Menurutnya lagi, disebabkan kanak-kanak ini tidak mendapat kesemua vitamin, mineral, protein dan karbohidrat yang diperlukan untuk tumbesaran, mereka tidak akan membesar dengan baik. Apabila sering kurang nutrisi yang penting, mereka akan mengalami keletihan dan tidak dapat fokus atau kekal peka untuk memahami apa yang diajar di sekolah.
“Antara tanggapan salah di kalangan ibu bapa adalah anak-anak mereka rendah kerana mereka juga rendah. Walaupun genetik adalah salah satu faktor pembantutan, pemakanan juga memainkan peranan,” tegasnya.
Masa untuk tingkatkan tumbesaran

Menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, kekerapan pembantutan di kalangan kanak-kanak di bawah usia 5 tahun adalah sebanyak 17.7% manakala peratusan kanak-kanak yang kurang berat badan di bawah usia 5 tahun adalah 12.4%.
Kurang pemakanan melemahkan sistem imun, seterusnya meningkatkan risiko untuk jatuh sakit dan dijangkiti penyakit. Penyakit yang berulang akan menyebabkan kanak-kanak kurang selera makan dan makan sedikit, sekali gus mengakibatkan kitaran yang tidak baik ini berterusan.
Dr Tan percaya bahawa tumbesaran yang terbantut bukan sekadar menjejaskan prestasi kanak-kanak di sekolah. Ia juga memberi kesan domino dan menjejaskan kecemerlangan kanak-kanak itu di masa akan datang.
Beliau menambah bahawa antara tanggapan salah ibu bapa adalah masalah ini akan hilang sendiri apabila anak-anak mereka membesar.

“Mereka menganggap bahawa masalah cerewet makan akan hilang sendiri ketika usia remaja dan anak-anak mereka akan dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik di sekolah, seterusnya menjadi lebih tinggi juga semasa besar nanti. Walhal, ini tidak semestinya berlaku,” ujarnya.


Tambah Dr Tan, jika masalah ini tidak diselesaikan dari awal, masalah cerewet makan akan menjejaskan tumbesaran kanak-kanak serta memberi kesan kepada prestasi akademik dan perkembangan otaknya.
Dalam jangka panjang, kanak-kanak ini tidak akan dapat menunjukkan prestasi yang terbaik di sekolah dan di dalam kehidupan berbanding jika mereka mendapat pemakanan yang secukupnya dari awal.
Dr Tan memberitahu bahawa ramai ibu bapa yang sering menganggap, sekiranya anak-anak kelihatan sihat dan aktif, kanak-kanak ini tidak mengalami masalah.
“Hal ini adalah tidak benar kerana kanak-kanak ini sebenarnya kurang pemakanan. Mereka tidak akan tiba-tiba sahaja membentuk tabiat makan yang sihat apabila berusia 13 tahun.
“Ibu bapa perlu mengambil tindakan secepat mungkin. Zaman kanak-kanak adalah waktu yang kritikal untuk tumbesaran dan perkembangan otak mereka. Inilah masanya untuk mereka belajar dan menikmati pengalaman bersekolah sepenuhnya,” tambahnya.

Dr Tan turut menasihati ibu bapa untuk mengawasi tumbesaran anak-anak dan mendapatkan bantuan daripada pakar pediatrik mereka.
“Doktor boleh menilai tumbesaran kanak-kanak berdasarkan ketinggian dan berat badan serta menentukan sekiranya kanak-kanak itu sedang membesar secara optimum. Doktor juga akan dapat menasihatkan jika anak-anak anda cerewet makan dan tindakan yang boleh diambil.
“Sebagai contoh, doktor mungkin akan memberikan tip untuk membantu anak-anak makan hidangan yang seimbang atau menyarankan makanan tambahan lengkap yang diformulasi khas untuk membantu kanak-kanak mengejar tumbesaran.
“Makanan tambahan akan meningkatkan tumbesaran kanak-kanak dan dengan pemakanan yang mencukupi, sistem imun mereka akan menjadi lebih kuat serta sakit akan dapat dikurangkan. Semua ini akan menjadikan kanak-kanak lebih peka dan aktif serta mendapat manfaat yang sepenuhnya di sekolah,” ujarnya.
Tanda-tanda amaran untuk diawasi di kalangan kanak-kanak yang bersekolah

Dalam pada itu, Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE Council) Malaysia, Professor Madya Dr Azhar Md Adnan menambah bahawa kanak-kanak memerlukan pemakanan, tidur dan kasih sayang yang mencukupi. Kekurangan salah satu keperluan ini, akan memberi kesan terhadap perkembangan dan sikap kanak-kanak tersebut.
Antara tanda-tanda amaran yang perlu diawasi oleh ibu bapa adalah:

Kerap jatuh sakit.

Ini mungkin menandakan kanak-kanak tidak memperoleh pemakanan dan tidur
yang mencukupi.

Mengantuk, letih dan lapar di sekolah.

Kanak-kanak yang tidur lewat akan sukar bangun awal untuk ke sekolah. Ini menyebabkan mereka kekurangan masa untuk bersarapan.

Rendah dari rakan-rakan mereka.

Ini mungkin disebabkan oleh faktor genetik tetapi sumbangan faktor selain genetik perlu dipertimbangkan. Ibu bapa perlu membawa anak-anak berjumpa doktor perubatan untuk memeriksa tumbesaran mereka.

Sukar untuk cemerlang di sekolah.

Ini mungkin disebabkan kanak-kanak tidak mendapat tidur yang mencukupi, atau lapar dan tidak boleh fokus. Ia juga mungkin disebabkan oleh masalah berhubung dengan kemahiran sosial kanak-kanak yang boleh mengganggu tumpuan mereka di dalam bilik darjah. Jika mereka sering sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah, kemahiran bahasa mereka juga akan terjejas dan memberi kesan terhadap kemahiran bersosial dan keyakinan diri mereka.

Masalah tingkah laku di sekolah.

Adakalanya kanak-kanak bertingkah-laku mengganggu semasa di sekolah terutamanya apabila mereka letih dan tidak mendapat sarapan yang mencukupi.

Tidak mahu ke sekolah.

Ini mungkin disebabkan kanak-kanak masih gagal menguasai kemahiran asas di sekolah, terasa dipinggir oleh rakan sebaya disebabkan mereka rendah dan lemah. Kerana, kebiasaannya kanak-kanak lebih suka bermain dengan rakan sebaya yang aktif. Kanak-kanak juga berkemungkinan hilang motivasi untuk ke sekolah kerana tidak berpeluang mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah ke kehidupan sebenar di rumah.