Mari kita pelajari tips dan trik pelembut pakaian yang akan membuatkan suri rumah khususnya menjadi lebih mahir mengendalikan kerja-kerja mengendalikan kebersihan rumahtangga. Kegunaan pelembut pakaian bukan sahaja melembutkan dan mengharumkan pakaian anda sekeluarga. Malah anda boleh manfaatkan ia lebih daripada itu.

Kegunaan Utama Sebagai Pelembut Pakaian

Menggunakan pelembut pakaian adalah satu cara untuk membuatkan pakaian menjadi lembut dan lebih selesa dipakai. Tambahan lagi kebanyakan pelembut kain pada masa kini mencampurkan pelbagai jenis wangian dari ekstrak bunga yang membuatkan pakaian menjadi lebih harum secara berpanjangan sepanjang hari. Selalunya kaum wanita sangat mementingkan penggunaan pewangi pakaian. Bagi mereka bau harum pada pelembut pakaian umpama mengenakan semburan pewangi yang dapat membangkitkan semangat dan keceriaan dalam berpakaian.

Anda perlu tahu mengapa setiap helai pakaian anda perlu dicuci bersama-sama dengan pelembut pakaian. Ada tiga fungsi pelembut pakaian yang paling utama iaitu :

  1. Mengekalkan fabrik supaya sentiasa lembut sepanjang hari. Kelembutan pada fabrik pakaian akan menjadikan kulit anda lebih selesa apabila bersentuhan dengan pakaian.
  2. Mengharumkan pakaian. Ekstrak bunga yang dimasukkan dalam pewangi pakaian memberikan keharuman pada pakaian anda sepanjang hari.
  3. Memudahkan pakaian diseterika. Apabila fabrik menjadi lebih, kerja menerika pakaian menjadi lebih mudah dan menjimatkan banyak masa.

Namun tentunya ramai yang masih belum mengetahui panduan penggunaan pewangi pakaian yang betul. Bilakah sebenarnya masa yang sesuai anda perlu mengenakan pelembut pada pakaian? Adakah pelembut pakaian sesuai bagi semua jenis fabrik? Apakah terdapat kegunaan lain yang boleh dimanfaatkan selain daripada sebagai pelembut pakaian?

Bila Anda Patut Menggunakan Pelembut Pakaian

Pertama apabila melakukan cucian yang banyak atau secara pukal. Cucian secara pukal menggunakan mesin basuh dapat memberikan kelembutan pada fabrik. Pakaian juga lebih mudah dibasuh dan wangian akan merebak serata ke seluruh pakaian. Penggunaan sabun pembasuh sahaja tidak dapat mewangikan keseluruhan pakaian yang dicuci secara pukal terutama jika pembasuh dalam bentuk serbuk.

Kedua jika ahli keluarga anda mengalami kulit yang sensitif terhadap fabrik pakaian berjenis kasar. Pelembut pakaian dapat melembutkan pakaian menjadikan ia lebih selesa pada kulit badan.

Ketiga apabila membersih pakaian secara cucian tangan. Tidak semua pakaian sesuai dibasuh menggunakan mesin pencuci. Contohnya kain sutera, satin dan pakaian jenis berbulu tebal.

Fabrik Yang Tidak Sesuai Guna Pelembut Pakaian

Sebelum membasuh sebarang jenis pakaian, seeloknya baca arahan label mencuci supaya tidak berlaku kesilapan semasa mengendalikan cucian pakaian.

Kebanyakan jenis kain sesuai menggunakan pelembut pakaian. Namun ada beberapa jenis pakaian atau fabrik yang anda harus elakkan daripada mengenakan pelembut pakaian. Antaranya :

  • Pakaian bayi. Kulit bayi adalah halus dan lebih sensitif berbanding kulit orang dewasa. Penggunaan pelembut pakaian tidak sesuai untuk pakaian bayi disebabkan kandungan bahan kimia didalamnya. Bayi memerlukan bahan pelembut kain semulajadi yang dicipta khas untuk pakaian bayi.
  • Kain jenis mikrofiber. Kain jenis ini biasanya terdapat pada pakaian sukan yang bahannya cepat menyerap air dan dan cepat kering. Molekul-molekul yang terkandung dalam bahan pelembut kain akan terperangkap dalam fabrik yang menyebabkan air contohnya peluh sukar menjadi kering.

Penggunaan pelembut pakaian sememangnya alternatif terbaik bagi keselesaan dan wangian yang lebih lembut dan harum untuk pakaian anda sekeluarga. Namun penggunaan pelembut pakaian juga boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain. Tips dan trik pemnggunaan pelembut pakaian ini mungkin jarang diamalkan namun anda boleh mencuba dan lihat keberkesanannya sendiri.

Lain-Lain Kegunaan Pelembut Pakaian Untuk Kebersihan Rumah

1.Mewangikan sudut rumah

Pelembut pakaian yang dapat mewangikan pakaian anda tentunya juga mampu mewangikan keseluruh sudut rumah.

Cara-caranya ialah dengan menyediakan satu botol penyembur. Campurkan air bersama kira-kira separuh penutup botol. Masukkan sedikit serbuk soda bikarbonat. Tutup botol dan goncang campuran. Apabila hendak mewangikan satu sudut rumah, anda cuma perlu menyembur pada ruangan tersebut.

2. Penghapus serangga

Cecair wangian pelembut botol yang disimpan dlaam botol penyembur tadi boleh juga digunakan untuk menghapuskan serangga yang hadir sekitar rumah. Serangga seperti semut dan lipas sensitif kepada bauan yang kuat seperti penyembur serangga.

3. Menggilap cermin tingkap

Campuran sedikit pelembut kain dan air yang disimpan dalam botol penyembur bermanfaat untuk menggilap cermin yang berdebu. Ia bersifat agak berbuih yang dapat melicin dan membersihkan permukaan cermin.

4. Membersihkan habuk perabot

Perabot yang dipenuhi debu yang menebal boleh dibersihkan dengan menyembur campuran air dan pelembut kain pada sehelai kain. Seterusnya bersihkan debu pada perabot yang ingin dibersihkan. Selain membersihkan habuk, ia juga akan meninggalkan kesan bau yang harum pada rumah anda.

5. Membersih dan mengharum bilik air

Campuran air dan pelembut pakaian boleh juga digunakan untuk kebersihan bilik air dan tandas. Gunakan bantuan alat pemberus untuk menanggalkan kesan kotoran pada lantai dan mangkuk tandas. Anda akan dapati tandas dan bilik air lebih berkilat dan harum dari sebelumnya.

6. Hilangkan kerak degil pada periuk

Kadang-kadang memang sukar menanggalkan kerak hitam pada bahagian dalam dan bontot kuali atau periuk. Cuba kaedah merendam bahagian berkerak ke dalam air campuran pelembut pakaian. Rendam selama beberapa jam dan kemudian sental semula kerak yang degil. Anda akan dapati kesan hitam lebih mudah ditanggalkan.

7. Menanggalkan kertas dinding dengan mudah

Menanggalkan kembali kertas dinding yang melekat sukar dihilangkan dengan sempurna. Cara mudah adalah dengan menggunakan pelembut pakaian dicampur dengan air. Dengan menggunakan span, celup span dalam air dan seterusnya basahkan pada dinding. Biarkan seketika sehingga gam-gam pada kertas dinding menjadi lembut. Setelah itu, anda boleh menanggalkan kertas dinding dengan menggunakan pisau dempul dan kertas pasir.

8. Menghilangkan bau kesan makanan tumpah

Jika makanan tertumpah ke atas lantai, sofa, meja dan sebagainya, kesan bauk yang ditinggalkan boleh dihilangkan dengan pelembut pakaian. Bersihkan terlebih dahulu kesan tumpahan makanan pada tempat yang tercemar. Kemudian sediakan baldi kecil dengan campuran pelembut pakaian dan air. Renjis kesan yang baru dibersihkan dengan pelembut atau gunakan kain celupan air pelembut untuk mengilangkan kesan bau.

9. Menghilangkan bau dalam kasut kulit

Kasut dari jenis kulit boleh juga digilap menggunakan pelembut fabrik. Caranya dengan menyediakan campuran pelembut fabrik dan air. Ambil sehelai kain lembut yang bersih dan celupkan ke dalam dalam pelembut. Gosok dan gilap kasut kulit sehingga bersih. Selain mengilatkan semula permukaan luar kasut, bahagian dalam juga boleh dibersihkan untuk menghilangkan kesan bau kaki yang tidak enak.

10. Menanggalkan kesan minyak di dapur

Dapur tentunya bahagian paling berminyak yang membuatkan suri rumah sentiasa pening kepala membersihkannya. Kadang-kadang penggunaan sabun sahaj tidak dapat menghilangkan kesan-kesan minyak yang terpercik di bahagian dapur termasuk terutamanya dinding. Cara paling mudah disamping menghilangkan bau minyak adalah dengan menggunakan pelembut fabrik. Ambil kain yang dicelup ke dalam campuran air dan pelembut fabrik dan bersihkan bahagian yang berminyak. Hasilnya, dapur anda akan berkilat dan berbau harum.

Pilihan Editor :

Ultra Downy® Infusions™ Sweet Dreams™ Liquid Fabric Softener

Daia Fabric Softener Bio Scent Morning Mist

GOOD MAID Soft Lavender Fabric Softener