“Mama..hari ini adik akan makan sayur lebih supaya adik lebih sihat!”

Oh…seronoknya jika setiap hari anda mendengar ungkapan itu dari mulut si kecil kesayangan anda. Tanpa perlu dipaksa mereka dengan sendirinya makan setiap hidangan sayur yang dimasak setiap hari tanpa merungut. Namun, hampir mustahil untuk mendengar perkataan sedemikian keluar dari mulut seorang kanak-kanak kerana hakikatnya tabiat makan mereka tidak begitu cenderung ke arah menggemari sayur terutama sayuran hijau.

Sebagai kanak-kanak tentunya mereka lebih terpikat kepada makanan seperti ayam goreng yang berminyak, snek dan makanan segera. Kesemua makanan ini pastinya jauh lebih menyelerakan berbanding sayur yang pahit. Jadi bagaimanakah cara yang anda akan lakukan untuk memikat hati si kecil yang tidak gemar makan sayur?

Mari kita lihat cara untuk memikat anak anda supaya gemar makan sayur. Selain daripada cara yang dicadangkan di bawah anda, anda boleh memikirkan seribu satu macam idea lain yang lebih kreatif supaya mama dapat merasai keriangan melihat si comel menikmati sayur dengan mudah.

1. Kreatif Dalam Memasak

Anda tentunya seorang ibu yang hebat dalam menyediakan hidangan yang enak dan lazat untuk dinikmati keluarga. Namun apabila memiliki anak kecil yang memerlukan sumber nutrien daripada sayur, anda memerlukan idea masakan yang kreatif supaya mereka lebih tertarik untuk menikmati sayur yang dimasak.

Elakkan daripada menghidangkan masakan sayur yang jelas tidak menarik pada selera seorang kanak-kanak seperti hidangan ulam-ulaman dan pucuk paku masak lemak. Sebaliknya cuba olah resepi masakan bersumber daripada sayuran yang membuatkan kanak-kanak berselera menikmatinya tanpa mereka sedar yang mereka sebenarnya sedang menikmati sayur.

Anda mungkin boleh mengolah resepi daripada idea-idea masakan sayur yang kreatif untuk si kecil anda di rumah.

  • Mufin lobak merah
  • Smoothie sayuran dicampur susu berkrim
  • Popsikel atau aiskrim DIY
  • Steamboat sayuran
  • Bebola ayam campuran sayur
  • Piza keju bersayur
  • Nuget lobak merah
  • Burger peti sayuran
  • Makaroni kubis bunga
  • Lobak merah goreng
  • Sup tomato berkeju
  • Omelette sayuran

2. Galakkan Kanak-Kanak Jadi Chef Di dapur

Kanak-kanak tentunya teruja untuk ikut sama memasak bersama ibu mereka di dapur. Kajian mendapati kanak-kanak yang sering melakukan aktiviti memasak bersama ibu di dapur akan lebih cenderung menikmati makanan yang dimasak sendiri. Ibu boleh menggalakkan anak dengan aktiviti yang ringan seperti menyusun tomato atas adunan piza, memotong sayuran di bawah pengawasan orang dewasa, membentuk nuget sayuran, menyediakan aiskrim sayuran dan sebagainya. Libatkan mereka secara langsung dalam aktiviti memasak setiap hari. Anda bukan sahaja dapat melatih mereka menjadi chef yang hebat. Malah mereka juga lebih cepat mengenali nama-nama sayuran.

3. Biarkan Perut Mereka Lapar Beberapa Ketika

Hidangkan sayur sebagai makanan pertama ketika mereka sedang benar-benar dalam keadaan lapar. Namun pastikan hidangan sayur itu cukup enak dan kreatif pada pandangan mata seorang kanak-kanak. Ketika mereka merungut lapar, anda tidak perlu secara spontan menyuap mereka dengan nasi atau makanan lain selain daripada sayur. Kanak-kanak akan menerima apa sahaja jenis makanan yang dihulurkan apabila dalam keadaan perut yang terlalu lapar. Teknik ini bukan berniat untuk mendera mereka. Sebaliknya supaya mereka mengetahui bahawa sayuran juga adalah makanan terbaik yang dapat menghilangkan rasa lapar.

4. Dip atau Sos Sayuran

Semasa menyediakan hidangan sayuran segar, pastikan terdapat dipping atau sos sayuran di sisi hidangan sayur. Cara ini lebih menarik pada pandangan mata seorang kanak-kanak. Mereka lebih cenderung untuk mengambil potongan sayuran seperti lobak merah dan mencelup ke dalam dipping lalu disuapkan ke mulut mereka sendiri. Galakkan mereka untuk melakukannya sendiri. Pelbagaikan pilihan sayur yang berwarna warni kerana kanak-kanak menyukai warna-warna yang menarik.

5. Kebun Sayuran Mini

Ruangan lapang seperti balkoni, belakang rumah dan lebihan tanah di ruangan santai depan rumah boleh dimanfaatkan dengan bercucuk tanam. Libatkan anak-anak anda yang masih kecil untuk turut sama dalam aktiviti berkebun dan menghias ruangan kebun mini. Kanak-kanak pasti merasa seronok apabila dapat melakukan aktiviti baharu bersama ibu bapa mereka di rumah. Cara ini menggalakkan anak anda untuk mengenali nama-nama sayuran, bentuk dan warnanya lebih cepat berbanding daripada apa yang diajar menerusi buku. Mereka akan lebih menghargai sayuran apabila anda melibatkan diri mereka secara langsung bermula dari proses menanam, menyemai benih, mengutip hasil tumbuhan dan seterusnya memasak secara langsung di dapur bersama mereka.

6. Beli Sayur Bersama Anak-Anak

Jadikan aktiviti membeli belah barangan dapur lebih meriangkan dengan si kecil anda. Pilihlah pasaraya bersih dan selesa yang mempunyai kemudahan pendingin hawa dan troli. Luangkan lebih masa bersama mereka di bahagian barangan basah terutama rak sayur dan buah yang sejuk. Galakkan mereka untuk memilih sendiri sayuran dan memasukkannya dalam troli. Cara ini membuatkan mereka rasa lebih dihargai kerana diberi pilihan untuk memilih sendiri sayuran yang disukai walaupun pada hakikatnya mereka belum mengetahui nama sayuran tersebut. Dalam masa yang sama anda boleh menceritakan secara ringkas menu masakan daripada sayur pilihan mereka sendiri.

7. Permainan Sayuran

Selain memperkenalkan nama-nama sayuran menerusi buku bacaan berwarna, ada satu cara lagi anda boleh menggalakkan anak anda menikmati sayur secara langsung iaitu melalui permainan. Sediakan beberapa jenis makanan termasuk sayuran di atas beberapa pinggan. Tutup kedua-dua belah mata mereka dengan sehelai kain. Kemudian masukkan makanan tersebut ke dalam mulut mereka dan biar mereka meneka nama sayuran yang dimakan. Galakkan mereka dengan tawaran hadiah jika mereka berjaya meneka nama sayuran dengan betul. Dengan cara ini, anda bukan sahaja mendekatkan mereka dengan sumber makanan daripada sayuran. Malah kaedah pembelajaran ini lebih meriangkan bagi seorang kanak-kanak daripada perlu membaca buku sepanjang masa.

8. Hidangan Seisi Keluarga

Perkara ini mungkin biasa dilakukan oleh kebanyakan suri rumah iaitu menyediakan menu masakan berbeza antara anak kecil dan ahli keluarga yang lebih dewasa dalam keluarga. Cara ini sebenarnya bukan sahaja menyusahkan diri anda kerana perlu masak beberapa menu secara berasingan. Kaedah ini juga tidak praktikal untuk memperkenalkan kanak-kanak dengan kepelbagaian makanan termasuk sayuran. Cara terbaik adalah menyediakan satu hidangan yang sama untuk seisi keluarga menikmatinya tanpa mengira umur. Apa yang anda perlu lakukan adalah mempelbagaikan resepi masakan dan menyediakan hidangan sayuran secara lebih kreatif untuk hidangan seluruh ahli keluarga.

9. Bento Sayuran

Sekali sekala sediakan bekalan makanan atau bento supaya anak anda dapat membawanya dan makan bersama rakan-rakan di sekolah. Sediakan sekurang-kurangnya 3 jenis hidangan iaitu nasi putih, sayuran dan lauk seperti ikan dan ayam. Untuk menarik minat kanak-kanak menikmati bento yang anda bekalkan, belajar bagaimana untuk menggabungkan hidangan sayur dan lauk supaya lebih kreatif. Sebagai contoh anda boleh sediakan bento dalam bentuk wajah manusia dengan bahagian kepala, mata, hidung dan mulut. Anda boleh bentukkan lobak merah yang dihiris nipis sebagai bahagian rambut, tomato ceri sebagai biji mata dan sebagainya. Galakkan mereka untuk makan bersama rakan-rakan di sekolah. Dengan cara ini kanak-kanak akan rasa lebih teruja untuk menunjukkan hasil kreatif masakan anda itu kepada rakan-rakan mereka di sekolah.

10. Teruskan Usaha Anda!

Ibu bapa yang sentiasa bermotivasi dan bersemangat menggalakkan anak-anak mereka menggemari sayur tidak akan berputus asa dan berhenti di pertengahan jalan. Anda mungkin akan mendapati jalan yang agak sukar memujuk mereka menggemari sayur. Namun jangan sesekali melakukannya dengan cara memaksa dan menengking. Sebaliknya usaha memujuk dengan cara yang lembut dan menyakinkan.