Masalah terjaga semasa tidur terutama pada waktu tengah malam boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada orang dewasa, kanak-kanak malah bayi juga akan mengalaminya. Tumbesaran dan perkembangan otak bayi amat berkaitan rapat dengan kualiti tidur. Kebiasaannya, bayi yang baharu lahir akan menghabiskan lebih banyak waktu dengan tidur. Akan tetapi waktu tidur ini akan semakin berkurangan apabila usia mereka semakin meningkat. Mereka juga akan melalui tidur malam yang panjang tanpa masalah.
Berbeza dengan bayi yang baharu lahir, mereka biasanya akan tidur sekurang-kurangnya lapan jam pada waktu siang dan lapan jam pada waktu malam. Kitaran tidur bayi berbeza bagi kanak-kanak berusia enam tahun ke atas. Bayi tidak akan tidur lebih daripada dua jam bagi setiap sesi. Perkara ini normal bagi setiap bayi yang berusia antara satu hari sehingga enam bulan. Kerana itulah bayi akan lebih kerap terjaga di waktu malam. Walaupun secara purata bayi berusia 9 bulan sehingga 2 tahun tidur lebih lama pada waktu malam, akan tetapi mereka akan kerap terjaga disebabkan kitaran tidur mereka yang berbeza.
Mengapa Bayi Kerap Terjaga Ketika Tidur ?
Agak sukar untuk menentukan punca spesifik kekerapan bayi terjaga di waktu malam. Bayi tidak akan kerap terjaga ketika tidur dengan masalah atau punca yang sama. Pelbagai punca kenapa bayi anda kerap terjaga ketika tidur terutama pada waktu malam. Hal ini hanya mampu dikenalpasti oleh ibu bapa yang menjaga bayi masing-masing.
Namun ada beberapa punca utama yang menyebabkan bayi terjaga ketika tidur terutamanya pada waktu malam.
Tumbuh Gigi
Bayi akan mula tumbuh gigi pada usia enam bulan ke atas. Kesukaran tidur atau kerap terjaga ketika tidur adalah salah satu simptom tumbuh gigi. Sepanjang tempoh bayi mula tumbuh gigi, ragam mereka menjadi tidak menentu. Bayi akan menjadi lebih kerap menangis dan seringkali terjaga di waktu malam. Ini kerana proses keluarnya gigi kali pertama dari gusi merupakan satu proses yang sakit bagi seorang bayi.
Lapar
Bayi yang terjaga pada waktu malam tidak semestinya menandakan mereka sedang lapar. Namun, lapar adalah salah satu penyebab bayi akan terjaga di malam hari. Perkara ini boleh diatasi dengan menyusukan bayi seketika. Bayi akan kembali tidur selepas beberapa minit disusukan oleh ibu mereka.
Kebocoran Lampin
Kebasahan lampin paling kerap membuatkan bayi terjaga di waktu malam. Kebasahan air kencing yang mengenai kulit bayi akan membuatkan mereka menjadi tidak selesa dan seterusnya terjaga di waktu malam. Sebab itu anda perlu memastikan bayi lampin ditukar setiap kali sebelum tidur supaya tempoh kebocoran lampin dapat dipanjangkan.
Cuaca Tidak Selesa
Keadaan bilik tidur yang terlalu panas juga boleh menyebabkan bayi tidak selesa dan seterusnya terjaga di waktu tengah malam. Atau mungkin juga suhu bilik yang terlalu sejuk berpunca daripada suhu penghawa dingin yang terlalu rendah atau kipas yang tipasang menghala tepat ke tempat tidur bayi. Pastikan kesesesuaian suhu dipantau mengikut keadaan bayi yang masih kecil.
Kesukaran Tidur Tanpa Ibu atau Bapa
Bayi yang terlalu dibiasakan tidur bersama kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka akan mengalami kesukaran untuk tidur berseorangan. Walaupun kebiasaannya mudah bagi mereka untuk tidur setiap kali ibu bapa atau salah seorang keduanya berada bersama, bayi akan lebih cepat mudah terjaga dan seterusnya menangis apabila menyedari ibu atau bapa tiada di sisi mereka.
Sakit
Demam, muntah, cirit birit, selesema, bantuk dan lain-lain penyakit akan menyebabkan bayi mudah terjaga ketika tidur. Kesukaran tidur untuk tempoh masa yang panjang agak sukar ketika bayi mengalami gangguan kesihatan. Pada ketika ini, ibu bapa perlu bersabar sehinggalah bayi sembuh dengan sepenuhnya dari kesakitan yang dialami. Biasanya keadaan ini akan kembali normal setelah bayi sembuh.
Kesukaran Tidur Tanpa Bantuan
Sesetengah bayi yang dibiasakan sejak dari lahir tidur dengan puting susu, susu botol dan bantal peluk, mainan kesayangan dan sebagainya tidak dapat tidur dengan lena apabila benda-benda tersebut tiada di sisi mereka. Membiasakan bayi untuk tidur dengan bantuan peralatan seumpamanya sejak dari lahir sehingga berusia enam bulan akan menyukarkan ibu bapa mengubah tabiat tersebut menyebabkan kesukaran kepada bayi mereka untuk tidur tanpa bantuan.
Kitaran Tidur
Pernahkah anda terjaga seketika ketika tidur waktu malam dalam keadaan anda sendiri tidak sedar bahawa anda terjaga? Begitulah juga yang dialami oleh seorang bayi. Kadang-kadang bayi akan tersedar sendiri selama beberapa saat dan membunyikan suara seperti merengek dan menangis. Selalunya bayi akan kembali tidur seperti biasa selepas dua ke tiga minit. Ianya sama seperti orang dewasa yang akan tidur semula dengan sendirinya apabila terjaga di tengah malam. Anda cuma perlu memerhatikan seketika ketika bayi anda terjaga daripada tidur tanpa perlu mendekati atau menyusukan.
Ada pelbagai faktor yang mempengaruhi tidur dan jaga seseorang bayi. Anda seharusnya tidak terlalu risau melalui keadaan ini kerana ia adalah normal. Apa yang anda perlu buat adalah mengurangkan faktor-faktor yang menyebabkan bayi anda terjaga ketika tidur sama ada pada waktu siang atau malam.
Bantu Bayi Anda Tidur Lebih Dengan Nyenyak
Seorang bayi yang masih kecil tidak mampu mengawal jam biologi untuk sepertimana orang dewasa yang mampu menetapkan jam biologi waktu tidur dan jaga. Kita mampu melalukannya kerana dibiasakan dengan rutin harian seperti kebiasaan bangun pagi untuk ke tempat kerja.
Namun bagi seorang bay yang masih kecil, keadaan tidur mereka bergantung kepada faktor-faktor luaran dan dalaman yang pelbagai. Adakalanya penetapan suatu tabiat tidur tidak semestinya membawa kebaikan. Ada juga tabiat yang memberikan hasil yang sebaliknya.
Ada beberapa cara yang anda boleh lakukan untuk memastikan bayi anda tidur untuk tempoh masa lebih lama tanpa terjaga.
Elakkan Bermain Sebelum Tidur
Stimulasi bayi akan meningkat apabila dirangsang oleh keadaan sekeliling. Sebagai contoh apabila mereka dirangsang untuk bermain dan ketawa. Sebelum waktu tidur yang telah ditetapkan, rehatkan keadaan bayi anda sekurang-kurangnya 30 minit sehingga 60 minit sebelum waktu tidur sebenar. Ini penting bagi memastikan fikiran dan fizikal mereka berada dalam gelombang ketenangan sebelum membolehkan mereka tidur. Bermain dengan bayi sebelum tidur juga mungkin akan menyebabkan mereka terbawa-bawa sehingga mewujudkan mimpi tidur yang mengejutkan mereka semasa tidur.
Menetapkan Rutin Tidur Secara Tetap
Tiada keburukan bagi anda untuk menetapkan waktu tidur bayi dan menjadikannya satu rutin yang tetap setiap hari. Menetapkan waktu tidur seorang bayi seolah-olah anda menetapkan jam biologi supaya mereka mengetahui secara pasti bila waktu mereka perlu tidur dan jaga. Ianya sama seperti orang dewasa yang menetapkan waktu tidur pada waktu tertentu pada malam harinya sebelum bangun untuk bersedia ke tempat kerja. Menetapkan waktu tidur akan lebih memudahkan bayi untuk tidur pada waktu yang sewajarnya mereka tidur.
Dodoikan Bayi Sebelum Tidur
Mendodoikan bayi sebelum tidur boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Bayi tidak semestinya perlu didodoikan dengan nyanyian lagu. Anda boleh menggunakan kaedah mendodoi lain seperti bercerita dengan membaca buku cerita atau bercakap-cakap tentang sesuatu yang mereka sukai. Mendodoikan dengan cara mendengarkan suara anda kepada mereka dapat memberikan ketenangan kepada mereka sebelum tidur.
Susun Atur Tempat Tidur Bayi
Perhatikan susun atur tempat tidur bayi. Bayi akan lebih selesa jika pelukan ibu dapat digantikan dengan bantal dan selimut kecil lembut di sisinya. Dengan ini, anda tidak perlu memangku mereka setiap kali hendak tidur.