Kanak-kanak sememangnya menggemari sosej. Walaupun nasi lebih mengenyangkan dan menyihatkan untuk mereka, namun selera kanak-kanak tidak sama seperti orang dewasa. Mereka lebih menyukai makanan ringan yang tidak begitu mengenyangkan. Sosej adalah makanan pilihan yang sering disediakan oleh kebanyakan ibu di rumah. Jika anak lapar dan tidak berselera untuk makan nasi, sosej mampu menyelamatkan keadaan. Ianya pilihan yang lebih disukai kebanyakan suri rumah. Dengan menyediakan stok sosej di rumah, anda tidak perlu membiarkan mereka kelaparan atau anda pula yang terpaksa keluar membeli makanan lain yang disukainya.
Jarang sekali kanak-kanak akan menolak apabila dihidangkan dengan sosej. Walaupun dihidangkan begitu sahaja selepas digoreng, mereka tetap mampu menikmatinya dengan penuh berselera. Jikalau ada roti pula pasti si ibu akan membungkus potongan sosej ke dalam roti dan menambahkan sos cili atau sos tomato dan mayonis. Cara ini akan membuatkan mereka lebih kenyang dalam menikmati sosej.
Sebagai ibu anda haruslah kreatif dalam menyediakan hidangan sosej untuk anak anda. Hidangan sosej yang menarik akan meriangkan dan menceriakan hati kanak-kanak. Apabila senang hati, mereka pasti akan menikmati hidangan sosej hasil dari air tangan anda itu dengan penuh berselera. Kalau anda kehabisan idea dalam menyediakan resepi hidangan sosej untuk anak anda, kami kongsikan 8 resepi masakan unik daripada sosej ini.
1.Roti Sosej Makaroni & Keju
Hidangan sosej ala-ala McDonalds yang tentu membuatkan anak anda tertarik untuk menikmatinya. Kanak-kanak pasti suka sehingga sebiji roti sosej sahaja tentu tidak puas bagi mereka. Cara membuatnya seperti berikut :
Bahan-bahan
- 226 gram makaroni
- 2 sudu makan butter
- 3 sudu makan tepung
- 1 tin susu cair
- 1/2 cawan stok ayam
- 1 sudu teh serbuk mustard
- 225 gram keju cheddar
- Sedikit garam
- Roti kapit & sosej
Cara-cara membuatnya :
- Panaskan air di atas dapur. Masukkan sedikit garam. Rebus pasta sehingga lembut. Setelah itu, buangkan airnya.
- Cairkan butter dalam kuali. Masukkan tepung dan kacau bersama selama 1 minit. Masukkan susu sejat dan stok ayam. Masak sehingga jadi pekat. Kacau sehingga rata.
- Tambahkan serbuk mustard dan keju cheedar secara berperingkat sehingga keju mencair.
- Masukkan pasta ke dalam sos keju dan gaul bersama-sama sehingga rata.
- Untuk penyediaan sosej,anda boleh pilih sama ada masak sosej secara goreng atau rebus dalam air.
- Masukkan sosej ke dalam apitan roti. Tambah mac & cheese di atasnya. Sedia untuk dihidangkan untuk anak-anak anda.
2. Sosej Bungkus Spiral
Roti sosej ini menggunakan doh roti yang dibakar. Untuk lebih menarik anda boleh menggunakan pemegangkayu aiskrim yang boleh dibeli di pasaraya. Cucukkan pada sosej dan anak anda boleh nikmatinya seperti makan aiskrim.
Bahan-bahan :
- 1 cawan tepung gandum
- 1 paket yis
- 1/2 sudu teh garam
- 2 sudu makan gula perang
- 3/4 cawan keju kotej
- 1/4 cawan air
- 1 sudu teh minyak sayuran
- 1 biji telur
- 1-1/4 cawan sehingga 1-3/4 cawan tepung serba guna
- 1 paket sosej
Cara-cara membuatnya :
- Campurkan tepung gandum, yis, garam dan gula dalam mixer
- Adunkan keju kotej, minyak dan air. Hangatkan bahan-bahan ini
- Tambahkan adunan tepung di atas tadi dengan sebiji telur. Pukul selamat 3 minit dengan kelajuan sederhana.
- Tambah 1/2 cawan tepung serba guna dan pukul selama 1 minit sehingga terbentuk adunan yang anjal.Bungkus bekas adunan doh dengan pembalut plastik. Biarkan doh mengembang selama sepuluh minit.
- Sediakan bekas empat segi bersaiz besar. Masukkan doh ke dalamnya sehingga memenuhi bekas. Jangan terlalu tebal kerana doh akan mengembang apabila dibakar.
- Gunakan pisau untuk potong adunan doh secara memanjang kepada 10 hingga 12 bahagian.
- Setiap adunan doh yang dipotong itu dililitkan secara berputar dan menegak mengelilingi sosej.
- Sediakan bekas pembakar. Sapukan sedikit mentega pada permukaannya supaya doh tidak melekat apabila dibakar.
- Panaskan oven pada suhu 170 darjah celcius. Bakar doh antara 15 ke 20 minit sehingga adunan bertukar warna perang dan sosej masak sepenuhnya.
- Sedia untuk dihidangkan dengan sos, mayonis atau sos keju.
3. Sosej Octopus
Bosan hidangkan sosej begitu sahaja tanpa sebarang hiasan yang menarik? Paling mudah ialah dengan memotong sosej kepada bentuk octopus. Caranya cukup mudah. Potong sosej kepada dua bahagian iaitu dengan memotong bahagian tengah.
Anda akan dapat kedua-dua hujung kepala sosej dan hujung yang telah dipotong. Ambil bahagian hujung yang dipotong ini dan belah-belahkan secara memanjang separuh daripada sosej secara menegak menyerupai kaki octopus yang memanjang. Seeloknya anda potong sebelum sosej digoreng supaya ia tidak hancur. Ambil pencucuk lidi dan bentukkan lubang supaya terbentuk kedua-dua belah mata octopus. Anda juga boleh hidangkan dengan mencucuk sosej ini dengan pencucuk lidi. Sedia dihidangkan dengan mayonis dan sos.
4. Roti Sosej Kukus
Sedapnya jika dapat nikmati roti lembut yang dikukus dengan sosej. Lebih menyelerakan apabila dinikmati bersama lelehan kepingan keju cair dan sos.
Bahan-bahan :
- Roti sosej
- Sosej
- Mayonis
- Keju keping
Cara-caranya :
- Panaskan air kukusan sebelum mengukus.
- Potong roti sosej separuh di bahagian tengah.
- Sapukan roti dengan mayonis, letakkan sosej dan sekeping keji di atasnya.
- Kukus antara 3 sehingga 5 minit.
- Sedia dihidangkan bersama sos cili atau sos tomato.
5.Cucur Sosej
Dari kebanyakan idea cucur atau cekodok, ini adalah resepi terbaharu yang sedang menjadi kegilaan para ibu. Cucur sosej tentunya sedap dicecah bersama sos cili sambil dinikmati dengan teh panas waktu petang-petang.
Bahan-Bahannya :
- 5 batang sosej
- 7 batang isi ketam
- Sebiji bawang besar
- 2 biji cili merah besar
- Daun kucai/ Daun Sup
- 4 cawan tepung gandum
- 4 cawan air panas Satu sudu besar pati ayam
- Garam secukupnya
- 1 sudu gula
Cara-caranya :
- Masukkan tepung dan kesemua bahan dalam satu bekas. Tambahkan air panas
- Gaul sebati dan biarkan sejuk seketika
- Sedia untuk digoreng dalam minyak yang banyak.
- Setelah siap goreng, hidangkan bersama sos cili atau sos lain yang sesuai.
6. Roti Sosej Cheese Leleh
Paduan antara keju leleh yang dipanaskan dengan sosej sememangnya menyelerakan. Lebih sedap apabila dinikmati bersama dengan roti sandwic.
Bahan-Bahannya :
- 1 bungkus roti sandwich
- 1 bungkus sosej
- Keju cheddar
- 2 biji telur
Cara-caranya :
- Sediakan 2 keping roti.
- Letakkan sekeping keju di atasnya
- Potong keju yang telah dipotong kecil di atas keju secara teratur.
- Lapisi bahagian sosej yang telah disusun tadi dengan sekeping lagi keju di atasnya.
- Pecahkan dua biji telur dalam pinggan dan kacau sehingga kembang.
- Celupkan roti ke dalam bancuhan telur.
- Seterusnya panaskan kuali dan bakar roti sehingga keperangan.
- Jika suka, anda juga boleh tambahkan sos. Sedia untuk dinikmati.
7. Sosej Masak Tiga Rasa
Untuk hidangan lauk tengah atau makan malam yang ringkas, anda boleh sediakan sosej masak tiga rasa untuk hidangan sekeluarga. Ianya boleh dinikmati bersama nasi dan telur goreng dadar. Cukup mudah tetapi mengenyangkan.
Bahan-bahan:
- Sosej daging atau ayam yang direbus dan dipotong.
- Sebiji bawang besar
- 3-4 ulas bawang putih
- Sedikit halia
- Lada benggala
- Daun saderi
- Sos tomato secukup rasa
- Sos cili secukup rasa
- Lada sulah
- 1/2 biji lemon
- Gula dan garam
Cara-caranya:
- Kisar atau tumbuk bawang besar, bawang putih dan halia.Tumiskan sehingga naik bau wangi.
- Masukkan sos tomato dan sos cili.
- Masukkan juga sedikit air jika masakan terlalu pekat.
- Masukkan lada benggala dan daun saderi dan gaul rata dengan sos.
- Masukkan sosej, tambahkan garam, gula dan lada sulah.
- Perahkan sedikit jus lemon dan gaul serata.
8. Shakshuka Sosej & Telur
Resepi masakan asli dari negara Mediteranean dan Timur Tengah. Boleh dinikmati pelbagai cara antaranya bersama roti.
Bahan-Bahan :
- 3 biji tomato dipotong dadu
- 1 biji bawang besar dipotong dadu
- 10 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- Satu paket daging cincang
- 5 – 6 batang sosej ayam atau daging di potong
- 1 biji capsicum dipotong dadu
- 1 tin pati tomato
- 1 sudu makan serbuk cili
- 1 sudu makan serbuk jintan manis
- 1 sudu makan herba campuran (oregano, thyme, rosemary,parsley)
- Gula dan garam secukup rasa
- Daun parsley
- 3 biji telur ayam
- Minyak zaitun
Cara-caranya :
- Panaskan minyak zaitun dalam pan masakan non-stick. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi
- Masukkan daging cincang dan kepingan sosej. Biarkan seketika sehingga kedua-duanya hampir masak.
- Tambahkan capsicum, tomato dan air. Biarkan ia mendidik.
- Taburkan serbuk cili, jintan putih dan herba campuran.Tambah garam dan gula secukup rasa.
- Biarkan seketika sehingga ia menjadi pekat.
- Setelah itu pecahkan telur ke dalamnya. Alihkan sedikit bahan masakan supaya telur berada di tengah-tengah masakan.
- Tutup kuali supaya telur senang masak.
- Setelah itu tutup api. Hiaskan dengan potongan daun parsley dan serbuk lada hitam.
- Nikmati dengan roti potong atau lain-lain hidangan yang sesuai.