Dalam dunia ini kita tidak nafikan wujudnya individu yang terlalu obses terhadap kecantikan diri sendiri. Obses ini adakalanya menyebabkan manusia tidak sanggup menerima kekurangan diri dari segi rupa dan fizikal. Mereka rela berkorban apa sahaja termasuk wang ringgit semata-mata untuk mengubah keadaan wajah dan fizikal semata-mata untuk mendapatkan fizikal dan paras rupa yang diimpikan.
Dalam keadaan tertentu, seseorang itu dibenarkan untuk menjalani pembedahan kosmetik. Ia dipanggil pembedahan kosmetik rekonstruktif. Sebagai contoh membaiki keadaan bibir yang sumbing, membaiki struktur muka yang rosak akibat kemalangan, membuat rawatan laser untuk menghilangkan tanda lahir yang bertompok di muka dan sebagainya. Namun bagaimana pula dengan individu sempurna yang masih berharap memiliki rupa paras yang jauh lebih cantik? Adakah anda setuju bahawa mengubah wajah asal adalah sesuatu yang baik untuk dilakukan?
Jenis-Jenis Pembedahan Kosmetik
Terdapat lebih daripada 15 jenis pembedahan kosmetik. Ia dikategorikan mengikut anggota atau bahagian badan yang dibolehkan untuk pembedahan kosmetik. Antaranya ialah :
- Pembentukan hidung
- Pembentukan payudara
- Pembentukan kelopak mata
- Penegangan oto abdominal
- Pembuangan kedut di bahagian muka
- Pembedahan pembuangan lemak
- Pembedahan penyingkiran bulu badan
- Penukaran jantina
Mereka yang nekad menjalani pembedahan kosmetik selalunya tidak mempedulikan tanggapan masyarakat. Asalkan mereka mampu membayar wang untuk kos pembedahan tersebut dan akhirnya tampil dengan imej baru dengan wajah yang lebih menarik. Pembedahan kosmetik adalah satu jalan menyakitkan. Sebelum anda nekad menjalani pembedahan kosmetik, ada baiknya anda pertimbangkan 7 perkara ini.
1. Anda Mungkin Berhadapan Dengan Kesan Alergi
Sebelum menjalani pembedahan kosmetik, kebiasaannya doktor pakar kosmetik akan menyemak jika pesakit mereka mempunyai latar belakang berkaitan alergi. Pesakit mungkin akan mengalami alahan terhadap beberapa material berunsur kimia dan plastik yang digunakan sebagai ganti bahagian tertentu anggota badan yang dibedah. Sebagai contoh penggunaan bahan dari acrylates, silikon, getah dan lateks.
Kesemua bahan sintetik ini dihasilkan daripada unsur kimia. Bahan kimia sering menjadi punca alahan bagi sesetengah individu. Oleh itu penting bagi anda menyatakan setiap alahan yang dialami sama ada melibatkan makanan, material pakaian, barang kemas berunsur perak dan emas dan lain-lain.
Kebanyakan individu yang menjalani pembedahan kosmetik akan mengalami kesan alahan kecil. Alahan ini biasanya dikurangkan dengan ubat-ubatan tertentu yang dibekalkan oleh doktor.
2. Berjaga-Jaga Dengan Nilai BMI Badan
Mereka yang mengalami obesiti berisiko terhadap kesan ubat anestetik yang yang digunakan dalam pembedahan plastik. Selain itu, kesan pembedahan itu sendiri berisiko terhadap individu yang mengalami obesiti.
Kebanyakan doktor pakar tidak menyarankan individu obesiti menjalani pembedahan kosmetik sebelum mereka berjaya menurunkan berat badan. Untuk menjalani pembedahan kosmetik, pesakit perlu mempunyai nilai BMI tidak melebihi atau kurang daripada 30. Risiko komplikasi daripada pembedahan kosmetik bagi individu obesiti jauh lebih tinggi dibandingkan dengan individu dengan berat badan normal. Antara komplikasi yang dimaksudkan ialah risiko serangan jantung. Obesiti juga sering menyebabkan masalah sleep apnea. Ia boleh menyebabkan komplikasi apabila dibekalkan dengan suntikan anestetik
3. Berhenti Merokok & Jauhi Alkohol
Tidak dapat dinafikan lagi betapa buruknya kesan rokok dan alkohol terhadap kehidupan manusia. Kandungan nikotin dalam rokok akan menjadi punca kegagalan suatu pembedahan kosmetik. Kesan campuran nikotin dengan pembedahan kosmetik akan menghasilkan kesan yang mengerikan. Antaranya :
- Jangkitan kuman
- Luka pembedahan sukar sembuh
- Sekatan pada pembuluh darah yang menyebabkan kematian
- Kerosakan jaringan lemak di bahagian payudara wanita
- Pembentukan implan yang tidak berkesan
- Serangan jantung, strok dan pneumonia
Nikotin yang telah bercampur dengan sel-sel badan ini akan menghasilkan kesan buruk kepada mereka yang menjalani pembedahan kosmetik. Kebiasaanya, doktor akan menyarankan pesakit untuk berhenti merokok dalam tempoh beberapa minggu sebelum pembedahan dan selepas pembedahan. Suntikan anestesia bagi perokok tegar juga lebih berbanding dengan individu yang tidak merokok. Begitu juga dengan bekalan ubat-ubatan selepas pembedahan. Bagi peminum alkohol pula, komplikasi pembedahan pula biasanya menyebabkan pendarahan yang serius.
4. Awasi Penyakit Tertentu
Asma
Penyakit asma boleh menyerang pesakit pada bila-bila masa termasuk ketika menjalani pembedahan plastik. Sebelum menjalani pembedahan plastik, pesakit akan dipastikan berada dalam keadaan normal serta dibekalkan dengan keperluan ubat-ubatan yang lengkap termasuk penggunaan inhaler. Individu yang mengalami akut asma berisiko menghadapi komplikasi ketika pembedahan sedang berlangsung.
Diabetes
Penyembuhan luka selepas pembedahan bagi pesakit kencing manis berlaku lambat berbanding dengan pesakit normal. Pesakit perlu memastikan nilai glukosa berada dalam paras yang selamat sebelum memasuki bilik pembedahan. Pesakit kencing manis perlu menjaga pemakanan selepas pembedahan bagi memastikan proses penyembuhan luka berjalan dengan lancar dan kering dengan cepat. Protein adalah sumber makanan yang baik untuk penyembuhan luka pembedahan.
5. Emosi Tidak Stabil
Mereka yang mengalami keadaan emosi yang tidak stabil akan cenderung mengalami tekanan. Ini akan mengubah keadaan denyutan jantung menjadi lebih laju dan tidak stabil. Keadaan emosi pesakit perlu dipastikan stabil sebelum dan lebih-lebih lagi semasa dan selepas menjalani pembedahan.
Bagi mereka yang mengalami latar belakang kesihatan mental yang tidak stabil seperti tekanan perasaan dan bekas pesakit skizofrenia, doktor mungkin akan menyarankan anda menjalani pengulangan pemeriksaan untuk mengesahkan keadaan mental dan emosi pesakit. Langkah ini penting untuk melindungi pihak hospital jika berlaku sebarang komplikasi semasa pembedahan berlangsung.
6. Penjagaan Selepas Pembedahan
Penjagaan selepas pembedahan amat kritikal untuk memastikan penyembuhan berlangsung dengan jayanya. Tempoh penyembuhan bergantung kepada jenis pembedahan dan keadaan fizikal pesakit. Mereka yang mempunyai latar belakang penyakit seperti diabetes dan mereka yang berumur akan memakan masa penyembuhan yang lebih lama berbanding mereka yang sihat dan muda.
Sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat amat penting dalam proses penyembuhan. Mereka boleh membantu anda dari segi penyediaan menu makanan yang dapat mengembalikan semula tenaga dan luka akibat pembedahan. Dua hari selepas tempoh pembedahan adalah tempoh kritikal yang perlu diberikan penekanan.
7. Pastikan Anda Mendapatkan Khidmat Pakar Pembedahan Kosmetik Bertauliah
Banyak kes komplikasi pembedahan berpunca daripada pesakit yang gagal mendapatkan doktor pembedahan plastik yang bertauliah. Kadangkala ia berlaku berpunca daripada sikap obses pesakit yang terlalu inginkan kecantikan sehingga mengabaikan aspek keselamatan.
Kebanyakan doktor pembedahan plastik yang tidak bertauliah akan menawarkan kos pembedahan yang jauh lebih rendah. Ini menjadi umpan bagi mereka yang terlalu obses menjalani pembedahan plastik. Maka ramailah pesakit yang terpancing dengan nilai kos pembedahan yang murah tanpa mengetahui kesan daripada pembedahan akibat daripada doktor yang tidak mendapat tauliah.
Setelah pertimbangkan 7 perkara ini, adakah anda fikir pembedahan kosmetik sebagai jalan terbaik untuk mendapatkan wajah yang cantik, kacak dan bentuk badan yang menawan? Kesan terbaik pembedahan kosmetik yang anda lihat pada individu lain mungkin tidak sama dengan hasil pembedahan kosmetik yang anda jalani. Kejayaan sesebuah pembedahan kosmetik turut bergantung kepada pelbagai faktor.