Sifat manja adalah sifat semulajadi dalam berkasih sayang. Ibu dan ayah secara nalurinya akan memanjakan anak-anak dengan cara menimang-nimang, bergurau senda, bermain-main, berkejar-kejaran atau sebagainya.
Si anak-anak pula sejak bayi lagi pandai merengek manja dan meminta dibelai. Apabila besar sedikit, disondol-sondol pula ibu atau bapa dengan penuh manja.
Apabila semakin besar, si anak comel itu makin pandai memanggil ibu dan ayah dengan sungguh mesra.
Maka panggilan itu disahut pula dengan panggilan yang penuh manja. Bahkan anak-anak ini kadang-kadang menangis manja minta disantuni dan diberikan perhatian.
Maka datanglah ibunya mendakap manja bagi memujuk anak yang syahdu itu. Demikianlah indahnya sifat kemanjaan dalam cinta keluarga.
Anak terlalu manja? Cuba ingat kembali, adakah kita melakukan hampir semua perkara untuk anak kecil yang sangat kita sayangi? Adakah kita tidak membenarkan mereka melakukan sesuatu perkara itu kerana menganggap mereka masih kecil lagi?
Jika jawapan kita adalah ‘ya’, mungkin, kita tidak sedar bahawa sikap serta layanan kita sebagai ibu bapa telah membuatkan anak kita menjadi terlalu manja.
USAH TERLALU MANJAKAN ANAK
Walaupun anak ini masih kecil lagi, tetapi mereka sebenarnya mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu perkara seperti orang dewasa. Kanak-kanak punya perasaan ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa ingin meneroka persekitarannya.
Oleh itu, usah terlalu memanjakan anak kecil dengan melakukan semua perkara buat mereka. Layani sifat ingin tahu anak kecil ini dengan mengajar mereka untuk melakukan pelbagai perkara selari dengan umur dan tahap perkembangan mereka agar dapat membentuk pemikiran yang matang dalam diri mereka serta menjadikan mereka lebih berdikari.
Sebagai ibu bapa, memang lazimnya kita dianugerahkan dengan sifat melindungi dan memenuhi kehendak si anak, lebih-lebih lagi anak yang masih kecil. Ini kerana, kita mengangap mereka masih belum boleh berdikari dan menguruskan diri masing-masing.
Namun, setiap anak harus dilengkapi dengan nilai-nilai supaya mereka belajar menjadi lebih berdikari dan mengawal emosi.
Walaupun mereka sudah boleh diajar sejak awal, namun karakter ini patut sudah mula terlihat sekitar usia 3-4 tahun, seperti yang dirujuk melalui artikel di laman web scholastic.com. Pada usia ini, mereka sudah mula ada rasa tanggungjawab untuk menguruskan diri. Contohnya, mereka sudah melepasi tahap bercerai lampin dan boleh dipertanggungjawabkan untuk ke tandas.
Jom ikuti 5 tips ajar anak agar mereka dapat melakukan lebih banyak perkara dengan hasil usaha mereka sendiri.
1. BERI ANAK MASA
Kita semua sebagai ibu bapa sememangnya mahu sesuatu perkara itu diselesaikan dengan pantas, bukan? Namun, sejujurnya ia sukar berlaku sekiranya anak kecil membantu atau melaksanakan perkara tersebut buat kita. Apabila kita hilang sabar lantas menyuruh anak kecil tersebut ‘cepat, cepat, cepat’, pasti runtuh emosi anak yang ingin membantu kita pada waktu itu kerana ibu bapa tidak memberikan kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara tersebut mengikut kemampuan mereka.
Bimbang tidak cukup masa atau risau terlewat? Lakukan perkara tersebut seawal 15 minit atau 30 minit daripada jangkaan selesai perkara itu. Beri anak masa untuk belajar melakukan serta menyelesaikan perkara yang mereka ingini. Siapa tahu, mungkin dengan bersabar sedikit sahaja lagi, anak kita sudah berjaya melakukan perkara tersebut?
2. BERI ANAK PILIHAN
Hidup ini penuh dengan pilihan. Anak kecil juga seharusnya turut diberi peluang untuk membuat pilihan selagi ianya tidak memberi kemudaratan buat dirinya.
Sebagai contoh, beri anak pilihan pakaian yang ingin dipakainya pada hari itu, memilih buku yang ingin dibaca, memilih permainan untuk dimainkan bersama, atau memilih makanan kegemaran mereka. Bantu anak kecil ini membuat pilihan agar mereka dapat belajar membuat pilihan terbaik. Terima pilihan mereka agar mereka turut merasakan bahawa pendapat mereka juga adalah penting serta boleh diguna pakai.
Dengan cara ini, anak kecil bukan sahaja dapat belajar membuat keputusan, malah dapat meningkatkan penghargaan kendiri (self esteem) mereka.
3. BIAR ANAK BUAT SENDIRI
Tips ajar anak yang seterusnya adalah dengan merelakan anak kecil untuk melakukan sendiri perkara yang ingin dicuba. Sebagai ibu bapa, usah terlalu cepat memberikan pertolongan untuk membantu mereka.
Sebagai permulaan, mungkin ibu bapa boleh menunjukkan cara-cara untuk melakukan sesuatu perkara itu. Kemudian, biarkan anak untuk melakukannya sendiri. Beri kepercayaan kepada anak kecil ini, lihat kemampuan mereka dan pantau keadaan mereka. Anak kecil akan belajar kesan dan akibat daripada percubaan mereka itu. Jika tidak, sampai bila ibu bapa mahu melakukannya buat si kecil ini, bukan?
4. BERI ARAHAN JIKA PERLU
Sekiranya perlu, ibu bapa boleh memberikan arahan buat si kecil ini dalam proses mendidik mereka untuk menjadi lebih berdikari. Maklumkan kepada anak langkah demi langkah untuk melakukan sesuatu perkara itu agar anak dapat belajar dan memahami perkara tersebut dengan lebih baik lagi.
Arahan yang spesifik, jelas dan nyata daripada ibu bapa pasti dapat membantu anak melakukan sesuatu perkara tersebut dengan jayanya.
5. WUJUDKAN PERSEKITARAN MESRA KANAK-KANAK
Dalam mengajar anak untuk menjadi lebih berdikari, kita sebagai ibu bapa seharusnya mewujudkan persekitaran yang mesra kanak-kanak.
Sebagai contoh, letakkan pinggan dan cawan plastik di tempat yang mudah dicapai oleh mereka agar mereka dapat mengambilnya pada bila-bila masa apabila diperlukan. Atau sediakan botol plastik berisi air untuk dituang sendiri ke dalam cawan apabila mereka berasa haus dan ingin minum. Sekiranya air tertumpah, anak kecil ini perlu belajar untuk mengelap sendiri tumpahan air tersebut. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan kerusi buat si kecil untuk mencuci pinggannya sendiri di sinki selepas makan.
Cara in sangat bermanfaat buat si kecil untuk belajar berdikari dan mereka akan mencapai kepuasan apabila berjaya melakukan perkara tersebut dengan sempurna suatu masa nanti.
Sebenarnya, latihan ibadah dalam Islam juga mempunyai ciri-ciri yang dapat membina kekuatan jiwa, agar anak-anak tidak terlalu lemah dan manja.
Contohnya, ibadah berpuasa satu latihan hebat yang menjadikan anak-anak teguh semangat, punya keyakinan diri, membara keazaman dan sanggup menggendong amanah.
Keazaman anak-anak untuk menahan diri daripada makan dan minum serta kesanggupan mereka untuk menanggung keletihan secara sukarela merupakan satu latihan yang efektif.
Tidak terlalu memanjakan bukan bermakna anda boleh mengabaikan kebajikan anak-anak. Tidak juga bermakna mereka perlu dimarahi dan diabaikan.
Hakikatnya mereka amat perlukan belaian dan kasih manja. Cuma kasih manja itu biarlah sesuai dan tidak melampau-lampau.
Bahkan sebaliknya sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu keras, tegas tidak bertempat dan tidak mempamerkan kasih sayang juga boleh menyebabkan anak-anak hilang keyakinan diri.
Hal ini berlalu kerana mereka berasa tidak selamat dan hilang tempat untuk bergantung harap.
Binalah kekuatan jiwa anak-anak dengan menguatkan jiwanya dengan disiplin, tanggungjawab dan kemampuan berdikari dan usah terlalu memanjakan mereka kerana kemanjaan yang melampau akan merosakkan masa depannya.