Enam bulan meniti usia perkahwinan tanpa sebarang tanda kehamilan mungkin boleh mendorong rasa panik, gusar, bimbang dan pelbagai tanggapan tidak menyenangkan. Bagi pasangan muda, mungkin kehamilan tidak menjadi fokus pada tahun pertama bergelar suami isteri.

Namun untuk mereka yang berkahwin pada usia 30an, berita kehamilan biasanya dinanti sebaik saja melangkah ke alam rumah tangga. Ketika ini, ramai wanita mula membuat persediaan dari sudut mental dan fizikal. Banyak perkara difikirkan untuk perancangan masa depan.

Majoriti wanita percaya diri mereka mampu mendapat zuriat asalkan memiliki tubuh badan sihat. Malah, tidak keterlaluan jika ada yang menganggap boleh hamil bila-bila masa selepas mengadakan hubungan kelamin bersama suami.

Realitinya, peluang untuk hamil adalah berbeza bagi setiap wanita. Ia mungkin mudah untuk sesetengah orang, namun boleh jadi sukar atau hampir mustahil bagi sebilangan wanita lain.

 

Foto: Hello Sehat

Menurut Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G) Pusat Perubatan Tropicana Dr Nurhazinat Mohamed Yunus, memahami proses kehamilan dari awal mungkin boleh membantu ramai wanita merancang dan mengenal potensi mahupun masalah diri.

Perkara paling utama yang perlu diketahui adalah waktu sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin. Jadi, wanita yang sukar hamil dan sedang mencuba untuk mendapatkan zuriat wajar merancang proses kehamilan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan pertama.

Mereka perlu tahu bila masa sesuai untuk melakukan seks. Sebab itu saya sarankan kepada kebanyakan wanita supaya mengambil inisiatif, merekod tempoh kitaran haid mereka untuk enam bulan.

Bagi yang masih tidak tahu atau keliru, katanya, kitaran dikira bermula daripada hari pertama datang haid terkini sehingga hari pertama haid pada bulan berikutnya.

Kitaran haid wanita yang normal biasanya antara 28 hingga 30 atau 32 hari. Ada masanya, kitaran haid berubah menjadi pendek atau panjang, melangkaui 40 hari.

Pilih jumlah hari kitaran haid paling lama dan paling pendek, kemudian masing-masing ditolak dengan 14. Secara purata, tempoh subur wanita biasanya pada hari ke 14 hingga 18 setiap bulan. Jika wanita itu mengalami kitaran haid yang panjang, ovulasi mungkin berlaku antara hari ke 14 hingga 26.

Berdasarkan kiraan itu, saya cadangkan supaya wanita berkenaan bersama suami setiap dua hari dalam waktu kitaran untuk mendapatkan peluang hamil.

Tempoh berselang hari bersama suami dalam kitaran yang betul cukup penting kerana telur dibebaskan daripada ovari boleh bertahan antara 12 hingga 24 jam saja.

Sperma biasanya dapat bertahan lebih lama iaitu sehingga tujuh hari dalam uterus dan tiub falopio. Namun bagi wanita, mereka mempunyai tempoh subur terhad, kira-kira enam hari saja. Tempoh itu termasuk lima hari sebelum dan hari berlakunya ovulasi.

Ini bermakna seks pada masa tepat, sewaktu ovulasi tidak begitu penting. Apa yang utama adalah memastikan anda bersama suami dalam tempoh subur, menggunakan kaedah berselang hari.

KENALI TANDA OVULASI

Di samping mengira kitaran haid bulanan, Dr Nurhazinat berkata, wanita juga masih boleh memerhatikan tanda perubahan pada diri untuk mengenal waktu subur.

Dalam kebanyakan kes, wanita tidak sedar mereka mengalami ovulasi berikutan tidak perasan sebarang perubahan yang berlaku pada diri. Sepatutnya, wanita yang mahu hamil perlu memerhatikan tanda semula jadi yang menunjukkan dirinya sedang menghampiri waktu ovulasi.

Ini boleh berlaku selepas hari ke 12 (dalam kitaran) atau tiga minggu sebelum haid yang seterusnya. Antara tanda ketara adalah peningkatan rembesan faraj yang jernih dan teksturnya melekit seperti putih telur. Ia biasa berlaku dalam tempoh 72 jam diikuti perubahan suhu badan, rasa tidak selesa pada bahagian perut dan payudara.

Ketika ini, ketepatan tempoh subur juga boleh dipastikan menerusi kit ujian ovulasi. Kit ini berfungsi mengesan lonjakan hormon peluteinan (LH) yang berlaku antara 24 hingga 36 jam sebelum ovulasi. Jika keputusan yang diperoleh positif, mereka disarankan untuk bersama suami dengan kaedah selang hari.

Seandainya semua kaedah yang disebutkan gagal, pasangan terbabit dinasihatkan datang ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan ultra bunyi bagi mengesan folikel telur serta mendapatkan pandangan pakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengesanan folikel ovari ini biasanya dilakukan kepada wanita yang mengalami kitaran haid yang panjang atau tidak teratur.

Ujian akan dilakukan pada hari kedua kitaran haid. Pada waktu ini, kantung biasanya bersaiz kurang 10 milimeter (mm). Kemudian, kami akan lakukan imbasan sekali lagi pada hari ke 12, sehingga mendapati saiz kantung mencecah 18 mm ke atas. Ujian ovulasi juga akan dibuat untuk mengesahkan waktu subur.

Jika semua ujian lancar dan keputusan diperoleh positif, kami akan cadangkan mereka untuk bersama. Bagaimanapun, ada juga ujian ovulasi yang memberikan keputusan negatif. Bagi kes sebegini, kami nasihatkan mereka mendapatkan suntikan untuk merangsang ovulasi.

Foto: sukseshamil.com

 

MERANCANG KELUARGA

Walaupun kaedah ini boleh membantu ramai wanita merancang kehamilan, Dr Nurhazinat tetap mengingatkan kiraan kitaran haid tidak boleh sama sekali digunakan untuk mereka yang merancang jumlah anak dalam keluarga.

Wanita perlu jelas dengan perkara ini. Ramai yang menyangka mereka boleh merancang dengan mengetahui kitaran subur. Sebenarnya ia langsung tidak boleh diguna pakai, melainkan jika wanita terbabit mengalami kitaran haid yang teratur iaitu antara 28 hingga 30 hari.

Mungkin pada 12 hari pertama mereka selamat, tetapi selepas tempoh itu, risiko hamil masih tinggi. Kita perlu ingat sperma mampu bertahan selama tujuh hari. Bayangkan jika mereka bersama pada hari ke 12, peluang hamil tetap ada.

Tambahan kalau wanita itu dipengaruhi tekanan, kenaikan berat badan, kurang tidur, mengambil antibiotik, mengalami demam atau batuk, tempoh ovulasi mungkin berlaku agak lewat daripada kebiasaan.

Jadi, suka atau tidak, wanita yang mahu mengelak kehamilan perlu mengamalkan kaedah pencegahan sesuai. Usah ambil risiko dengan merancang menggunakan aplikasi kalendar kesuburan dan sebagainya.

Semua aplikasi kesuburan atas talian direka khusus untuk mereka yang mahu hamil. Ia bukan untuk merancang jumlah kehamilan dalam keluarga kerana peratusan gagal boleh mencecah sehingga 90 peratus.

8 TANDA TIDAK SUBUR BAGI WANITA

Secara saintifiknya, ini 8 tanda anda mengalami tanda tidak subur.

1. HAID ANDA TERLALU BANYAK

Jika anda perasan haid anda makin banyak dan lebih ‘heavy’ beberapa kali kebelakangan ini, anda patut tahu bahawa ia adalah salah satu simptom menorrhagia.

Ia adalah salah satu masalah kesihatan yang dikaitkan dengan tanda tidak subur.

Menurut Mayo Clinic, terdapat beberapa faktor mendorong menorrhagia antaranya pengambilan sesetengah ubat-ubatan, UID, komplikasi kehamilan, atau ketidakseimbangan hormon – iaitu punca yang paling utama.

tanda habis haid darah

Foto Kredit: lexicolatry.com

2. HAID ANDA TAK TETAP

Pernahkah anda mencatat tarikh haid anda? Jika tidak, inilah masanya anda mengenal kitaran haid anda untuk mengetahui sama ada ianya normal.

Jika anda hanya lewat 2-3 hari berbanding hari biasa, ini bukanlah masalah besar.

Tetapi, jika haid anda ‘datang dan pergi’, sekejap ada, sekejap tak ada, ini mungkin petanda anda tidak mengalami ovulasi. Kalau tak ‘period’ langsung, anda harus cepat merujuk kepada pakar.

Menurut laman kesihatan Web MD, lebih 30-40% wanita yang mengalami pusingan haid tak tetap ini memang mengalami masalah kesuburan.

tanda habis haid

Foto Kredit: tentantes.com.br

3. HAID YANG TERLALU MENYAKITKAN

Relaks. Kalau sakit sedikit seperti ‘cramp’, ini biasa. Ada yang sakit sampai rasa susah nak buat kerja, ini pun biasa.

Tapi, kesakitan luarbiasa yang boleh buat anda sangat terseksa hingga berguling-guling dikhuatiri berpunca daripada penyakit endometriosis. 

Penyakit ini muncul ketika jaringan dari lapisan dalam dinding rahim atau endometrium tumbuh di luar rongga rahim.

Antara tanda lain endometriosis termasuklah kesakitan ketika hubungan seks, kesakitan pada dubur, atau pendarahan pada air kencing dan najis.

Foto Kredit: jugglingmom.com

Foto Kredit: jugglingmom.com

4. BANYAK SANGAT JERAWAT

Perubahan ketara pada kulit juga menandakan perubahan pada paras hormon anda.

Lebih spesifik lagi, ia dikaitkan dengan masalah PCOS (Polycystic Ovarian Syndrome). Keadaan ini berlaku apabila seseorang mempunyai lebihan hormon androgen atau ‘hormon lelaki’.

Seperti endometriosis, PCOS akan mengganggu kitaran haid dan sekaligus menjejaskan proses ovulasi.

tanda tidak subur

Foto Kredit: interne.com.br

5. LEBIHAN BULU BADAN

Akibat lebihan hormon androgen atau ‘hormon lelaki’, salah satu tanda tidak subur adalah tumbuhnya lebihan bulu-bulu pada badan atau wajah.

Jika anda mula mendapati anda perlu lebih kerap bercukur, ianya mungkin salah satu tanda ketidakseimbangan hormon atau PCOS.

Foto Kredit: youtube.com

Foto Kredit: youtube.com

6. RAMBUT GUGUR

Selain kulit, kualiti rambut adalah antara tanda ukur bagi tahap kesihatan anda.

Terdapat banyak sebab keguguran rambut yang boleh berlaku seperti stres, kurang tidur, anemia, dan tiroid. Namun, salah satu puncanya adalah masalah keseimbangan hormon.

Rambut gugur semasa mengandung

Foto Kredit: huffingtonpost.com

7. ‘TERSEKSA’ DENGAN HUBUNGAN SEKS

Selain stres atau masalah dalam rumah tangga, kurangnya nafsu untuk berhubungan seks adalah tanda tidak subur yang perlu anda ketahui.

Bagi sesetengah wanita, hubungan seks adalah sangat menyakitkan, terutamanya bagi mereka yang mengalami endometriosis.

Seks adalah perkara yang mustahak dalam hubungan suami isteri, bukan saja dalam soal untuk mendapatkan zuriat. Oleh itu, jangan abaikan tanda ini jika anda mengalaminya.

Suami kecil hati

Foto Kredit: taringa.net

8. NAIK BERAT BADAN SECARA MENDADAK

Adakah berat badan anda naik mendadak sejak kebelakangan ini? Cuba periksa diet anda, jika bukan disebabkan faktor makanan, ia mungkin kesan tindakbalas tubuh anda terhadap insulin.

Wanita yang mengalami PCOS dan mempunyai lebihan hormon androgen dipercayai memiliki daya rintangan yang lebih terhadap insulin, lalu menyebabkan anda sukar turut berat badan walaupun tidak ada sebarang perubahan pada rutin harian.

Mempunyai berat badan ideal

KETIDAKSUBURAN BOLEH DIRAWAT

Tanda tidak subur ini adalah antara tanda yang agak umum dan mungkin dialami oleh kerana pelbagai lagi faktor luaran yang lain.

Untuk mendapatkan kepastian, anda boleh mendapatkan konsultansi secara terus dengan doktor pakar sakit Puan atau Klinik LPPKN berdekatan yang menyediakan khidmat fertiliti yang khusus.

Apa pun, janganlah bersedih kerana semua masalah ini boleh dirawat. Malah, ramai wanita berjaya mengatasinya dan berjaya hamil seperti biasa.