“Dalam masa setahun ini sudah berkali-kali saya terkena penyakit selesema. Ah, seksanya !”

Tiada siapa di dunia ini yang gembira apabila dijangkiti selesema melainkan satu sebab iaitu sijil cuti percuma atau MC daripada doktor. Namun apalah ertinya cuti percuma jika tubuh badan dalam keadaan tidak sihat. Anda juga terpaksa kuarantin diri sendiri di rumah selama berhari-hari untuk mengelakkan jangkitan selesema kepada orang tersayang. Terkena jangkitan selesema bermakna anda terpaksa berperang dengan bersin. Ia disertai pula dengan cairan hidung yang meleleh atau pernafasan yang tidak lancar disebabkan sumbatan pada saluran pernafasan.

Lebih teruk lagi bagi pasangan berkahwin. Tahukah anda bahawa kualiti perhubungan intim antara suami dan isteri boleh terjejas apabila salah seorang pasangan dijangkiti selesema? Perpindahan virus selesema kepada pasangan anda semasa melakukan hubungan intim bukanlah satu idea yang baik untuk diteruskan. Anda atau pasangan boleh dijangkiti virus selesema dengan mudah melalui medium hubungan intim iaitu melalui aktiviti ciuman dan sentuhan fizikal pasangan.

Jadi, sejauh manakah selesema boleh mengganggu perhubungan seks suami isteri? Bagaimanakah cara terbaik untuk melalui saat-saat manis perhubungan intim ketika anda dijangkiti selesema? Haruskah anda mengelakkan pasangan sepanjang tempoh anda diserang selesema? Mari kita kupas sedikit topik mengenainya.

Bagaimana Selesema Membantut Rangsangan Seks Seseorang

Apabila seseorang dijangkiti selesema yang teruk, mereka akan merasai kelesuan pada seluruh anggota badan. Selesema yang teruk meningkatkan kemungkinan untuk seseorang mendapat ‘pakej’ jangkitan penyakit lain termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, batuk, sakit tekak, nafas berbau dan kepenatan. Lebih teruk lagi, anda mungkin akan mengalami muntah dan cirit birit.

Tiada Keinginan Untuk Tampil Seksi

Adakah dalam keadaan sakit begini anda masih bersemangat untuk berpakaian seksi di hadapan pasangan anda? Sudah tentu anda tidak akan mampu menjaga penampilan diri di hadapan pasangan ketika diserang penyakit selesema. Tangan anda tentunya akan lebih banyak memegang tisu daripada memegang tangan pasangan.

Hormon Seks Terganggu, Hormon Stres Meningkat

Perkara ini akan mengganggu sistem hormon anda baik lelaki mahupun wanita. Paras hormon testosteron bagi lelaki dan estrogen bagi wanita akan berubah disebabkan isyarat mental yang mengganggu fikiran di saat anda diserang selesema. Di saat ini badan anda lebih banyak menghasilkan hormon kortisol yang akan menyebabkan pesakit mengalami stres. Seseorang yang mengalami stres agak sukar untuk memiliki rangsangan seks seperti dalam keadaan yang sihat.

Hilang Stamina

Aktiviti perhubungan intim memerlukan stamina kedua-dua pasangan. Tanpa stamina, pasangan anda tidak mampu meneruskan perhubungan untuk tempoh masa yang lama. Ini akan meninggalkan impak emosi kepada pasangan anda yang sihat.

Mengambil Masa Untuk Sembuh

Sekurang-kurangnya seseorang yang dijangkiti selesema akan mengambil masa lima hari untuk sembuh sepenuhnya dari virus selesema. Ini adalah tempoh masa yang agak panjang bagi pasangan suami isteri. Pasangan anda yang sihat mungkin tidak mampu melalui lima hari tanpa hubungan intim.

Risiko Jangkitan Kepada Pasangan

Virus selesema boleh menjangkiti pasangan dengan mudahnya melalui aktiviti perhubungan intim. Ciuman adalah perkara yang tidak boleh dielakkan ketika berintim di mana pesakit selesema akan dengan mudahnya menyebarkan virus selesema kepada pasangan.

Pasangan Mengelak Tidur Sekatil

Tidur berasingan ketika salah seorang pasangan dijangkiti selesema tidak bermakna anda pasangan yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya, amalan mengasingkan tempat tidur semasa salah seorang pasangan terkena jangkitan demam selesema adalah langkah prihatin yang ditunjukkan oleh pasangan. Suami atau isteri anda enggan anda jatuh sakit disebabkan terjangkit daripada diri anda. Namun, tidur berasingan ketika pasangan sedang sakit bukanlah sesuatu yang indah bagi suami isteri. Betul atau tidak?

Mungkinkah Perhubungan Intim Dilakukan Ketika Saya Menghadapi Selesema ?

Jawapan ini bergantung kepada anda dan pasangan. Walaubagaimanapun, anda perlu mempertimbangkan kesihatan pasangan sebelum meneruskan niat hubungan intim dalam keadaan dijangkiti virus selesema. Risiko pasangan anda dijangkiti virus selesema amat tinggi.

Jika salah seorang dalam keadaan demam selesema, sekurang-kurangnya pasangan anda masih berupaya untuk menjaga anda ketika sakit. Mereka boleh menjaga makan minum anda, memberi ubat mengikut waktunya dan menemani anda ketika sedang sakit. Tetapi siapa yang akan menjaga semua itu jika kedua-dua pasangan jatuh sakit diserang demam selesema?

Semua faktor ini perlu dipertimbangkan. Namun masih ada cara untuk anda meneruskan perhubungan intim ketika mengalami demam selesema. Apapun, langkah berjaga-jaga adalah paling penting untuk menjaga pasangan anda yang masih sihat.

Elakkan Aktiviti Ciuman

Jika kedua-dua pasangan bersetuju untuk meneruskan hubungan intim ketika sedang selesema, elakkan aktiviti ciuman atau sentuhan di bahagian muka terutama hidung dan mulut. Bahagian ini paling sensitif dan berpotensi untuk menyebarkan virus selesema kepada pasangan. Namun mungkinkah anda mampu mengelakkan ciuman ketika melakukan hubungan intim?

Agak sukar untuk mengatakan “Ya! Saya boleh”. Bagi pasangan yang yakin mampu menghalang diri daripada mencium pasangan dalam keadaan selesema, teruskan hubungan intim anda melalui langkah pencegahan ini. Elakkan ciuman!

Mandi Sebelum Berhubungan Intim

Pasangan anda yang sihat akan rasa lebih selesa dan yakin meneruskan hubungan dalam keadaan badan yang bersih seperti selepas mandi. Berendam dalam air panas selama lebih kurang 20 minit akan membangkitkan keselesaan kepada pasangan anda yang mengalami demam selesema. Setelah itu, mandilah dengan menggunakan sabun jenis anti-bakteria serta menggunakan cecair mandian antiseptik. Ia mampu menghapuskan bakteria sehingga 99%. Mungkin dengan cara ini dapat mengurangkan risiko jangkitan selesema kepada pasangan anda.

Ambil Ubat-Ubatan Mengikut Preskripsi Doktor

Elakkan mengadakan hubungan seks pada hari-hari awal anda terkena jangkitan selesema.Virus selesema amat aktif pada saat anda mula-mula mengalami selesema. Pastikan anda berjumpa doktor sesegera yang mungkin untuk mendapatkan rawatan melalui ubat-ubatan. Kebiasaannya doktor akan membekalkan ubat antiviral kepada mereka yang mengalami selesema. Anda seharusnya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan tanpa preskripsi yang betul daripada doktor. Sesetengah pesakit selesema bertindak mengambil ubat panadol dan antibiotik kerana menyangka kedua-duanya mampu membunuh virus selesema. Pada hakikatnya, kedua-dua ubat ini tidak boleh membunuh virus selesema.

Rehat Secukupnya Sebelum Berhubungan Intim

Seperti dibincangkan di atas, stamina amat penting ketika melakukan hubungan seks bersama pasangan. Anda memerlukan tidur dan rehat secukupnya untuk mengembalikan tenaga yang hilang. Selain itu, tidur yang cukup dapat memulihkan semula semangat atau ‘mood’ yang hilang. Bangun tidur yang diikuti oleh mandian yang bersih dapat mengembalikan stamina dan kesegaran tubuh badan sebelum meneruskan perhubungan intim dengan pasangan.

Perhubungan Suami Isteri Bukan Sekadar Seks

Kajian sains membuktikan bahawa perhubungan intim antara suami dan isteri adalah salah satu cara meningkatkan sistem imuniti seseorang. Tekanan dan kebimbangan seseorang dapat dikurangkan dengan mengadakan hubungan intim.

Walaupun begitu, fahami pasangan anda yang sedang mengalami demam selesema. Menjaga pasangan yang sedang sakit seharusnya menjadi keutamaan daripada memenuhu keinginan seks. Dalam keadaan pasangan yang tidak sihat, anda atau mereka yang sedang sakit seharusnya lebih prihatin untuk menjaga kesihatan diri dan pasangan.

Perlu anda ketahui bahawa kemesraan suami dan isteri bukan hanya terhad di atas katil. Menjaga pasangan yang sedang sakit adalah saat untuk anda mengeratkan ikatan kasih sayang. Anda bertanggungawab untuk menjaga pemakanan, memastikan mereka makan ubat pada waktu yang tepat, bantu mereka semasa di dalam bilik mandi, menyikat rambut dan membelai dengan perasaan kasih sayang. Cara ini lebih memotivasikan pasangan yang sedang sakit untuk segera kembali sembuh sepenuhnya.