Rumah yang tidak bersih tentunya menjadi punca utama kewujudan bau yang tidak enak di dalam rumah. Sampah yang tidak dibuang, pinggan yang tidak dicuci, dapur yang tidak dibersihkan selepas memasak, tingkap yang tidak pernah dibuka pasti akan menjadi punca pengumpulan bau yang busuk di dalam rumah. Jalan terbaik untuk menghilangkan bau busuk di dalam rumah seumpama ini ialah diri sendiri. Seseorang yang pengotor tidak mungkin boleh mewujudkan keadaan rumah yang bersih dan selesa untuk didiami. Malah rumah yang kotor serta busuk akan menjadi punca penyakit kepada penghuni yang mendiami rumah tersebut.

Hanya segelintir sahaja daripada kita yang sukar untuk mengikis sikap pengotor sebegini. Masih ramai yang berusaha mengekalkan kebersihan dalam rumah dengan mengamalkan rutin pembersihan rumah secara berkala. Setiap sudut rumah akan dipastikan bersih daripada sebarang kekotoran sama ada daripada habuk, sampah, kesan tumpahan, kulat, sarang labah-labah dan sebagainya. Namun adakalanya kita terlepas pandang terhadap perkara-perkara remeh yang menjadi penyebab terkumpulnya bau tidak enak di dalam rumah.

Untuk memastikan rumah anda tidak terkumpul dengan pelbagai punca bau busuk, anda perlu melakukan senarai semak dan melaksanakan langkah-langkah penting seperti di bawah ini.

Cuci pinggan mangkuk berbau busuk

Jika di luar negara kebanyakan rumah menggunakan mesin pencuci pinggan mangkuk dipanggil dishwasher. Tetapi di Malaysia ramai yang memilih melakukan cucian tangan yang hanya memerlukan sarung tangan getah, sabun pencuci pinggan mangkuk, span dan juga air untuk membilas.

Masalah dengan cucian tangan ialah kita cenderung untuk membiarkan timbunan pinggan mangkuk dan bekas makanan berkumpul dalam sinki selama berhari-hari tanpa dibasuh. Ini adalah salah satu penyebab punca keluarnya bau yang tidak menyenangkan di sekitar rumah. Sebaiknya sisa makanan tidak dibiarkan dalam sink melebihi tempoh dua hari. Pinggan, mangkuk dan cawan perlulah segera dicuci setiap kali selepas makan. Ingat! Semakin lama anda membiarkan bekas makan minum tidak dicuci, anda akan menjadi semakin malas untuk menguruskannya.

Sediakan rak untuk mengeringkan pinggan mangkuk. Cara anda menyusun pinggan juga penting utnuk mengelakkan bau. Ini kerana pinggan yang basah selepas dicuci seharusnya kering dalam masa beberapa jam jika anda meletakkannya dengan cara yang betul. Pastikan kedudukan pinggan secara menegak dan tidak bertindak satu sama lain untuk memudahkan pengeringan.

Hidupkan kipas dapur & buka tingkap

Asap yang terhasil daripada pelbagai jenis masakan tidak boleh dibiarkan terperangkap di dalam rumah. Bagi dapur yang mempunyai kemudahan kipas atau ekzos dapur anda boleh menyingkirkan asap dan bau memasak yang tersebar secara terus dengan menghidupkan ekzos dapur. Ianya cara paling cepat dan mudah. Namun tidak semua rumah mempunyai kemudahan ini.

Jika tidak ada kemudahan ekzos dapur, pastikan anda membuka tingkap atau pintu setiap kali memasak. Tingkap atau pintu yang terbuka akan membenarkan pengaliran dan pertukaran udara serta mengeluarkan asap masakan yang terhasil dengan lebih cepat.

Setelah yakin kesemua asap masakan telah keluar daripada rumah, segera gunakan penyembur wangian udara untuk menghilangkan bau asap yang masih tertinggal. Sembur di keseluruhan ruang dapur dan ruang tamu rumah anda.

Hilangkan bau haiwan peliharaan

Ramai daripada kita yang begitu berminat memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan burung. Setiap haiwan mempunyai baunya yang kadangkala tidak enak terutama bila ia jarang dimandikan. Bau juga terhasil apabila haiwan tersebut membuang najis di tempat khas sama ada bekas pasir khas atau tandas rumah anda. Bulu yang tertinggal pada sofa dan katil juga boleh meninggalkan bau selama berhari-hari dan amat sukar untuk dihilangkan.

Bagi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, anda disarankan untuk meneutralkan bau tersebut dengan arang aktif atau activated charcoal. Arang aktif berfungsi secara kimianya mengandungi lebihan gas oksigen menjadikan ianya mempunyai lebih banyak ruang untuk penyerapan bau udara busuk yang terhasil daripada haiwan peliharaan. Arang aktif ini lebih selamat berbanding dengan sembuhan bahan kimia yang sensitif terhadap sesetengah pesakit yang mengalami masalah pernafasan seperti asma dan batuk.

Menghilangkan bau sampah

Anda tidak akan membuang sampah setiap hari. Selalunya kita akan mengumpul sisa buangan sampah dan membuangnya 3 atau 4 hari sekali. Sampah akan menjadi bertambah busuk apabila terdapat sisa bahan mentah seperti lebih menyiang ikan dan ayam, plastik minuman manis, tin susu, nasi yang tidak habis atau basi dan sebagainya.

Cara mudah untuk mengurangkan bau daripada bekas sampah di rumah ialah dengan menggunakan limau atau lemon. Semasa menyediakan plastik dalam bekas tong sampah, pastikan anda memerah beberapa hirisan lemon atau limau dan masukkan sekali kulitnya ke dalam bekas sampah. Bau sitrus ini akan mengurangkan bau daripada sampah-sampah yang anda masukkan.

Menghilangkan bau air kencing bayi

Adakalanya air kencing bayi akan tertiris keluar daripada lampin dan mengenai persekitaran rumah seperti karpet, kerusi sofa dan katil. Bau air kencing bayi dan kanak-kanak ini tidak boleh dihilangkan seratus peratus dengan penggunaan air biasa atau air sabun. Kedua-dua bahan ini boleh menghilangkan kesannya dan sedikit daripada bau air kencing tersebut. Tetapi supaya bau yang tertinggal tidak meninggalkan bau hapak apabila dalam keadaan lembap, anda boleh menggunakan cuka.

Caranya adalah dengan menyediakan botol penyembur. Campurkan kira-kira ¾ bahagian cuka ke dalam botol yang mengandungi air biasa. Goncang botol dan semburkan pada bahagian yang terkena air kencing selepas anda membersihkannya dengan sabun dan air. Cuka akan menyerap ke dalam fabrik dan menghilangkan bau dengan lebih berkesan.

Menghilangkan bau asap rokok

Suami, ayah atau sesiapa sahaja ahli keluarga anda mungkin ada yang degil kerana menghisap rokok dalam rumah. Bau asap rokok sememangnya menyakitkan kepala malah tidak sihat untuk dihidu oleh perokok pasif. Bau asap rokok menghasilkan bau yang kuat sehingga boleh melekat pada dinding rumah, kerusi sofa dan langsir.

Dengan peralatan moden seperti pembersih udara, bau keras seperti asap rokok boleh dihilangkan dengan mudah di seluruh rumah anda. Salah satu fungsi terpenting alat pembersih udara ialah keupayaan untuk menghilangkan bau udara tercemar seperti asap rokok, debu, debunga, kulat, dan bau haiwan kesayangan dari persekitaran udara rumah anda.

Cara semulajadi menghilangkan bau asap rokok ialah dengan menggunakan cecair ekstrak vanila. Ia menghasilkan aroma bau manis yang kuat yang akan mengisi ruang udara anda bagi menggantikan bau rokok yang memedihkan hidung dan tekak anda. Caranya ialah dengan merendam gumpalan kapas muka ke dalam cecair vanila dan meletakkan di bahagian sudut rumah yang berbau rokok.

Menghilangkan bau tandas & bilik mandi

Tandas dan bilik mandi adalah dua tempat yang kita akan gunakan secara kerap di rumah. Perkongsian bilik mandi dan tandas oleh individu yang berbeza menghasilkan pelbagai jenis bau badan dan bau selepas setiap kali pembuangan air besar dan air kecil.

Kebersihan adalah faktor pertama yang perlu diutamakan untuk memastikan kedua-dua tempat ini tidak menjadi tempat yang busuk dan menjijikkan. Mangkuk tandas, lubang saluran air dan lantai haruslah dibersihkan setiap hari selepas dengan menggunakan bahan pencuci seperti sabun dan cecair pencuci tandas.

Namun ia tidak menjamin dapat menghilangkan bau untuk sepanjang hari. Cara terbaik untuk menghilangkan bau ialah melalui aroma wangian sintetik khas. Bahan pewangi ini bleh terdiri daripada penyembur wangian udara, minyak esensial daripada haruman bunga-bungaan seperti lavender dan ros atau dengan menyalakan lilin beraroma. Kesemua bahan ini sangat membantu menyingkirkan bau yang tidak enak dalam tandas dan bilik mandi.

Glade Fresh Lemon Air Freshener

Commodity Candle