Berat badan seorang kanak-kanak yang sedang membesar dengan sihat seharusnya semakin bertambah dan bukan sebaliknya. Hanya kanak-kanak yang mengalami jatuh sakit sama ada demam dan mengalami penyakit kritikal sahaja yang selalunya mengalami penurunan berat badan. Namun bagi kanak-kanak yang sihat, penurunan berat badan tidak seharusnya berlaku.
Kebanyakan kanak-kanak akan memiliki berat badan dua kali ganda apabila memasuki usia 4 bulan ke atas. Apabila meningkat usia ke 12 bulan berat mereka meningkat lagi sehingga tiga kali ganda berbanding semasa awal kelahiran.
Sudah tentu perkembangan fizikal dan pertambahan berat badan berbeza di antara kanak-kanak. Ia juga berkait rapat dengan faktor keturunan. Namun jika berat badan mereka tidak bertambah dan keadaan fizikal mereka masih belum berkembang dengan sepatutnya, anda seharusnya mendapatkan nasihat daripada doktor tentang cara terbaik meningkatkan berat badan anak anda.
Ada beberapa punca mengapa berat badan kanak-kanak tidak bertambah. Salah satu punca ini mungkin menjadi penyebab mengapa berat badan anak anda masih kurang berbanding kanak-kanak lain yang anda kenali.
1.Makan Terlalu Sedikit
Kanak-kanak sering mengalami masalah kurang selera makan pada beberapa peringkat pertumbuhan dalam hidup mereka. Salah satu puncanya adalah kerana pendedahan terhadap makanan ringan dan makanan segera yang membantut selera mereka untuk makan makanan yang berkhasiat seperti nasi, ikan, daging dan sayur-sayuran. Ini menyebabkan pengambilan kalori dalam makanan kurang menyebabkan berat badan mereka sukar bertambah. Ibu bapa pula mungkin terlalu risau berlaku masalah kegemukan pada anak-anak menyebabkan mereka mengehadkan pengambilan makanan berkalori tanpa pengetahuan yang betul.
2. Kesilapan Dalam Bancuhan Susu Formula
Tidak menyediakan bancuhan susu formula dengan kuantiti bancuhan yang betul juga menjadi salah satu punca mengapa berat badan bayi anda sukar bertambah. Tidak kira apa jua jenama susu formula yang anda pilih, adalah penting untuk anda mencampurkan kuantiti susu tepung dan air mengikut ukuran botol susu bayi. Ini penting bagi memastikan bayi mendapat bekalan nutrien secukupnya dari susu yang diminum.
Bancuhan yang mengandungi terlalu banyak air akan mengurangkan nilai nutrien dan kalori dalam bancuhan susu. Setiap pengeluar susu formula akan menyediakan arahan bancuhan yang ditetapkan. Piawaian bagi dua sudu bancuhan susu tidak boleh dicampurkan dengan air melebihi setengah liter air. Goncangan susu pula perlu dipastikan benar-benar larut sebelum diberikan kepada bayi anda.
3. Masalah Sistem Pencernaan & Hati
Masalah pencernaan di kalangan kanak-kanak boleh membantut selera makan mereka. Antara penyakit sistem pencernaan yang sering berlaku kepada kanak-kanak ialah refluks, cirit birit, kolik dan alergi terhadap susu. Masalah refluks pada bayi boleh menyebabkan mereka memuntahkan kembali susu atau apa jua jenis makanan yang dimakan. Ini menyebabkan nutrien dalam badan berkurangan. Cirit birit yang berterusan akan menyebabkan kekurangan nutrien dan kehilangan kalori dalam badan. Bayi dan kanak-kanak yang disyaki mengalami masalah sistem pencernaan perlu segera dirujuk kepada doktor untuk menerima rawatan segera. Selain itu masalah penyakit hati yang kronik juga menyebabkan sistem pencernaan dalam badan bayi terganggu.
4. Hyperthyroidism (overactive thyroid)
Fenomena ini adalah keadaan di mana kelenjar tiroid menghasilkan hormon tiroid secara berlebihan. Penghasilan hormon tiroid yang berlebihan ini membawa kepada peningkatan metabolisma badan yang menyebabkan pembakaran kalori berlebihan dan penurunan berat badan. Kanak-kanak juga akan mengalami simptom kurang selera makan.
5. Kaedah Penyusuan Ibu Tidak Betul
Adalah penting bagi para ibu mempelajari teknik penyusuan badan yang betul. Tujuan kaedah penyusuan yang betul adalah untuk mengelakkan kesakitan kepada bayi semasa menyusu dan memberi rasa kekenyangan yang maksima kepada bayi setiap kali menyusu. Bagi para ibu yang masih belum mahir dengan teknik penyusuan, adalah penting bagi anda mendapatkan nasihat dari kalangan jururawat kanak-kanak yang akan menunjukkan cara penyusuan yang betul kepada anda.
6. Bayi Lahir Tidak Cukup Bulan
Bayi yang lahir tidak cukup bulan antara 34 sehingga 37 minggu akan mengalami gangguan dari segi perkembangan kesihatan. Perkembangan dan saiz otak mereka lebih kecil berbanding bayi yang dilahirkan secara normal. Begitu juga dengan sistem saraf dan otot. Bayi juga berisiko mengalami demam kuning dan dehidrasi. Semua faktor ini boleh menyebabkan mereka mengalami masalah semasa proses penyusuan. Nasihat dan panduan dari pakar laktasi tentang penyusuan bayi tidak cukup bulan sangat penting untuk anda ketahui. Pada tiga bulan pertama penyusuan bayi yang lahir secara pramatang, seharusnya berat badan bayi telah mampu menjangkau jangkaan berat bayi yang lahir secara normal. Ini bermakna ibu bapa perlu menyusu dengan kaedah yang cekap dan betul untuk mengejar pertumbuhan bayi supaya mencapai purata berat yang sepatutnya bagi bayi yang normal.
Dapatkan Pertolongan & Nasihat Pakar
Sebagai ibu bapa tentulah anda risau jika perkembangan berat badan anak mengalami penyusutan atau tidak meningkat seiring dengan peningkatan usia mereka. Jika anda mendapati anak anda mengalami masalah kesihatan dan perkembangan fizikal yang lambat selepas usia mereka mencapai 3 tahun, segeralah berjumpa dengan pakar kanak-kanak. Hanya pakar yang dapat menentukan dan mencari punca masalah yang berlaku pada fizikal anak anda. Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh.
Bagi kanak-kanak yang melalui perkembangan berat badan dan fizikal yang lambat, doktor akan mendiagnosis masalah ini sebagai “Gagal Tumbuh” atau ” Failure to Thrive”. Istilah ini sering digunakan oleh pakar kanak-kanak bagi mereka yang tidak menerima nutrisi sehingga mempengaruhi perkembangan fizikal kanak-kanak.
“Gagal Tumbuh” dikalangan kanak-kanak akan menunjukkan simptom tertentu seperti muntah secara berterusan setiap kali makan yang mengakibatkan kekurangan kalori dalam badan kanak-kanak.
Ibu bapa yang menghadapi masalah ini perlu memantau carta berat badan unggul atau BMI. Ukuran BMI dijadikan sebagai aras bagi memantau perkembangan fizikal kanak-kanak. Rujukan doktor juga perlu dilakukan secara berjadual untuk memastikan kesihatan kanak-kanak tidak mengganggu perkembangan fizikal mereka. Simptom kesihatan seperti kelesuan, pucat, terlalu kurus dan penyusutan lemak dalam badan merupakan salah satu tanda yang menjurus kepada masalah penyakit yang tidak dijangka seperti anemia, kekurangan nutrisi atau mungkin berlaku masalah kegagalan buah pinggang.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, bayi dan kanak-kanak yang tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan fizikal yang positif dari segi berat badan seharusnya tidak dibiarkan begitu sahaja. Jika masalah ini dibiarkan tanpa merujuk kepada doktor pakar, masalah ini mungkin akan memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan fizikal dan otak mereka. Lebih-lebih lagi apabila melalui zaman persekolahan.
Bagi bayi yang baharu lahir yang masih mendapatkan bekalan susu sama ada melalui susu ibu atau susu formula, ibu bapa juga perlu peka tentang jenis-jenis susu yang sesuai yang dapat membantu meningkatkan berat badan anak anda. Susu formula yang baik seharusnya memberi kesan positif terhadap perkembangan fizikal anak anda. Jika sebaliknya, anda memerlukan nasihat dari pakar laktasi yang mampu memberikan rumusan susu yang sesuai mengikut keadaan bayi anda dan kaunseling penyusuan yang betul.