Jangan Terlepas Tarikan Menarik Ini dalam Perjalanan Dua Hari, Satu Malam Anda ke Sabak Bernam!
Sabak Bernam ialah sebuah daerah di Selangor yang terkenal dengan persekitaran semula jadi yang indah dan kaya dengan warisan pertanian atau agro pelancongan. Ia adalah destinasi popular untuk pelancong domestik yang ingin merasai budaya dan keindahan tempatan di Negeri Selangor. Jika anda merancang perjalanan ke sana, panduan perjalanan ini akan menawarkan anda gabungan tarikan budaya dan alam semula jadi di daerah ini, serta peluang untuk berehat di penginapan unik dan menikmati masakan tempatan.
TARIKAN DAN AKTIVITI PELANCONGAN
Sabak Bernam memiliki pelbagai lokasi menarik, daripada sawah padi yang indah kepada aktiviti outdoor dan pengalaman budaya. Ia adalah destinasi yang sempurna untuk mereka yang mencari pengembaraan di luar!
Galeri Padi Sekinchan
Kunjungi Galeri Padi Sekinchan dan pelajari tentang sejarah dan budaya pertanian padi di bandar ini. Bagi meraikan warisan pertanian yang kaya di sini, galeri ini menampilkan pameran tentang proses pertanian padi serta paparan interaktif untuk dinikmati pengunjung. Pengunjung juga boleh mempelajari tentang pelbagai jenis beras padi, dan melihat peralatan tanaman padi tradisional. Galeri ini juga mempunyai pemandangan sawah padi yang indah untuk mengambil gambar. Di penghujung lawatan, pengunjung boleh membeli beras dan snek tempatan di kedai mereka. Para pengunjung juga wajib mencuba cendol beras perang mereka yang menyegarkan!
Ah Ma House, Sekinchan
Ah Ma House, juga dikenali sebagai “rumah nenek” ialah kedai yang terletak di pinggir Sekinchan yang menawarkan suasana yang unik dan nostalgik untuk pengunjung. Kedai ini dihiasi sepenuhnya dengan perabot serta peralatan vintaj dan tradisional yang merupakan artifak sebenar sejak tahun 50-an. Kedai ini menawarkan kuih kapit asli bersama dengan kuih tradisional Malaysia yang lain, biskut dan pencuci mulut. Ah Ma House menghasilkan produk-produk mereka di kedai tersebut setiap hari bagi memastikan kualitinya terjaga.
Kelip-Kelip Sungai Panjang, Sungai Besar
Pusat Konservasi Kelip-kelip Sungai Panjang adalah antara lokasi yang wajib diterokai bagi mereka yang ingin menikmati keajaiban alam semula jadi. Kuantiti mereka yang banyak di kawasan itu menjadikan Sungai Panjang sebagai salah satu kawasan perlindungan utama kelip-kelip di Selangor dan pengunjung dapat menyusuri sungai dengan menggunakan bot untuk menyaksikan kerlipan cahaya. Dibuka dari jam 8 malam hingga 10 malam setiap hari, tempat perlindungan ini merupakan pengalaman unik dan ajaib untuk pengunjung dari semua peringkat umur.
Gastronomi
Restoran Nam Tai, Sungai Besar
Terletak di Sungai Besar, Restoran Nam Tai adalah kopitiam lagenda yang telah beroperasi selama beberapa dekad. Restoran ini menyajikan sarapan pagi yang ringkas tetapi lazat sepanjang hari yang terdiri daripada kopi, roti goreng dengan kaya dan makanan kegemaran tempatan, Nasi Lemak. Dengan estetik kopitiam Malaysia di zaman 50-an, tempat ini perlu dikunjungi!
Warung Pisang Goreng Tebuk Pulai, Sungai Besar
Singgah ke warung ini untuk menikmati kuih-muih tempatan sebelum anda meneruskan lawatan ke Sabak Bernam. Warung ini menyajikan pelbagai kuih tradisional dan snek untuk anda merasai pengalaman budaya tempatan. Antara makanan terkenal yang dijual termasuk pisang goreng, kuih kemboja, dan hidangan istimewa Jawa, punten nasi sambal bilis.
Yu Yu Ice, Pekan Sabak Bernam
Jangan lupa singgah ke Yu Yu Ice untuk menghilangkan dahaga dengan menikmati pilihan ais kisar halus dengan pelbagai perisa! Terletak di Pekan Sabak Bernam, gerai ini telah beroperasi lebih sedekad dan anda boleh memilih perisa seperti nenas, asam boi, jagung dan kacang merah untuk menyejukkan badan pada hari yang panas.
Penginapan
Manfaatkan sepenuhnya perjalanan dua hari anda ke Sabak Bernam dengan pelbagai pilihan penginapan unik termasuklah Farm Ville Cafe & Homestay yang sesuai dengan bajet yang berbeza. Pilihan ini terletak berhampiran dengan tarikan popular, membolehkan anda mencari tempat yang ideal untuk menginap dan berehat dengan mudah semasa perjalanan anda.
Triangle Farm Cottage House, Sekinchan
The Triangle Farm Cottage House ialah homestay unik yang terletak di tengah-tengah sawah padi di Sekinchan. Ia menawarkan penginapan satu malam yang berpatutan dan sesuai untuk seisi keluarga, kerana ia mempunyai kemudahan seperti kolam renang, karaoke dan bilik permainan serta anda juga boleh menyewa basikal untuk menerokai sawah padi di sekitarnya.
Villa Chee Sekinchan
Villa Chee Sekinchan ialah sebuah resort terpencil yang terletak di tengah-tengah sawah padi yang indah. Resort ini menawarkan pelbagai pilihan bilik berhawa dingin untuk menampung saiz sekumpulan pengunjung dengan bajet yang berbeza. Para tetamu juga boleh menggunakan kemudahan resort, seperti kolam renang, jungle gym, dan restoran di lokasi ini iaitu Seafood D’Bendang yang menyajikan makanan laut segar. Dengan persekitaran yang sesuai untuk Instagram, Villa Chee Sekinchan ialah destinasi yang ideal untuk percutian anda!
Nazbell Cottage, Sungai Besar
Nazbell Cottage adalah homestay yang terletak di Sungai Besar. Homestay ini menawarkan pengalaman tempatan yang unik dimana anda boleh menikmati masakan tradisional, menaiki ATV dan berbasikal melalui sawah padi. Selain itu, Sungai Panjang Agro Tourism juga menawarkan pakej bagi tetamu berpeluang untuk menyertai aktiviti pertanian, seperti memetik sayur-sayuran di ladang, dan melawat perniagaan kecil untuk melihat proses pembuatan produk.
Apabila anda merancang lawatan ke Sabak Bernam, pastikan anda memasukkan lokasi ini dalam jadual perjalanan anda untuk merasai sepenuhnya agropelancongan dan budaya tempatan yang terdapat di daerah ini! Untuk lebih banyak inspirasi pelancongan dan lawatan ke negeri Selangor, layari laman web rasmi Tourism Selangor, www.selangor.travel, atau ikuti akaun media sosial rasmi Tourism Selangor; Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan saluran YouTube Tourism Selangor. #PusingSelangorDulu!