Pemakanan sihat lazimnya disebut sebagai diet seimbang. Ia mengandungi kombinasi pelbagai jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan tubuh. 

Bagi kanak-kanak, memantau pemakanan sihat mereka dianggap kritikal. Ini kerana pemakanan yang salah boleh menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Bahkan jika terus diabaikan tidak mustahil ia menyebabkan sistem imun badan anak menjadi lemah, seterusnya mudah terdedah kepada jangkitan. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga me­ngaitkan pemakanan yang salah dengan 45 peratus daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Apabila pemakanan tidak dijaga, sistem imun badan merosot, keupayaan menangani penyakit serius juga akan turut berkura­ngan. 

Di rumah, kecuaian ibu bapa menyediakan pemakanan sewajarnya kepada anak akan melemahkan imuniti tubuh mereka. Tanpa sedar, itulah yang menjadi punca mengapa si kecil mudah demam dan jatuh sakit.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Chiong Kai Ming, tidak kira kanak-kanak atau dewasa, tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang betul untuk mendapat­kan keseimba­ngan dalam diet harian.

Foto: KelabMama

Pemakanan lengkap bermaksud memberikan anak anda makanan sihat, seimbang, dalam kuantiti sederhana mengikut saiz sajian yang disarankan dan mestilah ada kepelbagaian untuk memenuhi keperluan badannya.

Sehingga hari ini, tiada satu pun jenis makanan, minuman atau kumpulan makanan tertentu yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh dalam satu-satu masa. Jadi, untuk mendapatkan diet sihat, kita tetap perlu mengamalkan pemakanan seimbang dengan jumlah yang tepat.

Bagi kanak-kanak, fungsi otak hingga tingkah laku mereka, semuanya boleh dipengaruhi pemakanan. Mereka memerlukan pelbagai nutrien bagi menyokong perkembangan tubuh dan pertumbuhan; membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental; membantu mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan serta menyediakan bekalan zat mencukupi untuk pertumbuhan peringkat remaja.

Kajian Persatuan Pemakanan Malaysia pada tahun 2013 yang menilai tabiat sarapan pelajar sekolah di Malaysia berumur 6 hingga 17 tahun (seperti dalam artikel utama terbitan ini) mendedahkan bahawa 28% daripada pelajar sekolah adalah berlebihan berat badan atau obes.

Kanak-kanak obes lebih cenderung menjadi dewasa yang obes. Obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko beberapa masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2, kanser dan penyakit tidak berjangkit lain. Selain itu, obesiti dan berlebihan berat badan dalam kanak-kanak juga berkait dengan keresahan dan kemurungan. Ini boleh membawa kepada rasa rendah diri dan kualiti hidup yang rendah secara keseluruhan.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi ibu bapa untuk mula mengajar anak mereka tentang pemakanan sihat (dan gaya hidup sihat amnya) dari awal lagi. Tabiat makan yang baik, jika diamalkan sejak kecil berkemungkinan besar akan kekal dan diteruskan ke alam dewasa.

Foto: yaya

Berikut adalah beberapa tips mendidik anak sukakan makanan sihat dan jauhi snek. Ianya pasti menyeronokkan dan memberi inspirasi kepada anak anda untuk makan secara sihat.

1. Masak bersama-sama

  • Melakukan sesuatu bersama anak anda merupakan cara terbaik untuk mengeratkan hubungan.
  • Masak bersama di hujung minggu atau bila anda mempunyai masa. Jangan paksa diri melakukannya kerana ini akan menghilangkan minat dan anda serta anak merasa berputus asa. Rancang dan sediakan bahan lebih awal, ini dapat membantu!
  • Ia peluang yang baik untuk anda mendidik anak anda tentang cara memasak, menu, ramuan yang digunakan, penyediaan makanan, kebersihan makanan, peralatan yang digunakan, prinsip makan secara sihat dan tabiat makan yang baik.
  • Cipta resepi sihat baharu dan cuba ramuan baharu bersama sama.
  • Galakkan anak anda mencuba sesuatu yang baharu bersesuaian umurnya (dengan penyeliaan yang sewajarnya); menggaul dan membentuk bebola daging, mengisar rempah menggunakan batu lesung, menumbuk bawang putih, menggaul salad, mengupas sebiji epal, melenyek kentang, dll.
  • Hiaskan pinggan makan dengan makanan daripada pelbagai tekstur, warna dan rasa supaya nampak menyelerakan. Terdapat banyak idea seronok dan kreatif yang anda boleh dapati dari internet untuk membantu anda.
  • Kumpulkan dan simpan buku resepi keluarga, termasuk foto hidangan bagi resepi kegemaran keluarga anda.

Foto: appletreebsd.com

2. Bermain Permainan

  • Sentiasa didik dan tanamkan ilmu berkaitan pemakanan sihat.
  • Anda boleh mendorong tabiat memilih makanan sihat dengan mendidik anak dengan permainan menyeronokkan.
  • Contohnya, apabila pergi membeli-belah di pasaraya, bawa anak anda bersama dan minta mereka mencari pilihan makanan yang lebih sihat dengan membaca maklumat pemakanannya.
  • Atau, apabila anda selesai membeli-belah, lakukan permainan di mana anak anda perlu menyusun makanan mengikut aras dalam Piramid Makanan.

3. Adakan Kebun Keluarga

  • Kanak-kanak akan lebih ingin menikmati hasil titik peluh mereka sendiri.
  • Ini merupakan peluang baik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
  • Ia mengajar kanak-kanak dari mana datangnya makanan segar dan menarik minat mereka tentang makanan berkhasiat.
  • Proses menanam makanan sendiri membuat mereka lebih menghargainya. Ia juga masa yang baik untuk mendidik anak-anak mengenai pemakanan sihat.
  • Contoh makanan yang mudah ditanam dan tidak memerlukan banyak ruang termasuk tomato, kacang bendi, cili, daun bawang, dan tauge.

 

Foto: UVM Medical Center Blog

4. Berikan Ganjaran

  • Adakan satu jadual di mana anak anda boleh memangkah makanan/minuman yang mereka telah makan pada sesuatu hari itu.
  • Jika mereka berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan, anda boleh berikan ganjaran seperti lawatan ke zoo atau berbasikal di sekitar kejiranan, pergi ke taman, melakukan sesuatu yang seronok yang melibatkan aktiviti fizikal. Jangan sesekali menggunakan makanan sebagai hadiah atau ganjaran!
  • Sasaran boleh ditetapkan mengikut jumlah sajian setiap hari seperti yang disarankan di dalam Piramid Makanan Malaysia.
  • Apabila merancang hidangan, jangan lupa untuk menggabungkan prinsip B.M.V.

5. Hentikan “Clean-Plate Club”

“Clean-plate club” bermaksud anak-anak harus menghabiskan makanan mereka dalam pinggan sama ada mereka berasa kenyang atau tidak. Cara ini tidak sesuai diamalkan untuk anak-anak. Biarkan anak-anak berhenti makan apabila mereka merasakan mereka telah kenyang.

Kebanyakkan ibu bapa masih mengamalkan amalan ini. Apabila kanak-kanak melihat dan bertindak balas terhadap perasaan kenyang, mereka kurang cenderung untuk makan terlalu banyak.

Foto: Healthline

Memang pada awalnya agak sukar untuk mendidik anak-anak menggemari makanan seperti sayur. Walaubagaimanapun sebagai seorang ibu, kita harus memikirkan tentang kreativiti dalam menjadikan makanan tersebut lebih menarik disamping terdapat sayur dalam makanan tersebut. Boleh mulakan dengan sayur seperti lobak merah, timun dan sebagainya. Anda juga boleh menggunakan kreativiti hidangan makanan sihat yang menyerupai snek bagi memikat anak anda makan makanan berkhasiat.

Apa yang paling penting adalah kita mahu anak-anak membuat keputusan pemakanan yang bijak. Justeru, mempelajari mengenai pemakanan sihat adalah sangat penting. Bagi merealisasikan hasrat ini, ibu bapa harus menjadi teladan baik dan makan secara sihat. Ibu bapa juga perlu menunjukkan tingkah laku membeli belah yang baik disamping mempraktikkan cara seronok untuk mendidik dan meningkatkan kemahiran membuat pilihan pemakanan baik sepanjang hayat.