Adakah anda pernah mengalami keadaan badan kejang selepas hubungan intim bersama suami?  Kekejangan selepas seks banyak berlaku di kalangan wanita tetapi ia jarang diperkatakan. Mungkin kerana faktor malu untuk bertanya dan berbincang secara terbuka menjadikan mereka lebih selesa mendiamkan diri daripada bertanya mengenainya. Malah ramai wanita yang tidak berminat mengambil tahu mengenai situasi sebenar berkaitan kekejangan badan selepas melakukan hubungan intim. Wanita yang mengalami situasi ini akan merasakan kesakitan untuk beberapa tempoh selepas hubungan intim bersama pasangan.

Badan kejang selepas hubungan seks dikatakan oleh wanita seperti mengalami kesakitan ketika sedang haid. Situasi ini dikenali sebagai dysorgasmia. Wanita akan merasai kekejangan selama beberapa jam selepas melakukan hubungan intim. Kekejangan atau rasa sakit ini paling kerap dirasai di bahagian otot pelvis dan abdomen. Ia juga boleh berlaku saat hubungan sedang berlangsung. Keadaan ini seringkali membuatkan wanita merasa tidak selesa untuk meneruskan hubungan intim untuk tempoh masa yang panjang.

Punca Badan Kejang Selepas Hubungan Intim

Dalam keadaan normal, hubungan seks seharusnya mewujudkan perasaan yang nyaman kepada wanita. Sesetengah doktor berpendapat badan kejang selepas hubungan intim adalah suatu perkara normal. Ia berlaku disebabkan beberapa keadaan biologi wanita itu sendiri. Terdapat beberapa pandangan yang mengaitkan kekejangan badan selepas hubungan intim dari sudut pandangan biologi. Kepelbagaian pandangan ini mungkin menjadikan punca kekejangan selepas hubungan intim berbeza bagi setiap wanita.

Bahagian Serviks Terganggu Ketika Hubungan Intim

Zakar lelaki yang menembusi vagina perempuan tidak mampu tembus ke bahagian serviks. Ini kerana laluan serviks adalah terlalu sempit untuk ditembusi oleh zakar. Saiz laluan ini tidak melebihi dari diameter saiz ibu jari manusia. Jadi tidak mungkin serviks mampu ditembusi semasa hubungan intim dilakukan. Kelahiran adalah satu-satunya keadaan di mana bukaan serviks akan melebar dengan sendirinya untuk memberi laluan bayi keluar.

Namun begitu semasa hubungan intim dilakukan, wanita boleh merasai tekanan di bahagian serviks hasil daripada rangsangan zakar menolak ke leher rahim atau serviks. Tolakan inilah yang menyebabkan wanita rasa sakit atau kejang semasa atau selepas hubungan intim.

Wanita seharusnya mengingatkan suami supaya mengehadkan penembusan zakar terhad ke bahagian vagina. Walaupun pada dasarnya rangsangan zakar ke leher serviks adalah selamat, namun tidak semua wanita merasa selesa dan bersedia melaluinya.

Sel serviks adalah bahagian lembut yang sensitif. Jika tersilap langkah, wanita akan mengalami pendarahan hasil dari rangsangan intim yang tidak sihat.

Sista atau Fibroid

Fibroid adalah salah satu faktor yang mampu menjejaskan hubungan seks suami dan isteri. Fibroid adalah ketumbuhan bukan kanser yang boleh berlaku di bahagian dalam, luar atau antara lapisan rahim. Ketumbuhan ini boleh membesar dari saiz kecil sehingga mampu mencabai berat beberapa kilogram.

Fibroid dikenalpasti sebagai salah satu punca utama wanita mengalami kekejangan atau kesakitan semasa atau selepas hubungan intim. Wanita berumur antara 30 sehingga 50 tahun berisiko menghadapi penyakit ketumbuhan fibroid dalam rahim.

Namun tidak semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid akan merasai kekejangan selepas hubungan intim. Kebiasannya fibroid yang berlaku di bahagian otot atas uterus akan mengalami kesan ini.

IUD atau Intra-Uterine-Device

IUD adalah alat pencegah kehamilan seumpama plastik yang dipasang di dalam rahim bagi pasangan yang ingin merancang atau mencegah kehamilan. Seorang wanita mungkin mengalami kekejangan dalam tempoh sehingga beberapa minggu selepas IUD dimasukkan ke dalam rahim. Kekejangan ini boleh berlaku sama ada wanita itu melakukan hubungan seks ataupun tidak. Akan tetapi rasa kekejangan ini akan dirasai lebih teruk apabila berlakunya hubungan seks.

Kekejangan selepas IUD dimasukkan akan berlaku dalam tempoh beberapa minggu. Akan tetapi jika anda masih mengalami kekejangan selepas tempoh masa yang terlalu lama, anda seharusnya segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut dan nasihat.

Kehamilan Di Peringkat Awal

Wanita hamil selamat untuk melakukan hubungan intim bersama suami pada bila-bila masa sehingga hampirnya saat kelahiran. Hubungan biologi ini tidak akan sama sekali mengganggu bayi dalam kandungan.

Namun sesetengah keadaan berlaku di mana wanita akan mengalami kekejangan atau kesakitan selepas hubungan seks. Terdapat beberapa situasi dimana wanita seharusnya mencegah diri dari meneruskan hubungan seks jika mengalami beberapa keadaan berikut iaitu :

  • Pendarahan
  • Kekejangan abdomen
  • Air ketuban pecah
  • Kelemahan pada otot rahim
  • Herpes genital atau penyakit kelamin

Wanita hamil yang mengalami keadaan di atas akan mengalami kontraksi di dalam rahim selepas melakukan hubungan intim. Jika keadaan ini berlaku, cuba rehat selama beberapa minit supaya kekejangan dapat dikurangkan.

Hubungan Seks Ketika Haid

Suami dan isteri tidak seharusnya melakukan hubungan intim di saat isteri sedang mengalami pendarahan haid. Larangan ini malah terdapat dalam pelbagai sumber agama di dunia. Rahim wanita yang sedang mengalami haid adalah  tidak stabil dan dalam keadaan tekanan yang tinggi untuk mengeluarkan darah haid.

Kontraksi rahim boleh berlaku jika hubungan intim diteruskan semasa wanita sedang haid. Ini akan menyebabkan wanita mengalami kekejangan berganda yang mungkin tidak mampu ditanggung. Jalan terbaik adalah mengelakkan meneruskan hubungan intim ketika isteri sedang dalam tempoh haid.

Penyakit Kelamin / Jangkitan Bakteria

Penyakit keradangan pelvis atau PID menjadi salah satu penyebab wanita mengalami kekejangan selepas hubungan intim. Biasanya ini terjadi jika wanita mengamalkan hubungan seks di luar nikah atau sering bertukar-tukar pasangan.

Chlamydia dan gonorrhoea adalah dua penyakit kelamin yang meningkatkan kebarangkalian kekejangan selepas hubungan intim. Penyakit ini merebak melalui pembukaan uterus atau serviks dan seterusnya akan menjangkiti bahagian uterus, tiub falopion dan ovari.

Simptom pesakit PID yang paling kerap berlaku adalan kesakitan atau kekejangan selepas melakukan hubungan seks. Wanita akan mengalami gejala lebih teruk seperti muntah, demam, sakit kepala, sakit di bahagian abdomen atas dan bawah, sakit belakang, kerap kencing dan berlaku pendarahan.

Kaedah Mengurangkan Kekejangan Selepas Hubungan Seks

Kekejangan selepas hubungan seks boleh dikurangkan melalui beberapa kaedah melainkan jika anda mengalami jangkitan PID. Bagi mereka yang mengalami jangkitan kelamin, langkah terbaik adalah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan sebenar untuk jangkitan kelamin yang dihadapi. Pesakit PID mungkin terpaksa ditahan di wad hospital dan dibekalkan dengan ubat antibiotik melalui suntikan intravena.

Ubah Posisi Semasa Melakukan Hubungan Intim

Posisi memainkan peranan penting supaya wanita tidak mengalami tekanan terutama di bahagian rahim dan seluruh badan. Elakkan daripada hubungan intim secara memaksa yang meletakkan wanita dalam keadaan tertekan.

Mandi Air Suam Selepas Selesai Hubungan Intim

Mandian air suam akan membangkitkan keselesaan kepada anda. Dengan berendam seketika dalam air suam, anda dapat mengurangkan tekanan dan mengembalikan keselesaan otot dalaman yang terlibat semasa hubungan intim dilakukan. Mandian air suam dapat mengembalikan kelancaran pengaliran darah dalam badan.

Dapatkan Nasihat Doktor

Jika kekejangan berterusan sehingga menurunkan prestasi hidup anda, dapatkan nasihat doktor dengan segera. Doktor boleh membekalkan preskripsi ubat-ubatan yang sesuai untuk diambil untuk mengurangkan kesakitan. Terdapat ubat-ubatan yang sesuai diambil sebelum hubungan intim dilakukan bagi mencegah kekejangan selepas hubungan intim. Jika berkaitan penyakit lain, sudah semestinya anda akan melalui diagnosis dan rawatan bersesuaian mengikut pemeriksaan doktor pakar.