Autisme atau autism spectrum disorder (ASD) adalah gangguan kecacatan sepanjang hayat yang mempengaruhi perkembangan seseorang dari segi komunikasi dan interaksi sosial. Masalah autisme sebenarnya boleh dikesan seawal beberapa bulan selepas bayi dilahirkan. Tanda-tanda awal pengidap autisme boleh boleh dilihat dengan jelas apabila usia kanak-kanak semakin meningkat sehingga mereka berusia tiga tahun.

Sebagai ibu bapa, andalah yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti jika terdapat sebarang keanehan sepanjang perkembangan anak anda bermula dari awal mereka dilahirkan. Semakin awal tanda autisme pada kanak-kanak dikesan, semakin mudah untuk anda mengambil langkah memberi didikan khas dan latihan untuk membimbing kanak-kanak istimewa autisme.

Pendidikan khas kanak-kanak autisme penting bagi memastikan mereka melalui proses pembelajaran dan perkembangan sama seperti kanak-kanak lain. Disamping itu amat penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka ke pusat pendidikan kanak-kanak autisme supaya rawatan dan terapi yang sebaiknya dapat diberikan oleh pakar dan individu yang berpengalaman mengendalikan kanak-kanak autisme. Pendidikan kanak-kanak autisme banyak menekankan kemahiran kognitif seperti kemahiran bersosial, kemahiran berkomunikasi, kemahiran mengawal diri dan tingkah laku, kemahiran berdikari dan lain-lain.

Mengenalpasti Tanda Awal Kanak-Kanak Mengidap Autisme

Dalam kajian mengenai autsime, setiap 1000 bayi yang lahir sekurang-kurangnya 2 bayi akan mengalami sindrom autisme. Risiko kanak-kanak lelaki menghidapi autisme lebih tinggi berbanding perempuan. Punca terjadinya autisme tidak dapat dipastikan sepenuhnya. Berkemungkinan besar ia berlaku kepada bayi disebabkan faktor keturunan. Mungkin juga disebabkan ketidakseimbangan kimia yang berlaku semasa bayi dalam kandungan.

Oleh itu, setiap ibu bapa yang melahirkan anak perlu memantau jika tanda-tanda autisme terdapat pada bayi mereka. Tanda-tanda autisme pada bayi boleh dikenalpasti sekurang-kurangnya semasa umur bayi mencecah 12 bulan ke atas sehingga mereka berusia 3 tahun. Walaupun diagnosa autisme agak sukar dikesan sebelum bayi berusia 2 tahun, namun kita masih boleh mengenalpasti tanda awal autisme pada seorang bayi. Berikut ialah 10 tanda awal bayi yang mengidap autisme.

1. Bayi Sukar Melakukan Eye-Contact

Bayi yang mengidap autisme mengalami masalah melakukan eye-contact dengan sesiapa sahaja termasuk ibu bapa mereka. Tidak dapat dikenalpasti mengapa kanak-kanak autisme sukar melakukan eye-contact. Ia sama ada disebabkan perasaan kurang selesa atau mereka menganggap eye-contact bukan satu keperluan yang mesti dilakukan apabila berkomunikasi dengan seseorang. Masalah sukar melakukan eye-contact di kalangan kanak-kanak autisme boleh diatasi melalui rawatan terapi oleh pakar dan latihan oleh ibu bapa. Mereka perlu diberikan kefahaman tentang kepentingan melakukan eye-contact ketika melakukan interaksi dengan orang di sekelilingnya.

2. Tidak Menyahut Apabila Namanya Dipanggil

Kanak-kanak yang mengalami autisme sukar memberikan tindak balas apabila namanya dipanggil. Keadaan ini menjadi sukar apabila mereka tidak memberikan perhatian apabila nama mereka dipanggil ketika sedang asyik melakukan sesuatu. Contohnya saat bermain. Mereka juga sukar memberikan respon apabila nama dipanggil walaupun tiada gangguan di sekeliling mereka. Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan orang dewasa yang ingin berkomunikasi dengan mereka. Malah kanak-kanak normal dari kalangan rakan sebaya mereka juga akan mengalami masalah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak autisme. Ini mewujudkan jurang komunikasi di antara kanak-kanak autisme dengan kanak-kanak normal menyebabkan perhubungan sosial sukar dihubungkan.

3. Sukar Senyum & Ketawa

Bayi yang normal mampu memberikan reaksi senyum dan ketawa seawal usia satu bulan. Jika anda mendapati bayi anda tidak atau kurang respon melalui senyum dan ketawa pada usia bayi mencecah satu tahun, bayi tersebut berkemungkinan menunjukkan simptom autisme. Mereka sukar menunjukkan emosi gembira walaupun anda cuba membuatkan mereka merasa gembira dan ketawa. Bayi yang menunjukkan keadaan ini sehingga berusia dua tahun perlu dirujuk kepada pakar untuk diagnosa jika masalah ini berkaitan dengan simptom autisme.

4. Lambat Bercakap

Biasanya bayi berusaha mengeluarkan suara apabila ibu bapa atau sesiapa sahaja cuba berkomunikasi dengan mereka. Ini sebagai respon kegembiraan walaupun mereka masih belum mampu bercakap. Sekurang-kurangnya pada usia dua tahun bayi sepatutnya sudah mampu menyebut “Mama” dan “Papa” mengikut gelaran ibu bapa mereka. Bayi dengan masalah autisme lambat menangkap dan menyebut suku kata perkataan yang mudah termasuk gelaran bagi ibu bapa mereka walaupun telah diajar berulang-ulang kali. Namun anda perlu tahu bahawa tidak semua bayi yang lambat bercakap dianggap mengidap autisme. Masih ramai bayi yang tidak mampu menyebut perkataan mudah pada usia antara 12 sehingga 18 bulan. Sebelum menganggap masalah ini berkaitan dengan autisme, diagnosis lain perlu dilakukan oleh pakar untuk menghubungkan jika terdapat simptom lain yang mengganggu masalah pertuturan seorang bayi.

5. Tidak Pandai Menarik Perhatian

Bayi bereaksi melalui senyum, ketawa dan tangisan untuk mendapatkan perhatian ibu bapa dan orang di sekelilingnya. Bagi bayi yang mengalami autisme, mereka mengalami masalah memberikan isyarat untuk menarik perhatian orang dewasa melalui ekspresi yang sepatutnya bagi seorang bayi seperti menangis apabila lapar dan ketawa apabila gembira. Ini menyebabkan sukar bagi ibu bapa mereka mengenalpasti keperluan sebenar mengikut keadaan mereka.

6. Pergerakan Badan Yang Kompleks

Bayi dan kanak-kanak yang mengalami masalah autisme mempunyai beberapa ciri pada pergerakan badan. Antaranya berjalan di atas hujung jari kaki atau melakukan pergerakan menutup dan membuka tapak tangan secara berulang-ulang dipanggil hang-flipping. Menghantuk kepala ke dinding atau lantai secara berulang-ulang juga adalah tanda yang sering dikenalpasti pada kanak-kanak yang mengalami autisme. Pergerakan tubuh yang kompleks ini sebagai salah satu rangsangan apabila mereka menghadapi perubahan emosi yang ketara sama ada gembira atau sebaliknya. Ia dilakukan secara kekerapan yang luar biasa apabila terangsang dengan emosi.

7. Agresif

Kanak-kanak autisme menunjukkan ciri-ciri tindakan agresif sama ada ketika mereka dalam keadaan emosi gembira, sedih atau marah. Sikap agresif mereka ini sering disalah erti sebagai masalah kelakuan yang mengundang pelbagai persepsi yang tidak baik daripada masyarakat. Antara tindakan agresif sering dilakukan ialah mengamuk di tempat-tempat awam, melempar barang mainan dan bertindak kasar terhadap rakan-rakan mereka. Tindakan agresif ini adakalanya mengancam nyawa mereka sendiri. Biasanya doktor akan memberikan ubat antipsikotik bagi mengawal kanak-kanak autisme yang mengalami masalah agresif yang keterlaluan dan merbahaya.

8. Lambat Berjalan

Kemampuan belajar berjalan bagi kanak-kanak normal biasanya berlaku semasa mereka berumur 9 sehingga 16 bulan. Namun kemampuan berjalan bagi kanak-kanak autisme berlaku pada usia yang agak lewat iaitu kira-kira pada usia 24 bulan.

9. Sensitif Terhadap Sentuhan

Ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme memahami bahawa golongan ini sensitif terhadap sentuhan walaupun daripada orang yang dikenalinya. Mereka ini tidak gemar disentuh, dipegang dan dipeluk seperti kanak-kanak lain secara fizikal. Mereka bukan sahaja sukar untuk dipeluk. Malah sentuhan ringan seperti berpegang tangan dan belaian di atas kepala juga tidak digemari yang membuatkan mereka merasa tidak selesa dan bertindak menjauhkan diri atau menepis yang mungkin boleh menyinggung perasaan orang lain.

10. Rutin Yang Kekal

Kanak-kanak autisme gemar melakukan aktiviti yang sama secara berulang-ulang dan sukar mengubah rutin yang dilakukan. Sebarang perubahan rutin akan mengganggu mental dan emosi mereka. Keadaan ini menjadikan kanak-kanak autisme agak obses terhadap sesuatu yang dilakukan. Sebagai contoh mereka sukar mempelbagaikan makanan yang dimakan pada waktu pagi sebaliknya mengulangi rutin yang sama dengan sarapan roti canai setiap pagi. Mereka juga mempunyai rutin jadual yang tegar dan sukar berubah menyebabkan sukar bagi mereka untuk mengadaptasi jika terjadi perubahan terhadap aktiviti yang dilakukan.