Mencuci pakaian bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan walaupun kita mencucinya dengan menggunakan mesin cuci automatik sepenuhnya. Namun ia boleh bertukar menjadi satu tugas yang menyeronokkan terutama apabila kita menghidu bau haruman cecair detergen yang digunakan. Penggunaan cecair detergen sangat membantu untuk mengharumkan hampir kesemua jenis pakaian tanpa mengira jenis fabrik yang dicuci. Berbanding dengan sabun pencuci biasa dalam bentuk serbuk, cecair detergen lebih mudah meresap ke dalam fabrik pakaian sekaligus menpertingkatkan kuasa cucian pakaian supaya lebih bersih dan meninggalkan bau wangian yang kekal harum sepanjang hari. Dengan wangian cecair detergen anda tidak lagi keluar rumah tanpa semburan wangian kerana baju yang dipakai akan menyebarkan bau haruman khas yang membuatkan diri adan dan sesiapa sahaja di sekeliling selesa dengan keharumannya.
Walaupun penggunaan wangian detergen sangat membantu meningkatkan keharuman fabrik pakaian anda, masih ramai yang tidak berpuas hati dengan kualiti haruman yang melekat pada fabrik. Kadar keharuman yang melekat pada pakaian tidak setanding dengan bau asli cecair detergen yang digunakan. Malah adakalanya ia langsung tidak menghasilkan bau haruman yang diinginkan.
Jika masalah ini terjadi kepada anda, cuba semak balik kaedah atau cara anda menggunakan detergen ketika mencuci pakaian menggunakan mesin. Mungkin terdapat kesilapan berikut yang mengurangkan kualiti keharuman detergen semasa anda membasuh pakaian.
1.Terlalu banyak pakaian
Kebanyakan daripada kita memilih mencuci pakaian dua atau tiga hari sekali untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Tentulah jumlah baju menjadi semakin banyak terutamanya bagi sebuah keluarga besar. Setiap mesin mencuci pakaian mempunyai kapasiti cucian masing-masing yang perlu diikuti. Oleh itu, walaupun pakaian terlalu banyak dan anda ingin cepat menghabiskan cucian, tidak seharusnya anda mencuci kesemua pakaian tersebut secara sekaligus sehingga melebihi kapasiti mesin yang sepatutnya.
Pakaian yang dicuci terlalu banyak secara serentak akan mengurangkan kualiti kerja pembersihan mesin basuh. Penggunaan cecair detergen akan sukar meresap ke dalam fabrik disebabkan terlalu padat serta kurangnya ruang udara sehingga aliran cecair di antara fabrik tidak berlaku dengan baik. Ini menyebabkan penyebaran zarah-zarah detergen tidak disebarkan secara serata ke seluruh fabrik.
2. Sukatan detergen tidak tepat
Syarikat pengeluar detergen akan meletakkan tanda arahan penggunaan bagi memastikan pengguna memasukkan sukatan yang tepat. Ramai pengguna yang mengabaikan arahan ini dengan memasukkan sukatan melebihi atau kurang daripada yang sepatutnya. Detergen yang banyak tidak bermakna akan menghasilkan cucian dan wangian yang terbaik. Jika detergen terlalu sedikit pula akan menyebabkan kesan kotor, bau dan bakteria tidak dapat dibersihkan dengan sempurna. Amalkan sukatan menggunakan penutup seperti arahan yang tersedia pada produk yang anda beli. Mungkin sukatan menggunakan penutup botol itu terlalu kecil dan membuang masa anda kerana perlu disukat berkali-kali. Namun ia penting untuk memastikan sukatan yang digunakan bertepatan dengan kuantiti baju yang dicuci. Jangan sesekali menuang detergen begitu sahaja ke dalam mesin basuh tanpa sukatan.
Sama ada anda menggunakan detergen dalam bentuk cecair, sabun debu atau pek kecil seperti yang terdapat di kedai dobi, pastikan anda memasukkan sukatan yang tepat. Kebiasaannya satu penutup penuh digunakan untuk cucian yang banyak.
3. Suhu air memainkan peranan
Perbezaan suhu air akan menghasilkan cucian yang berbeza dari segi tahap kebersihannya dan harumannya. Mesin basuh yang canggih untuk kegunaan rumah biasanya mempunyai fungsi penetapan suhu air yang boleh disesuaikan mengikut tujuan basuhan.
Suhu air yang panas akan menguraikan detergen secara lebih efektif dan menyerap lebih mudah ke dalam air dan fabrik pakaian yang dicuci. Cucian menggunakan air panas juga lebih bersih dan menghapuskan bakteria dengan lebih baik. Detergen berharga murah kebiasaannya agak sukar diuraikan dan bercampur dengan air bersuhu biasa. Oleh itu anda disarankan membasuh pakaian dengan menggunakan air bersuhu panas untuk memastikan detergen terurai sepenuhnya seterusnya menghasilkan wangian seperti yang dikehendaki.
Kesan penggunaan air sejuk atau air biasa berbeza dengan air panas. Pakaian akan menghasilkan kedutan dan mudah memudarkan warna pakaian. Warna pakaian yang keluar dan bercampur dengan air akan menurunkan kualiti detergen dari segi kemampuan membersih dan keharumannya.
4. Mesin basuh terlalu kotor & lembap
Kesan cucian pakaian kotor mampu dibersihkan dengan penggunaan mesin basuh dan detergen. Namun tahukah anda bahawa mesin basuh juga perlu dibersihkan bagi memastikan sisa kekotoran yang keluar semasa cucian pakaian tidak meninggalkan bau, kekotoran dan bakteria? Ramai yang mengabaikan kepentingan membersihkan mesin basuh terutama melibatkan ruangan dalam mesin.
Mesin basuh yang tidak dikeringkan dengan baik selepas cucian akan mengalami lembapan. Gunakan kain bersih dan kering untuk mengelap sisa air dan bahagian dalam mesin basuh supaya kesan kekotoran dan sisa air dapat dikeringkan.
Cara lain membersihkan ruangan dalam mesin ialah dengan memasukkan air panas bersama campuran serbuk soda bikarbonat. Hidupkan suis, salurkan air panas dan gunakan tetapan pembersihan normal. Air dengan campuran serbuk soda bikarbonat ini dapat membantu menghilangkan bau tidak enak yang melekat pada tub mesin basuh.
5. Cuka sebagai pewangi
Ramai yang tidak tahu bahawa cuka juga boleh digunakan sebagai bahan pewangi pakaian ketika mencuci pakaian. Cuka boleh dimasukkan semasa proses bilasan terakhir iaitu selepas selesai penggunaan detergen. Cuka sangat membantu untuk menghilangkan bau serta kesan kotoran pada pakaian secara lebih efektif. Malah ianya baik digunakan walaupun anda mencuci pakaian tanpa pewangi tambahan.
6. Baju dibiarkan terlalu lama selepas cucian
Perkara ini biasa terjadi apabila kita terlalu sibuk menguruskan hal lain sehingga terlupa pakaian yang telah siap dicuci dalam mesin basuh. Ia terjadi sama ada ketika anda di kedai dobi mahupun ketika di rumah. Pakaian yang telah siap dicuci perlu segera dikeringkan dan dikeluarkan daripada mesin basuh. Jika dibiarkan terlalu lama tanpa dikeringkan lebih-lebih lagi dalam keadaan mesin yang tertutup akan menyebabkan pengumpulan kelembapan yang menjadi punca kewujudan bakteria. Baju yang dicuci tidak lagi bersih dan berbau kerana dibiarkan tergumpal lama dalam mesin basuh.
Untuk mengelakkan terlupa anda boleh menggunakan penggera di telefon bimbit yang akan mengingatkan anda jika terlupa atau jika tertidur ketika mencuci pakaian. Jika tidak dapat dielakkan disebabkan hal yang tidak dijangka sehingga menyebabkan anda terlupa, cara terbaik ialah dengan melakukan bilasan dengan menggunakan air panas. Ia dapat membantu menyingkirkan bau lembapan yang terkumpul pada pakaian dan seterusnya diikuti dengan proses pengeringan.
7. Melipat & menyimpan pakaian
Lipat pakaian dengan segera sebaik sahaja ia kering. Pakaian yang dibiarkan terus berlonggok tanpa dilipat akan menghilangkan haruman detergen. Lipat pakaian sebaik sahaja ia kering dan simpan atau gantung dalam ruangan almari yang mempunyai pengaliran udara yang baik. Membuka dan menutup pintu almari sekali sekala untuk mengambil pakaian akan mewujudkan pengaliran udara yang baik kepada fabrik pakaian anda.
Tips lain untuk memastikan keharuman pakaian di dalam almari ialah dengan bantuan haruman seperti potpuri dan menggantung produk penyegar udara khusus untuk almari. Selain itu anda juga boleh menggunakan minyak wangi yang disembur pada sehelai tisu dan meletakkannya di dalam almari dan laci simpanan pakaian. Biji kopi juga berkesan untuk menyerap sisa bau tidak enak dalam almari yang tertutup.