Pernahkah anda terfikir untuk melakukan cabaran 14 hari detoks gula walaupun sekali dalam seumur hidup anda? Bagi anda yang serius untuk mengamalkan cara hidup sihat, cabaran 14 hari detoks gula adalah salah satu caranya anda dapat menghilangkan ketagihan gula. Tidak dinafikan bahawa gula juga diperlukan oleh tubuh badan dan otak kita. Gula memainkan fungsinya yang tersendiri dalam sistem tubuh badan kita. Namun begitu pengambilan makanan dan minuman manis yang berlebihan memberikan kesan yang tidak elok terhadap kesihatan dan perkembangan otak.
Kesan pengambilan gula berlebihan sama seperti dadah dimana ia boleh menyebabkan ketagihan sehingga anda sukar untuk meninggalkan gula setiap kali makan dan minum. Walaupun tidak terdapat amaun selamat dalam pengambilan gula, umum telah mengetahui bahawa gula memberikan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan terutamanya penyakit kencing manis.
Empat belas hari adalah tempoh masa yang singkat. Tidak salah untuk anda menyahut cabaran 14 detoks gula. Bagi yang ingin cuba mengurangkan gula dalam badan melalui cabaran 14 hari detoks gula, ini antara yang perlu anda tahu dan perlu lakukan.
Kebaikan Cabaran Detoks Gula
Manfaat detoks gula tidak terkira kesannya untuk kesihatan. Jika ingin menyenaraikan pasti sukar untuk dilakukan kerana anda hanya akan merasai kesannya apabila mengamalkannya dengan berdisiplin. Antara kebaikan cabaran detoks gula untuk anda ialah :
- Mencerahkan kulit badan dan wajah
- Meningkatkan semangat positif dalam diri
- Memperbaiki kualiti tidur seseorang
- Tubuh badan akan lebih bertenaga
- Menurunkan berat badan bagi mereka yang obesiti
- Meningkatkan tahap metabolisma
- Badan lebih cergas
- Otak lebih cerdas
- Memperbaiki sistem pencernaan
- Kurang rasa lapar terhadap makanan
- Kesihatan gigi
Anda sebenarnya boleh menentukan tempoh panjangnya cabaran detoks sama ada seminggu, dua minggu, tiga minggu, sebulan dan seterusnya. Kesannya juga bergantung kepada keadaan individu dan tempoh cabaran detoks gula yang dilakukan. Sesetengah individu mungkin akan meihat kesannya kepada tubuh badan dalam masa yang singkat. Ada pula yang memerlukan tempoh masa yang lebih panjang untuk melihat keberkesanannya.
Rancangan Cabaran Detoks Gula
Untuk melaksanakan cabaran detoks gula, anda memerlukan perancangan yang rapi untuk memastikan keberkesannya dapat dinikmati. Rancangan ini akan meliputi beberapa perkara termasuklah pemilihan menu makanan, minuman dan pastinya anda tidak boleh meninggalkan senaman.
Meninggalkan gula dalam kesemua unsur makanan dan minuman dalam menu seharian untuk tempoh empat belas hari bukan satu perkara yang mudah. Oleh itu, anda perlu menyediakan jadual perjalanan yang jelas sebelum melaksanakannya.
Ini kerana, gula bukan sekadar diperolehi dari sumber gula tebu. Ia juga terdapat dalam makanan sihat termasuklah buah-buahan, sumber tenusu dan sebagainya. Tiga hari pertama pelaksanaan cabaran detoks gula mungkin agak sukar dan anda perlu mengekang diri dengan bersungguh-sungguh pada awalnya. Apabila masuk hari keempat atau kelima, anda akan dapati ianya lebih mudah.
Makanan Yang Perlu Dielakkan & Boleh Diambil
Ada beberapa jenis makanan dan minuman harus dielakkan sepanjang cabaran 14 detoks gula. Unsur gula terdapat dalam pelbagai sumber makanan dan minuman sama ada secara semulajadi atau tambahan terutamanya dalam produk makanan di pasaran.
1.Kenalpasti jenis-jenis gula dalam label makanan
Untuk setiap bahan penyediaan makan dan minuman yang dibeli, lihat pada label jika terdapat nama-nama gula seperti fruktosa, maltosa, sorbitol, gula tebu dan gula perang, xylitol,sorbitol, sirap dan lain-lain. Kebanyakan kandungan gula mempunyai ejaan yang berakhir dengan “ol” dan “ose”
2. Bahan pemanis dalam minuman & makanan
Kebanyakan bahan pemanis buatan untuk dalam minuman dan makanan mempunyai kandungan kalori yang rendah. Anda digalakkan untuk mengambil alternatif kepada gula yang baik dalam makanan dan minuman seperti stevia dan madu dalam kuantiti paling minimum. Jangan campurkan gula dalam jus buah-buahan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi.
3. Gula dalam buahan-buahan
Sama ada anda berminat untuk makan buah begitu sahaja atau mengisar dalam bentuk jus minuman, kenalpasti buah-buahan dengan kandungan gula paling tinggi. Antara buah-buahan yang dikenalpasti mengandungi kandungan gula paling tinggi ialah buah nanas, pear, pisang, tembikai, epal dan mangga. Makan buah-buahan dengan kandungan gula paling rendah seperti limau, lemon, aprikot, kranberi, jambu batu, raspberi dan buah kiwi. Buah betik, tembikai susu, buah peach dan anggur pula mengandungi kandungan gula yang sederhana.
4. Makanan proses dikeringkan
Hadkan makanan yang dikeringkan seperti kismis, buah prun dan kurma. Kebanyakan makanan proses mengandungan kandungan gula yang tinggi. Prun kering sebagai contoh mengandungi 66 gram gula untuk secawan hidangan. Kismis mengandungi 86 gram gula manakala kurma mengandungi 93 gram gula dalam secawan hidangan.
5. Gula dalam sayur-sayuran
Anda pasti terkejut bahawa sesetengah sayur turut mengandungi gula yang tinggi. Antara sayur-sayuran yang dikenalpasti mengandungi gula yang tinggi ialah kentang manis, bawang, kacang hijau, jagung, labu, lobak merah, tomato, lada benggala dan cendawan shiitake.
Tips Menghadapi Cabaran 14 Hari Detoks Gula
Nama pun cabaran 14 hari detoks gula. Pastinya anda akan berhadapan dengan beberapa cabaran terutama dari segi mengatasi keinginan terhadap makanan dan minuman manis. Semua makanan dan minuman yang sedap-sedap kebanyakannya mengandungi kandungan gula yang tinggi. Jadi anda tidak boleh mengalah sehingga kalah dalam mengawal nafsu dalam cabaran detoks gula ini.
1. Gantikan ketagihan gula dengan buah-buahan
Ketika lidah dan tekak terasa untuk makan makanan manis, segera makan buah-buahan yang mengandungi kandungan gula terendah. Buah-buahan dengan kandungan gula yang tinggi juga boleh diambil. Namun pastikan ia dalam kuantiti paling sedikit. Jangan makan secara berlebihan sehingga kenyang perut anda!
2. Banyakkan minum air putih
Air putih adalah salah satu bahan detoks semulajadi yang baik untuk badan. Banyakkan meminum air putih sekurang-kurangnya 6 sehingga 8 gelas setiap hari. Air putih yang diminum secukupnya mengelakkan otak anda daripada terus menerus memproses keinginan anda terhadap makanan manis.
3. Jangan tinggalkan senaman
Semua jenis diet termasuk diet gula tidak akan berkesan tanpa melakukan sebarang senaman fizikal. Kepenatan senaman akan membuatkan anda lupa seketika dari keinginan terhadap makanan dan minuman manis.
4. Kosongkan dapur & peti sejuk dari gula
Langkah ini paling mudah untuk mengelakkan kita daripada terlalu kera ke dapur untuk mencari makanan manis. Untuk tempoh dua minggu tersebut, berusahalah untuk kosongkan almari simpanan dan peti ais dari makanan dan minuman manis yang tidak menyihatkan.
5. Kongsi pengalaman bersama keluarga & rakan-rakan
Bukan mudah untuk kekal konsisten selama 14 hari tanpa gula. Oleh itu, tingkatkan semangat anda melalui penceritaan pengalaman kepada rakan-rakan anda sama ada kepada keluarga atau rakan terdekat supaya mereka boleh memberikan semangat kepada usaha anda. Boleh juga memanfaatkan media sosial seperti facebook dan instagram supaya pengalaman mengharungi cabaran detoks gula itu dapat dimanfaatkan bersama rakan-rakan di media sosial. Perkongsian sebegini adakalanya lebih meningkatkan semangat untuk meneruskan cabaran sehingga ke hari terakhir.