Pemilihan permainan bagi seorang bayi tentunya tidak semudah seperti membekalkan mereka dengan makanan seharian. Makanan bagi otak seorang bayi bukan hanya bergantung kepada nutrien yang diperolehi melalui gizi seharian.
Untuk merangsang otak seorang bayi supaya bijak dan kreatif, stimulus otak perlu sentiasa dirangsangkan terhadap pelbagai jenis permainan yang merangsang minda. Minda seorang bayi perlu dilatih sedari kecil supaya perkembangan otak mereka mampu ditingkatkan secara bertahap sehingga mencapai satu tahap di mana mereka mampu berfikir secara kreatif kesan daripada latihan minda yang diperolehi semasa masih kecil melalui permainan yang tepat.
Bagaimana Kreativiti Seorang Kanak-Kanak Terbentuk
Kreatif terbentuk melalui pengalaman. Pengetahuan yang luas terhadap sesuatu belum tentu cukup baik. Yang terbaik adalah menghubungkan pengetahuan dengan pengalaman. Jadi untuk menjadi seorang yang kreatif, seorang bayi memerlukan permainan yang pelbagai untuk membina pengetahuan seterusnya belajar menghubungkan pengetahuan yang terkumpul supaya menjadi lebih kreatif.
Fokus Dalam Pemilihan Permainan Yang Kreatif
Fokus seorang bayi terhadap sesuatu permainan tidak seperti kita orang dewasa. Jika orang dewasa mampu fokus dengan permainan komputer dari pagi sehingga ke malam, seorang bayi tidak begitu. Mereka selalunya akan mudah bosan dan mula hilang fokus selepas beberapa minit leka dengan permainan. Sebab itulah, sebagai ibu bapa anda perlu peka dengan pemilihan permainan yang kreatif dan pelbagai supaya otak mereka dirangsang sepanjang masa.
Bagi ibu bapa yang bingung memikirkan jenis-jenis permainan kreatif yang merangsang minda bayi, berikut ialah antara bentuk-bentuk permainan yang anda boleh pelbagaikan dan tukar dari semasa ke semasa mengikut mood dan kesesuaian umur bayi anda.
1) Dedahkan Bayi Dengan Suara dan Bunyi
Suara dan bunyi merupakan salah satu bentuk rangsangan luar yang diperolehi seorang bayi untuk mereka belajar mengenai dunia sekelilingnya. Mendengar suara ibu dan bapa adalah salah satu bentuk rangsangan minda bayi supaya mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pembentukan perkataan yang mereka dengar.
Walaupun seorang bayi masih belum mampu memahami perkataan ibu dan bapa mereka, perkataan yang didengar melalui suara-suara perbualan akan merangsang otak mereka dari semasa ke semasa. Bayi mampu memberikan respon melalui senyuman dan ketawa apabila percakapan ibu dan bapa menyentuh jiwa mereka.
Sentiasa berbual-bual dengan bayi setiap kali anda ingin melakukan suatu aktiviti dengan mereka seperti ketika ingin mandi, menyuap makanan, membuat susu minuman untuk mereka dan membacakan buku cerita ketika hampir waktu tidur.
Salah satu kebaikan sentiasa berbual-bual dengan bayi ialah mengembangkan pengetahuan mereka dalam pertuturan dan bahasa.
Anda juga boleh mendedahkan mereka dengan ritma nyanyian dan muzik yang ringan. Sediakan beberapa alat mainan muzik seperti piano mainan yang boleh menghasilkan ritma bunyi yang berbeza-beza. Alunan suara nyanyian ibu yang menidurkan bayi dapat memberikan ketenangan dalam jiwa mereka.
2) Rangsang Bayi Melalui Sentuhan
Sentuhan adalah salah satu deria yang kita gunakan sejak bayi untuk belajar mengenali dan mengetahui sesuatu. Sebenarnya, rangsangan melalui sentuhan sudah mampu dirasai semasa bayi masih dalam kandungan lagi.
Bayi dilahirkan dengan kulit yang sensitif. Mulut, pipi, muka, tangan, perut dan tapak kaki adalah antara kawasan yang sensitif terhadap sentuhan bagi seorang bayi. Sentuhan kulit ke kulit antara ibu bapa kepada bayi mampu melahirkan ikatan komunikasi yang kuat. Bayi belajar memberi tindakan refleks hasil daripada sentuhan yang kita lakukan pada kulit mereka.
Sebagai contoh, mereka belajar menggenggam suatu objek apabila diletakkan sesuatu pada bahagian tapak tangan mereka. Mereka boleh memahami perbezaan antara objek keras dan objek lembut yang diletakkan pada genggaman tangan mereka.
Lama kelamaan, setelah memasuki usia 6 bulan, mereka akan mampu menggenggam objek dengan sendiri walaupun objek yang dipegang masih jatuh pada setiap kali.
Pelbagaikan jenis-jenis objek dengan memberi mereka memegang barang permainan yang lembut, keras, berbulu, tidak berbulu, dingin, suam dan sebagainya. Bayi akan banyak belajar jenis-jenis sentuhan melalui objek permainan yang mereka sentuh.
3) Belajar Melalui Pergerakan
Seorang bayi tidak seharusnya dibiarkan baring dan tidur sepanjang masa. Mereka perlu didedahkan dengan pergerakan ringan yang membantu mereka untuk belajar bagaimana berguling dan berjalan.
Usia bayi antara 4 sehingga 6 bulan adalah umur yang paling sesuai untuk melakukan pergerakan ringan merangsang minda. Ajarkan mereka bertatih supaya dapat menguatkan bahagian tapak kaki sebelum mereka mampu berjalan.
Anda juga boleh mengguling-gulingkan badan mereka di atas permukaan permaidani supaya mereka dapat belajar cara mengalihkan badan dan merangkak.
Tangan mereka juga perlu sentiasa digerak-gerakkan. Genggam kedua-dua belah tangan mereka dan ajar mereka melakukan gerakan seperti mengangkat dan mendepa tangan ke sisi dan ke depan.
4) Permainan Rangsangan Emosi
Bayi menyukai permainan yang meriangkan hati serta membuatkan mereka ketawa. Mereka boleh ketawa dengan riang apabila perut mereka digeletek dengan lembut. Mereka juga teruja ketawa apabila kakak dan abang mereka bermain sembunyi-sembunyi atau cikucak dengan mereka. Bayi juga boleh ketawa riang apabila kita bertepuk tangan di hadapan mata mereka.
Bercakap dengan mereka melalui ekspresi muka yang berbeza-beza dapat menarik perhatian mereka untuk lebih fokus terhadap emosi yang ingin disampaikan oleh sesiapa sahaja yang berkomunikasi dengan mereka.
5) Rangsangan Deria Bau
Sudah tentu bayi tidak mampu menyatakan emosi apabila memnghidu sesuatu. Namun deria bau mereka berkembang sama seperti orang dewasa. Latih mereka mengenali jenis-jenis bau dengan mendekatkan objek kepada deria bau mereka.
Anda boleh gunakan buah limau yang dikopek, bunga yang berbau harum seperti bunga ros, bau makanan, bau bedak talkum dan sebagainya untuk merangsang deria bau mereka supaya lebih sensitif terhadap bau.
6) Tingkatkan Keberanian & Keyakinan Bayi
Keberanian dan keyakinan penting untuk membentuk personaliti anak-anak apabila mereka membesar. Bayi yang dibesarkan dengan pendedahan terhadap perlbagai jenis aktiviti dan cabaran didapati lebih kreatif dan perkembangan otak juga lebih cepat berbanding kanak-kanak yang pasif terhadap dunia luar.
Sedari bayi lagi, biarkan mereka mencuba pelbagai perkara dan permainan baharu yang belum pernah mereka cuma sebelumnya.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar bayi mereka ke kelas renang. Dewasa kini, semakin banyak kursus kelas berenang disediakan untuk bayi yang berusia 6 bulan ke atas. Kelas renang menjadi pilihan kebanyakan ibu bapa supaya bayi mereka lebih yakin apabila berhadapan dengan kedalaman air.
Selain itu, biasakan bayi dengan orang-orang terdekat dari kalangan ahli keluarga selain daripada ibu bapa. Sesetengah bayi amat sukar didekati dan mudah menangis apabila bersama dengan orang yang tidak dikenali. Biasakan mereka dengan kalangan ahli keluarga lain supaya mereka lebih mudah mesra dan berani bergaul dengan orang ramai.
Kesimpulannya..
Banyak lagi jenis-jenis permainan kreatif yang sesuai untuk usia seorang bayi. Perkara paling utama ialah mendedahkan mereka dengan pelbagai rangsangan, objek, perkataan, pendengaran, alam sekitar dan sebagainya. Setiap pengalaman baru yang diperolehi mereka ini merupakan satu bentuk permainan awal yang kreatif dalam mencetuskan rangsangan minda seorang bayi yang sedang membesar.