Ketahui Punca & Cara Menghilangkan Masalah Bau Mulut Yang Serius

Product Details

Pernahkah anda menghadapi rasa tidak selesa seolah ingin pitam apabila melakukan urusan dengan mereka yang menghadapi masalah bau mulut ? Pasti ramai daripada kita yang pernah mengalaminya. Mungkin anda sendiri mengalami masalah bau mulut yang serius sehingga menurunkan kadar keyakinan diri anda untuk berhadapan dengan orang ramai.

Mereka yang menghadapi masalah bau mulut sering dianggap sebagai seorang yang pengotor dan tidak tahu menjaga kebersihan diri, gigi dan mulut. Secara mudahnya anda boleh menganggap mereka malas menggosok gigi. Walhal mungkin orang tersebut telah membersihkan giginya berulang kali dalam sehari.

Bau Mulut Salah Satu Punca Hilangnya Keyakinan Diri

Seseorang yang mengalami masalah bau mulut yang serius sememangnya kurang bernasib baik. Ia bukan sahaja menjadi punca rakan-rakan menjauhkan diri daripada anda. Diri anda sendiri akan semakin hilang keyakinan untuk bergaul dengan masyarakat kerana terpaksa menahan kejian dan tindak balas tidak menyenangkan yang ditunjukkan oleh mereka. Contohnya menutup hidup ketika bercakap dengan anda.  Memang agak tidak sopan beraksi sedemikian di hadapan mereka yang menghadapi masalah bau mulut.

Namun anda yang menghadapi masalah bau mulut juga tidak seharusnya membiarkan begitu sahaja tanpa berusaha mengatasinya. Pelbagai punca terjadinya masalah bau mulut di kalangan manusia. Bagi yang berhadapan dengan masalah ini, anda tidak seharusnya berputus asa dan berusahalah untuk mencari penyelesaiannya.

Punca Bau Mulut

Jenis Makanan & Minuman

Makan makanan yang berbau kuat. Contohnya bawang putih, petai,  jering, durian dan minuman yang memabukkan atau alkohol, minuman berkafein dan minuman manis yang berlebihan.

Tonsilitis

Tonsil adalah gumpalan tisu limfoid yang terletak di bahagian belakang kerongkong. Setiap manusia mempunyai 2 biji tonsil. Tonsil sebenarnya merupakan sebahagian daripada sistem imun manusia yang berfungsi menghasilkan antibodi apabila sel jahat masuk menerusi mulut berpunca dari makanan. Tetapi tonsil ini juga terdedah kepada bakteria dan virus. Tonsil yang dijangkiti ini apabila membengkak dan bernanah akan menghasilkan bau mulut yang tidak enak.

Sinusitis

Sinusitis adalah jangkitan yang berlaku kepada sinus yang mengakibatkan berlaku pembengkakan. AKhirnya terjadi penyumbatan pada saluran sinus. Sinusitis boleh terjadi selama beberapa hari sahaja. Tetapi sinus yang lebih teruk akan berlangsung selama berbulan-bulan dan agak sukar untuk disembuhkan. Jika sembuh sekalipun, ia berisiko untuk berulang kembali walaupun telah melalui rawatan.

Sinusitis akan menyebabkan penyumbatan dan pengumpulan lendir pada saluran pernafasan sehingga menyebabkan rasa tidak selesa, bengkak sekitar mata dan wajah. Ia boleh terjadi kepada orang dewasa dan kanak-kanak.

Simptom sinusitis berbeza daripada selesema. Selesema selalunya akan sembuh dalam masa dua ke tiga hari. Tetapi sinusitis akan berlangsung selama berminggu-minggu.

Masalah Paru-Paru

Masalah bau mulut juga berpunca dari jangkitan paru-paru. Ia terdiri daripada pelbagai penyakit. Antaranya bronkitis, tuberkulosis, pneumonia dan emfisema.

Selain itu, penyakit paru-paru kronik seperti kanser paru-paru selalunya akan menghasilkan bau nafas yang berbeza.

Masalah asma pula akan menyebabkan mulut pesakit menjadi kering. Ini disebabkan kerana aliran udara yang terhad menyebabkan pesakit cenderung bernafas menerusi mulut. Keadaan mulut yang kering ini menjadi punca nafas berbau. Penggunaan ubat inhaler juga boleh mengeringkan keadaan dalaman mulut.

Penyakit genetik yang dikenali sebagai sistik fibrosis.Penyakit ini turut akan menyebabkan pelbagai efek kesihatan kepada paru-paru, sistem pencernaan dan sinus. Pesakit cenderung menglami penyumbatan sinus yang menyukarkan mereka untuk bernafas dengan lancar, batuk yang kronik dan jangkitan saluran pernafasan yang berulang-ulang. Hidung pesakit kerap mengeluarkan cecair lendir yang berwarna.

Masalah Pencernaan

Masalah pencernaan boleh menyebabkan penyakit refluks gastroesofageal atau Gastroesophageal Reflux Disease. Penyakit ini akan menyebabkan maslaah kepada sistem pencernaan sehingga menyebabkan makanan yang terdapat di dalam perut akan naik ke dalam esofagus. Asid perut akan naik semula bersama-sama dengan makanan yang dihadam. Pesakit boleh merasa wujudnya sisa makanan atau cecair di bahagian belakang mulut.

Selain itu, masalah kembung perut, pengumpulan gas, masalah sendawa yang teruk dan sembelit yang mengganggu sistem pencernaan akan menyebabkan bau pernafasan yang tidak enak keluar daripada mulut.

Masalah Buah Pinggang

Pesakit buah pinggang berisiko mengalami bau pernafasan yang tidak enak seakan-akan bau amonia. Ia disebabkan terhasilnya penghasilan urea ayang berlebihan pada saliva atau air liur sehingga menyebabkan bau tidak enak seakan-akan amonia.

Menstruasi Wanita

Masalah halitosis atau nafas berbau didapati berlaku kepada wanita di saat mereka mengalami haid. Menurut kajian, wanita yang sedang mengalami haid akan menghasilkan VSC iaitu sejenis sebatian organosulfur yang lebih tinggi. Jadi wanita yang mengalami  haid juga cenderung menghadapi masalah bau mulut.

Penyakit Gusi

Penyakit gusi akan menyebabkan pembentukan plak pada gigi. Plak gigi merupakan lapisan bakteria yang melekit serta tidak berwarna. Plak ini di dapati pada bahagian lidah, celah gigi dan permulaan gigi. Plak bukanlah sisa makanan yang melekat pada gigi seperti yang sering disalah erti oleh kebanyakan daripada kita. Pembentukan plak akan menyebabkan penyakit gusi. Sekiranya penyakit gusi tidak dirawat, ia boleh merosakkan gusi dan memberi kesan kepada tulang rahang.

Pengambilan Ubat

Beberapa jenis ubat dikatakan menjadi punca masalah pernafasan berbau busuk. Antara ubat yang dikenalpasti adalah  ubat sakit kepala, ubat asma, parkinson, sawan, alergi, darah tinggi dan beberapa lagi jenis ubat-ubatan. Ubat-ubat ini menyebabkan keadaan dalam mulut menjadi kering sehingga menghasilkan bau mulut yang tidak enak.

Merokok

Terlalu banyak merokok juga akan menyebabkan masalah kepada organ paru-paru. Bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalam rokok akan meninggalkan bau yang tidak enak kepada lidah semasa perokok menyedut asap rokok secara tidak terkawal.

Kenalpasti Punca Masalah Bau Mulut

Jadi, anda sudah pun mengetahui beberapa punca terjadinya masalah bau mulut yang serius. Kebanyakan masalah bau mulut sebenarnya berpunca daripada penyakit dalam badan yang mungkin anda tidak sedari.

Jadi, kaedah terbaik untuk mengenalpasti punca sebenar adalah dengan berjumpa doktor. Anda perlu menceritakan masalah sebenar berkaitan bau mulut yang dihadapi. Doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengesan jika anda menghidapi penyakit-penyakit yang dinyatakan.

Namun tidak semua masalah bau mulut mampu diselesaikan terutamanya apabila mengetahui ia berlaku disebabkan daripada masalah kesihatan yang kronik seperti masalah paru-paru, asma dan penyakit buah pinggang.

Bagi penyakit seperti tonsilitis, penyakit gusi, masalah sistem penghadaman dan sinusitis, teknologi perubatan terkini mempunyai beberapa kaedah rawatan sama ada melalui pengambilan ubat, pembedahan atau lain-lain kaedah mengikut perubatan.

Amalkan Langkah-Langkah Kebersihan Oral

Masalah bau mulut boleh dikurangkan atau dihilangkan melalui langkah-langakah kebersihan oral. Antaranya :

  • Pastikan anda menggosok gigi dengan bersih setiap kali selepas bangun dari tidur. Gosok gigi, gusi, seluruh permukaan luar dan belakang lidah serta lelangit dengan sebersihnya.
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari atau gosok gigi setiap kali selepas makan.
  • Tukar berus gigi setiap dua sehingga tiga bulan sekali.
  • Gunakan alat tambahan pembersih mulut seperti flos untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah gigi. Anda juga boleh mengamalkan berkumur dengan cecair pencuci mulut yang dapat menghapuskan bakteria dalam mulut. Tetapi elakkan daripada cecair kumur yang mengandungi alkohol. Kandungan alkohol akan menyebabkan kekeringan pada dalaman mulut.
  • Sentiasa tanggalkan dan bersihkan gigi palsu bagi mereka yang memakai gigi palsu.
  • Berhenti dari merokok
  • Elakkan makanan yang berbau kuat seperti petai dan bawang. Bau petai akan menghasilkan gas yang berbau busuk selama berhari-hari di dalam perut.
  • Minum banyak air masak untuk mengelakkan keringan dalam mulut.
  • Sentiasa bersedia dengan gula-gula getah tanpa gula jika mulut terasa kering ketika sedang lapar.
  • Berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya sekali setahun untuk pemeriksaan oral secara menyeluruh.
Get Reviews Widget

Leave a review

You may also like...