Berapa kerap rambut saya perlu disyampu ? Soalan ini sering diulang-ulang oleh kebanyakan wanita yang mementingkan penjagaan rambut. Persoalan tentang berapa kerap rambut perlu disyampu sering mengelirukan wanita. Ini kerana tiada jawapan konsisten mengenainya terutama jika anda bertanya kepada ahli keluarga dan rakan-rakan wanita anda. Setiap wanita mengamalkan rutin penjagaan rambut yang berbeza. Ada yang memilih untuk syampu setiap hari. Ada pula yang mencuci setiap tiga hari. Syampu sekali seminggu atau dua kali seminggu juga tidak menjadi masalah bagi sesetengah wanita.
Jadi, berapa kerap sebenarnya rambut anda perlu di syampu? Ini dia beberapa persoalan tentang amalan syampu rambut yang boleh menghuraikan sedikit kekusutan anda dalam menentukan kekerapan membersihkan rambut dengan syampu.
Berapa Kerap Rambut Saya Perlu Disyampu ?
Kekerapan membersihkan syampu dengan syampu berbeza bagi setiap wanita. Jenis rambut dan keadaan kulit rambut yang berbeza di antara kita menjadikan persoalan ini tidak sesuai dinyatakan secara tepat.
Untuk kepastian berdasarkan pengkelasan jenis-jenis rambut dan kulit kepala, mari kita lihat pendapat yang hampir tepat mengenainya yang mungkin boleh menghurai kekusutan anda dalam masalah ini.
Ia Ditentukan Oleh Jenis Kulit Kepala
Rambut kering : Anda tidak memerlukan cucian rambut setiap hari. Seminggu atau dua minggu sekali sudah memadai. Ia bertujuan untuk memelihara minyak semulajadi pada rambut dan kulit kepala. Minyak ini akan hilang apabila ia dicuci dengan menggunakan syampu rambut.
Rambut berminyak : Mereka yang memiliki rambut yang terlalu berminyak sesuai untuk mencuci rambut setiap hari dengan menggunakan syampu. Jika rambut anda jenis sederhana berminyak, dua atau tiga kali cucian seminggu sudah memadai.
Lihat Jenis & Tekstur Rambut Anda
Secara kasarnya terdapat dua jenis rambut manusia. Iaitu rambut lurus dan rambut kerinting. Jenis rambut seseorang adalah faktor yang menjadi penentu kepada persoalan ini. Tekstur rambut pula ditentukan sama ada rambut anda itu jenis tebal atau nipis, kering atau lembap.
Secara asasnya, jenis rambut akan mempengaruhi penyebaran sebum ke setiap helai rambut. Sebum adalah minyak semulajadi yang dihasilkan oleh badan kita untuk perlindungan rambut secara semulajadi.
Rambut kerinting, tebal dan kasar : Lebih sukar untuk penyebaran sebum ke setiap helaian dan akar rambut. Cucian minimum sekali seminggu sudah memadai untuk anda.
Rambut lurus dan nipis : Sebum lebih mudah disebarkan ke setiap helaian dan akar rambut. Cucian kerap antara dua sehingga tiga kali seminggu adalah satu kemestian.
Semak Gaya Hidup & Aktiviti Seharian
Seseorang yang memiliki rambut berminyak akan kelihatan kurang bersih setelah melakukan aktiviti melibatkan perpeluhan seperti bersenam. Dalam keadaan ini, mereka perlu mencuci rambut secara kerap dan setiap kali selesai melakukan aktiviti. Campuran sebum dan peluh akan menyebabkan rambut kelihatan terlalu berminyak dan terdedah kepada lebih banyak habuk dan debu yag melekat pada rambut.
Kekerapan Penggayaan Rambut
Seseorang yang sentiasa melakukan dandanan melalui penggayaan rambut di rumah atau di pusat salun perlu mengurangkan cucian dengan menggunakan syampu. Rambut yang terlalu kerap didandan dan digayakan dengan penggunaan alat-alat penggayaan rambut lebih mudah terdedah kepada kerosakan rambut.
Wanita berhijab
Bagi wanita Muslim yang berhijab yang perlu menutup rambut untuk tempoh masa yang panjang, cucian rambut sekurang-kurangnya selang dua hari seharusnya tidak menjadi masalah. Ia bergantung juga kepada ciri-ciri lain yang telah dinyatakan di atas. Kebiasaannya, wanita berhijab sering mengalami masalah kulit kepala yang gatal. Disebabkan itu, mereka perlu melakukan cucian yang lebih kerap dengan menggunakan produk syampu yang sesuai bagi wanita berhijab.
Keadaan Cuaca Setempat
Keadaan cuaca juga mempengaruhi keperluan kekerapan cucian rambut dengan menggunakan syampu. Mereka yang tinggal di negara-negara yang mengalami musim sejuk terdedah kepada kekeringan seperti yang berlaku apabila keadaan cuaca panas.
Kekeringan rambut di musim sejuk akan lebih ketara. Oleh itu, anda tidak memerlukan cucian menggunakan syampu setiap hari. Cucian sekali sehingga dua kali seminggu sudah memadai untuk mengelakkan rambut menjadi terlalu kering.
Penyakit Kulit
Pesakit yang mengalami masalah penyakit kulit seperti psoriasis dan dermatitis mungkin memerlukan cucian yang lebih kerap seperti yang disarankan oleh doktor. Anda perlu menggunakan produk syampu sesuai mengikut saranan doktor.
Tidak Perlu Risau Jika Jarang Bersyampu
Jadi anda tidak perlu terlalu risau jika rambut tidak dicuci dengan menggunakan syampu secara kerap. Ia bergantung kepada keadaan diri masing-masing. Hanya anda yang boleh menentukan kekerapan bersyampu rambut berdasarkan ciri dan faktor yang dinyatakan di atas.
Wanita yang tidak menutup rambutnya juga tidak disarankan untuk syampu rambut secara kerap. Walaupun kemungkinan rambut anda lebih terdedah kepada kotoran dan debu. Ia sebenarnya mampu dihilangkan melalui cucian menggunakan air biasa. Rambut yang terdedah kepada sinaran matahari UV dan pencemaran akan menyebabakan kekeringan pada rambut dan kulit kepala. Inilah sebab mengapa cucian rambut secara kerap dengan menggunakan syampu menjadi tidak sesuai.
Mengapa Anda Perlu Syampu Rambut ?
Anda perlu faham bahawa apabila syampu dikenakan pada kulit kepala, ia akan menyebabkan kurangnya penghasilan minyak atau minyak yang sedia ada dibersihkan untuk beberapa hari. Minyak atau sebum ini akan dihasilkan semula secara semulajadi mengikut keperluan biologi rambut.
Rambut yang dibiarkan tanpa syampu lama kelamaan akan menjadi terlalu berminyak oleh sebum. Ini boleh menyebabkan rambut kelihatan berminyak. Akan tetapi kesan sebum yang dibiarkan di kepala adalah lebih teruk lagi. Sebum ini boleh bertindak sebagai sumber makanan kepada mikrofauna rambut yang boleh mengakibatkan kelemumur serta keguguran rambut.
Jadi secara asasnya, syampu diperlukan untuk membersihkan rambut dan kulit kepala daripada minyak atau sebum yang dihasilkan.
Bolehkah Rambut Dicuci Tanpa Produk Syampu ?
Kita sering menganggap syampu yang berbuih sebagai satu-satunya cara mencuci rambut dengan bersih. Tanggapan ini sebenarnya salah. Anda sebenarnya tidak memerlukan syampu setiap kali ingin melakukan cucian rambut. Syampu tetap satu keperluan yang wajib anda miliki. Namun terdapat alternatif lain bagi menyeimbangkan penggunaan syampu iaitu :
-
- Air : Habuk dan segala kotoran yang melekat pada rambut mampu dibersihkan dengan mandi di bawah air sejuk yang nyaman dan bersih. Tanpa syampu, air mampu membersihkan rambut anda secara berkesan.
- Syampu Kering (Dry Syampoo) : Ia biasanya hadir dalam bentuk semburan dalam botol. Ia sebagai alternatif membersihkan rambut anda tanpa perlu kepada syampu yang berbuih dan bilasan dengan menggunakan air. Syampu kering ini mampu menyerap rambut yang tidak menyenangkan, menyerap sebum dan membersihkan setiap helaian rambut dengan bersih tanpa memerlukan air.
- Pelembap atau conditioner : Pelembap rambut boleh digunakan tanpa perlu anda menggunakan syampu. Ia disapu ke seluruh permukaan rambut dan kulit kepala sebelum dibersihkan semula menggunakan air. Pelembap berfungsi untuk mengekalkan kelembapan pada rambut dan kulit kepala.