Secara umumnya, mengurut bayi memang banyak memberi manfaat dari segi kesihatan. Selain daripada membantu peredaran darah dan mengurangkan angin dalam badan, ia juga mampu mengukuhkan ikatan antara bayi dengan ibu. Tetapi kaedah mengurut bayi perlulah dilakukan dengan teknik yang betul untuk mengelak daripada sebarang masalah kesihatan yang memudaratkan bayi untuk jangka masa pendek mahupun panjang.

Oleh itu, ianya amat penting untuk mempelajari cara mengurut bayi yang sebenar. Perlu diambil kira bahawa badan bayi amat lembut dan berisiko terhadap tekanan jari yang berlebihan. Mengurut badan bayi dapat mengurangkan kembung perut. Bayi amat mudah mengalami perut kembung dek proses penyusuan di mana bayi turut menyedut udara. Ia akan membuatkan mereka berasa tidak selesa dan menangis. Berikut adalah cara mengurut badan bayi dengan betul:

 

 

Cara mengurut di bahagian kaki

Pertama sekali, urutan bayi kebiasaannya berlangsung selama 10-30 minit bergantung pada tahap keselesaan bayi anda. Tetapi sebaiknya, bayi diurut selepas mandi kerana ketika ini, bayi akan berasa selesa, tidak terlalu letih dan juga tidak meragam. Untuk memulakannya, titiskan minyak telon atau sebarang minyak aromaterapi yang sesuai untuk bayi pada tapak tangan. Kemudian, urutkan secara lembut dan perlahan pada tapak kaki bayi. Mulakan urutan dari tumit ke atas, menghadap ibu jari.

Selepas beberapa ketika, teruskan dengan urutan lembut ke bahagian kaki hingga pinggang dengan dimulakan pada bahagian buku lali, paha sehingga ke pinggang. Renggangkan kaki bayi dengan cermat dan urut lembut ke arah perut untuk proses mengeluarkan angin.

Cara mengurut di bahagian atas badan

Untuk mengurut di bahagian badan, ianya perlu dimulakan pada bahagian bahu dahulu. Urut perlahan dan lembut ke arah dada bayi. Kemudian, urutkan lengan bayi daripada bahu ke pergelangan tangan dan cuba untuk tidak terkenakan minyak pada tangan bayi. Ini kerana, bayi gemar untuk memasukkan tangan ke dalam mulut mereka.

Perlu diambil kira bahawa bahagian perut bayi adalah sangat sensitif, terutama sekali jika tali pusat masih belum tertanggal. Pastikan perut bayi anda berada dalam keadaan lembut sebelum mengurut. Amat lah ditegaskan untuk tidak mengurut bayi selepas menyusu kerana ianya berisiko untuk mereka memuntahkan kembali susu. Elakkan di kawasan tali pusat jika ianya belum tertanggal untuk mengelak sebarang jangkitan kuman.

Cara mengurut di bahagian muka dan belakang badan

Dengan perlahan, urut bahagian muka bayi dengan lembut. Mulakan pada bahagian tengah dahi ke bawah hingga ke bahagian pipi. Jangan picit atau tekan muka bayi dengan kuat. Cukup dengan sekadar menyentuh kulit mereka dengan sapuan lembut. Hati-hati ketika mengurut bahagian kepala bayi kerana ianya sangat lembut dan boleh memudarat bayi secara serius.

Selepas selesai mengurut muka, dengan perlahan alihkan posisi badan bayi dengan perut menghadap ke bawah. Urutkan pula bahagian belakang badan dengan dimulakan daripada bahagian atas badan hingga ke ibu jari kaki. Jika bayi kelihatan tidak selesa sewaktu proses mengurut, adalah dinasihatkan untuk tidak meneruskan sesi urutan dengan terlalu lama. Cari masa yang sesuai untuk mengurut di mana mereka dalam keadaan tenang dan gembira.

Gunakan minyak urut yang lembut

Untuk mengurut badan bayi, pastikan anda menggunakan minyak urut yang lembut pada kulit bayi. Jangan gunakan minyak urut dewasa kerana kandungan kimia tinggi dan terlalu pedih untuk kulit mereka. Gunakan minyak telon atau sebarang minyak bayi yang boleh didapati di pasaran. Baunya juga tidak terlalu tajam dan memberikan sensasi dingin yang sederhana untuk membantu mengeluarkan angin dalam badan.

Sebagai pilihan lain, anda boleh menggunakan minyak aromaterapi yang lebih menyenangkan dan menenangkan. Minyak aromaterapi mempunyai kelebihan dan fungsi tersendiri. Sebagai contoh, lavender menenangkan dan memberi aroma lembut pada bayi. Pastikan anda rujuk pada pakar sebelum menggunakan pada tubuh bayi untuk mengelak sebarang kondisi yang serius.

Baca artikel Top 10 Minyak Urut Bayi Yang Menjadi Pilihan Ibu Bapa.

Lakukan di ruang yang selesa

Sebelum mengurut badan bayi, pastikan dahulu ianya dilakukan di ruang yang selesa. Tutup kipas atau penghawa dingin untuk mengelak bayi daripada kesejukan. Pastikan ruang tersebut suam dan selesa untuk bayi. Jika bayi baru selesai mandi, keringkan dahulu badan mereka dan perhatikan jika mereka kesejukan. Jika bayi kesejukan, dinasihatkan agar tidak mengurut mereka terlalu lama dan pakaikan baju dengan segera untuk mengelak mereka kesejukan yang terlampau. Badan bayi amat sensitif terhadap cuaca dan amat senang untuk dimasuki angin. Jadi lakukan dengan berhati dan cermat.

Untuk lebih maklumat lanjut mengenai produk bayi, anda boleh layari laman web 100Comments.