Hari ini hendak minum jus atau smoothie?
Jus dan smoothie kedua-duanya adalah pilihan minuman yang sedap dan menyihatkan untuk anda kerana untuk minuman ini anda hanya menggunakan salah satu daripada makanan paling berkhasiat dan sihat di dunia iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran. Bagi yang menjadikan amalan meminum jus dan smoothie sebagai diet harian, pastinya dapur rumah anda mempunyai pelbagai pilihan pengisar dan pembuat jus yang terbaik untuk menghasilkan minuman yang paliing enak dan sihat untuk anda nikmati.
Juicer vs Blender
Sebelum berbincang lebih lanjut mengenainya mana satukah yang terbaik, tahukah bahawa masih ramai yang keliru di antara dua peralatan penting ini iaitu juicer dan blender. Terutama mereka yang jarang ingin mengambil tahu tentang kepelbagaian peralatan di dapur.
Kebanyakan daripada kita mengetahui fungsi blender atau pengisar kerana sering menggunakannya untuk mengisar pelbagai jenis rempah masakan untuk memasak. Pengisar tidak lagi asing bagi mereka yang rajin ke dapur. Namun kekeliruan sering timbul apabila kita meneliti fungsi dan kebaikan kedua-dua peralatan ini di pasaran. Kekeliruan yang terjadi sering membuatkan kita akhirnya menyesal selepas membuat keputusan pembelian setelah mendapati kekerapan dan manfaat penggunaan kedua barangan ini berbeza sama sekali dari apa yang kita harapkan. Apa yang terjadi menyebabkan peralatan yang dibeli akhirnya tersadai begitu sahaja tidak digunakan.
Perbezaan Juicer & Blender
Ya, kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama iaitu kemampuan untuk mengubah buah-buahan dan sayur-sayuran dalam peti sejuk anda menjadi minuman yang menyihatkan. Namun jangan keliru sebelum membuat sebarang pembelian kerana walaupun kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama, cara ia berfungsi dan minuman yang dihasilkan berbeza sama sekali. Malah lebih daripada itu, nutrisi minuman dari hasil buah-buahan dan sayur-sayuran yang diproses juga berbeza sama sekali.
Untuk menentukan jenis nutrisi terbaik yang anda inginkan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, ia bermula daripada penentuan peralatan yang anda pilih sama ada juicer atau blender.
Jadi apakah perbezaan di antara keduanya? Juicer atau mesin jus menghasilkan minuman sama seperti fungsi blender. Juicer bertindak dengan cara mengasingkan hampas dan airnya daripada buah dan sayur yang anda gemari. Hampas ini yang kaya dengan bahan fiber terpisah sama sekali dari hasil jus minuman. Ini bermakna jus yang anda minum kaya dengan vitamin dan nutrien yang mudah diminum dan dihadam oleh sistem pencernaan. Ia tidak lagi mengandungi hampas mahupun pulpa yang kaya dengan bahan fiber.
Berbeza dengan blender atau pengisar, ia bertindak memproses kisaran buah atau sayuran secara keseluruhan dalam bentuk lebih halus yang mudah diminum bersama jus dan hampas dan pulpa. Dari segi nutrisi, ia diperkaya dengan vitamin dan unsur fiber. Unsur fiber ini mengambil masa untuk di hadam dalam sistem pencernaan kita. Dalam masa yang sama, jus yang hasil dari campuran bahan kisaran ini mampu menghilangkan dahaga walaupun kurang dari segi kandungan air berbanding jus yang dihasilkan oleh juicer.
Juicer vs Blender : Manakah Yang Terbaik Untuk Kesihatan ?
Tiada jawapan yang tetap untuk soalan ini. Secara asasnya juicer dan blender kedua-duanya digunakan untuk menghasilkan minuman yang berkhasiat. Keyakinan sesetengah pihak bahawa jus yang diminum bersama dengan unsur fiber adalah lebih baik kerana yakin bahawa bahan fiber inilah yang menyimpan segala nutrisi dan vitamin yang tersembunyi dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
Mereka yang ingin mengelakkan pembaziran secara maksima akan memilih minuman dengan sedikit campuran hampas dan pulpa. Walau apapun, kedua-dua jenis minuman yang dihasilkan oleh pengisar dan mesin jus tetap berkhasiat dan ia lebih baik daripada segala jenis pilihan minuman berperisa yang lain.
Kelebihan Alat Pengisar (Blender) & Mesin Jus (Juicer)
Setiap peralatan yang dibandingkan pastinya mempunyai kekurangannya masing-masing. Bagi mereka yang memilih alat pengisar, kami senaraikan beberapa kelebihan dan kekurangan alat pengisar supaya anda dapat membuat pilihan pembelian yang lebih bijak sebelum berbelanja.
Kelebihan Pengisar
Kurang pembaziran. Buah dan sayuran yang dikisar menggunakan pengisar selalunya boleh dikisar dalam bentuk paling halus serta boleh diminum tanpa masalah yang menyebabkan kita tercekik.Hampas atau serat yang dikisar ini tidak perlu dibuang. Jadi kurang berlaku pembaziran buah dan sayuran.
Asil minuman disimpan lama dalam badan. Hasil daripada serat jus yang anda minum merupakan bahan fiber yang baik untuk membantu perut anda tahan lebih lama daripada rasa kelaparan. Fiber adalah nutrisi yang memerlukan masa untuk dihadam dalam sistem pencernaan kita. Jadi ia bertindak mengurangkan rasa lapar sekaligus mengurangkan selera kita terhadap makanan berlebihan. Badan juga akan rasa lebih bertenaga lebih lama.
Memperbaiki sistem pencernaan. Jus yang dihasilkan daripada pengisar baik untuk diminum dengan memperbaiki sistem pencernaan kita. Ini kerana serat dalam hampas buah dan sayuran adalah sumber yang baik untuk melancarkan sistem pencernaan yang dapat mengelakkan kita dari sembelit.
Boleh hasilkan jus dan smoothie. Pengisar memberikan kelebihan kerana anda mempunyai dua pilihan sama ada menghasilkan jus atau smoothie.
Pelbagai pilihan pengisar di pasaran. Terdapat pelbagai jenama elektrik yang mengeluarkan pealatan pengisar. Setiap satunya masing-masing menawarkan kelebihan dari segi harga, saiz dan kelengkapan jug. Anda boleh menghasilkan antara setengah sehingga dua liter jus minuman secara serentak. Begitu juga dengan bahan yang dikisar. Anda bukan sekadar mengisar buah dan sayur, malah boleh diperlbagaikan dengan campuran seperti kekacang dan kismis untuk hasil minuman yang lebih enak. Selain itu terdapat saiz pengisar yang lebih kecil sesuai untuk tujuan kembara atau kegunaan di luar rumah seperti semasa berkelah dan menginap di hotel. Pengisar jenis ini mempunyai dua kelebihan iaitu membuat minuman jus dan smoothie.
Kelebihan Mesin Jus (Juicer)
Menghasilkan minuman yang berkhasiat. Air minuman yang terhasil daripada mesin jus adalah dalam bentuk yang paling senang diserap oleh badan kita. Ia tidak memerlukan masa yang lama untuk dihadam dalam sistem pencernaan.
Memudahkan kerja anda. Penggunaan alat jus sangat memudahkan di mana anda hanya perlu memasukkan buah dan sayur dalam bahagian yang disediakan. Proses kisaran yang berlaku akan mengeluarkan air minuman buah yang bersih tanpa hampas kerana ia telah siap ditapis secara berasingan. Ia menjimatkan masa di mana anda tidak perlu lagi menggunakan alat penapis berasingan kerana ia mempunyai penapis dalaman yang berfungsi mengasingkan air minuman daripada hampas yang dikisar.
Minuman detoks. Dengan alat mesin jus, anda boleh menghasilkan minuman detoks lebih asli berbanding dengan minuman detoks yang dicampur dengan air putih. Jus yang dihasilkan oleh mesin jus adalah pilihan terbaik bagi mereka yang menggemari minuman detoks. Anda hanya perlu mencampurkan perahan lain seperti jus lemon dan sebatang serai untuk minuman detoks yang lebih menyelerakan.
Buah tidak perlu dipotong. Peralatan mesin jus membolehkan anda menghasilkan jus tanpa melalui proses yang remeh seeperti memotong buah kepada potongan kecil. Namun adalah lebih baik jika anda memotong terlebih dahulu buah kepada sekurang-kurangnya dua potongan saiz kecil.
Senyap dan tidak menghasilkan bunyi yang bising. Menghasilkan jus menggunakan mesin jus lebih senyap. Ia memproses air minuman tanpa bunyi yang bising. Anda boleh memproses jus buah-buahan secara tenang di dapur walaupun pada waktu tengah malam ketika orang lain sedang tidur.
Juicer vs Blender. Mana Satu Yang Terbaik?
Jadi setelah mengetahui kelebihan kedua-dua peralatan ini, mana satukah yang terbaik untuk dimiliki? Secara adilnya, ia bergantung kepada keperluan dan kecenderungan masing-masing. Mungkin anda lebih menggemari jus buah-buahan yang segar dan lebih menghilangkan dahaga. Maka yang terbaik untuk anda ialah mesin jus atau juicer. Bagi yang menggemari jus dan smoothie, pengisar pastinya terbaik untuk anda. Selain itu, ia juga bergantung kepada kelapangan masa seseorang.
Pilihan Editor