Pemilihan minuman adalah perkara yang paling kritikal bagi seorang pesakit kencing manis. Untuk menjaga paras gula dalam darah, pesakit kencing manis perlu memberi penekanan terhadap dua perkara dalam pemilihan minuman iaitu nilai kalori dan kandungan gula dalam minuman. Air putih pastinya pilihan minuman terbaik bagi pesakit kencing manis kerana ia tidak mengandungi kalori dan gula. Namun sekali sekala pastinya selera terhadap minuman lain akan terkuak juga. Adakalanya mereka pasti rindu untuk menikmati keenakan pelbagai jenis minuman seperti semasa mereka masih sihat dahulu.

Bagi pesakit kencing manis, anda sebenarnya masih mempunyai beberapa pilihan minuman selain daripada air putih. Berikut ialah beberapa pilihan minuman yang anda boleh pelbagaikan dalam pemilihan minuman harian anda. Apa yang perlu dititikberatkan ialah dari segi penyediaan minuman dan berwaspada dalam kuantiti pengambilannya.

1.Coklat Susu

Salah satu minuman enak yang menjadi pilihan ramai. Bagi pesakit kencing manis, elakkan daripada minuman coklat seperti milo, minuman coklat dalam paket dan coklat dalam kotak. Kesemua jenis pilihan minuman coklat ini telah dimasukkan sejumlah gula yang agak tinggi di mana kuantitinya membahayakan pesakit kencing manis. Cara penyediaan yang lebih selamat ialah melalui penggunaan serbuk koko.

Cara penyediaan : Campurkan tiga sudu serbuk koko dengan dua sudu pemanis tanpa kalori pilihan anda bersama dengan sedikit campuran susu segar. Kaedah penyediaan ini mengurangkan nilai kalori dan karbohidrat berbanding yang tersedia dalam kotak dan paket.

2. Teh Perisa Buah-Buahan

Sesekali anda pasti teringin menikmati teh ais sejuk perisa lemon. Sebenarnya anda boleh nikmati lebih daripada sekadar teh lemon walaupun menghidapai penyakit kencing manis. Anda boleh menggunakan lemon atau buah-buahan lain yang berjus selain daripada lemon seperti raspberi, strawberi dan pic. Pilih buah-buahan dengan kandungan gula yang rendah.

Cara penyediaan : Sama ada sejuk atau panas. Campurkan dua sudu serbuk teh dalam air panas. Untuk campuran buah, anda boleh kisar terlebih dahulu buah dengan sedikit air. Tidak perlu tambahan gula atau pemanis. Kemudian campurkan jus buah yang dikisar ini dalam secawan teh. Tambah beberapa ketul ais atau simpan dalam peti sejuk jika ingin menikmatinya ketika sejuk.

3. Jus Oren

Oren kaya dengan kandungan vitamin C. Fiber yang tinggi dalam sebiji oren boleh membuatkan perut anda kenyang untuk tempoh masa yang panjang. Anda boleh menikmati daripada jus yang dihasilkan daripada oren yang dikisar sendiri di rumah. Boleh juga memilih beberapa jenama yang terdapat di pasaran. Namun pastikan nilai karbohidratnya tidak melebihi 3 gram, kalori 15 dan dihasilkan seratus peratus dari sumber buah oren.

Cara penyediaan : Untuk jmenghasilkan jus oren sendiri di rumah cukup mudah. Gunakan pengisar, potong oren dan campurkan sedikit air. Boleh juga menggunakan susu rendah lemak. Kisar oren dan sedia untuk diminum.

4. Coklat Panas

Walaupun menghidapi kencing manis, anda masih boleh menikmati secawan coklat panas yang kaya dengan keenakan coklat. Ia berbeza dengan coklat susu kerana terdapat sedikit campuran rempah seperti serbuk kayu manis yang membuatkan rasa coklat lebih enak dan segar dinikmati.

Cara penyediaan : Tambahkan coklat hitam sama ada dalam bentuk kepingan atau serbuk dalam secawan susu rendah lemak yang dipanaskan di atas dapur. Masukkan satu sudu perasa vanila dan satu sudu serbuk kulit kayu manis. Hidangkan dalam secangkir cawan. Taburkan sedikit serbuk kulit kayu manis sebagai hiasan sebelum diminum.

5. Smoothie Buah-Buahan

Smoothie adalah campuran pelbagai jenis buah-buahan. Untuk lebih sihat, anda boleh memilih buah-buahn dengan kandungan gula paling rendah seperti kiwi, strawberi, pic, lemon, ceri dan raspberi.  Elakkan penggunaan buah-buahan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi antaranya buah nanas, pear, pisang, tembikai, epal dan mangga.

Cara penyediaan :  Campuran satu genggaman buah beri biru, sepuluh biji strawberi dan setengah potong pisang dalam pengisar. Masukkan beberapa ketul ais dan campurkan sedikit air. Kisar sehingga kesemua campuran buah-buahan benar-benar hancur. Sedia untuk diminum.

6. Air Halia

Ini bukan sebarang air halia yang anda fikirkan. Ramuan air halia ini lebih sedap kerana mengandungi beberapa ramuan tambahan iaitu campuran garam laut dan jus lemon. Air ini sesuai dinikmati jika anda mengalami angin dalam badan melalui khasiat halia yang berkesan untuk pembuangan angin dalam badan.

Cara penyediaan :  Gunakan halia hidup, setengah sudu kecil garam laut atau garam Himalaya. Perah setengah cawan jus lemon. Mula-mula rebuskan halia dalam air untuk mendapatkan air rebusan halia. Tambahkan garam laut dan campurkan jus lemon yang telah disediakan tadi. Kacau seketika di atas dapur. Setelah itu tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Boleh juga disimpan dalam peti sejuk sebelum dinikmati.

7. Mocha

Siapa kata anda tidak boleh menikmati secawan mocha ketika menghidapi kencing manis ? Yang tidak selamat adalah mocha yang disediakan di kafe atau mocha dalam tin yang terdapat di pasaran. Minuman mocha yang selamat untuk pesakit kencing manis adalah yang disediakan sendiri di rumah. Penyediaan minuman mocha di rumah lebih selamat kerana anda boleh mengawal jumlah dan jenis susu serta dapat menggantikan gula dengan bahan pemanis yang tidak mengandungi kalori.

Cara penyediaan :  Campurkan serbuk kopi yang dibrew dengan air panas. Tambahkan satu sudu kecil serbuk koko, dua sudu besar susu rendah lemak dan sedikit pemanis tambahan yang tidak mengandungi kalori. Kacau dan mocha panas anda sedia untuk diminum.

8. Cuka Epal / Apple Cider

Cuka epal kini semakin terkenal sebagai salah satu amalan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan. Baunya mungkin agak kurang menyenangkan tetapi ia masih enak untuk dinikmati melalui beberapa kaedah penyediaan minuman.

Cara penyediaan : Campurkan lima sudu besar cuka epal dalam sebiji cawan. Masukkan ais panas, tambahkan sedikit jus lemon, sedikit serbuk kulit kayu manis dan gula stevia. Kacau sebelum diminum. Anda juga boleh menggantikan jus lemon dengan air halia atau camouran kedua-duanya untuk rasa yang berbeza.

Pesakit Kencing Manis Perlu Elakkan Minuman Ini

Anda mempunyai lapan pilihan di atas yang tentunya jauh lebih enak dan selamat untuk menjaga paras gula dalam darah. Sememangnya sudah ramai yang mengetahui bahawa kebanyakan minuman dalam tin, botol dan paket segera yang terdapat di pasaran mengandungi nilai kalori, karbohidrat dan gula yang tinggi di mana ia sangat berbahaya dan boleh memudaratkan keadaan pesakit kencing manis. Secara asasnya, pesakit kencing manis perlu mengelakkan empat jenis minuman ini.

1.Minuman Soda & Air Gas

Nilai kalori dan karbohidrat dalam air soda dan air gas amatlah tinggi. Begitu juga dengan kandungan gula. Walaupun kini terdapat pilihan air gas yang kononnya tidak mengandungi gula, namun pesakit kencing manis perlu berhati-hati dengan kandungan kalori dan karbohidrat. Kedua jenis bahan ini apabila salah satu penyebab meningkatnya paras gula dalam darah.

2. Minuman Tenaga

Ada pendapat mengatakan pilihan air tenaga yang tidak mengandungi gula selamat untuk diminum termasuk kepada pesakit kencing manis. Namun anda masih perlu berhati-hati dengan kandungan kafein yang sangat tinggi dalam minuman tenaga.

3. Jus Buah Yang Dicampur Gula

Anda boleh menikmati jus buah pilihan anda. Pilihan yang sihat adalah dengan memilih buah yang paling rendah kandungan gulanya dan mengelakkan buah dengan kandungan gula yang tinggi. Jangan sesekali mencampurkan jus buah-buahan anda dengan tambahan gula kerana gula semulajadi yang sedia ada dalam buah-buahan sudah cukup manis untuk menghilangkan ketagihan gula anda.

4. Minuman Beralkohol

Minuman beralkohol bukan sahaja dilarang dalam sesetengah agama, ia juga memberi kesan mudarat kepada seluruh sistem tubuh badan untuk jangka masa panjang. Bagi pesakit kencing manis yang menghidapi paket penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, alkohol akan meningkatkan lagi kesan mudarat penyakit anda.