Sejak akhir-akhir ini kita selalu mendengar nama seorang wanita Jepun bernama Marie Kondo. Namanya mula disebut-sebut khususnya di luar negara malah turut dikenali di Malaysia sejak kemunculannya dalam salah satu slot rancangan di laman penstriman video terkenal Netflix bertajuk ‘Tidying Up With Marie Kondo’, sebuah rancangan realiti TV yang semakin hangat diperkatakan.

Siapakah Sebenarnya Marie Kondo ?

Wanita berusia 34 tahun ini merupakan seorang penulis buku best seller bertajuk The Life Changing Magic of Tidying Up. Buku yang ditulis sejak tahun 2011 ini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seperti Bahasa Inggeris, Korea, Sepanyol, Perancis, Jerman, Portugis dan Indonesia serta diedarkan ke lebih daripada 30 buah negara termasuk Amerika Syarikat.

Sejak 1 Januari 2019, Netflix telah menayangkan rancangan bersiri ‘Tidying Up With Marie Kondo’ dan sejak itulah nama beliau hangat diperkatakan di seluruh dunia. Dalam rancangan ini, Marie Kondo melawati rumah keluarga sekitar Amerika Syarikat yang mengalami masalah tidak kemas, dipenuhi barangan terpakai atau dengan kata lain bersepah. Sebagai penasihat kekemasan rumah, Marie Kondo membimbing keluarga yang dilawatinya untuk melakukan kekemasan rumah melalui kaedah KonMari.

Apa Itu Kaedah KonMari ?

Sekarang ini anda pasti tertanya-tanya pula tentang apa itu kaedah KonMari?

Kebiasaanya, kita memilih mengemas rumah secara keseluruhan menerusi pendekatan pembahagian ruangan. Contohnya fokus terhadap bilik tidur, ruang tamu dan ruangan dapur. Kaedah ini sebenarnya membazirkan banyak tenaga dan masa. Malah kaedah lama ini sering membuatkan kaum wanita khususnya pening kepala memikirkan tentang kesemua barangan lama yang tidak diperlukan.

Kaedah KonMari mengajar kita mengemas rumah mengikut kategori, bukannya fokus terhadap lokasi atau ruangan. Ia menggalakkan kita untuk menyingkirkan kesemua barangan yang tidak diperlukan secara berperingkat.

Kebanyakan kita gagal meminimumkan barangan dalam rumah kerana terus menerus menyimpan barangan yang tidak diperlukan sehingga memenuhi ruangan rumah. Menerusi kaedah KonMari, kesemua barangan ini perlu ‘dilepaskan’ dan hanya mengekalkan barangan penting dan diperlukan sahaja di dalam rumah. Simpan barangan sentimental yang hanya memberi kesan terhadap jiwa sahaja.

Kaedah KonMari terbahagi kepada lima kategori iaitu :

  1. Pakaian
  2. Buku
  3. Kertas
  4. Komono  (diterjemahkan sebagai barangan pelbagai)
  5. Barangan sentimental

Enam Asas Dalam Kaedah KonMari

Terdapat enam asas mengemas rumah yang ditekankan dalam kaedah KonMari. Untuk memulai kerja mengemas rumah, anda perlu mengikuti enam panduan utama dalam kaedah KonMari

  1. Usahakan diri anda untuk kerja mengemas
  2. Membayangkan gaya hidup ideal yang anda inginkan
  3. Memulakan dengan menyingkir barangan yang tidak diperlukan
  4. Mengemas mengikut kategori, bukan lokasi
  5. Mengikuti kaedah yang betul
  6. Tanya jika barangan yang disimpan menimbulkan keriangan dalam diri anda.

Ringkasan Tentang Kaedah KonMari

Untuk gambaran yang lebih jelas mengenai kaedah KonMari, kami simpulkan secara lebih terperinci dalam huraian di bawah berdasarkan kepada enam prinsip yang ditekankan.

Mulakan dengan menyingkir barangan tidak perlu

Untuk meminimumkan ruangan, anda perlu membezakan barangan yang bernilai sentimental dengan barangan yang tidak lagi memberi nilai dalam keperluan harian anda. Kesemua barangan yang tidak lagi memberi fungsi dan tiada nilai perlu diasingkan dan dibuang. Kekalkan barangan yang membawa nilai sentimental dan memberi fungsi sahaja.

Barangan yang membawa keriangan vs barangan yang tidak membawa keriangan

Proses pemilihan barangan adalah satu proses menyeronokkan. Barangan yang memberi nilai selalunya memberi perasaan yang menggembirakan apabila disentuh. Ia bernilai sentimental bagi anda. Misalnya gambar-gambar lama dan hadiah dari orang tersayang. Bagi barangan ini, sediakan satu kotak simpanan khas yang cantik dan berseni. Ia menunjukkan bahawa kotak tersebut penting dan bermakna untuk diri anda.

Mengemas mengikut kategori, bukan lokasi

Terdapat banyak kategori barangan dalam rumah seperti rak buku, almari pakaian, rak kasut, rak dapur, rak pinggan mangkuk, rak aksesori hiasan dan sebagainya. Anda boleh mengasingkan terlebih dahulu barangan mengikut kategori. Sebagai contoh, mengasingkan pakaian kerja, pakaian harian dan pakaian kecil. Contoh lain adalah aksesori perhiasan wanita. Kategorikan antara rantai, cincin, kerongsang dan sebagainya. Begitu juga dengan saiz kasut, jenis kasut sama ada kasut tumit tinggi wanita, kasut sukan dan selipar.

Menyusun barangan mengikut kategori

Setelah barangan diasingkan mengikut kategori, langkah seterusnya adalah menyusun barangan tersebut supaya kelihatan kemas. Bagi menyusun barang mengikut kategori ini, anda memerlukan ruang penyimpanan yang dapat mengasingkan kesemua barangan tersebut dalam satu ruang. Sebagai contoh anda memerlukan kotak khas untuk mengasingkan jenis aksesori seperti rantai dan kerongsang. Sediakan bekas kecil bagi setiap aksesori. Jika barangan disimpan di dalam almari, pastikan anda mengasingkan kategori barangan mengikut ruangan khas. Jika perlu, anda boleh menggunakan kotak simpanan supaya ruang pengasingan tersebut dilihat lebih kemas walaupun ditempatkan dalam sebuah almari yang sama.

Simpan barangan mengikut kegunaan

Tentukan barangan apakah yang paling kerap digunakan. Susun dan simpan barangan yang kerap digunakan diruangan yang senang dicapai. Sebaliknya barangan yang jarang digunakan atau diasingkan di satu ruangan berlainan. Sebagai contoh rak pinggan mangkuk. Anda sentiasa menggunakan pinggang dan mangkuk untuk menghidangkan makanan untuk keluarga. Jadi barangan ini perlu diletakkan di bahagian paling senang dicapai.

Sebaliknya pinggan mangkuk yang hanya digunakan semasa menerima kehadiran tetapi boleh disimpan di satu ruangan paling atas pada rak pinggan mangkuk kerana anda tidak mengambilnya setiap hari. Asingkan ruangan antara pinggan nasi, pinggan lauk, mangkuk, gelas, cawan dan sebagainya mengikut saiz masing-masing. Kaedah susunan mengikut saiz ini akan menampakkan susunan lebih kemas dan teratur.

Menyusun barangan secara vertikal

Salah satu kepentingan kegunaan kotak adalah untuk memudahkan anda menyusun barangan secara vertikal atau kedudukan menegak. Sebagai contoh susunan pakaian yang dilipat secara horizontal dan bertingkat akan menyukarkan anda untuk mengambil baju setiap hari. Dengan melipat pakaian mengikut saiz dan menyusunnya secara vertikal, baju bukan sahaja senang diambil dan tidak bersepah. Malah susunannya juga lebih teratur.

Kepentingan kotak untuk pembahagian ruang

Salah satu kunci kekemasan dalam kaedah KonMari adalah penggunaan kotak mengasingkan barangan mengikut kategori. Kotak ini juga boleh diletakkan dalam almari mengikut kategori. Sebagai contoh kotak khas untuk stoking, kotak simpanan pakaian dalam dan sebagainya. Pastikan setiap kategori barangan mempunyai ruangannya sendiri dalam kotak berasingan untuk memudahkan pencarian barangan dan menyusunnya semula selepas digunakan.

Gunakan kotak penyimpanan, bukan plastik

Tujuan penggunaan kotak adalah untuk memudahkan penyusunan dan proses mencari barangan apabila diperlukan. Menyimpan barangan dalam plastik hanya mewujudkan longgokan barangan di mana ia menyukarkan pencarian barangan apabila diperlukan.

Proses mengemas bermula dengan huru hara, berakhir dengan ketenangan

Dalam proses mengasingkan barangan mengikut kategori, permulaannya mungkin agak huru hara kerana anda perlu menyelongkar dan mengeluarkan kesemua barangan yang disimpan sebelum diasingkan mengikut kategori. Kesemua barangan ini perlu dikeluarkan untuk memudahkan proses pengasingan dilakukan.

Anda bakal melihat pelbagai longgokan barangan yang diasingkan mengikut kategori masing-masing. Semasa proses inilah anda dapat mengenalpasti barangan yang diperlukan dan tidak diperlukan. Ia adalah proses normal yang mungkin agak sukar pada permulaannya. Tapi pada akhirnya anda akan berpuas hati dengan hasil kekemasan berbanding sebelumnya. Untuk proses ini, anda boleh melakukan secara berperingkat mengikut kategori mengikut kelapangan masa anda.