Musim cuti sekolah semestinya ramai ibu bapa yang akan menghantar anak lelaki mereka ke klinik atau menyertai program bersunat secara beramai-ramai di pusat komuniti setempat. Bersunat atau berkhatan bagi kanak-kanak lelaki adalah perkara yang paling menggerunkan. Dengan kemajuan bidang perubatan, kesakitan yang dirasai daripada bersunat dapat dikurangkan untuk beberapa ketika selepas proses bersunat berakhir. Dengan ubat tahan sakit yang disuntik saat bersunat yang dapat mengurangkan kesakitan, amalan berkhatan seharusnya tidak lagi menjadi fobia bagi kanak-kanak lelaki.

Walaupun bersunat di klinik, suntikan tahan sakit yang diberikan ketika bersunat hanya mampu bertahan selama beberapa jam. Suka atau tidak, sebagai lelaki mereka perlu berani menanggung kesakitan yang akan dirasai sebaik tempoh ubat kebas berakhir. Proses seterusnya adalah menjalani proses penyembuhan. Tempoh penyembuhan sepenuhnya selepas bersunat akan mengambil masa antara seminggu ke dua minggu. Ia berbeza bagi setiap kanak-kanak. Penjagaan selepas tempoh bersunat amat kritikal bagi memastikan proses penyembuhan berjalan dengan baik. Luka di bahagian sunat yang kering dengan baik akan memberikan keselesaan tanpa komplikasi.

Mari kita lihat tips menyembuhkan luka sunat secara sepenuhnya dalam tempoh 7 hari seperti yang dikongsi oleh Dr. Khairul Faizie. Menurut beliau, majoriti yang datang untuk memeriksa kesan luka selepas tempoh 5 sehingga 10 bersunat datang dengan masalah luka yang tidak sembuh. Malah ada yang bengkak dan kesan darah kering yang melekat. Ini nasihat beliau tips menyembuhkan luka sunat.

1. Buka Balutan Selepas 48 Jam

Selepas bersunat, jangan buka balutan gauze dalam tempoh 2 hari atau 48 jam. Paling lama dibiarkan berbalut ialah selama 3 hari. Setiap kali selepas kencing, pastikan hujung lubang penis dicuci dengan bersih.

2. Cuci Luka Dengan Cecair Saline (Wound Dresssing)

Cecair saline ini boleh di dapatkan di klinik atau farmasi. Salah satu kegunaan cecair saline adalah untuk mencuci bahagian luka. Cucian dilakukan selepas balutan dibuka sepenuhnya. Lakukan cucian ini antara 3 sehingga 4 kali sehari. Setelah dicuci, gunakan kain gauze untuk tekap pada bahagian yang dicuci untuk tujuan pengeringan.

Selepas cucian, selain menggunakan gauze, anda juga boleh menggunakan alat pengering seperti pengering rambut. Pastikan suhu pengering ditetapkan pada suhu normal. Caranya dengan menghalakan pengering ke arah penis dan lakukan pengeringan sehingga kering. Pengeringan ini dilakukan untuk mengelakkan jangkitan di kawasan luka.

Selepas balutan dibuka juga, tiada masalah untuk mengenakan air pada bahagian penis. Contohnya ketika mandi. Tetapi jangan sesekali sental di bahagian luka menggunakan air untuk menanggalkan keruping. Keruping akan tertanggal dengan sendirinya apabila proses dressing atau pencucian luka dilakukan atau semasa dilalukan dengan air. Biarkan keruping itu tanggal sendiri secara normal.

Menurut Dr. Khairul, ramai yang kembali ke klinik membuat pemeriksaan penis selepas bersunat menunjukkan keruping yang teruk atau melekat dengan banyak. Ini disebabkan ramai daripada mereka langsung tidak melakukan proses pencucian luka atau dressing selepas bersunat. Masalah keruping ini sebenarnya boleh dielakkan jika anda kerap melakukan proses dressing.

Dr. Khairul juga turut memberikan tips lain tentang cara untuk meluruhkan keruping yang melekat dengan banyak ini. Caranya ialah dengan merendamkan penis ke dalam cecair normal saline yang diletakkan dalam bekas kecil. Rendam antara tempoh masa 3 sehingga 5 minit. Lakukan proses ini antara 3 ke 4 kali setiap hari.

Bentan Atau Pembengkakan Di Bahagian Penis Selepas Bersunat

Masyarakat menggelar bengkak sekitar penis selepas bersunat dengan panggilan bentan. Menurut Dr. Khairul, bengkak sekitar penis selepas bersunat sebenarnya adalah suatu perkara normal.

Bentan yang tidak normal adalah apabila anda melihat pembengkakan yang terlalu besar berwarna kemerahan. Warna kemerahan dan pembengkakan ini lebih teruk apabila terjadi pengumpulan cecair likat seperti nanah. Kanak-kanak akan merasai kesakitan seperti denyutan yang menyakitkan. Ini disebabkan jangkitan yang telah berlaku. Lebih teruk lagi, kanak-kanak mungkin akan mengalami demam dan bengkak kelenjar di bahagian groin. Groin ini terletak di antara paha dan pinggul di bahagian kelangkang.

Beri Minum Air Secukupnya

Dalam kepercayaan masyarakat kita sering terjadi di mana kanak-kanak yang selepas bersunat tidak diberi minum air secukupnya kerana kerisauan penis menjadi bengkak. Sebenarnya amalan ini adalah salah dan tidak patut dilakukan sama sekali. Kanak-kanak akan mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam badan apabila tidak diberikan air minuman yang secukupnya.

Dari pengalaman Dr. Khairul, ramai ibu bapa yang sanggup tidak memberikan anak mereka minum air secukupnya kerana kurangnya ilmu pengetahuan yang betul. Pembengkakan selepas bersunat adalah sesuatu yang normal. Air yang diminum tidak akan mengalir ke bahagian penis yang menyebabkan ia bentan. Air minuman boleh diberi secara normal tanpa sebarang kerisauan oleh ibu dan bapa.

Perlukah Amalan Berpantang Selepas Bersunat ?

Menurut Dr. Khairul, kanak-kanak sebenarnya tidak perlu berpantang selepas bersunat. Kanak-kanak boleh diberikan semua jenis makanan termasuk ikan, ayam, sayur, telur dan buah-buahan. Dengan syarat ia daripada sumber makanan bernutrisi.

Nutrisi ini penting untuk proses penyembuhan yang cepat dan sepenuhnya di bahagian penis selepas bersunat. Kesemua jenis makanan yang dimakan ini seperti kicap dan telur tidak akan mengalir ke bahagian penis seperti yang dibayangkan oleh masyarakat. Sebagai contoh, ramai ibu bapa yang bimbang untuk memberikan anak mereka makan telur selepas bersunat kerana bimbang menyebabkan kegatalan dan bengkak. Kuning telur adalah bahagian yang berkhasiat di dalam telur. Ia tidak akan menyebabkan penis menjadi bengkak.

Jadi seharusnya ibu bapa tidak perlu risau memberikan sebarang jenis makanan bernutrisi kepada anak selepas bersunat.

Amalan Pakai Kain Pelekat Selepas Bersunat

Berkain pelekat selepas bersunat hanyalah amalan masyarakat kita dan ia tidak semestinya diamalkan. Ia bertujuan untuk mengelakkan penis bergesel dengan pakaian. Menurut Dr. Khairul, tidak semestinya kanak-kanak perlu dipakaikan kain pelekat. Sebarang jenis pakaian boleh dikenakan asalkan ia tidak menyebabkan geselan yang serius di bahagian penis yang sedang dalam proses penyembuhan.

Dr. Khairul memberikan idea mengenai penggunaan cawan plastik atau polisterin untuk mengelakkan geseran penis pada pakaian. Anda boleh membuang bahagian dasar cawan untuk pengudaraan.

Geselan penis yang telah disunatkan akan mennyebabkan rasa sedikit ngilu tetapi ia adalah perkara normal. Ia mungkin akan mengambil masa beberapa minggu untuk menghilangkan rasa sensitif di bahagian penis yang telah disunat setelah sekian lama ia terlindung di bahagian dalam kulit.

Dr. Khairul juga mengingatkan supaya ibu bapa tidak terlalu memanjakan anak selepas bersunat. Selepas tempoh tiga hari bersunat, kanak-kanak tersebut tidak seharusnya dibiarkan baring sepanjang masa di tempat tidur sambil melayan tablet. Sebaliknya galakkan mereka untuk melakukan gerakan ringan seperti berjalan di sekitar rumah. Namun jangan pula sampai melakukan aktiviti yang terlalu lasak seperti bermain futsal dalam tempoh seminggu selepas bersunat. Itu seperti mencari penyakit namanya.

Ubat Tahan Sakit Selepas Bersunat & Rawatan Susulan

Selalunya doktor akan membekalkan dua jenis ubat selepas bersunat iaitu ubat tahan sakit dan ubat antibiotik. Ibu bapa perlu memastikan kanak-kanak lelaki tersebut diberikan ubat mengikut aturan yang betul seperti keterangan doktor.

Jika tidak pasti tentang perkembangan sunat, pergilah berjumpa doktor untuk penerangan. Perhatian simptom yang perlu diberi perhatian seperti demam, sakit semasa kencing, keluar darah di tempat jahitan dan bengkak disebabkan jangkitan.

Sunat Berjahit vs Sunat Cara Clamp

Menurut Dr. Khairul, proses penyembuhan proses bersunat secara berjahit lebih cepat berbanding dengan sunat kaedah clamp atau pengapit. Sunat berjahit akan mengambil sedikit masa semasa prosedur. Namun kanak-kanak tidak perlu melalui dua kali proses kesakitan seperti yang dialami dalam proses sunat kaedah clamp. Sunat kaedah clamp akan menyebabkan dua kali kesakitan iaitu ketika di potong bagagian kulit dan ketika membuka semula pengapit yang melekat kuat.

Sebagai ibu bapa, mereka perlu tahu pro dan kontra setiap teknik bersunat. Baharulah mereka boleh membuat keputusan tentang teknik mana yang lebih sesuai.

Klean & Kare Normal Saline