Selepas bertarung nyawa melahirkan satu lagi anak Adam di muka bumi ini, si ibu pasti akan berasa letih. Seluruh tenaga banyak dihabiskan semasa meneran untuk mengeluarkan si manja. Jadi, selepas bersalin, ibu perlu diberikan layanan istimewa seperti diberi rehat yang mencukupi serta menjalani terapi dan belaian badan.
Pada zaman moden ini, semakin kurang kepercayaan dan amalan tradisi dilakukan oleh golongan muda. Antara amalan tradisi yang semakin dilupakan ialah amalan semasa berpantang. Tidak dinafikan, ramai ibu baru yang mengelat untuk mematuhi amalan berpantang, malah ada yang hanya mampu berpantang kurang daripada tarikh yang sepatutnya diberikan. Jika diikutkan, nenek-moyang kita menyarankan untuk berpantang selama sekurang-kurangnya 44 hari, 60 hari dan 100 hari. Namun, bukan semua ibu baru mampu bertahan dengan syarat tersebut.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa amalan yang dipatuhi oleh ibu-ibu baru kerana amalan-amalan ini memberi ibu peluang untuk memanjakan diri mereka. Antara amalan tersebut ialah bertangas, berurut, bertungku dan berbengkung.
BERTANGAS
Salah satu cara tradisional yang masih diamalkan oleh ramai kaum wanita Melayu ialah bertangas. Amalan bertangas merupakan cara untuk membersih dan merawat bahagian intim wanita dengan menggunakan herba-herba. Amalan ini dapat membantu ibu-ibu mengurangkan keputihan, merawat lendir pada kemaluan, membuang angin, mengecutkan rahim dan faraj, memperbetul kedudukan saluran peranakan, menyembuhkan luka jahitan dan mengecutkan rahim. Bertangas juga mampu mengeringkan, mengetatkan, serta mengecutkan rahim dan otot yang kembang ketika proses bersalin. Oleh sebab aktiviti bertangas secara tradisional memerlukan masa yang lama dan penyediaan yang rapi, ada juga wanita yang memilih kaedah moden bertangas iaitu dengan melakukan mandian wap. Selalunya, ibu baru dinasihati untuk bertangas seminggu selepas melahirkan anak.BERURUT
Berurut adalah rawatan yang menjadi kelaziman ramai wanita terutama bagi ibu selepas bersalin. Amalan ini bukan sahaja dapat memberi kecergasan kepada tubuh badan si ibu, malah juga membantu melancarkan peredaran darah di dalam badan, terutamanya di bahagian payudara yang mungkin mula membengkak dengan susu. Urutan di bahagian payudara menjadikan pengeluaran air susu lebih lancar. Urutan pada badan juga boleh membetulkan urat-urat yang tersimpul semasa hamil dan bersalin selain membantu mengeluarkan angin yang terperangkap di dalam badan. Dalam pada itu, urutan yang kerap juga dapat membetulkan tulang pelviks yang terbuka akibat meneran. Amalan ini juga mampu menaikkan sistem peranakan dan menghilangkan sengal badan.
Biasanya, urutan badan akan dilakukan tiga hari selepas bersalin. Urutan lazimnya menggunakan minyak khas seperti minyak serai wangi, minyak kayu putih atau sebagainya. Kebiasaannya, urutan dilakukan pada waktu pagiiaitu selepas tiga hari bersalin dan dibuat secara berturut-turut untuk mendapatkan kesan yang terbaik.BERTUNGKU
Bertungku adalah amalan asas berpantang yang perlu dilakukan oleh setiap wanita baru bersalin. Amalan ini adalah bertujuan bagi mengeluarkan darah kotor dan darah beku yang terdapat dalam badan selepas bersalin. Ia bukan sahaja dapat memulihkan luka peranakan dan mengecutkan rahim tetapi juga mampu menghangatkan badan serta mengecutkan urat saraf yang telah kembang.
Darah nifas akan keluar sejurus selepas bertungku. Bagi mendapatkan hasil yang terbaik, anda disarankan menggunakan batu sungai atau besi. Bagi ibu yang melahirkan anak secara pembedahan, tungku batu adalah pilihan yang bijak. Amalan bertungku tidak hanya semata-mata menggunakan batu tungku sahaja sebaliknya, batu akan dibalut dengan daun serai, lengkuas dan pandan serta dilapiskan dengan kain.BERBENGKUNG
Selepas berurut dan bertungku, wanita baru bersalin akan berbengkung bagi mengembalikan bentuk badan asal. Jika dahulu, kain bengkung perlu dijahit sendiri, namun kini ibu tidak perlu risau lagi untuk mendapatkan kain bengkung kerana banyak dijual di pasaran. Ibu baru perlu bijak memakai bengkung kerana ikatannya perlu diikat ketat agar tidak terburai. Ia juga perlu dipakai sepanjang masa setiap hari.Ibu baru juga perlu mengetahui cara untuk mengikat bengkung dengan betul iaitu dimulakan daripada bahagian bawah badan iaitu dari bawah pusat sehingga ke bawah payudara. Bengkung yang tidak diikat dengan betul akan menyebabkan rahim lambat pulih. Biasanya, bengkung tidak hanya dipakai sebegitu sahaja, sebaliknya dialas dengan daun pandan atau lengkuas sebelum diletakkan minyak berserta ramuan rempah dan herba pada badan si pemakai.
Berbengkung bukan sahaja dapat mengembalikan bentuk badan asal tetapi juga dapat membantu anda mengempiskan perut, mengelakkan perut buncit, mengekalkan bentuk tubuh badan dan juga mengembalikan kedudukan sistem peranakan. Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan perlu memastikan bahawa lukanya kering 100% bagi mengelakkan nanah pada luka.
Selain daripada amalan-amalan yang disebutkan, amalan tapel, pilis dan param turut dilakukan oleh ibu lepas bersalin. Hal ini kerana pemakaian tapel yang disapu pada bahagian perut penting untuk mengeluarkan darah kotor sambil menegangkan kulit.Pilis pula ditampal pada bahagian dahi untuk menyegarkan mata dan mengelakkan darah putih daripada naik ke bahagian kepala serta param disapu pada keseluruhan badan untuk menghaluskan kulit badan dan menghindarkan angin badan.