Merawat rambut yang rosak adakalanya lebih sukar daripada merawat kulit badan yang luka. Ini kerana kerosakan dan masalah rambut berpunca daripada akar rambut. Akar rambut ini pula terletak di bahagian bawah dermis kulit yang sukar dilihat oleh mata kasar. Merawat rambut rosak tidak semudah menyembuhkan kulit yang terluka dengan ubat sapu. Tambahan lagi kerosakan rambut boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Contoh paling ketara adalah masalah rambut gugur, kelemumur dan rambut kering. Produk yang ditawarkan di pasaran boleh jadi berupaya untuk menyelesaikan kerosakan rambut. Namun bagi mereka yang mengalami masalah rambut yang serius, mungkin anda terpaksa membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk mengembalikan semula rambut yang rosak.

Bagi anda yang mengalami masalah kerosakan rambut di peringkat awal, masih belum terlewat untuk anda menilai semula amalan penjagaan rambut yang dilakukan selama ini. Amalan penjagaan rambut dan gaya hidup yang tidak sihat mungkin menjadi punca sebenar kerosakan rambut. Untuk itu, Jangan Buat 10 Perkara Ini Jika Tidak Mahu Rambut Rosak !

1. Gagal Mengatasi Tekanan

Stres atau tekanan adalah perkara biasa yang pasti dialami oleh setiap manusia. Selagi kita hidup, kita tidak boleh lari daripada mengalami tekanan. Setiap orang mengalami peringkat tekanan yang berbeza dan punca yang tidak sama. Perkara paling penting ialah bagaimana cara kita mengadaptasi dengan peringkat tekanan yang dihadapi. Ini kerana stres atau tekanan yang gagal dikawal akan memberi kesan kepada perubahan hormon dalam badan.

Perubahan hormon ini akan mempengaruhi pelbagai sistem fungsi dalaman badan. Perubahan hormon ini akan menyebabkan seseorang yang tertekan mengalami sakit kepala, kebimbangan yang melampau, ketakutan, hilang selera makan, sakit perut dan sebagainya.

Mereka yang mengalami tekanan berdepan dengan salah satu sindrom masalah rambut dan kulit kepala dipanggil telogen effluvium. Penyakit ini akan menyebabkan anda mengalami masalah keguguran rambut yang serius. Ia dikategorikan oleh doktor sebagai masalah kulit atau dermatologi. Rambut akan mengalami masalah dari segi pertumbuhan disebabkan keadaan folikel rambut yang gagal menumbuhkan rambut yang akhirnya menyebabkan rambut tidak tumbuh malah semakin banyak yang gugur.

2. Tidak Mengamalkan Diet Seimbang

Makanan yang dimakan setiap hari membekalkan nutrien ke seluruh anggota badan termasuk rambut. Nutrien sihat penting untuk memastikan pertumbuhan rambut tidak terbantut dan sentiasa sihat. Kekurangan nutrien tertentu akan menyebabkan pelbagai masalah rambut terutama kelemumur dan keguguran rambut yang berterusan.

Makanan dengan kandungan bahan pengawet dan kimia yang terlalu tinggi akan memberi kesan kepada kesihatan rambut. Nutrien yang baik untuk kesihatan rambut terdiri daripada protein dan karbohidrat kompleks. Anda disarankan untuk makan makanan yang mengandungi nutrien utama ini. Antaranya melebihkan makanan bersumber dari sayur-sayuran, buah-buahan, kekacang, daging merah, ikan serta makanan berunsur gandum seperti oat dan barli.

3. Peralatan Penjagaan Rambut Yang Salah

Tidak salah untuk anda menggunakan peralatan penjagaan rambut. Akan tetapi ramai yang menggunakanannya secara salah. Rambut yang seharusnya sihat dibantu dengan peralatan penjagaan rambut sebaliknya menjadi musuh sebenar kerosakan rambut tanpa disedari!

Tahukah anda bahawa rambut yang terdedah kepada suhu yang terlalu tinggi boleh merosakkan rambut? Sebagai contoh ialah penggunaan alat pengering rambut. Rambut anda tidak boleh terdedah kepada suhu melebihi 180 darjah celcius. Kebanyakan alat pengering rambut ditetapkan pada suhu tidak melebihi 100 darjah celcius. Namun tahukah anda bahawa suhu sepanas ini juga berupaya merosakkan rambut jika tidak digunakan dengan betul?

Kaedah penggunaan pengering rambut yang disarankan :

  • Elakkan menghala pengering rapat mengenai kulit kepala
  • Keringkan secara rata ke seluruh bahagian rambut. Tidak fokus di bahagian tertentu sahaja
  • Jangan menghala pengering terlalu lama ke bahagian tertentu rambut dan kepala.

Begitu juga dengan peralatan seterika rambut. Anda harus tahu kaedah penggunaan yang betul supaya rambut tidak menjadi mangsa kepada peralatan tersebut. Pemilihan sikat juga perlu disesuaikan mengikut jenis dan keadaan rambut.

4. Menggunakan Produk Rambut Mengandungi Bahan Kimia

Sebagai pengguna, anda seharusnya lebih prihatin dalam pemilihan produk rambut. Adakalanya tidak cukup dengan membaca label “Bebas Paraben”, “Bebas Bahan Kimia”, “Bebas Bahan Sulfat” dan sebagainya. Ada yang lebih penting daripada membaca keterangan ringkas ini iaitu membaca label kandungan yang terdapat dalam sesuatu produk penjagaan rambut.

Anda harus mengelakkan produk yang mengandungi bahan alkohol seperti Cetyl, oleyl, dan stearyl. Ia dimasukkan dalam suatu produk rambut untuk tujuan melebatkan dan menghitamkan rambut. Namun kandungan yang terlalu tinggi merbahaya kepada kesihatan rambut.

Selain itu, anda juga harus berhati-hati dengan bahan seperti sulfat, silikon, hidrogen peroksida, amonia, Propylene glycol, Diethyl phthalate, paraben, petrolatum, campuran bahan pewangi dan pelbagai lagi bahan kimia dalam produk penjagaan rambut. Sebaiknya, pilihlah produk yang dihasilkan secara semulajadi daripada bahan herba dan tumbuh-tumbuhan.

5. Air Dengan Kandungan Klorin Yang Tinggi

Anda harus berhati-hati dengan kandungan klorin dalam air. Sama ada air paip di rumah dan juga ketika berenang di kolam renang. Air kolam mandi adalah antara kawasan mandi awam yang didapati mengandungi bahan klorin yang tinggi di mana ia sangat tidak sihat apabila terkena pada rambut dan kulit kepala.

Pendedahan secara berterusan dengan air yang mengandungi klorin yang tinggi akan menyebabkan rambut mengalami masalah kekeringan. Ini akhirnya akan merosakkan struktur rambut seperti masalah rambut terbelah.

6. Backcombing / Teasing

Ia adalah teknik atau cara menyikat rambut yang digunakan untuk membuat rambut kelihatan lebat. Teknik ini digunakan juga untuk mencipta gaya rambut tertentu. Teknik ini jika dilakukan terlalu kerap akan menyebabkan kerosakan pada hujung rambut. Ia juga akan menghilangkan kekuatan folikel rambut.

Teknik menyikat rambut secara backcombing ini memberi kesan kepada keadaan kutikel rambut iaitu lapisan terluar yang melindungi struktur rambut. Lapisan kutikel luar ini bertanggungjawab seperti ‘pintu’ keluar masuk segala bahan luaran seperti kandungan kimia daripada syampo menembusi bahagian korteks rambut.

Oleh itu, lapisan ini perlu dilindungi daripada teknik backcombing secara keterlaluan yang boleh menyebabkan struktur rambut menjadi rosak.

7. Ikat & Jalin Rambut Terlalu Ketat

Teknik yang digunakan untuk menghasilkan gaya rambut yang digemari ramai wanita ini juga menjadi penyebab kepada kerosakan rambut. Antara teknik yang dikenalpasti menyebabkan kerosakan rambut ialah ikatan tocang, jalin dan sanggul. Kesemua teknik ini akan menyebabkan keadaan folikel rambut menjadi rosak dan akhirnya mengganggu pertumbuhan rambut yang sihat.

Tidak salah untuk anda bergaya dengan teknik rambut yang disukai khususnya untuk majlis tertentu yang memerlukan anda tampil lebih cantik dan anggun. Apa yang perlu anda elakkan adalah menjadikan ia sebagai rutin wajib setiap hari. Untuk kebaikan rambut anda, adalah lebih baik rambut dibiarkan begitu sahaja tanpa ikatan, Kulit kepala akan terasa lebih ringan dan selesa apabila rambut dilepas bebas begitu sahaja

8. Sikat Semasa Rambut Basah

Ramai yang tidak sedar bahawa menyikat rambut ketika basah boleh menyebabkan kerosakan. Rambut basah amat mudah mengalami kerosakan. Adalah lebih baik anda menyikat rambut setiap kali sebelum mandi untuk mengelakkan ia kusut. Gunakan tuala untuk mengeringkan rambut setiap kali selepas mandi. Anda juga boleh menggantikan alat pengering rambut dengan menghalakan kipas ke arah rambut. Ia boleh mengeringkan rambut secara lebih cepat.

9. SyampuTerlalu Kerap

Sesetengah produk syampu dicipta untuk cucian setiap hari. Namun anda disarankan untuk mencuci rambut antara dua ke tiga kali seminggu. Ini sudah cukup untuk membersihkan dan mengelakkan rambut daripada berbau. Kebanyakan syampu mengandungi bahan kimia. Oleh itu anda tidak disarankan untuk bersyampu setiap hari.

10. Mandi Air Panas

Air panas boleh menghilangkan minyak semulajadi yang terdapat pada rambut dan kulit kepala anda. Kehilangan minyak ini akan menyebabkan rambut menjadi kering dan rapuh. Anda boleh mandi dengan air suam yang tidak terlalu panas. Tetapi pastikan rambut tidak terdedah kepada air suam melebihi 10 sehingga 15 minit. Lakukan mandian air suam antara dua ke tiga kali dalam seminggu sahaja. Namun mandian air sejuk adalah pilihan terbaik untuk mengekalkan kelembapan rambut.