Semua pasangan yang baharu mendirikan rumahtangga sangat mengimpikan kehidupan yang bahagia dan tenteram sehingga ke akhir hayat mereka. Untuk mencapai kesepakatan dan kebahagiaan antara suami isteri bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Semakin panjang ikatan jodoh, semakin banyaklah ujian yang akan datang.
Tinggal Rumah Mentua Menjimatkan Kos?
Salah satu dilema yang kebanyakkan pasangan pengantin baharu alami ialah mencari tempat tinggal selepas mendirikan rumah tangga. Dalam zaman yang serba mahal dan memerlukan komitmen kewangan yang stabil ini, sudah pastilah memberikan tekanan kepada pasangan suami isteri yang berkahwin dalam usia yang muda. Si suami baharu mendapat pekerjaan, manakala si isteri pula masih mencari peluang kerja. Tambahan lagi hidup di kota metropolitan yang serba mencabar segala-galanya memerlukan perbelanjaan dan kos hidup yang semakin tinggi. Sewa rumah semakin mahal, barang keperluan naik harga, kos pengangkutan yang meningkat dan semua ini tidak mustahil memungkinkan ada kalangan suami isteri ini yang sanggup tinggal bersama-sama keluarga mentua semata-mata untuk menjimatkan kos.
Sewa rumah tak perlu bayar, bil air, bil api dan perbelanjaan rumah yang lain juga akan dapat menyelamatkan ‘duit poket’ sendiri. Tambahan jika telah dikurniakan anak, maka tidak perlu lagi menghantar anak ke rumah pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak harian yang terlalu mahal mengenakan upah. Sebenarnya situasi ini sangatlah merbahaya dan akan menimbulkan pelbagai masalah yang lebih rumit!
Lihat Keupayaan Kewangan Sebelum Berkahwin
Sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga, pasangan perlu melihat keupayaan kewangan masing-masing terlebih dahulu. Cabaran selepas kahwin sebenarnya lebih besar untuk dihadapi. Kedua-duanya perlu bersedia dari segi fizikal dan mental sekiranya tinggal bersama-sama mentua. Tidak semua pasangan yang tinggal di rumah mentua beruntung dan bahagia tetapi kebanyakannya menghadapi banyak masalah jika tidak pandai menangani isu rumahtangga. Ada pasangan yang terpaksa tinggal bersama- sama mentua disebabkan suami atau isteri itu anak tunggal. Situasi seperti ini kerap kali terjadi.
Melayani Karenah Keluarga Mentua
Sebagai menantu perempuan, kita perlu banyak mengalah kerana seorang suami perlu mendahulukan ibu bapanya berbanding isteri. Dilema inilah yang paling banyak dihadapi oleh isteri dan di sinilah mereka perlu bijak untuk menangani karenah mentua bagi mengelakkan ada hati yang terluka. Sebagai isteri seharusnya kita membantu dan menyokong suami untuk menjadi anak dan suami yang soleh dan berbakti kepada orang tua selagi hayat mereka masih ada.
Tidak dapat dinafikan banyak masalah yang akan timbul jika terlalu ramai ahli keluarga yang tinggal di bawah satu bumbung dengan mentua. Sukar untuk mendapatkan persefahaman antara satu sama lain.
Pilih Kasih Antara Menantu
Masalah lebih rumit jika ada pula mentua yang mempunyai sikap pilih kasih antara menantu. Kebiasaan kes yang terjadi, menantu perempuan yang bekerja dan sentiasa berpenampilan cantik, bergaya dan sesekali membelikan hadiah kepada mentuanya akan lebih disayangi.
Menantu yang bukan pilihan atau tidak disukainya diabaikan. Apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh menantu tetap nampak keburukan di matanya. Ini ditambah pula campur tangan daripada adik ipar atau biras yang juga tinggal serumah dengan kita. Menghasut mentua supaya terus membenci dan sentiasa mencari kesalahan orang lain. Dan yang paling menakutkan jika dibabitkan pula dengan cucu! Ada cucu kesayangan, sudah pasti cucu yang dibenci terasa tersisih. Hal ini bukan sahaja menjadi punca ketegangan keluarga tetapi hubungan menjadi tidak harmoni kerana sering berlaku perselisihan pendapat atau pergaduhan sesama ahli keluarga.
Masalah Rumahtangga Cepat Dihidu Keluarga Mentua
Anda cuba bayangkan sekiranya suami isteri berselisih pendapat sehingga tidak bertegur sapa, mendiamkan diri dan bermasam muka sudah pasti menimbulkan rasa ingin tahu dalam kalangan ahli keluarga yang ada dalam rumah tersebut. Apatah lagi mentua yang melihatnya. Mereka akan sibuk bercerita dan bergosip antara satu sama lain. Ibaratnya seperti menjaga tepi kain orang.
Konflik Perbelanjaan Rumahtangga
Begitu juga sekiranya berlaku masalah yang berkaitan dengan perbelanjaan barang-barang keperluan rumah. Ada anak yang setiap bulan hulurkan wang kepada ibu bapa, ada pula yang kedekut dan duduk makan sahaja tanpa memikirkan perbelanjaan harian. Tambahan jika ada pula anak-anak dan cucu yang ditinggalkan untuk dijaga mentua sementara ibu bapa keluar bekerja. Perlu diingatkan bahawa tahap kesihatan mereka juga perlu diberi perhatian.
Ada mentua yang terpaksa menjaga cucu disebabkan simpati kepada anak mereka kerana terpaksa membayar kos penjagaan anak yang mahal. Mereka terpaksa berhadapan dengan karenah cucu-cucu, memberi makan minum, memandikan dan memakaikan pakaian. Semua ini menjadi beban kepada mentua. Lama kelamaan mereka tidak mampu untuk terus menjaga cucu dan inilah antara punca berlakunya perselisihan faham dalam keluarga.
Sudahlah tinggal di rumah mentua, cucu pun terpaksa dijaga. Walau bagaimanapun, anda beruntunglah jika mentua terdiri daripada golongan yang berada, tiada masalah kewangan, rumah besar dengan kelengkapan bilik yang banyak, mampu mengambil orang gaji untuk menjaga cucu-cucu kesayangan. Tambahan mentua sendiri yang mempelawa untuk tinggal bersama-samanya. Tetapi hanya segelintir sahaja yang dapat merasai nikmat dan kebahagiaan ini. Setiap perkara yang terjadi mempunyai kebaikan dan keburukannya. Tetapi, pasangan suami isteri lebih digalakkan untuk tinggal di rumah sendiri atau menyewa rumah yang lain berbanding tinggal serumah dengan mentua.
Masalah rumahtangga biarlah hanya suami isteri yang tahu dan tidak melibatkan mentua dan ahli keluarga yang lain. Kadang-kadang ada yang berlaku perceraian disebabkan campur tangan mentua, ipar duai dan biras. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri!
Tetapi, jika anda bukan menantu kesayangan mentua atau ipar duai, nahaslah anda kerana hal yang kecil pun diperbesarkan menyebabkan hubungan menjadi semakin tegang. Si suami serba salah untuk menjaga hati ibunya, pada masa yang sama pula hati si isteri juga perlu diberi perhatian. Lama kelamaan terjadilah pergaduhan dan perceraian.
Sebaliknya jika tinggal sendiri sudah pasti masalah rumahtangga kita tidak dapat dihidu mereka! Selesaikanlah secara berhemah untuk menyelamatkan rumahtangga anda.
Kebaikan Tinggal Bersama Keluarga Mentua
Apa sebenarnya kebaikan jika tinggal di rumah mentua? Bagi suami atau isteri yang merupakan anak tunggal atau suami anda satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya, sudah pastilah dia bertanggungjawab menjaga kedua orang tua dan adik-beradiknya. Jika anda bersedia untuk tinggal bersama-sama mereka, sebenarnya anda membantu suami atau isteri mendekatkan hubungan antara ahli keluarga. Setiap hari kita berbual-bual, makan bersama-sama, beriadah, bercuti dan sesekali keluar membeli-belah bersama-sama, secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan keluarga dan menjadi lebih harmoni.
Selain itu, jika anda sebagai menantu yang bekerjaya, masa untuk anda beristirehat lebih banyak. Anda pasti letih dan lelah menjalani kerja seharian pejabat. Sekurang-kurangnya, anda tidak lagi terbeban dengan kerja-kerja rumah pula. Tetapi, janganlah mengambil kesempatan. Sesekali, jenguklah di dapur membantu kerja-kerja dan ringankan mulut bertegur sapa dengan mentua supaya mereka tidak memandang serong dan negatif terhadap anda. Jalankanlah tanggungjawab anda juga untuk mengambil hati mereka.
Tinggal Di Rumah Sendiri Lebih Privasi & Harmoni
Berbeza jika anda tinggal di rumah sendiri. Balik dari pejabat, ada pula kerja rumah yang perlu diselesaikan. Cuba anda bayangkan tinggal di rumah sendiri. Anda tidak perlu menghadapi masalah dengan mentua dan ipar duai. Anda bebas melakukan apa sahaja yang dimahukan, masak makanan kesukaan suami atau isteri, susunan perabot mengikut idea sendiri tanpa diberi arahan oleh sesiapa.
Mentua tidak mengongkong ke mana sahaja anda mahu pergi. Tiada tekanan dan masalah yang disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh. Begitu juga sekiranya timbul masalah antara suami isteri juga diselesaikan dengan baik tanpa campur tangan dari orang lain. Jadi berbahagialah anda bersama-sama suami, isteri dan anak-anak. Pilihan di tangan anda!