Bagi wanita pernahkah anda rasa sukar untuk mengoles bibir dengan lipstik secara sempurna tanpa sebarang kesilapan yang membuatkan bibir anda kelihatan seperti bibir seorang badut? Pasti ramai wanita yang menghadapi masalah mengenakan lipstik sempurna untuk menjadikan anda kelihatan cantik dan menarik di mata sesiap sahaja yang memandang. Namun begitu pemakaian lipstik adakalanya mendatangkan kesukaran bagi wanita sehingga mereka terpaksa menyediakan tisu yang banyak dan berdiri berjam-jam lamanya di hadapan cermin untuk memastikan olesan lipstik disapu dengan sempurna pada bibir.
Tiada lipstik tiadalah juga mekap. Pendek kata mekap pada wajah tidak akan sempurna jika tidak mengenakan lipstik. Namun mengenakan lipstik dengan hanya memastikan ia mewarnai bibir anda secara ala kadar sahaja tidak cukup. Anda perlu memastikan teknik olesan anda itu tampak sempurna dan profesional.
Jadi bagaimanakah anda ingin memastikan sapuan lipstik anda setaraf dengan jurumekap profesional sehingga anda dengan yakin mampu tampil dengan bibir yang cantik? Mari kita lihat beberapa tips mengoles bibir dengan lipstik gaya profesional yang akan membuatkan ramai mata terpukau dengan bibir anda yang satu itu!
Lakukan pengelupasan bibir secara selamat
Olesan bibir dengan lipstik hanya lebih sempurna apabila warna bibir adan semulajadi tanpa kesan-kesan yang mencacatkan. Masalah bibir seperti pengelupasan kulit, bibir merekah dan warna kehitaman seperti penghisap rokok tidak akan menampilkan warna sebenar lipstik apabila ia disapu pada bibir.
Oleh itu anda perlu melakukan rawatan pengelupasan bibir sekurang-kurangnya sekali seminggu supaya warna asli bibir terpelihara, sihat dan kelihatan segar sepanjang masa. Anda boleh memberus bibir anda menggunakan berus gigi yang bersih. Cara paling mudah ialah dengan mendapatkan produk skrub bibir. Terdapat pelbagai jenis pilihan skrub bibir di pasaran yang akan merawat masalah bibir dan supaya warna bibir kelihatan lebih cantik semulajadi.
Gunakan pelembap bibir
Kulit bibir adalah halus dan nipis serta amat sensitif terhadap sebarang perubahan cuaca. Ia boleh menggelupas akibat kekeringan yang berlaku kerana cuaca terlalu panas dan terlalu sejuk. Anda perlu melindunginya dengan pelembap bibir atau lip balm untuk memastikan ia sentiasa lembap dan tidak kering. Anda perlu memilih pelembap atau lip balm yang mempunyai fungsi perlindungan SPF 30 ++ untuk perlindungan daripada pancaran cahaya matahari yang mengeringkan kulit bibir anda. Terdapat pelbagai pilihan pelembap bibir di pasaran. Ia hadir dengan pilihan tanpa warna atau warna semulajadi yang tidak terlalu merah. Biasanya warna merah jambu dan oren. Pelembap bibir berbeza dengan lipstik di mana teksturnya lembut seakan lilin yang cair.
Jangan takut memilih lipstik warna terang
Sesetengah wanita ragu-ragu untuk mengenakan lipstik warna terang kerana bimbang tidak sesuai dengan warna kulit mereka. Untuk memilih lipstik warna terang yang sesuai, anda tidak perlu melihat kepada warna kulit anda. Sebaliknya kenalpasti warna sebenar bibir semulajadi anda. Sebagai contoh warna bibir yang seakan pucat boleh memilih warna terang seperti merah buah ceri atau pilihan warna koral. Bagi bibir yang semulajadi berwarna merah, adna boleh memilih lipstik dengan warna sesuai seperti pink dan warna seakan oren. Untuk warna bibir yang lebih gelap, warna lipstik yang sesuai untuk anda ialah seperti ungu dan warna merun. Warna coklat juga sesuai untuk bibir berwarna gelap.
Warna ‘Nude’
Bagi wanita yang tidak ingin nampak keterlaluan dalam mengenakan lipstik, anda boleh memilih lipstik berwarna ‘nude’. Warna ini akan membuatkan anda kelihatan seolah-olah tidak memakain sebarang lipstik. Ia terdiri daripada beberapa pilihan warna seperti warna coklat dan ros. Warna lipstik nude akan membuatkan bibir anda kelihatan seoalh-olah kering tanpa memakai apa-apa lipstik tetapi kesan sinarannya boleh dilihat dengan jelas apabila dioleskan pada bibir mungil anda.
Liner bukan satu kemestian
Sesetengah daripada wanita mewajibkan pemakaian liner untuk memastikan sapuan lipstik tidak keluar dari garis sempadan bibir yang membuatkan anda kelihatan comot. Sebenarnya anda tidak memerlukan liner untuk menghasilkan olesan lipstik yang sempurna. Rekaan lipstik yang terdapat di pasaran kini jenis yang mudah disapu dan tidak semudahnya meninggalkan kesan comot.
Jika perlu juga kepada pemakaian liner, pilih liner secara bijak iaitu mengikut warna kulit bibir anda. Bukan mengikut kepada warna lipstik yang anda pakai.
Gunakan berus bibir & kapas telinga
Jika anda tidak yakin dengan sapuan lipstik di bahagian garis bibir, anda boleh menggunakan berus bibir bersaiz halus. Berus lipstik amat sesuai bagi anda yang menggunakan pilihan lipstik palette. Caranya adalah dengan menyapu terlebih dahulu warna lipstik pilihan anda dengan berus bibir pada bahagian garis bibir. Sapuan menggunakan berus mengikut garis bibir biasanya lebih mudah kerana keadaan berus yang lembut. Gunakan berus paling tirus dan halus supaya lebih mudah untuk menyapu di bahagian garis bibir. Setelah itu baharulah anda ratakan lipstik ke seluruh bahagian bibir anda dengan menggunakan berus yang sama.
Bagi yang menggunakan lipstik biasa juga tidak masalah untuk menggunakan berus bibir. Anda boleh menyapu lipstik dan kemudian meratakannya menggunakan berus bibir supaya ia mengikut garis bibir anda.
Setelah selesai menggunakan berus bibir, akhir sekali ambil sebatang putik kapas telinga. Ia digunakan untuk membersihkan sisa lipstik yang terkeluar dari garisan bibir anda
Mulakan sapuan di bahagian tengah bibir
Ramai yang tersilap dalam hal ini iaitu memulakan sapuan lipstik dari bahagian hujung bibir. Sebenarnya cara ini tidak begitu tepat. Anda perlu memulakannya dari bahaagian tengah bibir anda. Kemudian baharulah anda ratakan ke bahagian hujung kiri dan kanan bibir anda dengan menggunakan berus bibir. Cara ini akan mengurangkan kesilapan anda menggunakan kuantiti lipstik lebih dari yang sepatutnya anda gunakan.
Gunakan tisu
Anda wajib menyiapkan tisu di meja solek anda kerana ia amat diperlukan ketika mengoles lipstik. Tisu digunakan untuk teknik blot iaitu mengepit kedua-dua bahagian bibir atas dan bawah bibir di antara helaian tisu. Ia merupakan langkah akhir untuk mendapatkan sapuan lipstik yang rata dan sempurna.
Tujuan blot adalah untuk memastikan sapuan lipstik diratakan dengan sekata dan supaya warna lipstik dapat bertahan lama pada bibir anda. Blot dilakukan dua kali iaitu pada sapuan lipstik pertama dan selepas selesai blot pertama dan sapuan lipstik untuk kali kedua. Kepit tisu di antara dua bibir secara lembut dengan tidak menekan terlalu kuat antara bibir atas dan bibir bawah. Selepas selesai blot pertama, sekali lagi gunakan berus bibir dan ratakan lipstik sekali lagi dengan sapuan lipstik yang baru di bahagian bawah bibir. Ambil sehelai lagi tisu dan lakukan teknik blot untuk kali keduanya.
Bolehkan menggunakan jari jika tiada liner ?
Seperti yang dinyatakan di atas. Liner atau pensil bibir bukanlah satu keperluan. Tiada masalah jika anda ingin menggunakan jari untuk meratakan sapuan lipstik pada bibir anda. Kaedahnya sama seperti anda menggunakan berus bibir. Gunakan hujung jari telunjuk anda untuk sentuh atau cuit pada warna lipstik pilihan anda. Kemudian sapu pada bibir seperti biasa dimulai dari bahagian tengan bibir.
Ratakan dengan jari ke hujung kiri dan kanan bibir anda. Ratakan mengikut garis bibir anda supaya tidak terkeluar dari garis sempadan bibir. Jika sapuan comot, gunakan putih kapas untuk membersihkan baki warna yang terkeluar dari garisan bibir.
Manfaatkan Concealer
Ramai yang tidak mengetahui bahawa concealer turut digunakan untuk sapuan lipstik yang lebih sempurna. Concealer digunakan untuk meratakan warna kulit di bahagian luar garisan bibir atas dan bawah untuk memastikan warna kulit di sekitarnya serata dengan warna mekap dan bedak pada wajah anda. Concealer juga sangat penting bagi mereka yang memiliki warna bibir yang hitam. Concealer akan meneutralkan warna pigmen kulit di sekitar bibir anda.
Tips Tambahan
- Elakkan daripada menggunakan liner berwarna lebih gelar dari warna lipstik anda. Ia akan memusnahkan keseluruhan penampilan bibir anda.
- Concealer boleh digunakan pada awal sebelum lipstik di sapu pada bibir atau akhir sekali selepas selesai pemakaian lipstik.
- Gunakan bedak tabur atau bedak debu untuk menghasilkan sapuan lipstik yang bertahan lebih lama. Caranya ialah dengan menekap tisu pada bibir. Ambil berus mekap khas bersaiz besar dan tebal yang mengandungi bedak. Sapu pada bahagian bibir yang ditekap dengan tisu tadi.