Anak perempuan saya berusia 9 tahun, bertanyakan tentang seks kepada saya.

Bagaimana untuk saya terangkan kepadanya berkenaan dengan seks?

Adakah di usia 9 tahun adalah masa yang sesuai untuk memberi penerangan kepadanya?-Puan Marina, Ipoh

Jessie Foo Xiang Yi
Pakar Psikologi Klinikal

Selamat sejahtera Puan Marina. Terima kasih atas soalan Puan.

Kebanyakan ibu bapa tidak selesa dan sering mengelak untuk membicarakan tentang seks, terutama apabila ditanya oleh anak-anak mengenainya. Jika anak-anak anda bertanyakan tentang perkara ini, tanya dahulu soalan asas sebelum anda menjelaskan lebih lanjut mengenai pendidikan seks. Tanya anak anda dengan tenang dan lemah lembut, “Apa yang membuatkan adik bertanya tentang perkara ini?” Jawapan anak anda akan membantu anda untuk mengukur sejauh mana penerangan yang perlu anda berikan kepada mereka dan had pengetahuan yang perlu mereka ketahui di tahap umur mereka. Berapa banyak penerangan anda kepada anak tentang pendidikan seks juga bergantung kepada anak anda. Jika mereka sudah berpuas hati dengan jawapan yang anda berikan dan tidak bertanyakan soalan lanjut, tandanya anda mungkin sudah memberikan penerangan yang secukupnya yang ingin mereka ketahui. Walau bagaimanapun, jika mereka bertanyakan soalan lain, anda boleh terus berikan penerangan kepada mereka. Namun, tidak semestinya anda perlu menjelaskan perkara ini dengan terperinci. Hanya jawapan yang ringkas dan pendek sudah mencukupi.

Kanak-kanak di usia seperti anak Puan sepatutnya sudah tahu akan asas tentang perkara-perkara sosial dan privasi serta had dalam perhubungan. Mereka sepatutnya faham tentang sentuhan yang positif dan sentuhan yang tidak baik. Selain itu, kanak-kanak di usia ini juga perlu tahu tentang peranan setiap organ dalam tubuh manusia termasuklah tentang hubungan antara lelaki dan perempuan. Walau bagaimanapun, saya sarankan Puan mendapatkan buku pendidikan seks yang sesuai bagi membantu ibu bapa untuk menerangkan perkara yang sepatutnya kepada kanak-kanak.