Kuala Lumpur, 4 Disember 2018 – Adakah pasangan muda berkahwin di Malaysia cakna tentang seks, kesihatan reproduktif dan tanggungjawab keibubapaan yang baik? Sebenarnya, ramai memerlukan panduan pakar dalam hal ini!

Topik ini dibincangkan secara mendalam di dalam forum pakar bertajuk “ Sex Sense For Married Millennials – Intimacy, Family & Health”.  Acara ini dianjurkan bersama oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) dan DUREX Malaysia.

Forum ini diacarakan oleh pakar motivasi dan pengarang daripada generasi alaf baru yang telah berumah tangga, Encik Aiman Azlan dan menampilkan Dr Kamal Kenny, Ahli Psikologi Sosial dan Naib Pengerusi FRHAM dan Profesor Harlina Halizah Siraj, Pakar Obstetrik Dan Ginekologi, dan Penyelaras Unit Perancangan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut Encik Martin Wever, Pengarah Besar Reckitt Benckiser Health Malaysia dan Singapura, golongan muda masa kini digalakkan untuk mendalami hal-hal berkaitan kesihatan seksual dan reproduktif mereka.

Kata beliau, “Hubungan seks antara suami isteri adalah penting dan ianya adalah sesuatu yang semula jadi di dalam sesebuah rumah tangga.  Suami isteri tersebut bukan hanya dapat menikmati pengalaman itu sendiri, malah ia dapat memelihara hubungan mesra yang bermakna, untuk meraikan dan mengakrabkan lagi ikatan perkahwinan mereka.

“Ilmu pengetahuan kesihatan reproduktif yang kukuh membolehkan pasangan berkahwin menambah ahli keluarga tanpa menjejaskan kesihatan ibu mahupun bayi.  Tanggapan positif terhadap kesihatan reproduktif juga mampu menolong sesebuah keluarga untuk membuat keputusan merancang keluarga dengan baik.

“Ibu bapa yang mempunyai pengetahuan yang kukuh mengenai kesihatan seksual dan reproduktif juga mampu mendidik anak mereka dengan baik agar anak itu juga mendapat manfaatnya apabila mereka dewasa kelak.”

Encik Wever berkata bahawa ramai pasangan muda kurang sedar tentang kepentingan kesihatan seksual dan reproduktif yang kukuh walaupun telah berkahwin.  Ini kerana kebanyakan mereka menganggapnya sebagai hal peribadi yang tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka. Pantang larang dan keaiban yang timbul akibat unsur-unsur sosiobudaya yang sensitif juga menghalang perbualan berdasarkan fakta lalu menyebabkan kita bergantung pada sumber maklumat yang mungkin mengelirukan.

Beliau menegaskan, “Maklumat yang tidak benar tentang amalan seks yang baik boleh mengakibatkan seks yang tidak memuaskan, perasaan tidak bahagia, pasangan yang kurang mesra, malah juga kejadian rogol di dalam sesebuah rumah tangga.  Kekurangan panduan tentang kesihatan reproduktif mendorong kepada masalah lain seperti pengabaian anak-anak, kesihatan ibu kurang memuaskan, dan kewangan yang seterusnya menambah tekanan jiwa pada ibu bapa.

Encik Wever mengisytiharkan bahawa DUREX Malaysia telah memberikan komitmennya untuk berusaha seiring dengan FRHAM agar generasi alaf baharu yang sudah berumah tangga ini bersiap sedia menghadapi perjalanan yang menanti mereka sebagai suami, isteri dan ibu bapa setelah diberi maklumat dan nasihat tentang cara mengutamakan kesihatan seks dan reproduktif dalam kehidupan mereka.

Beliau berkata sedemikian selaras dengan wawasan Reckitt Benckiser, iaitu membina “Kehidupan Yang Lebih Sihat Dan Keluarga Yang Lebih Bahagia.”

Dato’ Dr Kamaruzaman Ali selaku Presiden FRHAM berkata bahawa forum media hari ini mencerminkan misi Persekutuan, iaitu mendidik dan menyokong rakyat Malaysia dengan cara menggalakkan kesihatan seksual, reproduktif, dan pengasuhan anak secara bertanggungjawab.

Menurut beliau, pengetahuan dan amalan yang baik dalam ketiga-tiga perkara yang saling berkait ini dapat membantu pasangan muda mengukuhkan kebahagiaan rumah tangga dan membina keluarga yang sihat, di samping mengelakkan pelbagai penyakit jasmani dan mental yang berkait dengannya, malah juga masalah kewangan.

Malangnya, banyak tanggapan salah mengenai topik ini masih berleluasa dan ianya menghalang mereka untuk menikmati manfaat yang boleh menyumbang kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga.

Beliau menyatakan beberapa salah tanggapan lazim adalah seperti isteri tidak dibenarkan menolak permintaan seks oleh suami, tidak mengehadkan bilangan anak kerana menganggap itu suatu rahmat, dan meletakkan tanggungjawab mencegah kehamilan sepenuhnya pada isteri.  Beliau kesal bahawa ada juga lelaki yang menolak sepenuhnya kaedah perancangan keluarga seperti pemakaian kondom walaupun kaedah ini terbukti memberikan perlindungan kepada pasangan dan keluarga sendiri.

Dato’ Dr Kamaruzaman berkata, “Jelaslah bahawa panduan yang relevan dan praktikal tentang kesihatan seksual dan reproduktif perlu disediakan untuk kedua-dua suami dan isteri.  Panduan begini dapat menolong mereka membuat pilihan yang bijak untuk diri sendiri, pasangan, dan masa depan keluarga.”

Beliau mengumumkan bahawa FHRAM dan DUREX Malaysia akan menyusun sebuah program komuniti yang menyeluruh yang akan diteruskan untuk mendidik, dengan melibatkan golongan muda berkahwin dengan berkesan dalam hal kesihatan seks dan reproduktif secara menyeluruh.

Sebagai usaha mendapatkan pengetahuan dan data yang berkenaan bagi program ini, sebuah kaji selidik bertajuk “Kaji Selidik Kesejahteraan Seks Generasi Alaf Baharu Di Malaysia Yang Sudah Berumah Tangga” juga telah dilancarkan semasa sidang forum ini.

Dato’ Kamaruzaman berkata, “Kami mengalu-alukan semua rakyat Malaysia berusia antara 20 hingga 40 tahun yang sudah berumah tangga ke laman http://bit.ly/malaysianmarriedmillennials untuk berkongsi pandangan, amalan dan pendapat anda bersama kami tentang kemesraan, pencegahan kehamilan, dan perkara-perkara lain yang berkait dengannya.  Kami mahu mendengar apa kata mereka.”

Setiap orang yang menyertai kaji selidik dalam talian ini akan diberi peluang untuk memuat turun sebuah e-komik yang lucu dan bermaklumat, bertajuk, “Drama Kahwin Malam Jumaat.”