“Mama, apa itu haid?”

Pernahkah anda sebagai ibu diterjah dengan pertanyaan seumpama ini dari seorang anak perempuan? Atau mungkin soalan itu pernah diajukan oleh seorang anak lelaki? Dan pernahkah terlintas perasaan malu dalam diri anda untuk menerangkan apa itu haid kepada si kecil yang bertanya?

Tidak dinafikan bahawa stigma masyarakat dalam membincangkan topik perempuan mengenai haid masih terbendung oleh perasaan malu. Topik haid bukanlah suatu perbincangan yang manis untuk dibincangkan secara terbuka. Walaupun haid diketahui sebagai fitrah biologi yang normal dialami oleh wanita pada setiap bulan, sikap wanita yang pemalu menjadikan mereka lebih cenderung berbincang secara rahsia sesama mereka. Ada juga yang mengelak langsung daripada membincangkannya dengan sesiapa jua kerana menganggap haid sebagai suatu perkara normal yang tidak memerlukan ulasan dan perbincangan yang panjang.

Ya! Haid adalah perkara normal bagi wanita. Namun tidak ramai wanita lebih-lebih lagi seorang ibu mampu menerangkan dengan baik tentang apa itu haid apabila ditanya oleh anak mereka sendiri. Mengelak menjawab pertanyaan anak tentang “Apa itu haid” bukanlah satu pendekatan yang bijak. Sebaliknya, dekati mereka dan huraikan mengenai haid supaya mereka lebih bersedia melalui hari haid pertama dalam hidup mereka.

Bila Waktu Sesuai Menerangkan Kepada Anak Perempuan Tentang Haid?

Setiap anak gadis akan melalui haid pertama dalam hidup mereka pada usia yang tidak sama. Kebiasaannya, wanita akan mengalami haid pertama pada usia antara 11 dan 12 tahun. Namun ada yang mengalami haid pertama lebih awal iaitu pada usia 10 tahun. Paling lewat terjadi haid ialah pada usia 16 tahun. Tetapi amat jarang bagi wanita mengalami haid pada usia selewat ini.

Wanita pada masa dahulu tidak tahu apa itu haid sehinggalah mereka melalui pendarahan pertama di bahagian tersebut untuk kali pertama. Pendek kata, wanita pada masa itu mula memahami biologi mereka mengenai haid berdasarkan pengalaman sendiri dan hanya sedikit mengetahuinya melalui perbincangan sesama mereka.

Pada hari ini, pemikiran kanak-kanak lebih ‘advanced’ atau lebih ke depan. Penting kepada para ibu untuk menerangkan tentang apa itu haid seawal yang mungkin terutama kepada anak perempuan. Sekurang-kurangnya anak gadis anda tidak terkejut apabila tiba-tiba menyedari berlaku pendarahan pada bahagian alat sulit mereka.

Bagaimana Menerangkan Apa Itu Haid Kepada Anak Gadis Saya ?

Berikan kefahaman mengenai haid sesuai mengikut kesesuaian umur. Penyampaian info mengenai haid perlu disampaikan secara berperingkat mengikut usia dan kematangan mereka dalam memahami sesuatu perkara.

Tanya anak gadis anda jika mereka pernah mengetahui tentang haid dari ahli keluarga lain atau rakan-rakan seusia mereka. Jika mereka telah pun mempunyai info mengenainya, tanya kembali apa yang mereka faham mengenai haid. Anak perempuan anda mungkin tidak akan pernah bertanya anda mengenai haid. Namun anda perlu mencari masa terbaik untuk menerangkan kepada mereka tentang haid secara berperingkat sebelum mereka melalui saat tersebut.

Perkara-perkara penting mengenai haid selalunya berkisar mengenai topik umur, keterangan biologi dan tindakan yang perlu dilakukan apabila mengalami haid.

Umur

Terangkan kepada anak gadis anda kebiasaan umur wanita mengalami haid. Topik mengenai umur boleh dibincangkan dengan mereka seawal usia antara 7 sehingga 9 tahun. Ia adalah usia paling sesuai supaya mereka minda mereka lebih bersedia beberapa tahun lebih awal sebelum melalui usia tersebut. Peringatan mengenai usia haid boleh diulang-ulang dari semasa ke semasa. Anak mungkin akan lupa apabila diingatkan untuk kali pertama. Jadi amat penting untuk mengingatkan mereka dari semasa ke semasa.

Keterangan Mengenai Biologi

Anak anda perlu memahami dari aspek biologi tentang mengapa wanita melalui haid atau pendarahan setiap bulan. Penerangan ini lebih sesuai bagi kanak-kanak yang menghampiri usia haid. Para ibu boleh menerangkan dari sudut sains iaitu keterangan berkaitan biologi wanita secara asas.

Antaranya menerangkan mengenai pengeluaran darah haid menerusi faraj. Ia berlaku apabila dinding uterus iaitu rahim membebaskan sel-sel yang tidak diperlukan oleh badan. Rahim pula adalah satu tempat dimana bayi disimpan sebelum dilahirkan. Biar mereka faham bahawa wanita yang tidak mengandung sahaja yang akan mengalami haid. Ia berlaku disebabkan telur wanita yang tidak disenyawakan. Apabila telur wanita disenyawakan oleh telur lelaki, wanita tidak akan mengalami haid selama 9 bulan.

Keadaan Wanita Apabila Mengalami Haid

Anak gadis anda perlu tahu kemungkinan yang mereka bakal alami ketika haid. Sebagai contoh keadaan PMS dan PMT. Iaitu keadaan wanita sebelum dan semasa tempoh haid. Terangkan tentang perubahan-perubahan emosi dan ketidakselesaan fizikal yang mungkin dialami sebelum dan semasa tempoh haid. Marah, hilang semangat, penat, hilang selera makan, sakit abdomen dan pinggang adalah kemungkinan yang bakal dilalui semasa haid.

Tempoh Masa Berlaku Haid

Keterangan mengenai tempoh masa haid perlu dianggarkan secara kasar iaitu antara lima sehingga dua minggu paling lama. Jika lebih daripada dua minggu, ia dikira darah penyakit dan bukan lagi sebagai darah haid. Jelaskan kepada mereka mengenai kitar haid wanita. Melukis keterangan kitar di atas kertas menggunakan pen dan kertas akan membuatkan mereka lebih faham. Mereka perlu tahu tempoh masa kitaran haid normal dan kitaran haid tidak normal.

Penjelasan Mengenai Lampin Wanita

Setiap anak gadis akan mengalami kesukaran memahami tentang penggunaan lampin wanita. Para ibu bertanggungjawab mengadakan demonstrasi penggunaan lampin wanita dengan cara yang betul. Ini penting supaya ia tidak dipakai secara salah menerusi seluar dalam yang boleh menyebabkan berlaku kebocoran. Kebocoran haid ketika di sekolah boleh menimbulkan rasa malu dan tidak selesa lebih-lebih lagi jika dilihat oleh rakan lelaki mereka! Oleh tu penting untuk menunjukkan kaedah penggunaan lampin wanita langkah demi langkah.

Anda juga bertanggungjawab menerangkan dan mengadakan demonstrasi pembersihan lampin wanita. Mereka perlutahu bahawa lampin wanita yang mempunyai kesan darah tidak seharusnya dibuang begitu sahaja tanpa dibersihkan dan dibungkus terlebih dahulu. Jelaskan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku jika darah haid pada lampin wanita dibiarkan terdedah tanpa sebarang perlindungan.

Bagaimana Jika Saya Tidak Mampu Menerangkan Tentang Haid Kepada Anak Gadis Saya?

Kebanyakan wanita mengalami kesukaran untuk menjelaskan haid dari segi keterangan biologi dan kitar haid. Perkara ini amat menyukarkan para ibu menyampaikan info mengenai haid secara tepat.

Namun dengan adanya teknologi masa kini anda tidak perlu risau. Anda mempunyai pilihan lain iaitu melalui bantuan keterangan buku dan video. Guru, doktor dan jururawat juga adalah individu yang boleh membantu anda menyampaikan info mengenai haid secara tepat kepada anak gadis anda.

Perlukah Anak Lelaki Saya Mengetahui Tentang Haid ?

Ya! Anak anak lelaki anda perlu diberikan kefahaman mengenai keadaan biologi seorang wanita. Ini kerana, lelaki tidak dapat memahami bagaimana keadaan wanita yang mengalami haid tanpa

Penyampaian  info mengenai haid berbeza di antara anak lelaki dan anak perempuan. Wanita perlu mengetahui secara tepat dan perinci mengenai kesemua aspek mengenai haid kerana mereka yang bakal menghadapinya.

Namun bagi anak lelaki, anda hanya perlu menjelaskan info secara asas. Anak lelaki anda tidak keterangan secara terperinci mengenai pengiraan kitar haid seseorang wanita. Apa yang mereka perlu tahu ialah wanita normal akan mengalami pendarahan menerusi faraj pada setiap bulan selama beberapa hari.

Sebagai bakal suami kepada isteri, abang kepada adik perempuan atau adik kepada seorang kakak, mereka boleh mengetahui tentang produk dan jenama lampin wanita. Sekurang-kurangnya mereka tahu membezakan lampin wanita dengan lampin bayi dan orang dewasa! Memang nampak mudah tapi bayangkan jika si kakak terpaksa meminta pertolongan adik lelaki untuk membeli lampin wanita pada saat-saat genting? Bukankah mereka perlu tahu membezakan jenis-jenis lampin yang ada di pasaran?

Anak lelaki anda juga perlu faham mengenai keadaan emosi wanita ketika sedang haid. Ini penting supaya wujud toleransi dan saling memahami di antara anak lelaki dan anak perempuan. Topik ini sering membuatkan lelaki ketawa dan mereka tentu amat berminat untuk mengetahuinya!