Bagaimana dengan azam kurus 2018? Adakah anda telah capai sasaran untuk memiliki berat dan bentuk badan yang diimpikan? Dengan perancangan dan pelaksanaan yang penuh disiplin, pasti ramai daripada kita yang telah pun mencapai sasaran untuk kurus pada tahun 2018. Tahun baru 2019 ialah permulaan buku baru untuk anda kekalkan momentum yang padu supaya badan anda kekal kurus dan paling penting ialah mengekalkan kesihatan melalui gaya hidup dan tabiat pemakanan yang sihat.
Bagi yang gagal mencapai matlamat kurus pada tahun lepas, tahun 2019 juga adalah buku baru untuk anda. Mungkin tahun lepas anda belum cukup kental untuk mencapai azam kurus seperti yang dirancang sejak awal tahun. Maklumlah..sepanjang 365 hari itu, pelbagai-bagai halangan tidak disangka mungkin terjadi yang membuatkan azam dan semangat anda menjadi goyah. Namun, jangan berputus asa! Di tahun 2019 ini, anda perlu tetapkan diri dengan azam yang lebih tinggi untuk memastikan azam kurus 2019 ini berjaya.
Ikuti 18 tips kental bagaimana mencapai azam kurus tahun 2019 dengan lebih yakin!
1. Jangan Bertangguh, Mulakan Sekarang!
Bertangguh dengan memberi alasan menunggu masa yang sesuai adalah salah satu penyebab mengapa seseorang itu selalu gagal menurunkan berat badan dan kurus. Jadikan setiap hari sebagai permulaan baru untuk anda pecut dari garis permulaan azam kurus. Menunda masa dengan pelbagai alasan tidak masuk akal seperti sibuk dengan kerja dan pelajaran, malas, sakit badan dan sebagainya hanyalah terletak di minda. Langkah pertama penentu langkah seterusnya. Selagi anda tidak memulakan langkah pertama, selagi itulah azam kurus anda tidak mampu dicapai. Mulakang sekarang dan jangan MALAS!
2. Tetapkan Tujuan Kenapa Saya Mahu Kurus
Setiap orang memiliki azam sendiri mengapa mereka ingin kurus. Ada yang berazam untuk mengekalkan kesihatan. Ada yang ingin tampil cantik dan kurus di hari pernikahan. Ada yang berazam kurus demi suami, isteri dan anak-anak. Tetapkan matlamat yang jelas yang menjadi penyebab utama untuk anda teruskan perjalanan kurus yang penuh berliku dan cabaran ini. Ini kerana perjalanan untuk kurus bukanlah suatu perjalanan yang indah seperti melancong. Ia menuntut pengorbanan yang tinggi dari segi masa, nafsu dan waktu rehat anda. Jadi anda memerlukan tujuan tetap supaya anda dapat kekal FOKUS dalam perjalanan yang mencabar ini.
3. Ikuti Tips Kurus Yang Betul, Ilmu Yang Berkesan
Apa sahaja yang ingin dilakukan perlulah mengikut landasan ilmu dan tips yang betul. Begitu juga dengan plan diet dan kurus. Hari ini pelbagai tips dan ilmu yang dikongsikan dari pelbagai sumber. Namun tidak semestinya setiap tips yang diberikan itu bersesuaian untuk diri anda. Anda perlu memahami keadaan diri dan mengikuti tips yang paling berkesan dengan diri anda. Barulah rancangan kurus mampu menunjukkan hasilnya. Jika mampu, bergurulah dengan insan-insan yang boleh membimbing anda secara konsisten. Mereka adalah orang yang layak memberi komentar di atas setiap langkah yang perlu anda ikuti mengikut keadaan diri anda.
4. Jangan Paksa Diri, Lakukan Secara Berperingkat
Untuk kekalkan momentum secara konsisten, seseorang itu tidak boleh menekan diri untuk loncat dari ketinggian terbawah ke ketinggian paling atas dengan hanya sekali lompatan. Anda perlu mendaki atau menaiki tangga selangkah demi selangkah dengan tenang. Anda adalah dengan diri anda sendiri. Anda tidak perlu menetapkan target penurunan berat badan yang terlalu drastik. Sebagai contoh menetapkan penurunan lima kilogram dalam masa seminggu. Target ini sukar dicapai oleh sesiapa sahaja. Biarlah berat badan anda turun sedikit demi sedikit. Asalkan ia dilakukan secara selamat dan mencapai target yang disasarkan pada akhirnya.
5. Inspirasi Terbaik Adalah Diri Sendiri
Mencari inspirasi sebagai pencetus semangat untuk menurunkan berat badan adalah sesuatu yang baik. Namun elakkan daripada membandingkan diri anda dengan tokoh idola inspirasi yang anda cintai itu. Inspirasi terbaik adalah diri anda sendiri. Andalah yang akan terus berusaha dan berpenat lelah mencapai azam kurus tahun 2019 ini. Pada hakikatnya, mungkin anda mampu mengatasi bentuk badan yang jauh lebih baik berbanding idola anda. Andalah inspirasi yang sewajarnya dihargai.
6. Ruang Masa Secukupnya
Ramai yang berazam kurus cenderung menetapkan masa yang terlalu ketat menyebabkan mereka akhirnya kecundang dan kecewa di pertengahan jalan. Ketenangan adalah kunci untuk mencapai sesuatu target. Menetapkan masa menghilangkan berat badan 20 kilogram dalam masa sebulan hanya akan membuatkan anda tertekan. Anda akan cenderung mengikuti tips kurus secara membabi buta yang akhirnya memudaratkan diri sendiri.
7. Lakukan Secara Sihat, Elakkan Kecederaan
Ramai yang berhasrat kurus mencari jalan pintas yang tidak selamat. Antaranya mengamalkan pengambilan produk kurus sampah yang tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital dengan pelbagai komplikasi kesihatan. Bersenamlah secara berdisiplin dan selamat terutama penggunaan alat-alat senaman di pusat gimnasium. Elakkan kecederaan yang boleh mengganggu perjalanan anda untuk kurus.
8. Tetapkan Sasaran Secara Realistik
Realistik di sini bermaksud ukur baju di badan sendiri dan tidak memaksa diri. Perjalanan menurunkan berat badan memerlukan sasaran yang realistik. Program diet dan senaman perlu disesuaikan seiring dengan sejauh mana kejayaan anda mencapai berat badan yang diinginkan. Pelan senaman dan diet untuk tiga bulan pertama mungkin perlu diubah apabila memasuki bulan keempat. Ia perlu disasarkan secara realistik dan mengikut kemampuan.
9. Kurangkan Karbohidrat & Makanan Manis
Terlalu banyak pengambilan gula dalam makanan dan minuman adalah punca berat badan susah untuk turun. Gula sintetik perlu dielakkan sebaliknya ia perlu digantikan dengan gula semulajadi yang banyak terdapat dalam buah-buahan. Gantikan air manis dengan air kosong adalah lebih baik kerana ia buka sahaja tidak mengandungi gula, malah tiada kalori. Begitu juga dengan karbohidrat. Amalkan diet bersesuaian untuk mengurangkan pengambilan karbohidrat. Sebagai contoh diet rendah karbohidrat dan puasa perantaraan atau diet intermittent fasting. Mengamalkan diet tertentu dapat mengawal diri anda daripada mengambil gula dan karbohidrat secara berlebihan.
10. Tingkatkan Sumber Protein
Melebihkan mengambilan protein dan mengurangkan pengambilan karbohidrat dan lemak akan memberikan impak yang besar terhadap pengeluaran hormon dalam badan. Makanan dari sumber protein yang tinggi akan menjadikan seseorang itu lebih kenyang untuk tempoh masa yang panjang. Anda tidak akan merasa cepat lapar yang akan membuatkan selera makan anda tidak berhenti sepanjang hari. Jadi Ya! Tingkatkan makanan yang mengandungi sumber protein yang tinggi.
11. Releks, Jangan Terlalu Berkeras Kepada Diri Sendiri
Perjalanan menurunkan berat badan berkait rapat dengan masa. Anda tidak boleh terlalu strict atau tegas kepada diri sendiri kerana anda hanyalah manusia biasa yang mempunyai keinginan nafsu makan yang pelbagai. Anda juga mempunyai keinginan untuk keluar berjalan-jalan pada hari minggu. Tetapkan satu hari dalam seminggu sebagai hari ‘cheat day’ atau hari untuk anda ponteng daripada amalan diet yang membosankan dan senaman yang memenatkan. Sedangkan kerja memerlukan cuti untuk ketenangan, inikan pula diet yang membosankan dan senaman yang memenatkan.
12. Sertai Program Jom Kurus
Menyertai program jom kurus akan membuatkan perjalanan anda lebih terpandu. Ramai jurulatih diet dan senaman yang boleh membimbing anda secara betul dari segi amalan dan nasihat yang berkesan. Mencapai azam kurus seorang diri tanpa pembimbing selalunya akan membuatkan seseorang itu hilang arah pada akhirnya dan sering gagal.
13. Ganjarkan Diri Sendiri
Menghadiahkan diri sendiri dengan sesuatu yang berkaitan dengan diet dan senaman merupakan satu motivasi untuk membuatkan anda lebih bersemangat meneruskan azam kurus. Anda boleh menghadiahkan diri sendiri berupa alat senaman atau ‘tools’ yang membantu anda menurunkan berat badan.
14. War-Warkan Perjalanan Azam Kurus Anda
Berkongsi setiap detik perjalanan menurunkan berat badan adalah satu motivasi untuk mengekalkan momentum untuk suatu tempoh masa yang panjang. Perkongsian paling popular adalah menerusi media sosial dengan cara memuat naik gambar serta berkongsi tips berguna kepada rakan-rakan.
15. Pengurusan Masa Yang Baik
Gagal menguruskan masa adalah penyebab kegagalan menurunkan berat badan. Anda perlu menguruskan pembahagian masa yang bijak terutama melibatkan masa bersenam. Bersenam adalah kunci penting bagi memastikan kejayaan menurunkan berat badan.
16. Berkawan Dengan Orang-Orang Positif
Orang yang sering memperkecilkan usaha anda untuk menurunkan berat badan adalah cabaran yang perlu dipecahkan. Ia boleh diatasi dengan bergaul bersama kelompok yang bermotivasi seperti diri anda iaitu mereka yang berazam untuk kurus seperti anda. Dekatkan diri anda bersama orang-orang positif yang boleh saling menyokong dalam usaha menuruskan berat badan.
17. Belajar Untuk Mengatakan “Tidak” Kepada Makanan
Majlis kahwin, majlis harijadi dan segala macam majlis yang menghidangkan makanan adalah pemusnah diet seseorang. Untuk itu anda perlu belajar mengatakan “Tidak” kepada sekian banyak undangan terutama undangan yang anda anggap tidak penting atau tidak wajib untuk dipenuhi. Jika hadir sekalipun, anda perlu bijak menangani godaan selera yang berganda sewaktu dalam majlis.
18. Semoga Berjaya!
Anda perlu ingat bahawa setiap usaha tidak semestinya membuahkan hasil yang diinginkan. Usaha menurunkan berat badan juga bergantung kepada nasib. Anda mungkin merancang menurunkan berat badan 30 kilogram dalam masa enam bulan. Namun, adakalanya anda harus terima bahawa setiap target bukan penentu sesebuah kejayaan. Mungkin hasil yang anda dapat hanya separuh daripada apa yang disasarkan. Usaha adalah sesuatu yang paling penting untuk dinilai.