Salah satu cara untuk menjaga nutrisi suatu sumber makanan adalah melalui kaedah penstiman atau kukus. Kaedah masakan ini sesuai hampir untuk semua jenis masakan seperti ikan, daging, ayam, makanan laut, sayuran, kek dan biskut.
Cara paling mudah mengukus makanan ialah dengan merebus air di atas dapur untuk menghasilkan wap air kukusan. Wap inilah yang akan mengukus makanan sehingga benar-benar masak. Makanan yang terhasil lebih sihat kerana tidak mengandungi minyak dan nutrisi makanan juga dapat dikekalkan
Walaupun teknik kukusan secara tradisional ini kelihatan mudah, tidak semua orang mampu mempraktikkan kaedah kukusan yang betul. Silap haribulan makanan bukan sahaja tidak sedap malah menyebabkan berlaku pembaziran.
Mengukus makanan berbeza sama sekali dengan kaedah merebus. Kehilangan nutrisi asal dalam makanan selepas dikukus didapati amat kurang berbanding dengan makanan yang direbus. Sebagai contoh apabila anda merebus sayuran yang kaya dengan vitamin C. Teknik kukusan hanya kehilangan 15% kandungan vitamin C berbanding dengan kaedah rebusan iaitu sebanyak 25%.
Jadi bagi anda yang sentiasa mementingkan hidangan makanan sihat untuk diri dan seisi keluarga, pengamal diet sihat dan mereka yang berhasrat menurunkan berat badan, jadikanlah makanan kukus sebagai pilihan terbaik untuk anda.
Pengukus Makanan Elektrik Memudahkan Tugas Memasak
Menghasilkan hidangan makanan berasaskan kukus pada hari ini tidak lagi melecehkan dengan adanya peralatan steamer atau pengukus elektrik yang dapat memudahkan kerja anda di dapur. Food steamer atau alat pengukus makanan elektrik adalah antara lima peralatan dapur utama yang disyorkan bagi memudahkan kerja memasak para wanita.
Kaedah penggunaan pengukus makanan elektrik juga kurang risiko berbanding kaedah kukusan secara tradisional. Kukusan secara tradisional mendedahkan anda kepada risiko tumpahan air panas pada badan. Ini amat membahayakan terutama kepada kanak-kanak apabila mereka turut bersama anda memasak di dapur. Berbeza dengan pengukus makanan elektrik, simpanan air panas tidak dibiarkan terdedah begitu sahaja. Rekabentuknya lebih selamat di mana bahagian simpanan air panas tertutup sepenuhnya apabila makanan dikukus pada bahagian atas.
Anda boleh memilih pelbagai variasi pengukus makanan elektrik di pasaran mengikut jenama. Pengukus makanan elektrik dibezakan mengikut berapa tingkat kukusan disediakan. Kebiasaannya anda boleh lihat pilihan kukusan sehingga tiga tingkat. Ini bertujuan untuk memudahkan kukusan beberapa jenis makanan secara serentak. Dengan ini anda dapat menjimatkan banyak masa di dapur di samping menguruskan tugas penting lainnya.
Alat pengukus jenis lutsinar lebih menarik kebanyakan pengguna berbanding alat pengukus bukan lutsinar. Sambil mengukus anda masih boleh memeriksa makanan tanpa perlu membuka penutup terlalu kerap.
Akan tetapi penggunaan pengukus elektrik jauh lebih memudahkan. Anda hanya perlu memilih tetapan masa yang diingini mengikut kesesuaian. Terdapat penunjuk aras kuantiti air yang memudahkan anda membuat semakan jika memerlukan tambahan air. Dengan mudah, anda cuma perlu menambah tanpa perlu membuka keseluruhan peralatan dalam satu lubang air yang disediakan.
Walaupun beberapa jenis masakan dimasak serentak, anda tidak perlu risau jika ia menjejaskan rasa makanan. Ini kerena pengukus makanan elektrik dicipta supaya rasa makanan dapat dikekalkan walaupun beberapa jenis makanan dikukus serentak. Dengan ini anda masih dapat menikmati keenakan rasa setiap jenis makanan yang dihidangkan.
Tips Menggunakan Pengukus Makanan Elektrik
Anda telah mengetahui sedikit sebanyak info mengenai pengukus makanan elektrik. Bagi yang telah membeli alat pengukus idaman hati, anda tentunya ingin mengetahui tips menggunakan pengukus makanan elektrik dengan cara yang betul. Kami sediakan kepada anda enam tips penting yang anda perlu tahu semasa memasak sebarang jenis masakan menggunakan pengukus makanan elektrik di rumah.
1.Pastikan Air Kukusan Mencukupi
Air kukusan yang terlalu banyak melebihi paras yang ditetapkan akan merosakkan makanan yang dimasak. Seharusnya semasa proses kukusan, wap air yang keluar tidak berlebihan sehingga terkena pada bekas makanan di bahagian atas bahagian simpanan air.
Begitu juga jika air yang masukkan terlalu sedikit. Kekeringan air tanpa penambahan seterusnya akan menyebabkan alat kukusan anda bertukar hangus. Jadi amat penting untuk anda memasukkan kuantiti air yang tepat mengikut jenis makanan yang dimasak.
2.Rebus Air Terlebih Dahulu
Sebelum tingkat bekas makanan diletakkan, adalah lebih baik anda merebus seketika air supaya ia dipanaskan dahulu. Sebaik sahaja air mula mendidih, bolehlah anda meletakkan tingkat bekas makanan setingkat demi setingkat. Kaedah ini mendapati lebih baik kerana ia dapat memastikan rasa makanan dapat dijaga keenakannya.
3. Elakkan Mengukus Makanan Terlalu Lama
Anda tentu ingin memastikan kesegaran setiap jenis masakan dihidangkan serentak dalam masa yang sama. Disebabkan itu, sering terjadi keadaan di mana setengah masakan dikukus terlalu lama lebih dari masa yang diperlukan. Sebagai contoh campuran antara kukusan ayam dan sayuran seperti brokoli.
Kebanyakan sayuran lebih cepat masak berbanding dengan kukusan ayam. Oleh itu, adalah lebih baik anda menempatkan kukusan sayur di bahagian paling atas supaya bekas kukusan dapat dialihkan terlebih dahulu tanpa perlu menunggu sehingga ayam siap dikukus. Jika kukusan sayur diangkat serentak dengan kukusan ayam, kemungkinan besar sayuran anda akan terlebih masak dan ini akan merosakkan kesegaran sayuran.
Sayuran yang telah diangkat boleh dimasukkan ke dalam bekas berisi ais supaya kesegarannya dapat dikekalkan. Anda boleh menikmati dua jenis kesegaran masakan iaitu ayam yang baru diangkat dari kukusan dan sayuran yang dipastikan kesegarannya semasa dihidangkan.
4. Kepelbagaian Rasa Air Kukusan
Tidak semestinya anda perlu menggunakan air putih sahaja. Untuk mempelbagaikan rasa makanan, anda boleh menambahkan perisa kesukaan anda dalam air rebusan seperti campuran bahan herba atau mungkin perahan lemon untuk membangkitkan aroma bau dan rasa pada makanan yang direbus.
Tetapi ia perlulah sesuai mengikut menu masakan anda. Akan tetapi, kaedah ini mungkin tidak memberikan tambahan rasa sehebat kaedah perapan ke atas makanan. Jadilah lebih kreatif dan anggap ini sebagai salah satu eksperimen anda dalam penggunaan pengukus makanan elektrik. Anda mungkin boleh mencetuskan idea baru mengikut kreativiti anda dalam dunia masakan.
5. Pastikan Susun Atur Bekas Dengan Betul
Untuk memudahkan pengguna menyusun tingkat bekas megikut urutan yang betul, setiap bekas akan ditandai dengan ututan nombor. Kebiasaannya bekas yang ditandai dengan nombor paling besar perlu diletakkan di bahagian teratas dan begitulah sebaliknya nombor terkecil akan berada di kedudukan paling bawah.
Jika anda salah menyusun atur bekas,kemungkinan besar makanan sukar masak mengikut tempoh masa yang sepatutnya.
6. Sediakan Makanan Sebelum Mengukus
Sebelum mula menghidupkan atau memanaskan air kukusan, terlebih dahulu anda perlu memastikan kesemua bahan masakan disediakan lebih awal. Contohnya dari segi perapan ikan, potongan sayuran dan beras yang siap dibasuh.
Itulah beberapa info dan tips berguna bagi anda yang baru sahaja ingin membiasakan diri dengan masakan menggunakan pengukus makanan elektrik. Jika digunakan dengan cara yang batul, makanan yang dimasak untuk seisi keluarga pastinya sedap dan memenuhi selera setiap ahli keluarga.
Cara penggunaan yang betul juga dapat menjamin peralatan elektrik anda tidak cepat rosak sekaligus anda boleh menggunakannya untuk tempoh masa yang lebih lama.
Pilihan Editor :