“Mulakan hari anda dengan secawan kopi”

Sesetengah daripada kita sungguh obses dengan minuman kopi sehingga tidak ingin lagi menikmati minuman lain yang mungkin jauh lebih sedap. Antaranya minuman coklat pekat yang kaya dengan rasa buah koko yang berkualiti. Kopi adalah antara minuman yang berkafein yang mungkin boleh menyumbang kepada ketagihan. Namun ketagihan minuman kopi bukanlah satu jenayah. Jadi anda tidak perlu risau jika ingin menikmati lebih daripada secawan kopi setiap hari. Yang paling penting ialah anda perlu mengawal dos pengambilan gula, krimer atau campuran susu dalam minuman kopi. Pakar kesihatan mencadangkan supaya pengambilan kopi tidak diambil lebih daripada empat cawan setiap hari iaitu bersamaan dengan 400 miligram kafein sehari.

Di mana sahaja anda nikmati kopi sama ada di rumah, restoran, kafe, hotel mewah malah mesin minuman layan diri, anda akan mendapati aroma dan rasa kopi yang berbeza. Setia negara pengeluar kopi mempunyai rasa dan aroma yang berbeza kerana perbezaan geografi, keadaan cuaca dan kaedah pemprosesan kopi yang berbeza.

Menghasilkan Minuman Kopi Di Rumah

Mengapa anda memilih membazirkan duit sehingga berpuluh ringgit untuk menikmati secawan kopi di kafe jika anda mampu menghasilkannya sendiri di dapur rumah? Kepuasan sebenar bagi penggemar kopi ialah apabila anda bertindak sebagai barista di dapur rumah untuk menghasilkan sendiri secawan kopi dengan menggunakan alat mesin pembuat kopi di rumah. Jangan sesekali menggelarkan diri anda penggemar kopi jika sebutir biji kopi pun tidak ditemui di dapur rumah anda. Oleh itu, penggemar kopi yang tegar seharusnya mampu menghasilkan minuman kopi sendiri di rumah iaitu dengan adanya mesin pembuat kopi, biji kopi atau serbuk kopi pilihan anda.

Sudah tentu anda tertanya-tanya apakah rahsia sebenar kesedapan kopi hasil air tangan barista berpengalaman berbanding kopi yang anda hasilkan sendiri di rumah. Jawapannya ialah kepakaran, kemahiran dan pengetahuan anda sebelum berupaya menghasilkan minuman kopi yang beraroma dan enak. Anda boleh menghasilkan minuman kopi yang lebih sedap di rumah dengan syarat anda mengamalkan perkara utama ini. Pasti anda mampu menghasilkan minuman kopi yang jauh lebih sedap.

1.Menuangkan air panas

Kaedah menuang memainkan peranan penting untuk menghasilkan minuman kopi yang kaya dan beraroma. Pertama sekali yang anda perlu lakukan ialah memasak air sehingga panas mendidih.

  • Bagi yang menggunakan biji kopi anda perlu mengisar terlebih dahulu ia sehingga halus dan tekstur debu kopi menjadi sekata.
  • Sementara itu sediakan sehelai kertas penapis kopi yang diletakkan pada alat bru (brewer). Siramkan air panas untuk menyingkirkan debu-debu kertas yang melekat pada kertas penapis. Cara ini dapat membantu menghasilkan kopi panas yang tahan lama. Setelah siap bilas, buang air yang terdapat dalam bekas.
  • Seterusnya masukkan serbuk kopi yang telah dikisar ke dalam kertas penapisan. Periksa suhu air panas. Pastikan bacaan suhunya antara 90°C sehingga 95°C.  Tuang air ke atas serbuk kopi bermula dari bahagian tengah dan diikuti ke bahagian luar secara memutar. Berhenti menuang air sebelum titisan kopi pertama keluar dari kertas penapisan. Ia bertujuan untuk menghilangkan lebihan gas kopi yang terhasil semasa air panas dituangkan ke atas serbuk kopi.
  • Apabila titisan kopi mula keluar, tuang baki air panas sehingga paras ¾ daripada kertas penapis. Masa yang diperlukan antara 3 sehingga 4 minit untuk mengeluarkan cecair kopi. Setelah air kering, alihkan kertas penapisan dengan berhati-hati.
  • Minuman kopi anda sedia untuk diminum.

2.French Press

Tentu anda tertanya-tanya apakah dimaksudkan denganFrench press ini. Sebenarnya ia merupakan sejenis alat seumpama jag kopi yang disediakan bersama dengan sejenis alat penekan untuk menekan serbuk kopi yang telah dikisar. Sudah semestinya anda perlu memiliki peralatan ini untuk menghasilkan minuman kopi menerusi kaedah French Press.

  • Pertama sekali yang anda perlu lakukan ialah memasak air sehingga panas mendidih.
  • Masukkan sedikit air panas ini ke dalam jag French press. Biarkan ia seketika.
  • Sementara itu kisar biji kopi sehingga halus dan struktur serbuk kopi serata. Buang terlebih dahulu air panas daripada bekas jag. Kemudian masukkan serbuk kopi ke dalam jag atau bekas French press mengikut sukatan yang anda inginkan.
  • Pastikan suhu air panas di antara bacaan  90°C sehingga 95°C. Campurkan bersama ke dalam bekas jag yang mengandungi serbuk kopi tadi. Isi air sehingga hampir ke muncung jag. Kacau campuran air dan kopi menggunakan sudu secara putaran searah.
  • Tutup jag kopi menggunakan penutup dan alat penekan kopi. Alat penekan kopi di pastikan berada pada kedudukan di tarik ke atas. Biarkan selama kira-kira 4 minit.
  • Kemudian tekan alat penekan kopi ini perlahan-lahan sehingga ke bawah.
  • Sediakan cawan dan tuang air kopi ke dalamnya. Minuman kopi siap untuk dinikmati.

3. Titisan (Drip)

Menghasilkan minuman kopi menggunakan alat pembuat kopi yang mempunyai fungsi drip atau titisan. Bergantung kepada alat pembuat kopi yang anda gunakan sama ada biji kopi perlu dikisar berasingan atau pengisar yang tersedia dalam mesin pembuat kopi anda.

  • Penggunaan alat pembuat kopi drip lebih mudah. Anda hanya perlu mengisi air ke dalam bekas tangki kecil mesin.
  • Hidupkan butang mesin. Proses pengisaran biji kopi akan berlangsung dan titisan air kopi keluar dari saluran drip. Pastikan anda meletakkan cawan lebih awal di bawah alat drip.

Tips Menghasilkan Kopi Yang Sedap

Selain mengikuti kaedah langkah penghasilan minuman kopi di atas, perkara lain yang perlu dititikberatkan ialah penyediaan kopi dan kelengkapan peralatan yang digunakan. Perhatikan perkara-perkara penting di bawah. Adakah anda pernah mengikuti tips-tips yang diberikan ini ?

Biji kopi segar dari ladang

Sebaiknya anda menggunakan serbuk kopi yang dikisar sebaik sahaja selepas dipanggang. Biji kopi yang disimpan terlalu lama selepas dipanggang tidak akan menghasilkan aroma dan rasa kopi seenak biji kopi yang baru dipanggang.

Jika anda memilih biji kopi di pasaran, periksa beberapa perkara sebagai ukuran tahap kesegaran kopi. Biji kopi yang dibiarkan terdedah kepada ruang udara dan cahaya lampu akan mengurangkan kualiti aroma dan rasa kopi. Ini terjadi kepada kopi timbang yang terdedah sebelum ditimbang dan dibungkus. Jika memilih kopi dalam bungkusan, pastikan plastik pembungkus adalah dari jenis plastik vakum yang telah dipam keluar udara di dalamnya. Pastikan juga plastik pembungkus adalah jenis sealed untuk penyimpanan lebih lama.

Simpan dalam bekas

Selepas membukan plastik pembungkus kopi, simpan biji kopi dalam bekas kedap udara khas. Pilih bekas berasaskan bahan kaca. Jangan sesekali menyimpan bekas kopi di dalam peti sejuk kerana ini akan mengundang lembapan dan penyerapan bau daripada peti sejuk akan berlaku. Ini akan mengurangkan aroma dan rasa kopi sebenar. Simpan biji kopi dalam keadaan suhu bilik.

Pilihlah kopi terbaik di pasaran

Kebiasaannya kopi yang mahal mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding kopi biasa pada harga yang murah. Mereka yang mahir tentang ilmu kopi dapat membezakan dan mengenalpasti kopi negara mana yang lebih berkualiti dari segi aroma dan rasa. Untuk menghasilkan jenis minuman kopi yang berbeza seperti latte dan cappucino, anda memerlukan biji kopi khas yang paling sesuai untuk pembuatannya.

Terdapat dua jenis kopi paling utama dan popular di pasaran iaitu kopi Arabica dan Robusta. Kopi Arabica dianggap kopi terbaik di pasaran setakat ini. Harganya juga lebih mahal berbanding kopi Robusta. Kandungan kafeinnya lebih tinggi dan rasanya juga lebih ‘keras’ berbanding kopi Arabica.

Kisar sendiri biji kopi anda

Kualiti kopi akan mula hilang setelah ia dikisar halus. Minuman kopi akan lebih enak sejurus sahaja anda mengisar biji kopi dan mencampurkannya dengan air panas.

Gunakan air bersih

Sebaiknya gunakan air yang telah siap ditapis atau dari alat penapis air yang tidak mengandungi bahan klorin. Penggemar tegar kopi tidak akan menggunakan air yang tidak ditapis untuk menghasilkan kopi yang baik. Jangan sesekali menggunakan air suling dalam pembuatan air kopi.

Kertas penapisan kopi berkualiti

Pilih kertas penapis kopi yang berkualiti. Tentunya harga memainkan peranan penting di sini. Sebaiknya pilih kertas penapis dari jenis “oxygen-bleached” atau “dioxin-free”.

Kuantiti kopi

Elakkan sukatan serbuk kopi yang terlalu banyak sehingga tidak meninggalkan ruang udara dalam bekas penapis kopi (semasa bru). Campuran air panas dalam kuantiti kopi yang tepat akan menghasilkan minuman kopi yang lebih pahit.

Perhatikan suhu air

Anda disarankan menggunakan alat penyukat suhu air. Suhu paling sesuai dalam pembuatan minuman kopi ialah sekitar 93 °C. Penurunan suhu kopi akan menghilangkan kualiti aroma dan bau secara perlahan-lahan. Perlu anda ketahui bahawa kopi yang dipanaskan semula walaupun dari jenis kopi terbaik tidak akan menyimpan aroma dan rasa yang sama seperti pada saat pertama anda menikmati kopi yang baru dibru.

Kebersihan peralatan

Pentingnya anda memastikan peralatan pembuatan kopi anda dibersihkan selepas setiap kali penggunaan. Anda boleh membersihkan alat ini menggunakan bahan sabun khas penghilang bau kopi. Boleh juga menghilangkan baunya dengan penggunaan cuka sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.