Artikel ini berguna bagi ibu bapa yang tercari-cari panduan perkhemahan keluarga sempena cuti persekolahan anak-anak.

Memenuhi masa lapang dengan aktiviti perkhemahan keluarga sempena cuti sekolah sememangnya pilihan terbaik bagi ibu bapa dan anak-anak. Perkhemahan keluarga berhasil dalam mengeratkan perhubungan kasih sayang sesama ahli keluarga. Mungkin selama sebelas bulan sebelumnya, ibu bapa begitu sibuk dengan hal kerja masing-masing manakala si anak yang bersekolah pula terbeban dengan jadual ketat persekolahan. Masa menjadi terlalu suntuk bagi ibu bapa dan anak-anak untuk duduk bersama melaksanakan aktiviti bermakna dan bermanfaat.

Merancang perkhemahan keluarga yang mampu menanam memori indah di hati ahli keluarga tentunya bukan sesuatu yang mudah dilakukan ibu bapa. Anda tentunya memerlukan tips-tips dan panduan perkhemahan keluarga yang lengkap sebelum merancang apa-apa aktiviti perkhemahan. Panduan yang disediakan ini diharapkan dapat membantu ibu bapa melaksanakan rancangan perkhemahan keluarga paling indah dan bermakna bagi anak-anak anda

Panduan Perkhemahan Keluarga – Memilih Lokasi

Bila menyebut tentang perkhemahan, tentunya anda inginkan suasana persekitaran yang dekat dengan alam semulajadi supaya anda dan keluarga merasai lebih ketenangan.

Perlu bagi ibu bapa bertanya terlebih dahulu kepada anak-anak jenis aktiviti yang mereka ingin lakukan ketika berkhemah. Jika anak-anak menggemari aktiviti mandi manda dan berenang, Ibu bapa boleh memilih tempat-tempat perkhemahan seperti kawasan pantai, tepi sungai dan air terjun.

Pilihlah kawasan pergunungan atau kawasan hutan yang sesuai dan selamat jika anak-anak ingin melakukan aktiviti luar yang mencabar fizikal seperti mendaki dan meredah hutan.

Perkhemahan di kawasan perkampungan pula sesuai sekiranya ahli keluarga ingin santai-santai sahaja tanpa aktviti fizikal yang melelahkan.

Buat kajian awal mengenai lokasi perkhemahan untuk mencari perkara atau tempat menarik yang anda boleh terokai berhampiran tapak perkhemahan.

Panduan Perkhemahan Keluarga – Aktiviti

Ada di kalangan ahli keluarga yang masih dalam lingkungan usia bayi dan kanak-kanak. Mereka ini lebih menggemari kegiatan yang santai, meriangkan dan tidak terlalu memenatkan fizikal.

Sesuaikan aktiviti perkhemahan mengikut peringkat umur anak-anak. Aktiviti lasak seperti mendaki bukit, meredah hutan dan water-rafting lebih sesuai bagi ahli keluarga yang telah remaja dan dewasa.

Antara aktiviti santai yang sesuai bagi kanak-kanak semasa berkhemah ialah :

1. Berenang

Biasanya kanak-kanak tidak kisah sama ada berenang di pantai, air terjun, sungai atau kolam renang. Apa yang penting bagi mereka ialah dapat menikmati keseronokan bermain air bersama ibu dan bapa.

2. Berbasikal

Perhatikan jika tempat perkhemahan keluarga anda sesuai untuk melakukan aktiviti berbasikal. Sesetengah tapak perkhemahan berbayar ada menyediakan perkhidmatan menyewa basikal pelbagai jenis iaitu basikal untuk orang dewasa dan basikal untuk kanak-kanak.

3. Menyanyi

Kanak-kanak tentunya menggemari aktiviti menyanyi sambil bertepuk tangan mengelilingi unggun api pada waktu malam. Jika ada di kalangan ahli keluarga yang pandai bermain alat muzik seperti gitar, bawa bersama sebagai hiburan tambahan pada waktu malam.

4. Memasak

Kadangkala anak-anak kecil ringan tulang untuk membantu ibu atau bapa mereka menyediakan hidangan makanan semasa berkhemah. Bagi ibu bapa yang kreatif dari segi masakan, anda boleh menggalakkan anak-anak belajar menyediakan resepi sarapan yang ringkas seperti roti telur untuk sarapan dan menjadi tukang kipas semasa mengadakan bakar-bakar BBQ.

5. Stargazing

Menikmati keindahan bumbung langit sewaktu dalam perkhemahan adalah perkara paling indah dilakukan bersama ahli keluarga. Memerhati keindahan galaksi dan mengira jutaan bintang di langit adalah waktu terbaik untuk ibu bapa mendedahkan sedikit sebanyak kepada anak-anak tentang ilmu angkasa serta menerangkan kepada mereka mengenai keindahan ciptaan langit dan bumi.

6. Membina unggun api

Galakkan anak-anak ringan tulang menolong si bapa mengumpul kayu api untuk aktiviti menghidupkan unggun api menjelang waktu malam. Anak-anak kecil tentunya teruja untuk membantu ibu bapa mereka mencari kayu api.

7. Bermain bola atau permainan lain

Ibu bapa boleh membawa peralatan mainan yang dapat menghilangkan kebosanan anak-anak semasa berkhemah. Contohnya permainan bola, papan chess, lompat tali, glowing stick untuk permainan waktu malam dan sebagainya. Elakkan anak-anak terperangkap dengan permainan game di telefon pintar.

8. Bercerita sebelum tidur

Anak-anak kecil tentunya asyik dan teruja untuk mendengar cerita-cerita menarik sebelum tidur di dalam khemah pada waktu malam. Biasanya mereka suka mendengar cerita seram lebih-lebih lagi ketika berada dalam hutan yang gelap. Akan tetapi, jangan sesekali bercerita kisah-kisah hantu yang menakutkan jika anak anda jenis lemah semangat. Anda boleh menyediakan beberapa buku cerita kanak-kanak untuk dibacakan kepada mereka semasa berkhemah.

9. Melihat burung

Suasana persekitaran semulajadi biasanya mengundang kehadiran pelbagai jenis burung. Anak-anak kecil selalunya teruja untuk menyaksikan kicauan merdu serta burung-burung yang berterbangan.

10. Memancing ikan

Jika tempat perkhemahan anda berhampiran kawasan tasik dan sungai, bawa bersama peralatan memancing ikan. Anak-anak pasti teruja duduk santai di tepi sungai sambil membayangkan keseronokan menarik tali pancing ketika umpan disambar ikan. Lebih teruja lagi, apabila dapat menunggu saat-saat memanggang ikan. Tentu mereka seronok menikmatinya daging ikan itu nanti.

Panduan Perkhemahan Keluarga – Masa

Tempoh masa akan menentukan dua perkara utama. Pertama ialah tempoh perjalanan ke tempat perkhemahan. Kedua ialah barangan apa yang hendak dibawa bersama.

Jika perkhemahan untuk sehari atau dua hari, adalah lebih baik memilih lokasi perkhemahan dalam lingkungan jarak 150 kilometer ke bawah. Ini untuk menjimatkan masa perjalanan dan supaya lebih panjang masa dapat diluangkan bersama keluarga di tapak perkhemahan.

Tetapi jika perkhemahan melebihi dua malam, memilih tempat perkhemahan yang lebih jauh dari negeri tempat anda tinggal tentunya tidak menjadi masalah.

Anda juga tentu tidak mahu mendirikan khemah dalam keadaan menghampiri lewat malam akibat terpaksa melalui jarak perjalanan yang terlalu jauh.

Tempoh masa perkhemahan juga menentukan keperluan barangan yang boleh anda bawa bersama. Semakin panjang tempoh perkhemahan, semakin banyak bekalan yang perlu disediakan terutama dari segi barangan memasak dan pakaian.

Panduan Perkhemahan Keluarga – Khemah

1. Khemah yang cukup dan besar dan berkualiti.

Bergantung kepada jumlah ahli keluarga, pastikan khemah anda cukup dan besar serta benar-benar dari jenis bahan berkualiti. Tentu anda tidak mahu tidur dalam keadaan risau bila melihat air hujan menitis dalam khemah akibat dari bahan kain khemah yang tidak berkualiti.

2. Bawa selimut atau sleeping beg

Jika keadaan persekitaran terlalu sejuk seperti kawasan pergunungan dan tanah tinggi, bawa selimut atau sleeping beg bersama. Kadang-kadang tidur dengan memakai jaket tebal dan stoking sahaja tidak cukup menghangatkan badan bila cuaca terlalu sejuk.

3. Bantal & alas tidur

Jika terdapat anak-anak kecil, pastikan anda tidak lupa membawa bersama beberapa biji bantal untuk keselesaan mereka semasa tidur. Untuk alas tidur, mungkin anda ingin pertimbangkan membawa sehelai comforter bersaiz keluarga.

4. Kanvas & tali nilon

Persediaan menghadapi hujan ketika berkhemah amat penting. Khemah untuk perlindungan diri sahaja tidak cukup. Anda mungkin memerlukan kanvas hujan bersaiz besar sebagai ektra. Kanvas bersaiz besar sangat berguna untuk meluaskan lagi kawasan perlindungan daripada hujan dan panas

Panduan Perkhemahan Keluarga – Kemudahan & Fasiliti

Setiap ahli keluarga mempunyai tahap menyesuaikan diri di tempat baharu yang berbeza-beza antara satu sama lain. Ibu bapa perlu mempertimbangkan beberapa perkara melibatkan ahli keluarga mereka yang berlainan jantina. Keselesaan bagi isteri dan anak perempuan dalam menggunakan kemudahan awam seperti bilik air dan tandas perlu diberi perhatian sebelum memilih tempat perkhemahan.

Kebanyakan tempat perkhemahan keluarga yang menjadi tumpuan orang ramai selalunya mempunyai kemudahan dan fasiliti asas. Pertimbangkan jika kawasan perkhemahan pilihan anda menyediakan kemudahan berikut :

1. Tempat letak kenderaan

Perhatikan jarak antara tapak perkhemahan dari tempat letak kenderaan. Sesetengah tempat perkhemahan keluarga tidak boleh dimasuki oleh kenderaan dan terletak agak jauh dari kawasan perkhemahan. Untuk itu, anda mungkin memerlukan troli tarik beroda untuk mengangkut peralatan perkhemahan.

2.Bilik mandi & tandas

Pastikan jarak tapak perkhemahan keluarga anda tidak terlalu jauh dari bilik mandi dan tandas. Ini untuk memudahkan mana-mana ahli keluarga yang berhajat untuk ke tandas terutama pada waktu tengah-tengah malam.

3. Air bersih

Punca air bersih boleh didapati sama ada dari air paip dan air sungai yang mengalir. Ramai daripada kita yang memilih berkhemah di kawasan air terjun dan air sungai kerana mudah mendapatkan air bersih. Air bersih daripada paip air membolehkan penyediaan air minuman. Pastikan terdapat sekurang-kurangnya satu paip air yang berfungsi dengan baik di kawasan tapak perkhemahan anda.

4. Kemudahan elektrik

Sesetengah tempat perkhemahan keluarga menyediakan kemudahan beberapa tiang lampu untuk keselamatan. Adalah lebih mudah mengawasi setiap ahli keluarga jika tapak perkhemahan anda mempunyai sedikit bekalan cahaya lampu.

5. Tempat buang sampah

Tidak semua tempat perkhemahan menyediakan kemudahan membuang sampah. Pengusaha selalunya menggalakkan pengunjung membawa pulang sendiri sampah sarap untuk memelihara kebersihan tapak perkhemahan. Namun jika terdapat kemudahan tempat membuang sampah, pastikan jaraknya tidak terlalu hampir dengan tapak perkhemahan anda. Binatang-binatang seperti beruang dan biawak gemar menghampiri tempat pembuangan sampah untuk mencari makanan.

6. Restoran & kedai

Jika kawasan perkhemahan keluarga tidak jauh dari restoran dan kedai serbaguna, ia adalah satu kelebihan. Sekurang-kurangnya anda tidak perlu membawa terlalu banyak barangan memasak. Adakalanya, mungkin anda akan keluar daripada khemah untuk meninjau tempat-tempat menarik sekitarnya antaranya restoran yang menyediakan makanan sedap.

Panduan Perkhemahan Keluarga – Keselamatan

Banyak faktor keselamatan perlu diberi perhatian apabila merancang perkhemahan bersama keluarga. Ini untuk memastikan setiap ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur berada dalam lingkungan keselamatan.

Ambil kira faktor-faktor keselamatan berikut semasa merancang perkhemahan bersama keluarga.

1. Cuaca

Pilih lokasi perkhemahan yang sesuai mengikut musim. Contohnya pada musim tengkujuh yang sering berlaku hujan, elakkan daripada berkhemah berhampiran pesisir pantai. Pada musim tengkujuh, sering terjadi ombak besar di laut dan pantai. Di kawasan air terjun pula sering berlaku kejadian kepala air yang meragut nyawa. Anda tetap boleh memilih berkhemah di kawasan seperti ini pada musim tengkujuh. Namun pastikan tapak perkhemahan anda berada pada jarak yang selamat dari bahaya.

2. Binatang buas

Kawasan perkhemahan dalam hutan selalunya tidak lari daripada binatang puas seperti beruang, ular serta gajah. Kecuali jika anda mempunyai pengalaman berkaitan ilmu hutan, adalah lebih baik mengelakkan tempat perkhemahan yang terlalu jauh ke dalam hutan apabila berkhemah bersama keluarga.

3. Pokok-pokok

Elakkan daripada mendirikan khemah terlalu hampir dengan kawasan pokok yang terlalu tua dan rendang. Kita tidak tahu jika berlaku kemungkinan pokok tumbang menimpa khemah di saat ahli keluarga kita tidur pada malam hari.

4. Kebersihan

Pastikan tempat perkhemahan seperti kawasan air terjun dan sungai bebas dari pencemaran air kencing tikus. Telah banyak kes-kes kematian berlaku berpunca dari pencemaran air kencing tikus dalam air sungai.

Kenalpasti juga jika terdapat kehadiran nyamuk aedes berpunca daripada kawasan perkhemahan yang kotor dek sampah sarap bagi mengelakkan demam denggi.

5. Tumbuhan beracun

Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil, mungkin sukar untuk anda mengawal mereka semasa bermain di kawasan perkhemahan yang dipenuhi pokok dan tumbuhan. Pastikan jika terdapat tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan beracun yang mudah dicapai oleh ketinggian anak kecil.

Panduan Perkhemahan Keluarga – Makanan

Selalunya tugas menyediakan makanan terletak pada bahu seorang ibu. Ikuti apa yang perlu dipertimbangkan berkaitan penyediaan barang-barang makanan semasa berkhemah bersama keluarga.

1. Memastikan bahan makanan tidak mudah rosak

Rancang menu masakan yang ringkas supaya anda tidak perlu membawa terlalu banyak bahan masakan. Jika boleh, bawa bekas menyimpan ais yang tahan lama untuk menyimpan barangan basah seperti ayam dan ikan serta makanan segera mentah seperti sosej. Kotak ais yang tahan lama mampu menyimpan bahan-bahan ini lebih lama.

2. Simpan barang makanan di tempat selamat

Jika berkhemah dalam kawasan hutan, pastikan anda simpan terlebih dahulu barang makanan sebelum tidur waktu malam. Simpan barang makanan dalam kotak yang tidak mengeluarkan bau supaya tidak mengundang kehadiran binatang liar.

3. Termos air panas

Merebus air panas berulang kali semasa sedang berkhemah adakalanya jadi begitu melecehkan. Dengan membawa termos air panas, anda boleh simpan air yang dimasak lebih lama. Sangat memudahkan jika tiba-tiba terasa ingin menikmati minuman panas.

4. Minuman segera

Lebih banyak pilihan pek minuman segera, lebih baik. Setiap ahli keluarga mempunyai selera minuman yang berbeza-beza. Pastikan paket minuman segera cukup untuk bilangan ahli keluarga yang ramai.

5. Snek

Sediakan bekalan snek untuk anak-anak kecil supaya mereka tidak kebosanan saat menunggu si ibu menyiapkan masakan utama. Snek dapat menjadi penyelamat perut anak-anak kecil disaat mereka tidak berselera menikmati makanan lain.

TIPS BONUS

1. Kit Kecemasan

Bawa bersama peralatan perubatan kecemasan. Pastikan anda menyimpan ubat-ubatan asas seperti panadol dan ubat batuk. Untuk peralatan pembersihan luka, anda boleh sediakan kapas, iodin dan ubat antiseptik.

2.Penyembur Serangga

Bawa bersama alat semburan nyamuk dan serangga untuk mencegah dari gigitannya yang menyakitkan. Biasanya perkhemahan dalam hutan tidak boleh lari dari terkena gigitan nyamuk dan serangga.

3.Lampu Ekstra

Bawa lampu gantung dan lampu suluh ekstra dengan bekalan bateri yang mencukupi untuk beberapa malam. Lampu ekstra sangat berguna untuk digantung di tempat-tempat tertentu seperti dalam khemah. Ia sebagai pengganti apabila unggun apa telah padam.

4.Tinggalkan Gajet

Tinggalkan kesemua tablet dan permainan digital di rumah. Semua peralatan ini hanya mengganggu tumpuan kanak-kanak terhadap semangat perkhemahan. Mereka juga akan jadi kurang berminat untuk menikmati keindahan alam persekitaran yang lebih utama untuk dihayati. Anda cuma perlu membawa sebiji telefon pintar yang telah dicaj sepenuhnya untuk saat-saat kecemasan. Pastikan ia disembunyikan daripada penglihatan anak-anak.

Pilihan Editor

Pensonic Light PEL-3T

EcoSport Fast Inflatable Air Sleeping Bag Lazy Sofa Bed Windbed Hangout Camping Hiking Holiday (Black)

Off! Insect Repellant Aerosol Spray 170g

NiteCore MT10A 920 Lumen Multitask Tactical Led Flashlight