Mengharungi penerbangan yang panjang bersama di kecil bukan perkara yang mudah bagi setiap ibu bapa. Sebelum terbang bersama bayi ke sesuatu destinasi, anda memerlukan persiapan ekstra yang tidak dijangka di mana pengalaman persiapan ini jauh berbeza berbanding jika anda terbang seorang diri atau bersama mereka yang telah pun dewasa. Isu keselesaan bayi dan penumpang lain semasa berada di atas kapal terbang tentunya menjadi faktor penting sepanjang mengharungi penerbangan bersama si kecil. Anda tentunya tidak mahu penumpang lain merasa tidak selesa dengan suara bayi anda yang sentiasa menangis dan merengek semasa dalam penerbangan. Walaupun perkara ini amat sukar untuk dikawal, namun dengan melakukan beberapa persiapan awal, anda tentunya mampu mengurangkan kerisauan dan berhadapan dengan situasi seperti ini.
Namun isu penerbangan bersama bayi bukan hanya berkisar tentang keselesaan bayi semata-mata. Malah ia sebenarnya lebih daripada itu. Pelbagai persiapan lain yang lebih awal perlu dilakukan bermula dari sebelum, semasa dan selepas mengharungi penerbangan.Dengan mengikuti 10 tips mengharungi penerbangan yang panjang bersama di kecil ini, anda telah mempersiapkan mental dan fizikal anda sebelum berada dalam situasi sebenar penerbangan bersama si kecil.
SEBELUM PENERBANGAN
1. Tempahan tiket penerbangan
Pasport bayi dan kad beranak atau surat beranak bayi penting untuk perjalanan bayi dalam penerbangan dalam atau luar negara. Pastikan anda menyertakan bayi dalam tempahan tiket penerbangan anda. Yuran akan dikenakan untuk tempahan tempat duduk bayi atau basinet.
Sesetengah penerbangan mengehadkan bilangan bayi yang boleh dibawa. Contohnya jika terdapat empat orang dewasa, hanya 4 bayi sahaja dibenarkan. Anda dinasihatkan untuk membuat tempahan tempat duduk yang disertakan dengan basinet.
Pastikan jika terdapat kereta sorong bayi yang akan dibawa bersama. Kebanyakan penerbangan tidak membenarkan penyimpanan kereta sorong ke dalam pesawat. Anda perlu check-in stroller untuk diletakkan tanda atau tag. Bagi penggunaan kerusi kereta, anda perlu membuat tempahan tempat duduk khas. Kerusi kereta bayi perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Dapatkan info tentang check in bagasi khusus untuk bayi, stroller dan kerusi kereta dari syarikat penerbangan yang anda bakal naiki. Stroller pockit yang mengikut spesifikasi dibenarkan untuk dibawa sebagai bagasi kabin.
Sebaiknya pilih penerbangan pada waktu malam kerana bayi akan mudah mengantuk dan tidur. Ini dapat mengurangkan gangguan kepada penumpang lain ketika mereka menangis.
2. Ketika Menaiki Pesawat
Kebanyakan syarikat penerbangan memberi keutamaan menaiki pesawat bagi ibu bapa yang membawa bayi dan kanak-kanak kecil. Pastikan anda bersedia dibarisan menaiki pesawat keutamaan yang disediakan.
Bagi yang membawa kereta sorong bayi jenis pockit, kereta sorong hanya boleh di bawa masuk sehingga pintu masuk pesawat. Dapatkan khidmat krew penerbangan untuk menyimpan stroller tersebut bagi pihak anda.
SEMASA DALAM PENERBANGAN
3. Makanan & Minuman
Bawa makanan dan bekalan minuman bayi secukupnya semasa dalam penerbangan. Sediakan satu bekas kecil untuk simpanan susu formula yang belum dibancuh, termos air panas dan botol susu secukupnya mengikut jangka masa penerbangan. Sesetengah penerbangan tidak menyediakan khidmat pemanasan minuman dan makanan bayi. Anda boleh menyediakan snek khas untuk kanak-kanak sebagai persediaan jika mereka lapar.
Susukan bayi anda semasa pesawat berlepas dan mendarat untuk mengurangkan tekanan udara pada gegendang telinga mereka. Telinga kita akan mengalami tekanan semasa pesawat ingin berlepas dan mendarat disebabkan faktor perubahan altitud atau ketinggian. Apabila bayi minum susu, ia dapat mengurangkan tekanan yang menyebabkan penyumbatan sementara di bahagian dalam telinga
4. Menukar Lampin dan Tuala
Bawa lampin bayi secukupnya. Kebanyakan pesawat menyediakan meja tukar lampin tersedia untuk kemudahan menukar lampin bayi. Elakkan menukar lampin di tempat duduk anda terutama jika terdapat orang asing yang tidak dikenali di sebelah anda. Ini untuk mengelakkan penumpang tersebut daripada perasaan tidak selesa daripada bau lampin yang telah kotor oleh najis bayi.
Bawa tuala basah untuk membersihkan sebarang kotoran pada bayi seperti muntah susu dan membersihkan punggung bayi selepas mereka membuang najis.
5. Mainan
Bawa barang mainan bersaiz kecil yang paling disukai oleh bayi anda. Pastikan barang mainan bukan dari jenis yang mengeluarkan bunyi bising kerana ia akan mengganggu keselesaan penumpang lain. Barang permainan bayi penting supaya bayi tidak merasa bosan semasa dalam penerbangan.
Anda juga boleh membawa buku bacaan dan tablet supaya mereka boleh mambaca dan menonton video sepanjang penerbangan.
6. Menidurkan Bayi
Memilih penerbangan pada waktu malam adalah langkah paling bijak. Ini kerana bayi lebih mudah tidur pada waktu ini kerana kebiasaannya mereka hanya akan tidur pada waktu malam. Jika anda ingin terbang pada waktu malam, seelok-eloknya luangkan masa bermain dengan bayi pada siang harinya. Cara ini lebih memudahkan mereka untuk tidur pada malam hari sewaktu di atas pesawat.
Bawa selimut bayi bersaiz kecil supaya untuk mengelakkan kesejukan daripada penyaman udara dan untuk keselesaan mereka semasa tidur.
Tempahan basinet untuk tempat tidur bayi lebih memudahkan untuk keselesaan mereka semasa tidur. Namun jika tempat terhad dan anda terpaksa menggendong bayi semasa dalam penerbangan, pastikan anda membawa bersama baby carrier untuk memudahkan mereka tidur dalam dakapan anda.
7. Menyusukan Bayi
Jika anda menyusukan bayi dengan susu badan, pastikan anda membawa kain tambahan untuk ditutup semasa menyusukan bayi.
Anda mungkin memerlukan breast pump semasa dalam penerbangan. Simpan ia di dalam beg khas yang dibawa bersama semasa di atas kabin. Jika perlu, rujuk kepada pihak kru penerbangan jika mereka boleh menyediakan ruangan khas untuk anda melakukan breast pump. Jika tidak, anda mungkin boleh melakukannya ditempat duduk anda iaitu dengan cara menyediakan tuala atau kain khas yang boleh menutup ruangan tempat duduk anda semasa proses breast pump.
8. Ubat-Ubatan
Bawa bersama ubat-ubatan bayi seperti ubat kembung perut. Semasa berada dalam pesawat bayi mungkin akan mengalami masalah kembung perut yang tidak dijangkakan yang menjadi punca mereka menangis.
Sediakan juga peralatan ubat perubatan lain seperti fever pad. Jika bayi anda megalami penyakit seperti asma dan alergik, pastikan anda membawa bersama ubat-ubatan berkaitan untuk mengelakkan kecemasan semasa dalam penerbangan.
SEMASA MENDARAT
9. Semasa Kapal Terbang Mendarat
Sebelum juruterbang membuat pengumuman pendaratan anda seharusnya bersedia dengan botol susu minuman untuk diberikan kepada bayi. Dalam masa yang sama anda juga bersedia di tempat duduk dengan memakai tali pinggang keselamatan. Sebaik sahaja juruterbang membuat pengumuman mendarat, bersegerelah menyusukan bayi untuk mengurangkan impak tekanan udara yang dirasai di bahagian dalam telinga.
10. Bersedia Untuk Keluar Dari Pesawat
Kru penerbangan mungkin akan memberikan keutamaan kepada penumpang yang membawa bayi untuk keluar dari pesawat sebelum penumpang lain. Jika kereta sorong anda berada dalam simpanan oleh krew pesawat, dapatkan khidmat mereka untuk menyediakan kereta sorong bayi yang boleh diambil di bawah tangga, di luar pintu pesawat atau di kawasan pengambilan bagasi.