Terkucil atau kesukaran menahan kencing berlaku paling tinggi di kalangan wanita dewasa berbanding lelaki. Masalah ini sering dialami oleh wanita yang telah menopaus serta pernah hamil dan bersalin berulang kali. Kesukaran menahan kencing boleh menimbulkan keadaan yang tidak selesa kepada wanita dalam beberapa keadaan seperti ketika melalui perjalanan jauh di lebuh raya, dalam kenderaan awam seperti bas dan keretapi serta ketika menggunakan tandas di tempat awam yang penuh sesak dengan orang ramai.

Kebiasaanya mereka akan berusaha mengurangkan minum air bagi mengelakkan kekerapan menggunakan tandas. Terlalu kerap berulang alik ke tandas juga menyebabkan mereka mengalami kepenatan. Ini menjadi kesulitan terutama bagi wanita yang sudah berumur lanjut.

Kesukaran Menahan Kencing Bukan Satu Penyakit

Kesukaran menahan kencing sebenarnya bukanlah satu penyakit. Ia dikategorikan sebagai masalah kelemahan kawalan pundi kencing akibat perubahan dalaman yang berlaku di bahagian vagina. Keanjalan vagina yang meregang dan membesar ketika wanita melalui proses bersalin telah menyebabkan keanjalan ini tidak mampu kembali ke bentuk asal menyebabkan ototnya semakin longgar serta tidak seanjal seperti sebelum wanita melahirkan bayi. Jumlah kolagen di dalam vagina juga berkurang akibat kecederaan dalaman yang pernah berlaku semasa wanita bersalin.

Uretra iaitu lubang kencing adalah bahagian yang paling terkesan kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan vagina. Lubang kencing yang menjadi lemah ini akan memberi kesan kepada kawalan kencing menyebabkan wanita sering terkucil.

Gejala Kesukaran Menahan Kencing

Simptom atau gejala kesukaran menahan kencing yang paling ketara ialah tidak mampu menahan air kencing. Bersin dan batuk sahaja boleh membuatkan wanita terkucil. Aktiviti lain seperti ketawa yang terlalu kuat, mengangkat beban yang berat, pergerakan ketika solat serta saat melakukan perhubungan intim bersama suami juga boleh menyebabkan air kencing meleleh atau terkucil.

Malah mereka juga mungkin tidak sedar jika terkucil pada waktu malam ketika sedang tidur. Mereka hanya sedar telah terkucil apabila menyedari seluar dalam telah basah atau katil menjadi hancing dan basah akibat lelehan air kencing ketika tidur.

Siapa Paling Berisiko Menghadapi Masalah Ini ?

Selalunya kita mendengar rungutan ini daripada wanita yang pernah melahirkan anak. Golongan ini adalah mereka yang berisiko tinggi menghadapi kelemahan pundi kencing. Namunse lain wanita yang pernah bersalin, masalah ini juga boleh berlaku kepada individu lain tidak mengira jantina dan peringkat umur. Antara lain yang berisiko menghadapi kesukaran menahan kencing termasuklah :

Golongan Obesiti

Lelaki dan wanita dengan berat badan berlebihan atau obesiti berisiko menghadapi masalah kesukaran menahan kencing. Berat badan yang berlebihan akan memberikan tekanan kepada otot pelvik. Tekanan ini mengakibatkan otot pelvik menjadi semakin lemah kerana terpaksa menhana beban badan yang berat. Ini boleh mengakibatkan pengeluaran air kencing yang tidak disengajakan. Pengidap obesiti juga berisiko mengidapi diabetes tahap 2 yang mana boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada saraf yang mengawal pundi kencing.

Masalah Prostat Pada Lelaki

Prostat adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing lelaki yang mengelilingi salur kencing atau uretra. Sebagai contoh ialah penyakit kanser prostat. Apabila seseorang lelaki melalui pembedahan di bahagian prostat untuk membuang sel kanser di bahagian tersebut, ia memberi impak kepada kawalan kencing lelaki. Kesan sampingan ini adalah masalah major yang berlaku selepas proses pembedahan. Masalah ini berlaku pada peringkat yang berbeza mengikut keadaan yang dialami pesakit.

Pesakit mungkin hanya mengalami masalah terkucil pada keadaan yang ringan seperti pergerakan lasak, batuk dan bersin yang kuat, ketawa berlebihan dan sebagainya. Kesan ini mengambil masa beberapa minggu untuk kembali pulih selepas pembedahan.

Jangkitan Salur Kencing

Jangkitan pundi kencing melibatkan bahagian bawah sistem pundi kencing iaitu uretra dan pundi kencing. Wanita berisiko tinggi menghidapi jangkitan pundi kencing berbanding lelaki. Jangkitan yang serius boleh memberikan kesan kepada organ buah pinggang seseorang. Kesukaran menahan kencing adalah salah satu simptom yang terjadi apabila berlaku jangkitan pada pundi kencing.

Kerosakan Saraf

Sistem pundi kencing akan menjalankan tugasnya dengan baik apabila sistem otot kencing dan saraf berfungsi dengan baik. Saraf akan membawa mesej dari pundi kencing ke otak dan memberi isyarat apabila pundi kencing telah penuh. Saraf juga akan membawa mesej dari otak ke pundi kencing, memberitahu otot sama ada menahan atau melepaskan air kencing. Terjejasnya sistem saraf akan mengganggu kawalan pundi kencing dimana penghantaran mesej antara sistem pundi kencing dan otak tidak menjalankan tugasnya dengan betul.

Diabetes & Strok

Kedua-dua penyakit ini juga boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada sistem saraf yang menghubungkan sistem pundi kencing dan otak. Pada pesakit kencing manis, kerosakan saraf ini yang dipanggil neuropati berlaku apabila paras gula dalam darah menjadi tidak terkawal. Pesakit juga akan mengalami nocturia iaitu keperluan membuang air kencing berulang-ulang kali pada waktu malam. Petanda ini menunjukkan paras gula dalam darah tidak terkawal.

Kesukaran menahan kencing biasa dialami oleh pesakit strok. Selepas seseorang itu mengalami serangan strok, akan berlaku perubahan fizikal, komunikasi, penglihatan, pemikiran dan ingatan yang boleh membawa kepada masalah menahan kencing.

Pengambilan Kafein Berlebihan

Kesan kafein kepada pundi kencing adalah tidak baik iaitu boleh menyebabkan kesukaran menahan kencing. Antara minuman dengan kandungan kafein yang tinggi adalah kopi, teh, teh hijau, minuman tenaga dan minuman coklat. Kafein akan meningkatkan aktiviti pundi kencing di mana seseorang itu berasa kerap untuk membuang air kencing.

Peningkatan Umur

Kesukaran menahan kencing adalah perkara biasa bagi mereka yang berumur 60 atau 70 tahun ke atas. Biasanya orang tua yang menghadapi masalah nyanyuk cenderung untuk kencing di mana sahaja termasuk di tempat tidur. Mereka ini perlu dipakaikan lampin untuk mengelakkan daripada kencing secara tidak terkawal.

Jenis-Jenis Kesukaran Menahan Kencing

Jenis masalah ini bergantung kepada keadaan yang menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kesukaran kencing. Sebagai contoh pesakit kanser prostat yang melalui rawatan pembedahan mungkin akan mengalami simptom urin melimpah di mana mereka menghadapi masalah untuk mengosongkan pundi kencing yang penuh menyebabkan berlaku kebocoran.

Jenis kesukaran menahan kencing juga dikategorikan mengikut jenis tekanan pundi kencing yang dihadapi. Sebagai contoh obesiti dan wanita yang pernah melahirkan anak, wanita mengandung dan wanita menopaus menghadapi masalah ini akibat tekanan pada bahagian pundi kencing.

Bilakah Seseorang Itu Harus Mendapatkan Rawatan ?

Bagi sesetengah individu, kesukaran menahan kencing masih boleh dikawal mengikut keadaan, faktor penyakit dan umur seseorang. Namun terdapat petanda mengikut keadaan tertentu dimana seseorang itu memerlukan rawatan untuk memastikan kesukaran menahan kencing itu dapat dikawal melalui kaedah rawatan dan ubat-ubatan yang tepat.

  • Apabila kesukaran mengawal kencing itu mengganggu kualiti hidup anda seperti keperluan ke tandas yang terlalu kerap sehingga mengganggu kerja dan perjalanan hidup anda.
  • Jika berlaku percampuran darah dalam air kencing
  • Apabila masalah kencing diikuti oleh gejala seperti sakit pinggang, sakit abdomen dan tulang belakang.
  • Sembelit juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesukaran menahan kencing

Rawatan akan bergantung kepada punca dan keadaan yang menyebabkan seseorang itu sukar menahan kencing. Antara rawatan yang biasa bagi mereka yang mengalami kesukaran menahan kencing adalah :

  • Pessary : Kemasukukan sejenis alat prostetik ke dalam vagina untuk menguatkan memberi kekuatan kepada pundi kencing supaya tidak berlaku kebocoran. Alat ini boleh dimasukkan sendiri oleh wanita ke dalam vagina.
  • Ubat-ubatan
  • Implan kolagen ke dinding uretra
  • Alat stimulator saraf yang dipasang di bawah kulit punggung untuk untuk penghantaran isyarat kepada sistem saraf dalam kawalan sistem pundi kencing yang lebih baik