dilengahkan. Bayi, kita harus sentiasa bertindak pantas sebelum terlambat. Sekiranya segala yang disenaraikan di atas bukanlah masalahnya, maka lebih baik bawa anak anda terus ke klinik untuk berjumpa doktor.
Kami berharap agar senarai di atas dapat membantu anda kenalpasti apakah punca bayi anda menangis dan sedikit sebanyak dapat memberi cadangan penyelesaian yang boleh anda praktikkan untuk menenangkan si comel anda.
Sekiranya anda adalah ibubapa muda yang baru saja menimang cahaya mata, kami harap anda tidak berputus asa dan teruskan dengan usaha memberi penjagaan yang terbaik untuk anak-anak kerana kami ada di sini untuk anda.