Melancong sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan dan meninggalkan kenangan indah yang sukar untuk dilupakan. Selain dapat mengunjungi tempat-tempat menarik di seluruh dunia, aktiviti makan-makan adalah paling utama yang menjadi kegilaan kita apabila melancong ke mana-mana negara sekalipun. Setiap negara yang kita kunjungi menjanjikan pelbagai makanan unik yang boleh dirasai. Bagi yang jarang-jarang sekali melancong, peluang dapat menikmati pelbagai makanan unik di negara yang dikunjungi pasti sukar dilepaskan. Ini membuatkan rancangan makan-makan menjadi salah satu keutamaan sehingga sukar untuk kita mengawal selera makan sendiri.

Bila pulang dari melancong, badan mula terasa gemuk dan mula buat-buat terkejut apabila melihat bacaan berat badan ketika menimbang berat badan tiba-tiba naik mendadak. Rasa menyesal mula menyelimuti diri kerana tidak menjaga pemakanan apatah lagi meluangkan masa untuk bersenam ketika melancong.

Kenapa sukar mengawal berat badan ketika melancong ?

Kesukaran mengawal nafsu makan ketika melancong adalah salah satu faktor kegagalan mengawal menjaga berat dan bentuk badan ketika sedang melancong. Mustahil bagi kita untuk mengunjungi sesebuah negara tanpa menghayati keenakan makanan unik sesebuah negara.

Adakalanya semangat untuk meneruskan aktiviti bersenam dan senaman ketika melancong memang tinggi. Namun anda terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah. Akhirnya rancangan bersenam ketika melancong hanya tinggal nota dalam lipatan sahaja tanpa sebarang pelaksanaan.

Alat senaman tidak lengkap

Perkara ini terjadi kepada mereka yang terlalu membiasakan diri dengan senaman di pusat gimnasium. Di saat melancong anda sukar untuk mendapatkan akses ke pusat-pusat gimnasium di luar negara menyebabkan anda tidak boleh menggunakan peralatan senaman di gimnasium. Akhirnya anda meninggalkan rutin bersenam sepanjang tempoh melancong.

Tiada kawan diajak bersenam

Bukan semua sahabat melancong anda minat bersenam seperti diri anda. Selama ini anda terlalu selesa ditemani teman rapat yang sama-sama mempunyai minat bersenam. Dalam ramai-ramai kawan pelancongan anda, hanya diri anda seorang sahaja yang berminat dalam dunia senaman. Ini membuatkan anda sunyi dan tiada teman untuk diajak bersenam semasa melancong. Jalan terakhir ialah meninggalkan rutin senaman yang anda cintai.

Kesukaran mengawal diet

Jika di tanah air anda begitu beria-ria menyediakan pelbagai menu diet sihat siang dan malam. Anda mempunyai peralatan memasak dan kelengkapan makanan diet yang cukup untuk penyediaan menu diet yang lazat. Semasa melancong anda sukar untuk menyediakan menu makanan diet disebabkan kurangnya kelengkapan termasuk dapur, barangan makanan dan sebagainya. Akhirnya untuk mengelakkan rasa kebulur, anda terpaksa makan apa sahaja jenis makanan asalkan perut tidak merasai kelaparan.

Tempoh melancong terlalu singkat

Lainlah jika anda melancong untuk tempoh yang lama selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Pasti seseorang mempunyai banyak masa untuk bersenam. Berbeza jika anda melancong dalam jangka masa pendek antara tiga sehingga seminggu. Pasti jadual harian hanya dipenuhi dengan rancangan mengunjungi tempat-tempat menarik dan pastinya rancangan makan-makan. Memang tiada masa untuk anda memikirkan tentang senaman.

Jadi bagaimanakah anda dapat mengelakkan berat badan naik ketika melancong?

Sebenarnya masih ada cara yang anda boleh ikuti. Baca tips ini supaya berat badan anda tetap terpelihara sepanjang tempoh melancong.

Lupakan gimnasium, bersenam di mana-mana sahaja

Jika fikiran anda terlalu bergantung kepada senama di gimnasium, alamatnya sampai bila-bila anda tidak akan bersenam ketika melancong. Bukan mudah untuk anda meluangkan masa mengunjungi dan mendapat akses ke pusat gimnasium semasa di luar negara. Jadi anda perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mencuba kaedah senaman lain yang setara dengan kemampuan anda bersenam ketika di gimnasium. Anda sebenarnya boleh bersenam di mana dan bila-bila masa sahaja tanpa peralatan gimnasium.

  1. Buat push-up setiap kali tiba di lokasi menarik. Tanamkan azam untuk melakukan push up antara kiraan 30 sehingga 100 kali setiap kali anda tiba di suatu lokasi tumpuan pelancong yang anda kunjungi. Lakukan ini sebelum anda mengangkat kamera atau membeli makanan atau minuman. Jadikan ia sebagai suatu kemestian yang perlu dilakukan untuk membentuk kebiasaan dan disiplin yang tinggi.
  2. Lakukan pull up. Anda boleh melakukan pull up di mana-mana sahaja seperti pada batang pokok yang kukuh, palang besi di tempat menunggu bas dan sebagainya. Pelbagaikan kreativiti dalam minda anda untuk membuat pemerhatian bahan-bahan yang dapat dijadikan ganti peralatan gimnasium.
  3. Banyakkan berjalan. Kurangkan penggunaan kenderaan awam seperti keretapi dalam bandar, bas, teksi dan motor untuk ke sesuatu lokasi terutama yang melibatkan jarak sekitar 10 kilometer ke bawah. Berjalan adalah salah satu kaedah terbaik untuk membakar lemak dan kalori semasa melancong. Anda mungkin akan menjumpai pelbagai perkara menarik sepanjang proses perjalanan kaki yang anda nikmati.
  4. Pelbagaikan senaman asas. Terdapat pelbagai senaman asas anda boleh lakukan selain daripada push up dan pull up. Antaranya squat, reverse crunches, lunges dan sebagainya. Semua jenis senaman ini merupakan senaman nerd atau senaman asas yang tidak memerlukan sebarang peralatan.
  5. Sewa basikal. Terokai jika terdapat perkhidmatan menyewa basikal yang anda boleh gunakan sebagai pengangkutan untuk mengunjungi tempat-tempat menarik dalam daerah yang sama.

Berenang sambil melancong

Berenang adalah salah satu idea bersenam yang mudah dilakukan di lokasi-lokasi terpilih yang anda kunjungi. Malah anda boleh berenang setiap hari sepanjang tempoh pelancongan anda.

  1. Kemudahan kolam renang di hotel. Pastikan anda memilih penginapan yang menyediakan kemudahan kolam renang untuk pelanggannya secara percuma. Mereka yang boleh berenang boleh memanfaatkan peluang berenang ini untuk membakar lemak semasa melancong. Jarang sekali pelanggan hotel yang tidak mengambil peluang menggunakan kolam renang yang disediakan oleh pihak hotel. Ambil masa untuk berenang antara 20 sehingga 30 minit setiap hari.
  2. Lokasi menarik seperti pantai dan air terjun. Bagi yang mahir berenang, pastikan anda memasukkan pilihan lokasi yang menjadi tumpuan pelancong untuk mandi manda seperti kawasan pantai dan air terjun. Bersiap sedia dengan sepersalinan pakaian mandi yang sesuai supaya anda boleh meluangkan masa lebih lama untuk berenang sambil menikmati keindahan tempat yang anda kunjungi.

Banyakkan minum air putih

Ketika melancong anda pasti sibuk mengunjungi tempat-tempat menarik sepanjang hari yang pastinya membuatkan anda kepenatan dan haus. Oleh itu anda harus pastikan anda minum kuantiti air sebanyak yang boleh. Semakin banyak perpeluhan berlaku, semakin banyak air yang perlu diminum.

Minum banyak air putih akan membuatkan anda kenyang dan mampu menahan lapar lebih lama. Cara ini sesuai untuk mengurangkan selera yang tinggi terhadap makanan. Secara tidak langsung anda boleh mengawal nafsu makan setiap kali mengunjungi sesuatu tempat terutama yang menawarkan pelbagai pilihan makanan sedap yang menggugat selera anda nanti.

Sediakan makanan poket

Apakah yang dimakksudkan dengan makanan poket? Makanan poket ialah makanan sihat yang boleh dimakan untuk memberikan rasa kenyang. Makanan ini dapat mencegah mulut anda menjadi kering yang akhirnya membuatkan anda cepat lapar. Apabila sentiasa lapar, anda akan cenderung untuk masuk ke restoran untuk menikmati makanan berat seperti nasi dan pelbagai jenis lauk yang sedap serta tinggi nilai kalorinya.

Antara makanan poket yang anda boleh sediakan ialah gula-gula getah, kekacang seperti cashew dan buah badam, kismis kering, buah seperti epal dan pear dan minuman penambah tenaga seperti minuman isotonik. Anda juga boleh menyediakan sendiri kudapan dari tanah air seperti sambal ikan bilis, ikan bilis goreng dan sebagainya. Namun pastikan ia jenis makanan yang tahan lama dan selamat untuk dibawa ke sesebuah negara tanpa masalah semasa pemeriksaan  imigresen.

Tulis catatan senaman & makanan yang dimakan setiap hari ketika melancong

Salah satu kebaikan anda menulis catatan senaman harian semasa melancong ialah sebagai peringatan supaya anda tidak lupa untuk bersenam setiap hari dan mencatat apa yang dimakan. Ia sebagai salah satu track record yang membolehkan anda mengenalpasti perkembangan senaman yang dilakukan sepanjang tempoh melancong.

Catatan ini juga dapat mengingatkan anda untuk melakukan aktiviti hari esok yang lebih baik daripada aktiviti semalam. Ia sebagai salah satu motivasi berdasarkan prinsip

“Hari ini saya perlulah lebih bagus berbanding hari semalam”