Tonsil merupakan kalenjar limfoid yang terletak pada bahagian kiri dan kanan tekak, kerongkong dan larinks iaitu saluran pernafasan yang mengandungi peti suara. Tonsil terjadi daripada pembentukan tisu limfa iaitu salah satu daripada sistem pertahanan tubuh manusia. Dalam sistem tubuh manusia, tonsil berfungsi sebagai alat untuk merangsang penghasilan antibodi bagi mempertahankan serangan jangkitan dalam sistem tubuh badan terutamanya kanak-kanak yang mana sistem imuniti badannya masih belum terbentuk dan matang sepenuhnya. Walaupun dikatakan sebagai pelindung sistem pertahanan badan namun, tisu tonsil itu sendiri tidak terkecuali daripada jangkitan bakteria atau virus.
Tonsilitis Adalah Penyakit Pada Tonsil
Tonsilitis pula merupakan penyakit yang disebabkan berlakunya keradangan atau bengkak pada bahagian kalenjar tonsil (amendel) pada bahagian kiri dan kanan tekak akibat daripada serangan kuman, virus dan bakteria. Keadaan ini akan menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan sukar untuk bernafas. Penyakit ini berlaku dalam kalangan orang dewasa tetapi lebih ketara berlaku kepada kanak-kanak yang berumur antara 2 sehingga 8 tahun, malah ada juga yang berlarutan sehingga meningkat remaja dan dewasa sekiranya tidak membuat rawatan awal pencegahan. Ini disebabkan sistem imuniti dan pertahanan badan mereka masih lemah dan dalam proses kematangan sepenuhnya.
Gejala Tonsilitis
Simpton, gejala atau tanda-tanda yang sering kali dialami oleh kanak-kanak yang mengidap tonsilitis ini ialah sakit tekak yang berterusan dan menyebabkan kesukaran untuk menelan makanan dan suara turut terjejas serta hilang selera makan. Ini disebabkan kerana terjadinya pengumpulan nanah di kawasan sekitar dan berwarna merah serta tompok- tompok putih yang dipanggil exudate pada bahagian tonsil dan lelangit serta rasa sakit pada pahagian tekak sehinggakan membengkak hingga mencecah saiz yang besar. Keadaan inilah yang akan menyempitkan laluan untuk makanan masuk dan mengganggu sistem pernafasan. Apabila ini berlaku, pesakit akan hilang selera untuk makan kerana keperitan tersebut. Lama-kelamaan berat badan pesakit boleh turun dengan mendadak.
Gejala lain yang dialami oleh pesakit ialah rasa sakit pada bahagian telinga jika berlakunya jangkitan kuman. Ini terjadi kerana tekak dan telinga mempunyai saraf yang sama. Pesakit juga akan mengalami demam dengan suhu melebihi 38 darjah celcius, berdengkur sewaktu tidur, nafas berbau, badan menjadi lemah dan pergerakan kanak-kanak menjadi tidak aktif dan juga sekiranya lebih serius boleh menyebabkan terjadinya sawan kerana suhu badan semakin tinggi.
Semua simptom dan gejala ini akan mengganggu kualiti kehidupan kanak-kanak terutamanya yang melibatkan sesi persekolahan, aktiviti seharian dan secara tidak langsung juga sudah pastilah masa ibu bapa yang bekerja juga akan turut terjejas disebabkan terpaksa mengambil cuti kecemasan dan kerja-kerja di pejabat terpaksa ditangguhkan.
Sekiranya simptom ini berterusan sehingga melebihi 3 hari dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh, maka segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Virus & Bakteria Yang Menyerang Tonsil & Tekak Pesakit
Virus influenza (FLU), virus Epstein-Barr (EBV), Adenovirus, Herpes dan lain-lain merupakan virus yang menyebabkan berlakunya penyakit tonsilitis ini. Manakala, keradangan pada bahagian tekak pula disebabkan oleh jangkitan bakteria Group A Beta Hemolytic Streptococcus yang menyerang pada bahagian tekak. Malah, terdapat sesetengah kes yang merebak sehingga ke bahagian leher pesakit.
Rawatan Tonsilitis
Ubat & Antibiotik
Pada kebiasaannya, kanak-kanak yang mengalami tonsilitis biasa (accute tonsilitis) akan sembuh dalam tempoh 3 hingga empat hari sekiranya doktor memberikan ubat atau antibiotik kepadanya. Antara ubat-ubatan yang akan disarankan oleh doktor ialah ubat demam untuk menurunkan suhu demam dan ubat sakit tekak (lozenges) dan ubat kumur (thymol gargle) bagi melegakan keradangan dan sakit tekak.
Aiskrim Vanilla
Selain daripada itu, menurut petua dikatakan juga bahawa salah satu cara untuk mengurangkan bengkak tonsil ialah memakan aiskrim vanilla. Tetapi ini tiada bukti perubatan yang sahih melalui uji kaji oleh pakar perubatan. Berkemungkinan aiskrim boleh mengurangkan rasa sakit tekak dan juga untuk memberikan tenaga kepada kanak-kanak yang sememangnya hilang selera untuk makan ketika badan dalam keadaan yang lemah dan tidak berdaya.
Pembedahan
Walau bagaimanapun, sekiranya penyakit tonsilitis ini berulang kali menyerang kanak-kanak melebih 5 kali dalam tempoh setahun (recurrent tonsilitis) dengan disertai gejala atau simptom yang sama, maka doktor yang merawat berkemungkinan akan melakukan pembedahan membuang tonsil bergantung kepada tahap kronik masalah pesakit. Sekiranya berlaku bengkak pada kalenjar leher dan jangkitan telah merebak ke organ dalaman yang lain seperti jantung dan buah pinggang pesakit (acute glomerulonephritis dan rheumaik fever), maka pembedahan membuang tonsil ini adalah langkah terbaik.
Kaitan Antara Tonsilitis & Sleep Apnea
Tonsilitis yang kronik dan membahayakan boleh menyebabkan sleep apnea atau pernafasan terhenti dan sesetengahnya boleh membawa maut. Oleh itu, ibu bapa perlu prihatin dan segera mendapatkan rawatan awal jika anak-anak mengalami penyakit tonsilitis ini. Pembedahan membuang tonsil ini dipanggil tonsilektomi. Ibu bapa dan kanak-kanak tidak perlu berasa bimbang atau takut sekiranya jika doktor mencadangkan agar tonsil dibuang setelah mendapatkan nasihat daripada pakar bedah.
Adakah Pembedahan Pembuangan Tonsil Berbahaya?
Umumnya masyarakat akan beranggapan bahawa jika dibedah akan menimbulkan pelbagai kesan yang tidak baik kepada kanak-kanak tersebut. Pembedahan pembuangan tonsil (tonsilektomi) adalah operasi yang biasa dilakukan. Kesannya hanya melibatkan pesakit mungkin mengalami kesakitan sehingga dua minggu selepas pembedahan. Manakala, pendarahan boleh berlaku sama ada sejurus selepas pembedahan dalam masa 24 jam atau lambat iaitu selepas 24 jam pembedahan dijalankan.
Selain daripada pendarahan, kanak-kanak yang menjalani tonsilektomi akan merasai kesukaran untuk menelan makanan di samping rasa loya dan muntah. Walau bagaimanapun, dengan peralatan pembedahan yang semakin canggih kini, telah banyak pembedahan tonsilektomi ini berjaya dan terbukti bahawa pesakit menjadi lebih sihat dan dapat menjalani aktiviti harian dengan baik dan berkeyakinan.
Menu Sihat Untuk Kanak-Kanak Yang Mengidap Penyakit Tonsilitis
Seharusnya, sebagai ibu bapa perlu mementingkan pemakanan ketika anak-anak mengalami penyakit ini. Untuk mengatasi masalah kurang selera makan akibat tekak yang sakit disebabkan tonsilitis ini berikut dijelaskan tentang menu atau penjagaan makanan pesakit terutamanya kanak-kanak.
Makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu perlu diberikan kepada kanak-kanak ini untuk membantu proses penyembuhan dan melegakan sakit tekak. Perlu dielakkan buah-buahan sitrus, sejuk dan masam kerana kandungannya boleh menyebabkan kegatalan seterusnya boleh melambatkan proses penyembuhan.
Selain itu pemilihan nasi yang lembut seperti bubur dan dimakan bersama-sama sup bayam yang dicampur lada hitam dan halia juga boleh dijadikan menu untuk mengubati tonsilitis. Pesakit juga digalakkan minum air yang banyak dan menyihatkan seperti air suam yang dicampur bersama-sama madu dan lemon. Madu mengandungi agen anti bakteria dan mampu mengurangkan sakit tekak, kegatalan dan kerengsaan. Manakala, air panas pula mampu membunuh bakteria serta memberikan kesan yang menyihatkan kepada tubuh badan yang mengalami dehidrasi akibat kekurangan cecair dalam badan.
Selain itu, menu sihat yang berasaskan pasta juga boleh membantu menaikkan selera kanak-kanak tonsilitis. Pasta yang pelbagai bentuk dan berwarna-warni terutamanya pasta organik mampu menarik perhatian mereka sekiranya dimasak dengan cara yang sihat. Pasta yang direbus atau dibuat sup sangat mudah untuk ditelan tetapi perlu dielak memasukkan keju atau krim kerana boleh melekat pada bahagian tekak. Begitu juga dengan kentang atau ubi rebus dan dilenyek sangat baik untuk meningkatkan selera mereka dan seterusnya membantu dalam proses penyembuhan.