Pemilihan antara lampin pakai buang vs lampin kain mungkin menjadi salah satu keputusan sukar bagi sesetengah ibu bapa. Bagi mereka yang berkemampuan dari segi kewangan, membelanjakan sejumlah wang untuk lampin pakai buang anak setiap bulan tentunya tidak menjadi masalah. Malah tidak timbul lagi isu berkenaan lampin pakai buang vs lampin kain. Namun bagi sesetengah keluarga, lampin kain menjadi pilihan utama kerana ia mampu menjimatkan sejumlah wang perbelanjaan anak setiap bulan.

Walau apa jua pilihan ibu bapa berkenaan pemilihan jenis lampin, tentu anda juga ingin mengetahui perbandingan antara lampin pakai buang vs lampin kain. Mana satu paling sesuai?

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : BAJET

Lampin Pakai Buang

Perbelanjaan kos pampers sebulan untuk seorang anak mungkin sekitar RM140 sehingga RM250 bergantung kepada jumlah pek dan jenis pampers yang digunakan. Terdapat banyak jenama lampin di pasaran. Pampers pakai buang jenama biasa selalunya menelan belanja sekitar RM40.00 untuk satu pek. Manakala jenama pampers premium pula sekitar RM60.00 ke atas. Bilangan keping pampers akan bergantung kepada saiz anak anda. Lagi besar saiz, makin kurang bilangan keping pampers dalam satu pek. Setiap bulan bayi anda memerlukan antara 3 sehingga 4 pek.

Lampin Kain

Lampin kain tentunya lebih menjimatkan kerana ia tidak perlu dibuang sebaliknya boleh dicuci berulang kali. Bilangan set lampin kain walaupun sedikit sekitar 10 keping, namun harganya lebih murah serta boleh dicuci untuk penggunaan berulang kali. Dua helai lamping kain berharga sekitar RM12.00 di pasaran. Lampin kain juga boleh disimpan untuk kegunaan anak yang seterusnya.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : REKABENTUK

Lampin Pakai Buang

Rekabentuk lampin pakai buang terdiri daripada dua jenis iaitu pelekat dan seluar. Lampin dengan pita pelekat boleh dilaras dan dilekatkan semula mengikut saiz pinggang bayi. Bergantung kepada jenama, rekabentuk lampin yang baik selalunya boleh menahan kebocoran air kencing sehingga enam kali. Lampin yang baik dan berkualiti mempunyai tahap serapan yang tinggi. Pelapik luar yang berliang udara pada rekaan lampin pakai buang membenarkan pengaliran udara yang lebih tinggi untuk keselesaan bayi.

Lampin Kain

Lampin kain masa kini tidak lagi seperti lampin kain dulu-dulu. Rekaannya lebih moden dan pelbagai dari segi pilihan warna dan corak. Butang pada lampin boleh disesuaikan mengikut saiz pinggang bayi. Bahagian luar lampin kain masa kini dilapisi dengan kain jenis kalis air untuk menghalang kebasahan. Lampin kain moden ini dibekalkan dengan pelapik khas dari jenis mikrofiber untuk dimasukkan dalam poket khas yang direka pada lampin kain. Pelapik khas ini mempunyai tahap serapan dan mampu menahan kebocoran selama beberapa jam. Ia juga direka supaya mudah untuk dicuci.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : KESELESAAN

Tiada perbezaan yang besar dari segi keselesaan di antara lampin pakai buang dengan lampin kain moden. Keselesaannya bergantung kepada kemampuan penyerapan dan tentunya setiap jenama mempunyai tahap penyerapan yang berlainan. Keselesaan lampin bayi juga bergantung kepada kekerapan anda menukar lampin apabila ia telah penuh.

Lampin Pakai Buang

Dari segi pengaliran liang udara untuk keselesaan kulit bayi, lampin pakai buang menjaminkan keselesaan yang lebih baik untuk anak anda. Namun, bahan serapan yang diperbuat daripada bahan kimia pada lampin pakai buang mungkin boleh menyebabkan kesan alergik pada sesetengah kulit bayi.

Lampin Kain

Tiada penggunaan bahan kimia pada pembuatan lampin kain. Ianya lebih selamat untuk keselesaan kulit bayi. Ia tidak menyebabkan alergik seperti timbulnya ruam yang terjadi apabila ibu lambat menukar lampin.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : PENJIMATAN MASA

Lampin Pakai Buang

Ianya bergantung kepada pilihan anda sama ada menggunakan lampin pita pelekat atau seluar. Lampin seluar jauh lebih cepat dipakaikan kerana ia hanya perlu disarungkan seperti memakai seluar. Bayi juga tidak perlu dibaringkan terlebih dahulu seperti memakaikan lampin pita pelekat. Lampin seluar tentunya jauh lebih menjimatkan masa si ibu.

Perkara paling jelas tentang penjimatan masa ialah lampin pakai buang tidak perlu dibasuh. Anda boleh terus membuangnya selepas dipakai. Banyak masa dapat dijimatkan tanpa perlu anda memikirkan untuk membersihkannya kembali.

Lampin Kain

Pemakaian lampin kain berbutang moden sama seperti pemakaian lampin pakai buang jenis pita pelekat. Bayi perlu dibaringkan terlebih dahulu dan ia memerlukan lebih masa untuk dipakaikan kepada bayi.

Jelas sekali, lampin kain menuntut masa yang lebih lama untuk dibersihkan.Ia juga tidak sesuai dicuci menggunakan mesin basuh dan perlu dibasuh dengan menggunakan tangan. Dari segi masa. Semua proses mencuci lampin pakai buang akan memakan masa yang agak lama bagi seorang ibu yang sibuk.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : LATIHAN KE TANDAS?

Lampin Pakai Buang

Ada yang mengatakan bayi yang dipakaikan lampin pakai buang akan lambat untuk belajar ke tandas dengan sendirinya. Bayi yang dipakaikan lampin pakai buang lambat belajar membezakan antara lampin kering dan lampin basah. Ini kerana kemampuan menyerap lembapan pada pampers membuatkan bayi sentiasa rasa kering walaupun sudah kencing berkali-kali dalam pampers yang sama. Ada sesetengah kanak-kanak masih lagi memakai lampin walaupun telah masuk sekolah darjah satu! Mereka akan kencing pada bila-bila masa walaupun tidak dipakaikan lampin.

Lamping Kain

Bayi yang diajar memakai lampin kain lebih sensitif terhadap kebasahan. Ini kerana kadar penyerapan lampin kain lebih rendah dan bayi akan cepat merasai kebasahan setelah kencing. Bayi mudah membezakan rasa kering dan basah serta tahu membuang air sendiri ke tandas dengan lebih cepat.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : IMPAK ALAM SEKITAR

Lampin Pakai Buang

Jelas sekali penggunaan lampin pakai buang menjadi salah satu faktor penyumbang kepada pertambahan sampah sampah sama ada di rumah atau tempat pembuangan sampah. Bayangkan jika seorang kanak-kanak dipakaikan lampin pakai buang sehingga usia 4 tahun. Jumlah pembuangan lampin mungkin mencecah sehingga 5,000 keping!Bagaimana pula jika dikirakan jumlah pampers terbuang untuk 1000 orang bayi dalam masa 4 tahun?

Sikap tidak bertanggungjawab sesetenagh ibu bapa yang meninggalkan lampin pakai buang merata-rata juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Lampin Kain

Tiada siapa yang akan meninggalkan lampin kain di merata-rata tempat kecuali jika anda terlupa. Lampin kain bersifat kitar semula di mana ia boleh dibasuh dan dipakaikan berulang kali dan tidak terhada kepada seorang bayi sahaja. Anda mungkin akan membuangnya apabila semua anak-anak telah membesar di mana mereka tidak perlu lagi dipakaikan lampin.

LAMPIN PAKAI BUANG vs LAMPIN KAIN : KESIMPULANNYA

Setelah membaca semua perbandingan ini, mana satukah lampin yang anda fikirkan terbaik untuk anak-anak anda? Menentukan keselesaan antara lampin pakai buang vs lampin kain sememangnya satu persoalan subjektif yang mana keputusannya terletak pada pilihan ibu dan bapa. Sesetengah ibu bapa memilih membeli kedua-duanya kerana faktor pemakaian mengikut masa dan keadaan. Ada juga yang memilih memakaikan lampin kain pada waktu malam sahaja kerana waktu ini bayi kurang membuang air besar ketika tidur. Kemudahan untuk dibawa ke mana-mana juga penting untuk dipertimbangkan. Contohnya ketika melancong. Sudah tentu anda lebih memilih lampin pakai buang yang menjimatkan masa.

Pilihan Editor :

GroVia All in One Newborn Cloth Diaper Surf

MamyPoko Air Fit

OffSpring Fashion Diapers