Inisiatif Bersama Melawan Denggi atau Allied Against Dengue (AAD) diasaskan oleh GlaxoSmithKline Consumer Healthcare (GSK), memulakan gotong-royong hari ini, untuk membantu mengekang bilangan kes denggi yang meningkat di Lembah Klang, khususnya di negeri Selangor.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa daripada 55,184 kes denggi di Malaysia yang direkodkan dari Januari hingga hujung September 2018, negeri Selangor mencatat bilangan kes denggi paling tinggi dengan 31,181 orang dilaporkan mendapat penyakit ini.

“Bilangan kes yang dilaporkan di Selangor membentuk lebih 50% daripada seluruh kes di Malaysia! Keadaan ini amat membimbangkan dan patut ditangani kerana denggi boleh menyebabkan komplikasi yang membawa maut. GSK bersama-sama rakan gabungan AAD yang lain telah melancarkan usaha mencegah denggi dan kami berbangga kerana dapat membantu menjadikan Lembah Klang lebih bersih dan lebih selamat untuk penduduknya,” kata Bryan Wong, Pengurus Besar GSK.

Di bawah inisiatif AAD tahun ini, seramai 160 orang kakitagan GSK, bersama wakil-wakil dari Guardian Malaysia, dan majlis perbandaran Ampang dan Subang Jaya, menyertai gotong-royong yang dijalankan serentak di tiga kawasan kediaman, khususnya Hulu Kelang, Petaling Jaya dan Sunway.

Nyamuk Aedes diketahui dapat membiak dalam takungan air bersih yang mudah didapati di rumah kediaman. Justeru, operasi gotong-royong setengah hari ditumpukan kepada kerja-kerja membersihkan sampah dan longkang untuk menghapuskan semua sarang pembiakan nyamuk Aedes.

“Kami rasa gotong-royong ini diadakan tepat pada masanya kerana musim tengkujuh akan bermula tidak lama lagi. Kami harap usaha kami pada hari ini bukan sahaja akan menggalakkan orang lain menjaga kebersihkan kawasan sekeliling mereka, tetapi juga mendidik mereka tentang bahaya demam denggi yang boleh membawa maut. Bagaimanapun, semua orang patut sedar bahawa menurut WHO, pesakit demam denggi boleh mengambil parasetamol untuk menurunkan suhu badan dan mengurangkan sakit-sakit sendi,” kata Bryan.

Tahun lepas, GSK mendedahkan menerusi Tinjau Selidik Denggi Asia Tenggara (SEA), bahawa hanya separuh daripada individu yang ditinjau selidik menyifatkan diri mereka arif tentang denggi.

“Denggi sudah sekian lama mengancam Malaysia dan negara kita memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak, baik sektor awam mahupun swasta, untuk bersama-sama melawan virus ini. Kami di GSK berhasrat untuk meneruskan usaha mendidik orang ramai dan memerangi denggi. Kami mengalu-alukan syarikat korporat yang prihatin untuk menyertai AAD dalam perjuangan ini,” kata Bryan.

Selain membersihkan kawasan kediaman, peserta gotong-royong juga ditugaskan untuk mencari  dan mengenal pasti kawasan yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Jika mengesan mana-mana kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan, mereka akan memacak bendera sebagai tanda untuk makluman majlis tempatan, yang perlu membuat pemeriksaan setiap minggu.

Diasaskan pada 2016 oleh GSK Consumer Healthare, AAD memulakan satu pakatan kerjasama antara 12 organisasi, dengan melancarkan kempen pendidikan pertama di Indonesia, disusuli Malaysia dan Filipina. Seramai lebih 11,500 pakar penjagaan kesihatan profesional dan ahli farmasi telah menyertai misi ini untuk memperkasakan dan mendidik lebih tujuh juta pesakit tentang penyakit dan pengurusan penyakit menerusi saluran digital dan media, serta aktiviti penerangan.