Stres biasa dialami oleh sesiapa sahaja termasuk ibu mengandung. Stres ketika mengandung yang datang sekali sekala disebabkan situasi atau perasaan tertentu adalah normal. Contohnya stres akibat kepenatan fizikal dan rasa mual yang mengakibatkan muntah-muntah ketika mengandung. Itu semua adalah contoh stres normal yang tidak memberi kesan mudarat kepada ibu dan kandungan. Namun bagaimana si ibu mengalami stres ketika mengandung yang tidak terkawal dan berlanjutan sehingga suatu tempoh yang lama? Adakah stres seorang ibu mengandung mampu mempengaruhi perkembangan janin dalam rahim?

Kaitan Antara Hormon Stres Dengan Wanita Mengandung

Hormon stres yang juga dipanggil sebagai kortisol adalah sejenis hormon steroid yang bertindak balas apabila kita mengalami stres atau tekanan.

Tahap hormon kortisol bagi seorang ibu mengandung boleh mempengaruhi perkembangan bayi dalam kandungan sebelum dan selepas lahir. Setiap ibu mengandung merembeskan tahap kortisol yang berbeza-beza semasa kehamilan.

Fungsi hormon kortisol adalah pelbagai dan bukan hanya bertindak balas di saat badan kita mengalami stres. Hormon kortisol juga memainkan peranan penting bagi perkembangan janin contohnya bagi perkembangan paru-paru¹. Hormon kortisol yang dihasilkan menerusi sistem tubuh badan ibu mampu dipindahkan kepada janin menerusi plasenta. Perembesan hormon kortisol yang mempengaruhi perkembangan paru-paru fetus berlaku antara minggu ke 30 dan 32 kehamilan.

Apakah Penyebab Wanita Stres Ketika Mengandung

Punca stres ketika mengandung berbeza-beza di antara ibu mengandung. Ia boleh berlaku disebabkan pelbagai masalah luaran dan dalaman yang mempengaruhi emosi seorang ibu mengandung.

Namun, terdapat beberapa punca sama yang menjadi penyebab utama kepada masalah stres di kalangan wanita mengandung. Antaranya :

  1. Tidak selesa dengan perubahan fizikal. Sukar menyesuaikan diri dengan simptom mengandung seperti rasa loya, kerap muntah, sembelit, sakit tulang belakang, kepenatan dan sebagainya.
  2. Perubahan hormon terutama melibatkan hormon kortisol. Hormon kortisol sangat mempengaruhi keadaan emosi ibu mengandung.
  3. Kebimbangan terhadap proses kelahiran seperti membayangkan rasa kesakitan ketika melahirkan.
  4. Risau dengan kemampuan diri untuk menjaga bayi selepas dilahirkan.
  5. Tekanan di tempat kerja bagi ibu mengandung yang bekerjaya.
  6. Kesibukan mengendalikan urusan rumahtangga dan kerjaya dalam masa yang sama.
  7. Masalah kesihatan yang terjadi ketika mengandung seperti kencing manis dan darah tinggi

Kesan Stres Bagi Wanita Mengandung & Janin

Ibu mengandung yang mengalami stres berlarutan tanpa kawalan emosi yang stabil boleh memudaratkan kesihatan ibu dan perkembangan janin dalam kandungan.

Stres yang berlarutan dan tidak dikawal dari peringkat awal kehamilan akan menyebabkan ibu mengandung mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, depresi, sakit kepala, hilang selera makan dan lain-lain.

Kesan bagi bayi pula boleh dilihat selepas kelahiran mereka. Antara perkara yang sering terjadi apabila wanita mengandung mengalami stres ialah kelahiran bayi pra-matang atau kelahiran bayi lebih awal dari tarikh yang dijangkakan. Bayi yang lahir tidak cukup bulan biasanya dilahirkan sebelum mencapai minggu ke 37.

Bayi yang lahir tidak cukup bulan selalunya tidak cukup sihat. Masalah kesihatan yang sering dialami oleh bayi yang lahir tidak cukup bulan antaranya ialah :

  1. Tidak cukup berat. Berat normal bagi bayi baru lahir adalah antara 2.5 sehingga 4.5 kilogram. Tetapi bagi bayi pra-matang, berat mereka didapati kurang daripada 2.5 kilogram.
  2. Apnea. Penyakit ini berkaitan masalah pernafasan bayi yang tiba-tiba terhenti melebihi 20 saat. Bayi yang berhenti bernafas walaupun cuma beberapa saat boleh mengakibatkan penurunan denyutan jantung. Apnea boleh menyebabkan bayi mengalami masalah pernafasan yang tidak lancar dan sering mengalami sesak nafas.
  3. Intraventricular hemorrhage (IVH) iaitu pendarahan pada bahagian otak tengah.
  4. Demam kuning atau jaundice
  5. Anemia atau kekurangan sel darah merah.
  6. Imunisasi lemah. Bayi mudah dihidapi penyakit seperti meningitis iaitu jangkitan pada bahagian otak, pneumonia dan jangkitan dalam darah.

Menurut kajian², bayi tersebut yang membesar sebagai seorang kanak-kanak mempunyai tahap emosi yang berbeza. Tahap sensitiviti dan emosi mereka lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal yang lain. Mereka cenderung mempunyai rasa takut dan kebimbangan dalam melakukan sesuatu yang baharu sebagai seorang kanak-kanak. Adakalanya, mereka menjadi takut untuk bergaul dan mengenali rakan-rakan baru semasa memasuki alam persekolahan.

Terdapat juga kes dimana ibu mengalami keguguran akibat stres yang terlalu menekan jiwa. Tahap stres yang merisaukan sebegini menyebabkan berlaku perubahan hormon dalam badan yang tidak normal mengakibatkan janin dalam kandungan tidak dapat diselamatkan.

Kaedah Mengurangkan Stres Ketika Mengandung

Ibu yang berterusan mengalami stres ketika mengandung tidak seharusnya dibiarkan tanpa perhatian selanjutnya. Langkah-langkah sepatutnya perlu diambil bagi menangani emosi ibu mengandung yang menjurus ke arah punca stres dan depresi.

  • Kenalpasti punca stres yang dihadapi. Bawa berbincang dengan ahli keluarga terutamanya suami dan ibu bapa. Gangguan fikiran yang serius perlulah mendapatkan nasihat pakar psikologi atau kaunselor.
  • Jika stres berpunca daripada ketidakselesaan fizikal ketika mengandung, dapatkan tips dan panduan cara mengatasinya. Antaranya cara menangani loya dan senaman ibu mengandung untuk mengurangkan kesakitan pada tulang belakang.
  • Banyakkan riadah dan bersenam di luar rumah. Pastikan ibu mengandung sentiasa kekal aktif dengan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.
  • Elakkan menghisap rokok dan minuman memabukkan seperti alkohol yang membahayakan kesihatan janin.
  • Bagi ibu mengandung yang bekerja, bincang dengan bos anda untuk kebenaran dan kelonggaran dari segi bebanan kerja dan waktu untuk rehat.
  • Minta bantuan suami dan anak-anak yang lebih dewasa jika ada untuk mengurangkan bebanan kerja menguruskan rumahtangga.
  • Dapatkan nasihat doktor untuk bekalan vitamin tambahan bagi mengekalkan emosi yang stabil.
  • Makan makanan yang berkhasiat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Pastikan waktu tidur yang berjadual setiap hari untuk mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi.
  • Rancang dan pelajari tentang proses-proses kelahiran lebih awal. Buat persediaan mental dan fizikal secukupnya untuk menghadapi saat-saat kelahiran.
  • Sentiasa dapatkan nasihat dan rawatan doktor jika mengalami masalah kesihatan ketika mengandung. Pastikan anda cepat mengambil tindakan rawatan jika mengalami sakit dan stres yang berterusan.
  • Luangkan masa dengan bercuti. Kebanyakan masalah stres mampu ditangani dengan meluangkan sedikit masa untuk bercuti ditempat yang memberikan suasana ketenangan. Percutian pulau dan luar bandar amat sesuai untuk jiwa yang lebih releks.
  • Amalkan ketenangan rohani menerusi kaedah yang disarankan mengikut anutan agama masing-masing. Setiap agama mempunyai doa dan amalan tersendiri yang dapat membantu merawat penyakit rohani.

Bagaimana Jika Stres Ketika Mengandung Ini Gagal Diatasi ?

Dari segi perubatan psikologi, stres dan depresi mempunyai peringkat yang membezakan tahap keseriusan masalah mental yang dialami. Jika dengan mengamalkan tips-tips yang dicadangkan di atas masih gagal merawat masalah stres yang dihadapi, segeralah berjumpa dengan pakar kaunseling atau doktor psikologi.

Hanya mereka yang pakar dapat mengenalpasti jenis dan tahap tekanan yang anda hadapi. Mereka bukan sahaja dapat membantu anda merawati stres yang dihadapi. Malah mereka juga boleh merujuk anda kepada pakar perubatan dalam bidang obstetrik dan ginekologi untuk memastikan janin anda membesar dan selamat dilahirkan.

Rujukan :

[1] Wikipedia – Cortisol

[2] Newsweek