Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1]
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Beberapa hari kebelakangan ini, para doula di Malaysia terkena tempias panas akibat kes bersalin yang berakhir dengan tragedi.
Dikatakan bahawa seorang doula, atau peneman kelahiran, telah terlibat dalam proses bersalin seorang ibu di mana ia berlaku di rumah sendiri. Kes itu diterukkan lagi dengan keadaan posisi bayi yang songsang.
Akibatnya, bayi tersebut lemas dan gagal diselamatkan walaupun telah dikejarkan ke hospital.
Kes bersalin berkaitan doula di Malaysia
Kes yang terjadi ini bukanlah yang pertama. Sebelum ini, telah berlaku kes bersalin di rumah dengan doula menjadi penemannya.
Mungkin dengan perkongsian fakta ini, para ibu di luar sana dapat lebih memahami fungsi sebenar doula.
Doula itu apa?
Pertamanya, perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Golongan ini telah pun wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.
Tugas doula di Malaysia
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi:
- emosi
- pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas)
- fizikal (secara sentuhan seperti urutan)
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.
Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Jenis-jenis doula di Malaysia
Menurut WebMD, secara asasnya, ada 3 jenis doula iaitu doula antepartum, doula labor, dan doula pospartum.
Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin. Namun, seorang doktor ada berkongsi dengan kami tentang isu doula di Malaysia:
“Hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin. Malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.”
Manakala, doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan.
Malah, menurut WebMD, ada juga doula postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.
Adakah doula ganti suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin?
Tidak, doula bukan bertujuan untuk mengganti tugas suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin. Mereka lebih dianggap sebagai sokongan tambahan untuk si ibu.
Suami masih perlu memainkan peranan aktif dalam hal penjagaan isteri dan proses bersalin.
Apa beza antara doula dan bidan?
Mungkin ramai para ibu di luar sana yang masih keliru tentang perbezaan antara doula dan bidan, atau turut dikenali sebagai midwife.
Berdasarkan penerangan Healthline.com, bidan adalah seorang ahli medikal terlatih dan profesional yang boleh membantu secara langsung ketika proses bersalin.
Manakala, doula pula hanya berfungsi sebagai peneman yang membantu untuk memberi panduan secara lisan tentang cara meneran atau mengurut bagi menenangkan ibu yang sedang bersalin.
Fakta lain tentang doula yang ibu perlu tahu
Selepas memahami tentang maksud doula dan tugasnya, mari ketahui beberapa fakta penting lain.
Kami merasakan, para ibu di luar sana perlu mengetahui tentang perkara ini supaya tiada lagi salah faham dan kes tragedi bersalin dapat dielakkan.
- Doula tidak boleh memberikan sebarang nasihat atau penjagaan perubatan kepada ibu hamil, terutamanya tentang hal obstetrik.
- Doula sama sekali tidak menggantikan tugasan jururawat, doktor dan doktor pakar.
- Doula boleh berkongsi informasi tentang cara bersalin/penyusuan/penjagaan bayi tetapi tidak boleh menetapkan cara bersalin bagi pihak ibu.
- Doula boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan penasihat ibu (di samping doktor, jururawat dan bidan), tetapi bukanlah penasihat perubatan utama yang tunggal.
- Doula sepatutnya tidak menangani kes ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi atau menangani sebarang isu kecemasan ketika bersalin.
Diharapkan dengan perkongsian fakta tentang doula di Malaysia, para ibu boleh memahami lebih mendalam tentang perkhidmatannya.
Apa yang penting adalah anda mendapatkan nasihat dan pemantauan doktor. Mereka lebih berilmu dan berpengalaman dalam hal obstetrik.
Ya, doula sememangnya membantu dari segi menambahkan ilmu tentang proses kehamilan dan cara bersalin dengan betul.
Namun tugasan mereka lebih kepada menasihati, menemani dan membantu dari tepi sahaja. Tidak lebih dari itu.
Nyawa bayi sangatlah berharga dan kita sebagai ibu tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa mereka semata-mata keinginan diri.
Seperti yang dipetik daripada kata-kata Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dalam artikelnya:
“Kepentingan siapakah yang anda utamakan, anda atau bayi anda?”
APA HUKUM BERSALIN DI RUMAH?
Setelah meneliti dan mendapatkan maklumat dari pakar perubatan, pihak Mufti berpandangan bahawa penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Menurut pihak Mufti lagi, alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kerana perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih pentingmaslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Tambahan pula, terdapat banyak kemudahan dan pilihan seiring dengan perkembangan kemudahan perubatan di hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat; serta inovasi seperti seluar bersalin mesra aurat yang membolehkan wanita berasa lebih selesa walaupun menerima khidmat doktor lelaki.
Selain itu, perlu diingat bahawa menyamakan situasi melahirkan anak di rumah dengan mencontohi Maryam AS adalah tidak benar. Menurut pihak Mufti, kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
JALANI PEMERIKSAAN DI TEMPAT YANG DIIKTIRAF
Oleh yang demikian, ibu mengandung digesa agar menjalani pemeriksaan rutin kehamilan di pusat-pusat perubatan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ternyata, usaha yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia tidak perlu diragui kerana rekod menunjukkan kejayaan mereka dalam mengurangkan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun.
‘HOME BIRTH’ DI LUAR NEGARA
Mungkin ada yang mengambil contoh dan pendirian untuk menggunakan khidmat doula dengan alasan ia boleh dilakukan di luar negara.
Namun sebenarnya, doula di luar negara tidak sama sekali berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih yang diiktiraf, apatah lagi menyambut kelahiran yang berisiko tinggi.